Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Hak, kuasa dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama Islam


Shamrahayu A Aziz

Titah mempunyai sanksi Perlembagaan, mengingkari suatu jenayah syariah

MENGHORMATI institusi Raja, yang bukan saja Ketua Agama Islam, tetapi juga simbol perpaduan dan Ketua Utama Negara boleh menjadi resipi penyelesaian konflik berkaitan sensitiviti agama yang sedang hangat diperkatakan. Dalam kelam isu ini, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor bertitah bahawa, bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, perkataan Allah hendaklah digunakan seperti ia difahami orang Islam. Kalimah itu sudah sekian lama diterima semua penganut agama. Antara isu dikemukakan berkaitan titah diraja ini ialah, sejauh manakah ia memberi kesan ke atas keputusan mahkamah yang mencetuskan kontroversi berkenaan. Dalam penulisan ini saya ingin berkongsi pandangan dengan pembaca mengenai persoalan di mana letaknya hak, kuasa dan tanggungjawab Ketua Agama mengikut Perlembagaan.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi negeri baginda, negeri yang tidak mempunyai Raja dan Wilayah-Wilayah Persekutuan. Peruntukan sama wujud dalam perlembagaan negeri.


Perlembagaan mengangkat kedudukan Raja sebagai Ketua Agama bukan kerana ia agenda British, tetapi ia tradisi dan amalan yang diterima berkurun lamanya. Peruntukan itu sudah wujud dalam sesetengah perlembagaan negeri sebelum kedatangan British lagi, dan kedudukan ini tidak pernah dicabar atau diganggu British. Atas apa alasan sekali pun British bersikap sedemikian, ia jelas bahawa Raja-Raja pada setiap masa dan ketika adalah Ketua Agama Islam.

Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipandang sebelah mata. Bukan saja kerana ia satu tradisi yang sudah menjadi amalan, tetapi kerana ia adalah hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan Perlembagaan. Oleh itu, pengiktirafan Perlembagaan itu seharusnya mempunyai kesan tertentu. Ia tidak harus dianggap sesuatu yang sia-sia. Hak, kuasa dan tanggungjawab itu mempunyai nafas dan hidup. Ia harus jadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu berkaitan agama Islam.

Ketua Agama yang diiktiraf Perlembagaan perlu diberi ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa jua keadaan membabitkan agama Islam. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperturunkan dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam, walaupun baginda secara harfiah bukanlah Ketua Agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan. ("...Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam" � petikan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong).

Oleh itu, titah Yang di-Pertuan Agong perlu didukung dalam isu berkaitan agama Islam. Sekiranya tidak, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu hanyalah peruntukan Perlembagaan yang sia-sia. Ini tidak harus terjadi kerana Perlembagaan bukanlah dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan Perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu dan ia tidak diwujudkan dalam vakum.

Sudah tiba masa Malaysia merealisasikan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Ia adalah konvensyen Perlembagaan kerana pengiktirafan yang sudah diberikan sekian lama. Di dalam prinsip undang-undang Perlembagaan, walaupun konvensyen tidak mempunyai kesan perundangan, tetapi ia boleh dijadikan sumber tafsiran Perlembagaan. Untuk merealisasikan konvensyen ini, tafsiran Perlembagaan haruslah holistik � iaitu dengan mengambil kira keseluruhan kerangka Perlembagaan dan mengharmonikan semua peruntukan sehingga memberi nafas kepada semua peruntukan berkenaan tanpa mengabaikan mana-mana satu pun.

Selain itu, dengan wujudnya fatwa yang diluluskan institusi agama, keputusan Kabinet dan undang-undang berkaitan pengembangan agama bukan Islam, titah Ketua Agama Islam yang perlu dihormati. Sekiranya Perlembagaan ditafsir secara literal, keputusannya ialah titah Raja tidak akan dapat menyangkal keputusan mahkamah. Metodologi literal tidak tepat pemakaiannya dalam konteks kontroversi kalimah Allah ini. Tafsirannya harus holistik. Untuk keharmonian negara, Ketua Agama harus dilihat dalam konteks Malaysia dan sudah tiba masa untuk Malaysia membentuk konvensyen Perlembagaan yang tersendiri, terutama mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Malaysia harus melihat kepada salasilah dan nilai tempatan, dan seterusnya membina tamadun Perlembagaan yang tersendiri.

Hak, kuasa dan tanggungjawab Raja sebagai Ketua Agama tidak berapa terserlah penguasaannya. Ini mungkin menjadi antara punca kepada kurangnya sensitiviti sesetengah pihak. Oleh itu, sudah tiba masa bagi semua golongan, termasuk Raja-Raja dan rakyat keseluruhannya menyedari peri penting hak, kuasa dan tanggungjawab yang mesti didukung Ketua Agama. Mungkin ketika Islam di dalam kontroversi seperti ini kuasa Ketua Agama amat diperlukan untuk keutuhan Islam dan juga keharmonian agama dan bangsa di negara ini. Merosakkan agama dominan akan menyebabkan kerosakan kepada seluruh tamadun.

Peristiwa kalimah Allah ini memberi peluang kepada Raja untuk merealisasikan hak, kuasa dan tanggungjawab Perlembagaan itu dan peluang ini tidak harus dipersia. Namun, persoalan kedudukan Raja sebagai Raja berperlembagaan, iaitu Raja yang bertindak atas nasihat jemaah menteri mungkin menjadi tajuk perbahasan hak, kuasa dan tanggungjawab Ketua Agama ini.

Namun, dalam urusan agama Islam, Perlembagaan memberi ruang kepada Raja membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada jemaah menteri. Oleh itu, isu Raja berperlembagaan dalam konteks hak, kuasa dan tanggungjawab baginda sebagai Ketua Agama adalah tidak begitu relevan. Sekiranya relevan, ia hanya berkisar dalam polemik kuasa Raja terbatas oleh Perlembagaan kerana Perlembagaan yang mengiktiraf kuasa berkenaan. Namun, perlu diambil perhatian bahawa kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak dapat memelihara Islam seperti dimaksudkan di dalam sumpah jawatan. Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai Ketua Agama.

Dalam konteks undang-undang jenayah syariah di Malaysia, mengingkari titah Raja dalam urusan agama Islam adalah satu perbuatan jenayah. Titah Raja mengenai Islam bukan omongan kosong yang boleh diabaikan. Ia adalah titah yang mempunyai sanksi Perlembagaan. Dalam konteks ini, titah Raja adalah nasihat yang perlu diperakui dan dituruti.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia