Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Minda generasi kini tebal dengan prejudis


Bersama Khoo Kay Kim


SULTAN Johor bertitah pada mesyuarat Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur pada 1948. Kedaulatan Raja-Raja Melayu dikembalikan British apabila terbentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun sama.

Negara perlu cari jalan supaya golongan muda sekarang lebih gunakan logik daripada emosi

MALAYSIA sebagai sebuah negara kini berusia hampir setengah abad. Proses menubuhkan negara bermula dengan bersungguh-sungguh selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Ramai rakyat tidak faham sebelum Perang Dunia Kedua di Semenanjung Tanah Melayu saja ada sembilan kerajaan berdaulat sejak 1895. Di samping itu, dari 1867 hingga 1941, sudah wujud Negeri-Negeri Selat sebagai tanah jajahan British.

Britain berada di sini mulai 1786 tetapi hanya dapat mengambil alih sistem pentadbiran keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Negeri-Negeri Selat pada 1919. Untuk suatu kawasan begitu kecil, apa yang wujud pada masa itu jelas tidak kemas. Mulai 1896, Britain bercadang mewujudkan satu sistem pentadbiran yang lebih kemas untuk keseluruhan kerajaan Melayu serta Negeri-Negeri Selat, maka buat permulaan diwujudkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan).


Britain kemudian cuba memperluaskan Persekutuan itu dengan menyerapkan kerajaan lain di Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor tetapi Raja lima kerajaan itu menolak. Segala strategi yang digunakan British gagal memujuk pemerintah kerajaan berkenaan. Kemudian Perang Dunia meletus dan Britain cuba menggunakan kesempatan apabila merancang pembangunan semula secara longgar dikenali 'Malaya.' Kali ini British cuba menggunakan kekerasan dan hampir berjaya menubuhkan Malayan Union bertujuan menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Britain sebenarnya sudah membuat keputusan sejak 1943 untuk mewujudkan sebuah negara-bangsa yang akan merangkumi sembilan kerajaan Melayu serta Negeri-Negeri Selat yang memang sudah menjadi Tanah Jajahan Mahkota British. Tetapi kerajaan Melayu masih, dari segi undang-undang, adalah negeri naungan, maka wakil Britain di Negeri-Negeri Selat diberi gelaran 'Gabenor,' manakala orang yang sama menjadi wakil Britain kepada kerajaan Melayu dikenali 'Pesuruhjaya Tinggi'.

Apabila konsep Malayan Union diumumkan, orang Melayu yang faham undang-undang Barat, sangat bimbang mengenai masa depan orang Melayu kerana setakat itu Raja adalah pelindung rakyat Melayu. Tanpa kedaulatan, Raja tidak dapat memainkan peranan itu. Akibatnya orang Melayu bukan hanya kuat menentang Malayan Union tetapi juga menubuhkan Umno untuk memperkuatkan bantahan orang Melayu. Justeru, pihak British berpendapat ahli Umno terdiri daripada rakyat Raja, maka perundingan selanjutnya mengenai hal Perlembagaan diadakan di antara British dengan Raja-Raja Melayu serta rakyatnya iaitu Umno. Akhirnya, Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Selain masalah Perlembagaan, apabila Britain membuat keputusan akan mewujudkan sebuah negara-bangsa, maka integrasi negara yang dirancangkan itu sememangnya soal yang sangat penting. Masyarakat di Semenanjung termasuk Negeri-Negeri Selat begitu kompleks. Waktu itu, ia bukan hanya terdiri daripada penduduk pelbagai golongan etnik, mereka juga warga negara yang berbeza. Ada tiga golongan yang terbesar iaitu orang Melayu tempatan, tidak termasuk mereka dari seberang yang tidak lama berada di Semenanjung (mereka ini dalam Banci Tanah Melayu 1931 dikenali sebagai 'Other Malaysians'); warga negara China, dan mereka yang berasal dari India dan sedang memperjuangkan kemerdekaan untuk India. Pada 1943 Singapura menjadi pusat Gerakan Kemerdekaan India � diketuai oleh Subhas Chandra Bose.

Britain dengan secepat mungkin menumbuhkan Jawatankuasa Hubungan antara Kaum pada awal 1949. Untuk meyakinkan golongan yang besar bahawa tiada pihak yang diberi keutamaan, pengerusi yang dilantik � Clough Thuraisingam ialah daripada golongan Jaffna (Ceylon). Datuk Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock juga menganggotai jawatankuasa itu. Berikutan itu, Datuk Onn cuba mengubah United Malays National Organization kepada United Malayans National Organization. Beliau gagal dan seterusnya menubuhkan IMP (Independence of Malaya Party). Tetapi hanya MIC menyokong IMP, maka Datuk Onn walau pun begitu berpengaruh pada waktu itu gagal.

Britain juga gagal untuk mengintegrasikan penduduk di Semenanjung dan Negeri-Negeri Selat. Satu lagi strategi untuk mewujudkan perpaduan ialah dengan menyusun kembali sistem pendidikan yang setakat itu diadakan untuk meneruskan perpisahan di antara kaum. Sebelum Perang Dunia Kedua, perpisahan bukan masalah kerana pekerja dari luar memang bertujuan kembali ke negara asal. Tetapi apabila semakin ramai lahir di Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat, sikap mereka mulai berubah. Keadaan memang membimbangkan British kerana apabila Jepun menyerang 'Malaya', penduduk di sini tidak berpadu untuk menentang Jepun.

Pada masa Jawatankuasa Hubungan Kaum ditubuhkan, langkah juga diadakan untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan baru - Laporan Barnes (1950) adalah akibatnya. Laporan itu bertujuan mencari ikhtiar untuk melahirkan suatu generasi penduduk baru yang boleh hidup sebagai suatu bangsa. Pada pendapat Jawatankuasa itu, perpaduan tidak dapat dicapai jika penduduk di 'Malaya' dari kecil lagi hidup di dalam keadaan terpisah dan sistem pendidikan yang wujud tidak lebih daripada benih perpisahan.

Laporan itu jelas menitikberatkan pentingnya sistem pendidikan untuk melahirkan suatu generasi rakyat di 'Malaya' yang akan mengutamakan kedudukan mereka sebagai warga negara 'Malaya', khususnya kerana pada 1948, Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) diwujudkan. Pada ketika itu kedudukan Raja-Raja Melayu sebagaimana wujud sebelum Perang Dunia diwujudkan kembali. Maksudnya dari segi undang-undang, kedaulatan sekali lagi ada pada Raja, bukan pada British yang hanya memegang kewibawaan sebagai eksekutif.

Tetapi cadangan Jawatankuasa Barnes tidak diterima oleh penduduk di 'Malaya' yang sejak masa itu lebih menyokong sistem persekolahan yang memisahkan golongan muda berasaskan perkauman.

Menjelang 1957, persiapan dibuat secara bersungguh-sungguh untuk menubuhkan Tanah Melayu sebagai sebuah negara-bangsa. Itu adalah keadaan yang sebenarnya walaupun ahli politik lebih biasa menggunakan istilah 'kemerdekaan.' Tetapi sejak Februari 1948, apabila diwujudkan Persekutuan Tanah Melayu, dari segi undang-undang, kedaulatan sudah dikem-balikan kepada Raja-Raja Melayu, justeru, apabila pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu muncul sebagai sebuah negara-bangsa mengamalkan demokrasi berparlimen, yang memindahkan kedaulatan kepada rakyat bukan British tetapi Raja-Raja Melayu yang seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan.

Kembali kepada persiapan untuk mewujudkan sebuah negara-bangsa, Jawatankuasa Datuk Abdul Razak ditubuhkan untuk sekali lagi mengkaji sistem pendidikan. Penyata Razak 1956 dengan jelas menyatakan 'Objektif utama sistem pendidikan kebangsaan adalah per-

paduan negara.' Penyata Razak sebenarnya bersetuju dengan Laporan Barnes. Untuk mewujudkan kesedaran nasional dan perasaan patriotik, sistem pendidikan semestinya mengintegrasikan murid sekolah, bukan memisahkan mereka.

Sejak Laporan Barnes lagi, memang sudah diakui generasi negara ini yang akan datang semestinya fasih bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa, iaitu Bahasa Inggeris dan mereka juga mesti diberi bantuan, kesempatan mempelajari bahasa kaum sendiri.

Ramai orang di Malaysia tidak mengetahui apa yang sudah berlaku pada masa dulu, maka tidak jelas pada mereka bagaimanakah generasi zaman terdahulu bimbangkan masa depan negara ini. Bagi mereka yang sudah hidup sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua, mereka dapat melihat bagaimana keadaan tidak berubah dari segi hubungan kaum. Sebilangan besar penduduk Malaysia masih lebih mengutamakan 'ethnicity' daripada 'nationality.' Mereka dapat membezakan di antara dua konsep itu. Tidak sedarkah mereka bahawa mereka masih mengejar sesuatu yang hanya akan menguatkan kedudukan satu kaum.

Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah apa yang sepatutnya dilakukan untuk menjamin supaya selepas setengah abad Malaysia dapat wujud sebagai sebuah negara-bangsa di mana rakyatnya dapat memberi tumpuan yang tidak berbelah-bahagi kepadanya? Setengah abad dulu telah diseru agar penduduk di negara ini sentiasa mengamalkan 'Perpaduan di dalam Kepelbagaian'. Tetapi sementara kepelbagaian masih wujud, di manakah perpaduannya?

Ramai orang menuntut bahawa penduduk negara ini memang hidup di dalam keadaan harmonis. Tetapi sebenarnya mereka tidak sedar apa berlaku sejak penghujung 1945. Pada 1957, pernah berlaku rusuhan kaum di Pangkor dan sebelum Mei 1969, sudah dua kali berlaku pergaduhan di Pulau Pinang. Selepas Mei 1969, sekali lagi ada masalah di Pulau Pinang dan kemudian di Kampung Medan di Kuala Lumpur. Yang jelas hanyalah, belum ada kajian yang teliti mengenai peristiwa itu. Jika tidak mengenali sejarah, besar kemudian apa sudah berlaku, boleh berulang lagi.

Generasi sekarang, termasuk di universiti berpendapat bahawa mengkaji kepelbagaian budaya di Malaysia ini bukan perkara penting. Itu pernah diberitahu kepada saya. Ada berpendapat, kalau diadakan jawatankuasa banyak masalah boleh dihapuskan. Ini juga kepercayaan yang timbul daripada keadaan yang mana orang Malaysia cepat lupakan sejarah. Sejak dulu, banyak jawatankuasa ditubuhkan dan masalah masih tak dapat dilenyapkan. Mengapa?

Malaysia perlu mencari jalan yang benar-benar berkesan. Memang hampir tiada kemungkinan generasi dewasa kini dapat diubah. Minda mereka begitu tebal dengan prejudis; mereka akan menolak apa saja yang tidak selaras dengan kepercayaan mereka. Logik tidak lagi wujud dalam sanubari mereka, sebab itu cepat naik marah. Sistem persekolahan yang pernah mereka lalui tidak menjamin mereka dapat menggunakan logik dan bukan emosi untuk menyelesaikan apa saja yang tidak sesuai dengan kepercayaan mereka.

Banyak keadaan negatif sudah wujud di negara ini. Tetapi, kalau disebutkan satu persatu ramai akan naik marah. Itu dengan sendirinya menunjukkan bagai lemahnya sistem pendidikan di Malaysia. Tetapi, buat sementara yang paling penting untuk menjamin agar generasi akan datang di Malaysia ini tidak berasa kaku apabila mereka dari satu kaum diletakkan bersama-sama kaum lain, sistem pendidikan perlu menjamin agar golongan muda di negara ini sentiasa didedahkan kepada kepelbagaian budaya dan agama. Mereka perlu sentiasa bergaul dan dibantu untuk memahami masalah, lebih-lebih lagi, 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan jangan cepat naik marah apabila berdepan jawapan lain kepada satu-satu persoalan sehingga menimbulkan pergaduhan kaum.