Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Januari 2010

Perang sengit teknologi



PAMERAN barangan elektonik terbesar di dunia ini berjaya menarik lebih 120,000 pengunjung tahun ini.


TEKNOLOGI memudahkan kehidupan. Dalam dunia serba moden sememang teknologi amat penting untuk memudahkan urusan harian. Tanpa teknologi dunia menjadi kucar-kacir, lantaran antara manusia dan teknologi sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Dalam memperkatakan tentang teknologi, semestinya kemunculan gajet-gajet terbaru yang saling bersilih ganti di pasaran paling mendapat perhatian. Ada saja produk terbaru yang dikeluarkan untuk menarik perhatian pengguna. Bagi mereka yang menggemari gajet-gajet sebegini pastinya Pertunjukan Elektronik Pengguna atau Consumer Electronic Show (CES) amat dinanti-nantikan. Acara yang diadakan setiap tahun ini sememangnya menjadi tumpuan pengeluar telefon bimbit, komputer dan pelbagai lagi. Ia juga menjadi penanda aras kepada ‘apa yang terkini di pasaran’.

Pameran anjuran Persatuan Pengguna Elektronik yang mewakili lebih 2,000 ahli itu bertujuan mempromosikan pembangunan industri teknologi pengguna di seluruh dunia.

Dalam pertunjukan terbaru pada 7 hingga 10 Januari lepas di Las Vegas, para peminat barangan canggih teruja dengan lambakan gajet-gajet terkini.

Bagi peminat telefon bimbit pastinya smartphone yang pelbagai bentuk dan rupa menjadi pilihan sehingga ‘kelabu mata’ untuk memilihnya. Selain itu pelbagai teknologi terbaru berkaitan komputer riba, telefon bimbit, e-reader dan tablet juga mampu memenuhi selera di kalangan pengguna.

Mereka yang gemar membaca tidak perlu lagi beratur di kedai-kedai buku untuk mendapatkan keluaran terbaru kerana e-reader mampu menjadi pengganti. e-reader berfungsi sebagai teknologi terbaru yang memudahkan orang ramai membaca buku, majalah, dan surat khabar secara elektronik tanpa perlu membeli di kedai. e-reader bukanlah baru di pasaran tetapi kecanggihannya ditingkatkan dari hari ke hari.

Persaingan sengit antara pengeluar produk juga tidak boleh dielakkan untuk menarik perhatian pengguna mengggunakan produk mereka.

Sebab itu syarikat yang sebelum ini hanya terlibat dalam perniagaan berkaitan komputer turut mengeluarkan telefon bimbit seperti iPhone oleh Apple. Google pula dilaporkan akan turut mengeluarkan smartphone sendiri untuk meluaskan penguasaan pasaran.

Telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan Internet semakin mendapat perhatian ramai dan perkembangan ini tidak boleh dielakkan lagi.

Namun persoalannya bukankah lambakan pelbagai teknologi akhirnya hanya mengelirukan pengguna? Walaupun kita sering didedahkan dengan produk-produk terbaru di pasaran namun kesemuanya mempunyai fungsi yang hampir sama. Telefon bimbit “smartphone” misalnya sudah boleh berfungsi sebagai komputer lengkap dengan kemudahan Internet.

Merugikan

Biarpun lambakan peralatan canggih menarik perhatian pengguna namun perlu diakui ia juga boleh menimbulkan kekeliruan sehingga boleh merugikan si pembeli. Contohnya, jika ulat buku membeli smartphone tetapi enam bulan kemudian muncul produk terbaru smartphone yang dilengkapi e-reader, tentulah ada rasa rugi di situ.

Begitu juga bagi produk seperti ‘tablet’. Kebanyakan kita mungkin bertanya apa yang dimaksudkan dengan perkataan ini. Malah para peserta industri yang menyertai CES juga tidak bersependapat tentang maksud sebenar ‘tablet’.

Ada yang mengkategorikan tablet sebagai komputer yang mempunyai skrin sesentuh sensitif. Ada juga yang memberikan maksud komputer yang boleh ditulis menggunakan pen khas. Namun mereka berpandangan ‘tablet’ mesti berfungsi sebagai separuh telefon dan separuh komputer bimbit. Ramai yang bersetuju ‘tablet’ merujuk kepada komputer mahupun telefon bimbit yang hanya menggunakan skrin sesentuh. Bagi mereka teknologi yang masih menggunakan papan kekunci adalah ketinggalan zaman.

Apakah pengguna akan terus dibebankan dengan produk teknologi yang pelbagai jika hakikatnya industri itu sendiri berkeupayaan menghasilkan satu produk yang dilengkapi semua kemudahan tersebut.

Anggaplah semua teknologi penting. Contohnya smartphone penting untuk memudahkan pengguna melayari Internet selain bermain pelbagai jenis permainan yang boleh diperoleh dengan mudah. e-readers pengganti buku, netbook, komputer bimbit yang semakin mengecil saiznya. Tidak lama lagi akan muncul pula smartbook, iaitu komputer kecil yang turut dilengkapi kemudahan telefon bimbit.

Bagi pengeluar, kegagalan sesuatu produk dihasilkan bukan sahaja bermakna kerugian besar malah menunjukkan teknologi yang dicipta tidak diterima. Misalnya, satu ketika dahulu, Microsoft pernah diramal menjadi antara pemain utama smartphone selain Apple dan Nokia. Tetapi telefon bimbit palm keluaran Microsoft gagal di pasaran. Sehingga kini tiada lagi pihak yang berani meramalkan kejayaan sesuatu produk kerana gergasi seperti Microsoft sendiri kecundang dalam perniagaan ini.

Namun apa yang pasti perkembangan teknologi sangat pantas. Sejak lebih tiga dekad komputer peribadi diperkenalkan, teknologi itu semakin berkembang sehingga membolehkan smartphone dan smartbook kelak mengambil alih peranannya.

Yang memungkinkan semua teknologi ini bersatu di bawah satu produk adalah dengan munculnya penggunaan Internet tanpa wayar yang lebih murah. Ia membolehkan komputer menjadi lebih kecil malah dalam bentuk telefon bimbit, meminggirkan semua kriteria lapuk yang pernah digunapakai sebelum ini.

Pengguna juga mungkin beranggapan ia adalah nikmat besar yang diperoleh hasil perkembangan teknologi. Apatah lagi dengan pengenalan setiap teknologi baru bermaksud harga barangan yang dihasilkan sebelum ini akan lebih murah.

Biar pun ia mungkin berita baik kepada pengguna, namun hakikatnya pengguna akan berterusan membelanjakan duit mereka untuk mendapat peralatan sebegini tanpa jemu. Tanpa disedari pengguna sebenarnya hanya tertipu dengan kaedah pemasaran industri tersebut. Yang untung adalah industri manakala pengguna sebenarnya terus-terusan menanggung kerugian.

Mungkin kita terlepas pandang tapi selain manusia, bumi juga tidak terlepas dari kerugian yang disebabkan manusia itu sendiri melalui industri yang dikuasainya. Setelah pengguna dilambakkan dengan pelbagai produk terkini, bumi juga dilambakkan dengan gajet-gajet yang tidak lagi digunakan yang akhirnya merosakkan alam sekitar.

Hakikatnya manusia itu sendiri yang mencipta kerugiannya.