Maju Melayu Perkasa!

17 Januari 2010

Pertahankan hutan


KEPANASAN bumi sememangnya tidak boleh dinafikan. Air lautan akan bertambah juga tidak boleh dinafikan. Pulau-pulau kecil dan kawasan pesisiran pantai pasti tenggelam akhirnya..

Bahawa kepanasan global diakibatkan oleh bertambahnya karbon dioksida juga tidak boleh dinafikan. Bahawa peningkatan karbon dioksida adalah kerana pembakaran bahan api adalah suatu fakta. Begitu juga dengan pembakaran hutan. Kilang-kilang di seluruh dunia juiga menambah panas bumi. Begitu juga pembakaran dalam enjin. Baik kereta mahupun kapal terbang. Kesemuanya menambahkan karbon dioksida.

Apakah manusia sanggup menghadapi pemanasan global ini? Jika tidak ada pilihan lain, maka terpaksalah dihadapi juga. Tetapi bukan saja kenaikan suhu, tetapi perkara-perkara yang berlaku hasil daripada kesan pemanasan global. Ribut taufan dan banjir adalah antara bencana yang akan terhasil. Begitu juga dengan kekurangan air. Lebih-lebih lagi ialah kekurangan makanan akibat usaha tani yang gagal. Kesan buruknya amat besar. Tidak ada pilihan lain oleh manusia daripada mengubah dan menghadapinya.

Tetapi apa yang boleh mengurangkan kecepatan pemanasan global supaya perubahan itu tidak mendadak ialah jika karbon dioksida itu dapat diserap oleh tumbuhan. Salah satu penyebab kepada peningkatan kehadiran karbon dioksida ialah kekurangan tumbuh-tumbuhan di planet bumi.

Penyumbang terbesar kepada proses penyerapan karbon dioksida pula ialah hutan hujan tropika. Itulah hutan yang ada di Nusantara. Kawasan terbesar di Khatulistiwa bagi adanya hutan hujan tropika ialah di tengah-tengah benua Afrika Selatan iaitu Brazil, benua Afrika iaitu Congo dan di Asia Tenggara, iaitu pulau Borneo.

kaya

Nusantara merupakan wilayah yang kaya dengan hujan hutan tropika. Selain Borneo iaitu Kalimantan, Sarawak dan Sabah, juga pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Tetapi di mana-mana hutan hujan tropika di dunia ini, mereka menghadapi ancaman kepada kerosakan melalui pembalakan haram. Baik di Brazil, mahupun di Indonesia dan Malaysia.

Dalam keadaan kritikal adalah sepatutnya, hutan hujan tropika yang ada mesti dipertahan dan disimpan, dan tidak diusik-usik lagi. Tetapi diketahui bahawa penguatkuasaan pembalakan haram amat sukar dilaksanakan.

Laporan bahawa Cameron Highlands semakin memanas dengan hutannya dicabar menunjukkan bahawa sepatutnya kawasan-kawasan seperti itu sudah tidak patut dikembangkan lagi. Pembangunan mesti dihentikan dan hutan yang ada dipelihara.

Bagi Selangor pula, sudah sepatutnya tidak ada lagi hutan yang dimusnahkan untuk digantikan dengan kawasan pertanian atau pembangunan bandar. Sementara di Kuala Lumpur, kehijauan yang ada mesti dipertahankan khususnya di sekitar Bukit Tunku. Justeru memusnahkan kawasan hijau di sekitar Tugu Negara untuk dibangunkan Pusara Negara akan mengurangkan kawasan hutan dalam Kuala Lumpur.

Jadi jika hutan-hutan hendak dipertahankan, di manakah tempat untuk dibuat pembangunan? Bandar-bandar baru serta ladang-ladang perlu dibuka untuk menampung penduduk yang semakin bertambah.

Salah satu caranya ialah pembangunan semula kawasan-kawasan yang kurang digunakan secara optimum. Bandar-bandar lama wajar dibangun semula supaya boleh meningkatkan ruang bagi penempatan penduduk-penduduk baru.

Tetapi mampukah kita bertindak bijak?