Oleh Nazmi Yaakub
BERMUHASABAH DIRI: Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar turut memberikan pandangan pada persidangan memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kongres Kebudayaan Melayu Pertama 1957 di Muar, baru-baru ini. |
Pendekatan ini perlu untuk menolak ganggu gugat kelompok tidak bertanggungjawab pertikai kedudukan bahasa, budaha
ORANG Melayu perlu memperkukuhkan pemikiran mereka dengan kebijaksanaan akal dan kekuatan hujah dalam usaha mempertahankan kebudayaan Melayu daripada diganggu gugat dalam asakan globalisasi masa kini.
Kira-kira 200 peserta Persidangan Kebudayaan Melayu turut diingatkan tindakan pihak tertentu mempertikaikan kedudukan bahasa dan kebudayaan Melayu turut berpunca daripada kelemahan mereka di samping kecenderungan mereka untuk tidak bersatu sekalipun sesama bangsa.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APMUM), Prof Madya Zainal Abidin Borhan, menyifatkan reaksi orang Melayu tidak jelas apabila wujud gangguan yang ditimbulkan pihak tertentu terhadap kedudukan dan kebudayaan orang Melayu.
“Apakah orang Melayu terlalu berhati-hati, belum merasai ancaman atau sememangnya sudah terlalu lemah dan mengambil sikap tidak kisah terhadap situasi yang berlaku. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa intelektual Melayu sudah meletakkan asas kukuh pada kedudukan dan kebudayaan Melayu,” katanya ketika membicarakan Melayu & Kebudayaan Melayu pada persidangan memperingati Ulang Tahun Ke-50 Kongres Kebudayaan Melayu Pertama 1957 di Muar, baru-baru ini.
Zainal Abidin melihat peperangan akal dan hujah digunakan oleh kelompok berkepentingan untuk mencabar dan mengancam kebudayaan Melayu kerana mereka dapat membaca kelemahan pemikiran pemimpin serta orang Melayu.
“Saya tidak mengajak tindakan berbentuk keganasan, tetapi jangan sampai pihak lain menggunakan kelemahan kita untuk merendahkan kedudukan dan menggugat pemikiran bangsa Melayu,” katanya pada persidangan yang turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Yayasan Kajian dan Strategi Melayu.
Antara tanda kelemahan orang Melayu ialah tindakan memperlihatkan ketidakyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu dan kejayaan yang dicapai sejak 30 tahun berlandaskan bahasa serta kebudayaan Melayu.
“Kita sudah melangkaui 50 tahun sejak kemerdekaan negara ini, maka kita perlu merancang tindakan untuk menyusun kembali generasi kita sehingga 2057. Orang Melayu perlu membuat keputusan untuk membentuk dasar kebudayaan yang baru atau memantapkan dasar sedia ada,” katanya pada program yang dirasmikan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah, meletakkan perpecahan di kalangan Melayu sebagai cabaran untuk mengangkat kebudayaan itu sebagai kebudayaan kebangsaan yang menjadi acuan kepada pembentukan dan pembinaan negara bangsa.
“Perpecahan yang berlaku itu dapat ditangani sekiranya semua pihak dapat mencari penyelesaian berdasarkan kaedah perpecahan besar dapat dikecilkan, manakala perpecahan kecil pula dihilangkan,” katanya ketika menghurai Kebudayaan Melayu: Bagaimana dan Ke Arah Mana.
Beliau turut mengingatkan interaksi antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu berlangsung dalam keadaan selang-seli antara kerjasama dengan persaingan dengan menggunakan elemen tuntut-menuntut dan tawar-menawar.
“Dalam konteks pertembungan etniksiti yang mempunyai kepentingan masing-masing itu, masyarakat pelbagai kaum di negara ini sentiasa berada dalam keadaan saling bekerjasama dan kalis tukar tertib,” katanya.
Selain perpecahan dan pertembungan etniksiti, rakyat di negara ini dilihat Dr Firdaus tidak sewajarnya melupakan cabaran mereka bersama akibat rempuhan globalisasi iaitu anasir luar yang menggugat jati diri, sehingga turut mengakibatkan bahasa kebangsaan tercabar dan tergugat.
Ketua 1, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, pula mengharapkan prinsip toleransi yang menjadi pegangan dalam membincangkan pelbagai isu berkepentingan di negara ini, dijadikan asas untuk sesuatu kaum meminta sesuatu secara sewenang-wenangnya.
“Toleransi yang kita amalkan selama ini, sebenarnya bertujuan memperlihatkan realiti masyarakat Malaysia hidup dalam aman damai dan bersatu padu. Toleransi tidak wajar digunakan bagi mematikan kebudayaan Melayu kerana hakikatnya ia menjadi asas dalam pembentukan negara ini,” katanya.
Dalam konteks bahasa pula, Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Fuad Zarkashi, menegaskan bahasa Melayu di negara ini sudah terbukti berupaya menjadi bahasa yang maju sehingga sejarah tidak pernah mencatatkan ia menyebabkan orang Melayu menjadi mundur.
“Oleh itu, kita mahu menjadikan soal perjuangan bahasa dan budaya Melayu sebagai perjuangan dasar yang perlu didokongi bersama kerana ia membabitkan soal untuk membina jati diri dan kekuatan kita,” katanya ketika membedah Bahasa dan Tamadun dalam Kebudayaan Melayu.