KUALA LUMPUR: Biro Pendidikan Pemuda Umno Malaysia sedia membantu orang Melayu yang mempunyai sumber kewangan terhad tetapi tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) meneruskan pengajian di IPT swasta (IPTS).
Pengerusinya, Ahmad Ikmal Ismail, berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), biro berkenaan bekerjasama dengan 15 IPTS tempatan, termasuk kolej dan politeknik dalam usaha menempatkan pelajar yang tidak mendapat ruang di IPTA melanjutkan pengajian.
“Sekarang ini kita mengadakan kerjasama dengan 15 IPTS antaranya Universiti Lim Kok Weng, Kolej Sunway, dan Kolej Binary,” katanya..
Ahmad Ikmal berkata, menerusi Tabung Pendidikan Pemuda Umno yang diwujudkan, pihaknya membantu 250 pelajar Melayu melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang hingga peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan doktor falsafah (PhD).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz supaya Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), sebuah forum percambahan minda mencerna perkembangan ekonomi orang Melayu menubuhkan Yayasan Pelajaran bagi meningkatkan pencapaian pendidikan anak bangsa.