Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Januari 2008

Perkataan Indon tak diiktiraf



KUALA LUMPUR: Cendekiawan dan pakar bahasa Melayu tidak merestui penggunaan perkataan 'Indon' bagi merujuk kepada warga Indonesia di negara ini kerana tidak diiktiraf sebagai perkataan dan memberi pengertian negatif.

Sambil menyambut baik saranan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kelmarin yang mahu rakyat menghentikan panggilan itu, mereka mahu kerajaan terutama Kementerian Penerangan mengeluarkan garis panduan kepada media massa supaya supaya masyarakat luar tidak terikut-ikut.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah, berkata DBP sejak dulu memang tidak mengiktiraf perkataan itu kerana ia tidak memberi sebarang pengertian dan seharusnya ditukar kepada orang Indonesia atau warga Indonesia.


"Lagipun, sejarah di negara luar dan negara kita sendiri menunjukkan panggilan itu sebagai menghina. Sejarah di negara luar juga membuktikan panggilan seumpama itu lebih kepada berunsurkan menghina seperti berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila orang berkulit putih memanggil orang kulit hitam dengan perkataan 'nigger'.

"Jadi, saya menyokong supaya dihapuskan penggunaan perkataan Indon kerana tidak mendapat pengiktirafan DBP sebagai perkataan dan menghina warga Indonesia yang sudah lama menjadi rakan negara kita," katanya di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Khairy pada hari terakhir Dialog Malindo 2008 kelmarin yang mahu rakyat menghentikan penggunaan gelaran itu yang dianggap menghina dan menjatuhkan maruah mereka.

Khairy berkata, rakyat Indonesia tersinggung dengan panggilan itu yang didakwa seolah-olah rakyat Malaysia memandang rendah serta tidak menghormati mereka sebagai jiran serumpun yang berkongsi banyak persamaan.

Sehubungan itu, Firdaus berharap Kementerian Penerangan yang bertanggungjawab memantau operasi media massa negara memainkan peranan supaya keharmonian hubungan antara dua negara rumpun Melayu itu tidak terjejas.

"Sayang kalau kita keruhkan hubungan baik yang sudah lama terjalin hanya kerana perkara yang remeh temeh dan lebih teruk lagi ia berkaitan dengan benda yang tidak diiktiraf langsung," katanya.

Pakar bahasa, Prof Emeritus Dr Nik Safiah Karim pula menjelaskan perkataan Indon tidak termasuk dalam senarai perkataan dan hanya boleh dianggap sebagai singkatan kepada Indonesia.

"Memang tidak ada masalah menggunakannya, tetapi adalah lebih elok jika digantikan ayat itu kepada warga Indonesia yang lebih sesuai bagi mengelakkan perasaan orang lain tersinggung," katanya.

"Jadi, saya sokong kenyataan supaya perkataan itu tidak digunakan bagi menjaga perasaan orang lain dan lebih penting memelihara keagungan Bahasa Melayu sendiri," katanya.

Sementara itu, Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) meminta Khairy mencadangkan nama yang sesuai kepada warga Indonesia sekiranya panggilan 'Indon' dianggap menghina dan menjatuhkan maruah rakyat republik itu.

Beliau berkata, Khairy patut memberikan nama lain selepas beliau (Khairy) meminta rakyat berhenti memanggil warga Indonesia di negara ini dengan panggilan berkenaan.

"Sekiranya panggilan 'Indon' tidak boleh digunakan, takkan nak panggil Republik Indonesia. Saya berpendapat tiada salahnya kita menggunakan panggilan 'Indon.'

"Saya minta maaf kerana saya bukan ahli bahasa, jadi eloklah saudara Khairy bagi satu nama atau gelaran lain. Saya fikir nama singkatan itu adalah satu kemegahan untuk orang Indonesia," katanya.