Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Jun 2008

Menara berusia 123 tahun


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI


menara Condong Teluk Intan menyimpan banyak sejarah silam.

TELUK INTAN 6 Jun - Menara Condong Teluk Intan yang kini berusia 123 tahun merupakan menara condong kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali. Menara ini juga merupakan satu-satunya keanehan warisan tinggalan sejarah yang menjadi kebanggaan penduduk daerah Hilir Perak.

Terletak di Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar, Menara Condong Teluk Intan masih berdiri teguh.

Bangunan yang mempunyai reka bentuk seperti bangunan Pagoda di China ini dibina pada tahun 1885 oleh seorang pemborong tempatan, Leong Choon Cheong.

Ia dibina atas arahan penjajah British bagi menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan kecemasan memandangkan bandar Teluk Intan tidak mempunyai perkhidmatan bomba pada masa itu.

Pada masa itu, menara ini dikenali sebagai Jam Tinggi oleh penduduk setempat kerana menempatkan sebuah jam loceng yang masih berfungsi sehingga kini, tetapi mula mendapat jolokan sebagai Menara Condong selepas struktur bangunan ini condong ke arah barat daya akibat dilanda banjir besar antara tahun 1889 hingga 1895.

Apa yang anehnya, binaan menara setinggi 25.5 meter ini kelihatan seperti lapan tingkat, tetapi apabila memasukinya, anda akan terkejut kerana ia sebenarnya cuma tiga tingkat.

Bangunan ini juga memiliki 110 anak tangga dan mercu tandanya diperbuat daripada batu dan kayu, manakala tiangnya kayu cengal gayung yang masih kukuh dan utuh sehingga hari ini.

Setiap tingkat bangunan ini dilengkapi lorong jalan berdindingkan tembok rendah yang dihiasi dengan batu berwarna hijau.

Kewujudan menara itu juga boleh dilihat sebagai simbolik kepada penjajahan Inggeris ke atas orang Melayu kerana ia dibina di atas terusan yang dibina oleh Mak Intan dan pengikutnya untuk tujuan aktiviti perdagangan.

Terusan tersebut dikambus oleh penjajah Inggeris kerana ingin membesarkan bandar ini yang pada masa itu dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Mak Intan yang merupakan saudagar dari Mandailing, Sumatera, Indonesia adalah peneroka yang membuka Teluk Intan di sekitar awal abad ke-19.

Selain itu, bangunan tersebut pernah digunakan oleh tentera Jepun sebagai menara peninjau antara tahun 1942 hingga 1945 kerana lokasinya berhampiran Sungai Perak.

Kini selepas 123 tahun, Menara Condong Teluk Intan berwajah baru selepas menjalani proses baik pulih dan pembangunan yang siap sepenuhnya pada Mei 2002.

Kerja-kerja membaik pulih itu melibatkan hampir keseluruhan struktur bangunan tersebut dengan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM350,000 menerusi peruntukan Jabatan Muzium dan Antikuiti, Muzium Negara.

Bagi mengekalkan keasliannya, atap genting diimport dari China termasuk bunga hijau yang menjadikan menara tersebut tampak lebih menarik dan gagah.

Bangunan itu kini menjadi pusat kegiatan seni budaya dan riadah selepas Majlis Daerah Hilir Perak membina sebuah dataran di sekeliling menara tersebut yang dilengkapi lampu berwarna-warni.

Bagi menambah tarikannya, kawasan tersebut turut dilengkapi perkhidmatan Internet jalur lebar tanpa wayar secara percuma bagi kemudahan orang ramai.

Kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai terutamanya golongan muda mudi pada malam minggu dan hari cuti umum untuk beriadah, di samping melawat Menara Condong.

Hari ini, Menara Condong Teluk Intan tetap berdiri teguh sebagai binaan hebat yang terus menggamit kedatangan pelancong dari luar dan dalam negara ke bandar ini.