Maju Melayu Perkasa!

29 Disember 2008

Pekebun getah boleh pelbagaikan cara mencari rezeki


SEBELUM negara mencapai kemerdekaan dahulu, harga getah pernah melambung sampai RM2 satu kati (sukatan timbangan lama). Pekebun-pekebun ketika itu tidak tahu hendak buat apa dengan wang yang diperoleh dengan begitu banyak sehingga ada yang membeli peti ais walaupun tidak ada bekalan elektrik di rumah mereka. Sudahnya, peti ais itu dijadikan tempat menyimpan pakaian.

Awal tahun ini sampailah kepada bulan Ogos lepas, ramai penoreh yang ke kebun getah menaiki kereta.

Pemilik kebun kelapa sawit juga tidak kurang bergaya dengan pendapatan yang begitu banyak, mengalahkan pegawai kerajaan.

Apabila harga kedua-dua komoditi itu jatuh merudum sejak kebelakangan ini, kedua-dua golongan tersebut mula merungut. Malah, ada yang masih mendapat RM3,000 sebulan juga masih mengeluh sedangkan sebelum ini ada di kalangan mereka yang memperoleh lebih RM12,000 sebulan.

Kerajaan terpaksa campur tangan apabila ramai pekebun getah mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas teruk.

Baru-baru ini, kerajaan terpaksa memberi jaminan agar harga lantai bagi getah diperkenalkan seperti mana yang dilakukan di Thailand.

Apa yang menjadi pengajaran daripada perkembangan ini ialah perlunya semua pihak memahami bahawa dalam bidang pertanian risikonya sangat tinggi.

Di samping penyakit tumbuh-tumbuhan, petani, peladang dan pekebun terpaksa juga berdepan dengan turun naik harga dan bencana alam.

Hanya mereka yang beringat sahaja yang terselamat dan tidak merasa bebanannya. Mereka yang beringat sentiasa memikirkan cara untuk menyelamatkan wang perolehan mereka yang banyak itu dengan menabung atau mempelbagaikan cara memperoleh rezeki.

Masalahnya, ada antara mereka yang membeli kereta dan sebagainya sedangkan itu bukanlah satu keperluan harian bagi mereka. Tidak ramai yang melebarkan pendapatan mereka dengan cara berniaga dan sebagainya.

Tetapi, sesetengah antara mereka yang sedar akan turun naik pasaran sesuatu komoditi, dengan wang itulah mereka menjadikan modal untuk mengusahakan tanaman lain sama ada tanaman jangka pendek, menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan sebagainya.

Oleh hal demikian, di samping bantuan, sokongan dan bimbingan daripada kerajaan mahupun badan-badan pertanian lain, para peladang mestilah menyedari hakikat bahawa banyak cara lain untuk mereka mampu mengaut rezeki dengan syarat ada usaha dan kemahuan.

Kita amat bersyukur apabila ada sesetengah antara pekebun getah dan kelapa sawit telah mengusahakan tanaman-tanaman lain di celah-celah pokok getah dan kelapa sawit seperti keladi, ubi, nanas dan pelbagai jenis ulam.

Semua ini membawa sumber pendapatan kepada mereka kerana permintaan terhadap hasil-hasil tersebut sentiasa ada. Apa yang dibimbangkan ialah apabila berlakunya penurunan harga getah dan kelapa sawit seperti sekarang, kebun-kebun itu akan kembali semak dan terbiar.

Kesimpulannya baik petani, peladang, pekebun dan juga nelayan, sebagai golongan marhaen, mereka mesti memahami putaran dan kitaran hidup yang membabitkan rezeki harian mereka. Mereka juga harus menyedari bahawa yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.

M. JASNI MAJED
Bukit Kapar, Selangor