Tinta Keris

Maju Melayu Perkasa!

12 Julai 2009

Asal usul Gemas


Oleh Mohd Azis Ngah dan Nor Shahfizan Hasim


Terowong yang menjadi laluan pelombong emas.

Dipercayai cantuman perkataan Inggeris 'gold' dan omeh (emas) serta loghat Negeri Sembilan 'gomeh' yang bermaksud gua emas

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Gemas, Negeri Sembilan, banyak mengubah persepsi awal mengenai bandar kecil ini, apatah lagi tempat bersejarah itu cukup tenang, aman dan penduduknya ramah serta mudah mesra.

Dari segi sejarah, Gemas menjadi titik pertemuan penting laluan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Stesennya dibina sejak 1992 masih beroperasi hingga sekarang dan itu cuma sebahagian daripada seribu kenangan dan sejarah negara.


Kedudukannya bersempadan dengan Johor dan Pahang dianggap strategik, bahkan ada yang menggelarnya Segi Tiga Emas.

Bukan setakat Segi Tiga Emas, bandar kecil ini juga sebenarnya mendapat nama sempena sejenis logam kuning yang mahal harganya iaitu emas.

Ada yang mengatakan nama Gemas bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam. Orang Inggeris menamakan ‘gold’ tetapi penduduk mengatakan ia ‘omeh’ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas.

Batang besi dipercayai pahat melekat dipermukaan dinding gua.

Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ‘Gomeh’ (gua emas). Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas.

Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas yang terletak di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan.

Berikutan penemuan lombong emas itu, nama Gemas terus popular dan ditukar menggantikan nama asal iaitu Ayer Terap yang diambil sempena anak sungai berhampiran Rumah Rehat Gemas.

Gua emas itu terletak Bukit Jalor, kira-kira lima kilometer dari Simpang Dua. Kedudukannya di atas bukit dikelilingi kebun getah dan memerlukan pengunjung mendaki bukit kira-kira 500 meter untuk sampai ke lokasi.

Lubang peninggalan pelombong emas yang dipercayai mati tertimbus.

Tempat ini belum diteroka sepenuhnya tetapi kini Pejabat Daerah Gemas dengan kerjasama penduduk setempat menjadikannya sebagai tarikan baru pelancongan yang dimasukkan antara produk pakej homestay atau inap desa.

Wartawan Berita Minggu berpeluang memasuki gua itu bersama penduduk, diiringi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gemas serta dua penolong pegawai daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, dan Mohd Khatib@Fazri Amran, 25.

Terlalu banyak lubang di puncak bukit dipercayai antara lubang angin bersambung dengan lombong. Kedudukannya yang agak tertimbus membahayakan pengunjung dan mereka harus bergerak mengikut arahan dan tanda amaran yang dilekatkan oleh bomba dan penyelamat.

Sebaik mendaki peringkat pertama ke puncak, kami menemui dua lubang utama, lapisan bawahnya berlapis tidak rata dan boleh kelihatan kelawar berterbangan. Kedalaman dianggarkan 50 meter dan kemungkinan ia lubang angin yang bersambung dengan gua.

Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, membawa kami menuruni bukit menuju ke pintu gua. Tiga lagi anggotanya, Bakhtiar Jamaludin, Yahya Shamsudin, Khairulnizam Yusof sudah menunggu di sana kerana mereka melalui laluan bawah ke pintu gua dengan membawa peralatan keselamatan.

Ketua Kampung, Baharin Yusup, 68, membacakan doa selamat sebelum kami memulakan perjalanan dan sebaik menjejakkan kaki ke dalam gua, kami disambut deruan bunyi kelawar berterbangan.

Sepanjang dinding gua itu dipenuhi dengan kesan ketukan dipercayai menggunakan pahat besi untuk melombong tetapi aliran coraknya cukup teratur atau sehala. Dinding itu dipenuhi pepijat gua yang saiz dua kali lebih besar daripada pepijat rumah.

Sepanjang perjalanan dianggarkan sejauh satu kilometer itu, kelihatan beberapa terowong kecil menghala ke atas dan bawah. Laluan ke atas kemungkinan adalah lubang angin dan terowong ke bawah kemungkinan bersambung dengan aliran sungai bawah tanah.

Pada satu lubang kecil menghala ke bawah kelihatan air yang cukup bersih. Satu lagi mempunyai anak tangga tetapi semuanya menjadi syurga kelawar. Ribuan kelawar berterbangan sebaik saja limpahan lampu suluh menghala ke arah haiwan berkenaan.

Beberapa persimpangan ditandakan dengan pelekat keselamatan sebagai amaran supaya pengunjung tidak memasuki laluan berkenaan kerana berbahaya dan jelas ada antaranya kelihatan kesan tanah runtuh.

Mungkin rezeki, ketika tiba di penghujung laluan, kami ternampak satu batang besi dipercayai pahat yang terbenam hampir separuh pada dinding gua. Sebelum ini, pahat itu belum pernah ditemui pengunjung. Penemuan itu menguatkan lagi teori penggunaan pahat untuk melebarkan dinding lombong.

Seorang penduduk yang mengikuti rombongan kami, Abd Halim Dolah, 56, secara berseloroh berkata, jika sesiapa yang berjaya mencabut pahat itu, kemungkinan hajatnya dimakbulkan.

Penemuan itu membuktikan kaedah melombong di situ menggunakan pahat dan kedudukannya berhampiran anak sungai menggambarkan proses membersihkan batu pecah dilakukan di tepi sungai.

40 pelombong dipercayai tertimbus

DI PUNCAK bukit bersebelahan bukit menempatkan gua emas, ada lubang segi empat yang cukup besar. Berdasarkan cerita lisan, di situlah 40 pelombong pelbagai bangsa tertimbus dan sehingga sekarang tiada sesiapa pernah masuk ke lubang berkenaan.

Saiznya selebar enam kaki dengan kedalaman yang boleh dilihat kira-kira 150 kaki, dipercayai laluan utama tempat operasi mengeluarkan emas yang menggunakan sistem seperti mengeluarkan air daripada perigi. Bagaimanapun, usaha mengesan kesan tinggalan termasuk tapak simen atau besi tidak berhasil.

Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, berkata sehingga kini, lubang itu belum pernah diteroka kerana ia cukup berbahaya dan memerlukan peralatan serta kos tinggi untuk masuk ke dalamnya.

“Cukup dalam dan kami percaya ia sudah banyak tertimbus. Mungkin lebih dalam daripada apa yang kita nampak. Berdasarkan cerita lisan, 40 pelombong mati tertimbus di situ. Mungkin jika diteroka, rangka mereka boleh ditemui,” katanya.

Sebelum itu, sepanjang perjalanan keluar dari bukit pertama ke bukit kedua, kami menemui longgokan batu bata bersegi empat di satu kawasan. Ia dipercayai tinggalan aktiviti perlombongan dan turut ditemui satu piring besi bulat berlubang di tengah.

Kira-kira 10 meter dari situ, kami melihat beberapa batang cerucuk besi yang hampir terbenam di dalam tanah. Kedudukannya yang terletak pada satu barisan kelihatan menghala ke arah satu lubang besar yang hampir tertimbus.

Penolong Pegawai Daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, menjelaskan sejak menerokai kawasan itu, mereka tidak pernah menemui cerucuk besi berkenaan.

“Kami percaya banyak lagi kesan tinggalan akan ditemui jika meneroka lebih teliti di kawasan sekitar. Kawasan ini akan dikomersial untuk pelancongan tanpa menjejaskan ekologi dan alam semula jadi. Biarkan kawasan ini kelihatan seperti asal, cuma perlu ditambah aspek keselamatan.

“Buat masa ini, mungkin sukar untuk membuat kajian akademik tetapi ia bukan mustahil jika terdapat mana-mana pengkaji tempatan yang berminat. Kami akan mempromosikan tempat ini dengan pemantauan ketat untuk menjaga keasliannya,” katanya.

Penduduk kampung, Baharin Yusup mengakui walaupun gua itu terletak berhampiran tempat tinggal mereka, itu adalah kali kedua beliau menjejakkan kaki ke sana.

“Tidak ramai penduduk yang pernah ke sini, bahkan mungkin ada yang tidak tahu lokasi sebenarnya. Kami yakin, kawasan ini mampu menjadi tarikan pelancongan,” katanya.

INFO:

Lombong Gua Emas

  • Berusia hampir 100 tahun
  • Dibuka pada awal 1920-an dan ditutup pada 1942 ketika Perang Dunia Ketiga.
  • Jaraknya dari Kuala Lumpur dianggarkan 165 kilometer.
  • Saiz terowong lombong (tiga kaki lebar dan 6 kaki tinggi) .


Sejarah ringkas Gemas
  • Penduduk asal berketurunan orang Melayu Asli
  • Ditadbir seorang ketua iaitu Datok Sabun, berasal dari Minangkabau yang berhijrah bersama dengan angkatan ke Seri Menanti.
  • Mula membuka kampung di Kampung Ladang.


Tip memasuki gua emas
  • Memakai kasut getah panjang kerana laluannya air bercampur tahi kelawar.
  • Membawa lampu suluh.
  • Mesti diiringi pasukan keselamatan.
  • Patuhi arahan dan tanda keselamatan di dalam dan sekitar gua.

Penawar sengsara


Oleh Hafizah Iszahanid & Siti Nur Almizan Arippin


Gejala sosial yang perlu ditangani bersama.

Kelas pendidikan rohani untuk pelacur, mak nyah dan penagih dadah kembali ke pangkal jalan

HIDUP melarat dan dibuang keluarga. Dua senario yang bukan saja mematahkan semangat tetapi seakan-akan dirundung malang berpanjangan.

Itulah penghidupan yang perlu dihadapi seorang wanita yang akhirnya menjerumuskannya dalam kemaksiatan. Pada saat-saat akhir hidupnya, dia akur dengan hakikat menghidap HIV dan kemudian terlantar akibat Aids.


Oleh kerana kudrat yang semakin tiada, dia tidak boleh lagi melayan melanggan. Justeru, dia tiada pilihan kecuali menumpang hidup di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, Kuala Lumpur untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Rumah Sinar Salam dan sebuah lagi, Rumah PT Foundation juga di Chow Kit, kawasan di tengah ibu kota yang dulunya dilabel sebagai pusat pelacuran, tumpuan mak nyah dan sarang 'mat gian.'

Fungsi kedua-duanya bertumpu kepada dakwah dalam bentuk pendidikan Islam dan bimbingan rohani, namun Sinar Salam ada kala menjadi tempat berteduh golongan tidak berumah, selain transit mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Terbiar dan hanyut dalam kehidupan, masih ada harapan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Di situ, bukan sekadar aspek ibadat yang diajar, malah ada antara pengunjungnya diberi perlindungan lantaran terlantar sakit menunggu mati selepas tidak lagi diterima keluarga atau masyarakat akibat dosa silam.

Hasil peruntukan RM200,000 setahun yang disalurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Rumah Sinar Salam terus mampu beroperasi, manakala Rumah PT Foundation pula dibantu melalui khidmat guru agama yang dihantar jabatan itu.

Usaha dakwah menjadi lebih mudah apabila turut mendapat kerjasama pihak lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata kelas pendidikan Islam untuk 'komuniti disayangi' (pelacur, penagih dadah dan mak nyah) adalah antara usaha JAWI menyebarkan Islam melalui konsep `dakwah 'bil hal' dan 'bil lisan' (dakwah melalui perbuatan dan perkataan).

Nurul Huda (kanan) memberi bimbingan agama kepada peserta yang menghadiri kelas agama di Rumah Sinar Salam.

"Dalam Islam ada menyebut setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Jadi, kita bantu mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Walau apa pun latar belakang mereka, petugas Rumah Sinar Salam tidak pernah memandang hina.

"Siapalah kita untuk menentukan orang ini masuk neraka atau orang itu masuk syurga," katanya.

Katanya, ada juga kumpulan sasar yang langsung tidak berumah atau hidup merempat dan yang wanitanya pula terpaksa menjual diri hanya untuk mengisi perut dan meneruskan hidup.

Sejak dimulakan empat tahun lalu, kelas pendidikan Islam itu mendapat sambutan baik dan menyuntik keinsafan kepada mereka yang bergelumang maksiat untuk keluar daripada belenggu penyakit sosial itu.

Daripada keinsafan mereka pula, wujud landasan yang boleh menimbulkan kesedaran sama kepada rakan lain yang masih dalam dunia maksiat.

"Bagi yang sakit, mereka dijaga dan ditemani hingga dijemput Ilahi. Kita mahu mereka tahu masih ada yang sayangkan mereka dan masih ada esok untuk memulakan hidup baru," katanya.

Pada setiap petang Selasa dan Sabtu, kelas agama berkenaan diisi kira-kira 30 individu pelbagai latar belakang dari Jalan Chow Kit dan sekitarnya - ada mak nyah, penagih dadah, pelacur dan pesakit HIV.

Tidak kurang juga anak-anak pelacur yang turut serta mengisi masa terluang sementara ibu mereka sibuk 'berkhidmat' melayan pelanggan.

Kata Che Mat, kelas agama itu bukan untuk menarik kumpulan sasar keluar daripada dunia maksiat secara drastik, sebaliknya dilakukan secara hikmah atas kesedaran bahawa perubahan seharusnya datang dari dalam hati individu itu sendiri.

"Biarlah mereka berubah kerana rela... tidak boleh dipaksa dan dilakukan secara drastik," katanya sambil menambah ada di antara individu terbabit terjerumus ke lembah maksiat akibat eksploitasi, terjerat atau tertipu.

Justeru, tiada rasa kecewa atau harapan tinggi daripadanya untuk kumpulan sasar itu berubah, hanya sikap positif diiringi doa untuk melihat perubahan mereka satu hari nanti walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

"Kuala Lumpur ibu kota, semua orang mahu datang ke sini. Bukan salah mereka apabila ditipu, dipaksa menjual diri atau dieksploitasi. Jadi, janganlah kita memandang mereka dengan penuh jijik.

"Kita juga tidak harus berputus asa, sebaliknya wajar memberi mereka harapan... kerana esok masih ada untuk mereka," katanya.

Penghuni dahaga bimbingan agama

"SIAPA sudah solat hari ini?" soal Ustazah Nurul Huda Abdullah @ Abdul Aziz kepada 30 peserta sebuah kelas bimbingan agama anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Rumah Sinar Salam, Lorong Haji Taib 3, petang itu.

Umum mungkin menganggap soalan itu ditujukan kepada kumpulan anak kecil, tetapi kelas dikendalikan ustazah muda berasal dari Kelantan itu diisi khalayak yang majoritinya sudah dewasa.

Ia adalah Kelas Bimbingan Agama Untuk Komuniti Yang Disayangi, khusus untuk kelompok seperti pelacur, mak nyah dan penagih dadah dari sekitar Chow Kit dan kawasan berhampiran.

Hanya tiga peserta pantas mengangkat tangan sebaik soalan itu diajukan, manakala selebihnya hanya saling memandang.

Sambil tersenyum, Nurul Huda meneruskan kelasnya dan mengulangi soalan sama disulam nada lembut memujuk pengunjung dan penghuni Rumah Sinar Salam yang belum bersolat supaya menunaikan kewajipan itu di bilik yang disediakan.

Ia suasana rutin dilalui peserta kelas bimbingan berkenaan yang diadakan dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Sabtu yang mengajar perkara cukup mudah, berkisar kepada Fardu Ain.

"Daripada keseluruhan peserta kelas ini, 90 peratus tidak pandai membaca Jawi, tetapi jauh di sudut hati mereka, tetap ada keinginan untuk berubah," kata Nurul Huda.

Melihat kesungguhan khalayak di dalam kelas itu, hati tersentuh dan terselit rasa bangga dengan semangat mereka yang mungkin selama ini hidup berpalitkan daki kotor di lorong gelap sekitar Chow Kit.

Latar belakang mereka pelbagai, sebahagian kecil berstatus ibu tunggal dengan kebanyakannya pekerja seks selain penagih dadah serta gadis yang pernah terlanjur.

Selebihnya adalah bekas pekerja seks serta bekas penagih dadah yang hidup terumbang-ambing tanpa bimbingan selepas dibuang keluarga dan disisihkan masyarakat.

Menurut Nurul Huda, kelas bimbingan yang diselang seli sesi motivasi itu mendapat sambutan baik, malah bilangan peserta yang hadir adalah konsisten.

"Saya menggunakan kaedah pembelajaran interaktif diselitkan zikir, doa, panduan dan bacaan dalam solat selain tayangan video mengenai saat nyawa ditarik sakaratul maut atau tayangan azab ke atas pelacur.

"Hati mereka sememangnya sangat lembut dan kerana itu sanggup hadir ke kelas ini. Pendekatan terbaik adalah dengan membiarkan peserta ini berasakan diri mereka mempunyai Tuhan dengan membawa mereka mengenali Allah SWT," katanya.

Menurutnya, ada peserta yang benar-benar berubah walaupun kaedah yang digunakan dalam kelas itu tidak sekali-kali membabitkan paksaan, sebaliknya atas kesedaran sendiri mengenai dosa dan pahala.

Salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, walaupun sudah lama mengetahui wujudnya kelas berkenaan, penyertaannya hanya secara kebetulan selepas sering diajak rakan.

"Saya sudah tahu mengenai kelas ini sejak dua bulan lalu, namun baru terpanggil untuk turut serta," katanya yang mula terjebak dengan kehidupan hitam dunia mak nyah di Chow Kit selepas berhijrah dari kampung pada 1988.

Sambil mengakui saban malam masih berpeleseran di lorong-lorong, beliau berkata, keinginannya untuk berubah memang ada walaupun sedar bukan mudah untuk melakukan perubahan itu.

"Saya sedikit terkilan kerana sejak kecil tidak didedahkan kepada agama sehinggakan nak baca surah al-Fatihah pun tak boleh," katanya sambil tersenyum pahit.

Begitu juga dengan penagih yang hanya dikenali sebagai 'Azi', 38, bekas penagih dan pernah menjadi penghuni penjara yang bersyukur kerana ditakdirkan dapat menyertai kelas berkenaan.

"Kelas ini membantu insan yang sesat kembali ke pangkal jalan. Di sini, saya dapat ramai kawan dan ilmu. Maklum saja apabila tinggal di kota besar dan selepas berbelas tahun menagih, amalan agama yang wajib pun sukar diingati.

"Selepas ini saya mahu ajak isteri untuk turut menyertai kelas bimbingan ini," katanya yang berjinak dengan dadah sejak di bangku sekolah.

Pengurus Rumah Sinar Salam, Afidah Ab Latif, berkata orang ramai tidak memahami liku kehidupan dan kesengsaraan Komuniti Disayangi, malah sering melempar pelbagai tohmahan dan memandang rendah hasrat mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

"Saya sendiri terjebak dengan dadah pada usia muda dan hanya benar-benar bersih daripada najis itu selepas menghampiri usia 40 tahun. Namun, saya beruntung kerana datang dari keluarga yang mementingkan agama.

"Ilmu agama disemai sejak kecil itulah sebenarnya yang membawa saya kembali mengingat Allah SWT. Saya masih ingat saat mendapat hidayah, masjid adalah tempat yang sering dituju sehinggakan saya rindu jika tidak ke rumah Allah itu," katanya.

Katanya, inisiatif melalui Rumah Salam dilancarkan selepas dia berasa terpanggil untuk membantu golongan yang pernah senasib dengannya.

"Walaupun mereka tahu kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital atau Baitulmal, perasaan rendah diri dan takut menyebabkan mereka terus terbiar tanpa pembelaan," katanya.

Satu ketika dulu, Afidah aktif membela nasib wanita yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral di sekitar Chow Kit dengan menumpangkan mereka di rumahnya.

"Selepas pegawai JAWI menyertai kerja 'outreach' atau memberi khidmat nasihat yang saya lakukan sekitar Chow Kit, mereka bersetuju menyalurkan geran bagi membiayai penubuhan Rumah Nur Salam.

"Saya memilih Chow Kit kerana di sini kawasan hitam yang memudahkan kumpulan sasar singgah menyertai aktiviti kami selain mendapatkan bantuan berbentuk barangan keperluan atau khidmat nasihat," katanya.