Maju Melayu Perkasa!

17 Januari 2010

Legenda Atlantis


Oleh Hazirah Che Sab




Terhasil daripada letusan lampau gunung berapi

KETIKA negara lain menghidangkan pelbagai keseronokan untuk menarik kedatangan pelancong luar dan dalam negara, Pulau Santorini yang menjadi kebanggaan Greece cuma menyediakan pemandangan menarik susunan bangunan berwarna putih, diserikan dengan warna biru yang sudah cukup menjadikan ia bualan di seluruh dunia.

Jarang kelihatan bangunan mempunyai warna lain, selain putih yang dipadankan dengan warna lain selain biru. Gabungan harmoni yang cukup mempesonakan itu seolah-olah menjadi terjemahan fizikal kepada keindahan pulau itu sendiri yang dikurniakan laut yang membiru.


Terletak di selatan Cyclades, Santorini terkenal dengan keunikan bentuk dan landskapnya. Secara rasmi ia digelar Thera tetapi Santorini lebih dikenali di seluruh dunia.

Keseluruhan pulau itu adalah gunung berapi yang masih aktif sehingga hari ini dan bentuk sebenar kepulauan itu adalah hasil letusan gunung berapi pada masa lampau. Malah, ia adalah antara tarikan utama di Santorini. Ada ketika pelancong berpeluang melihat wap yang keluar dari batu dan mengagumi pembentukan lahar beku yang menakjubkan.

Salah satu tempat di pesisiran pantai pulau berkenaan ialah Nea Kameni, yang mengambil masa 20 minit berjalan kaki untuk menyaksikan kawah gunung berapi dan beberapa lubang lain yang mengeluarkan wap sulfur.



Santorini mempunyai sejarah panjang untuk diterokai. Ia aktif sejak zaman prasejarah kerana ditemui hasil penggalian arkeologi. Penggalian yang masih berterusan sejak dimulakan pada 1960-an, membawa kepada penempatan kecil dengan rumah mewah yang lukisan cantik pada plaster dinding yang belum kering.

Disebabkan abu letusan gunung berapi, keseluruhan persekitarannya masih kukuh selama berabad-abad, malah bentuk artifak kayu terpelihara.

Orang ramai, termasuk sarjana percaya penempatan prasejarah itu sebenarnya adalah Atlantis yang menjadi legenda, yang disebutkan dalam teks kuno kerana kekayaan tamadunnya.

Namun tarikan Santorini bukan sekadar kepentingan arkeologi. Pulau itu dikelilingi pantai yang indah dengan air biru yang jernih di baratnya, pantai licin dengan pasir hitam atau merah serta batu hitam berkilat di timur, kebanyakannya dipenuhi dengan kemudahan pelancongan, menawarkan pelbagai alternatif untuk berenang, berjemur dan sukan pantai.

Santorini menjadi tempat kapal layar berlabuh.
Bagi yang masih mencari-cari destinasi berbulan madu, Santorini perlu berada dalam senarai teratas kerana pemandangan matahari terbenam dari Oia atau Imerovigli tidak seharusnya dilepaskan. Matahari terbenam betul-betul ke arah laut yang memandikan keseluruhan landskap dalam pelbagai warna daripada biru dan ungu kepada merah dan kuning.

Pulau berkenaan mempunyai 17 perkampungan dan semuanya memiliki pemandangan menakjubkan serta berkembang disebabkan pelancongan.

Antara yang terkenal ialah Oia, Fira dan Imerovigli yang terletak di tepi jurang dan menawarkan pemandangan menakjubkan gunung berapi, laut, matahari terbenam dan pulau Thirassia.

Bagi pelancong yang turut memasukkan acara beli belah dalam senarai, Santorini adalah syurganya. Butik, galeri, kafe, kedai barang kemas, restoran, kedai cenderamata semuanya tersedia. Dengan peluang menikmati makanan, minuman dan membeli belah di tepi gunung berapi, Santorini sebenarnya indah rupa dari khabar.