Maju Melayu Perkasa!

31 Julai 2008

Petua rumput lebih hijau


Oleh Bennie Zie Fauzi


RUMPUT perlu disiram supaya tidak layu dan kering.

pagi atau sejurus matahari terbenam masa paling sesuai siram laman

MEMILIKI halaman berumput yang subur dan rapi tidak perlu berbelanja besar. Sebaliknya, ia boleh diperoleh dengan merujuk buku, majalah, internet malah pakar landskap yang sudi mendedahkan cara menjaga dan memeliharanya.

Sebaik asas penjagaan diketahui, anda mampu melakukannya sendiri. Malah, silap gaya, jiran dan rakan pula datang meminta diperturunkan petua dan ilham membentuk halaman indah.


Memangkas dan menyabit rumput perkara paling asas menzahirkan halaman terjaga rapi. Bagaimanapun tekniknya perlu betul terutama jika ini membabitkan pengalaman pertama anda memangkas dan menyabit rumput.

Jika ini kali pertama anda melakukannya, pastikan hayunan sabit anda mencecah hingga ke akar rumput. Selain membuang rumput mati, tujuan utamanya ialah membenarkan rumput baru dan lebih hijau tumbuh dengan cepat.

Pastikan kawasan berumput itu dicakar dan digembur sekalipun tidak keseluruhan rumput halaman anda potong dan pangkas. Cara ini dipercayai membantu menyuburkan tanah sekali gus menggalakkan pertumbuhan rumput baru yang lebih subur.

Kali kedua memotong rumput, pastikan mata sabit tidak dihayun terlalu dalam. Ketika cuaca panas terik, pastikan layahan sabit tidak mengena tanah yang mengakibatkan rumput bertukar kekuningan.

Seperti pokok dan bunga, halaman juga perlukan siraman supaya tidak layu dan kering. Sebelum itu, penting bagi anda mengenalpasti spesies rumput dan jenis tanah bagi mengagak jumlah dan kadar siraman yang diperlukan. Jangan sesekali menyiram halaman selepas hujan kerana ini menjadikan tanah tepu dan pada akhirnya rumput akan mati.

Detik terbaik menyiram halaman adalah pada awal pagi atau sejurus matahari terbenam. Ketika ini proses pemeluwapan kurang berlaku sekali gus membantu air meresap jauh ke dalam tanah.

Baja antara faktor penentu kesuburan tanah. Justeru, penting bagi anda mengenal pasti jenis tanah. Jika tidak pasti, bawa contoh tanah kepada pakar landskap dan pusat semaian supaya mereka boleh mencadangkan jenis baja yang sesuai untuk halaman anda.

Ada dua jenis baja untuk dipilih iaitu kimia atau organik. Apapun pilihan anda, pastikan arahan penggunaannya dipatuhi kerana terlebih meletak baja boleh merosakkan halaman.

Seperkara yang tidak semua orang tahu ialah tanah dan akar rumput memerlukan udara untuk bernafas terutama bagi tanah jenis padat. Untuk menguji kepadatan tanah, tuang sedikit air ke dalam tanah dan tunggu beberapa minit untuk melihat keupayaannya meresap air. Tanah yang gagal meresap air bermakna mempunyai karbon dioksida yang berkumpul di dalamnya.

Cara paling mudah menanganinya ialah tebuk lubang halus mengikut jarak tertentu di tanah. Tujuannya supaya oksigen dan air dapat meresap sampai ke akar. Lubang berkenaan seharusnya berliang kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Jenis rumput hiasan:

  • Cow grass

    Cow grass atau nama saintifiknya Axonopus compressus (ada yang mengatakan Paspalum conjugatum) ini amat disyorkan ditanam di halaman rumah. Mudah dijaga kerana tidak perlu banyak baja dan tahan serangan serangga serta penyakit.

    Lambat panjang melainkan diberi lebih baja. Berakar pendek menyukarkannya hidup dalam cuaca kemarau.

  • Bermuda grass

    Cynadon dactylon adalah hibrid "perkahwinan" di antara Cynodon dactylon dengan Cynodon transuaalensis. Rumput ini hidup subur dalam cuaca panas terik juga berupaya menerima hujan yang banyak.

    Dalam cuaca tidak menentu, daunnya tumbuh kurus dan panjang. Sesuai untuk kawasan lapang seperti padang golf, bola dan taman permainan lapang.

    Serangoon grass

    Digitaria didactyla lazimnya hidup di kawasan tropika dan subtropika. Keistimewaannya ialah ia tahan banjir (namun dalam jangkamasa pendek) dan mampu mengharungi kemarau dengan mengecut dan menggugurkan daunnya.

    Penjagaannya tidak cerewet kerana lambat panjang dan tidak bergantung hidup dengan baja. Namun, warna hijau mudanya itu menyebabkan ia kurang diminati untuk dijadikan rumput laman.

    Zoysia grass

    Zoysia matrella atau kekadang Zoysia japanica, Zoysia tenufolia serta sesetengah hibrid terdiri daripada Zoysia japanica dan Zoysia tenufolia tergolong di bawah keluarga ini. Warna hijau mudanya sama dengan Serangoon grass tetapi daunnya lebih kurus.

    Tumbuh menegak berbanding mendatar sekali gus menjadikan kerja memotong sekali ganda lebih banyak. Cantik apabila dibela rapi namun kos penyelenggaraannya tinggi kerana memerlukan banyak baja.

    Mempunyai kandungan silika lebih banyak berbanding rumput biasa menjadikannya keras. Disebabkan itu ia sesuai menghiasi padang bola dan golf biarpun ‘kelasakannya’ di kotak penalti diragui.

    Matrella dan japonica dibezakan menerusi bunga matrella yang berwarna merah.

    Tip

    Menanam rumput


    TIADA beza menanam rumput dengan pokok kerana kedua-duanya ada kaitan dengan minat, sebab dan keperluan. Normas Yakin, Pengurus rumput turf menerusi laman webnya http://www.mynormas.com menasihatkan anda mengenal pasti terlebih dulu tujuan penanaman sebelum ke pusat semaian memilih jenis rumput;

  • Kegunaan. Adakah tujuan rumput ditanam semata-mata memperindah halaman rumah, menghiasi taman kanak-kanak, bagi tujuan rekreasi berupa padang bola, golf dan sebagainya. Lain kegunaan maka lain jenis rumputnya.

  • Tahap penjagaan membabitkan kesanggupan anda memelihara dan memuliharanya. Misalnya berapa kerap diperuntukkan untuk memotong dan membajanya, berapa jam dalam sehari anda membuang rumput liar serta menanam rumput baru dan sebagainya.

  • Kawasan penanaman - adakah ia ditanam berdekatan bangunan atau halaman banyak pokok? Sesetengah jenis rumput memerlukan lebih enam jam sehari cahaya matahari.

  • Perbelanjaan untuk baja dan racun penjagaan.
  • Warna alam di Tasik Perdana


    Oleh Rohaniza Idris




    LAMAN2008 hidangkan pelbagai keindahan taman dan seni landskap

    INDAH, menawan dan hati tertawan. Mungkin itulah kata yang sesuai menggambarkan keindahan seni taman dan landskap yang dipamerkan selama 10 hari dan berakhir hari ini di Festival Antarabangsa Landskap dan Taman Malaysia atau LAMAN2008.

    Berlangsung di Taman Tasik Perdana pelbagai keindahan taman dan seni landskap dipamerkan dengan bunga-bungaan, sayuran, pokok hiasan dan produk berkaitan laman mewarnai festival dua tahun sekali itu.


    Sesuai dengan lokasinya yang terletak di ibu kota, Taman Tasik Perdana berubah wajah selama 10 hari menjadi lebih berwarna-warni, malah suasananya lebih sibuk daripada biasa dengan kehadiran pengunjung yang dicatatkan sudah melebihi 350,000 hingga Khamis lalu selepas dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahad lalu.

    Seperti dua festival terdahulu, LAMAN2008 menjadi medan untuk memperkaya ilmu, mendapatkan kepelbagaian idea seni taman dan laman, malah pada masa sama, pengunjung dapat menghayati keindahan spesies flora.

    Uniknya kali ini, LAMAN2008 disertai 200 peserta dari dalam dan luar negara meningkat sedikit berbanding dua kali penganjuran festival ini pada 2004 dan 2006.



    Dengan tema Irama Alam atau `Rhythm Of Nature', pastinya pengunjung LAMAN2008 merasai irama alam itu kerana festival kali ini tidak hanya mempamerkan seni yang ada tetapi irama alam itu sendiri.

    Paling jelas, irama alam itu diterjemah melalui Taman Untuk Orang Buta oleh Geomatika College of Technology yang menggabungkan taman berasaskan pokok bauan, bunyian-bunyian daripada hiasan dan perhiasan taman sesuai untuk sentuhan dengan batu-batu dan kayu mewarnai taman comel berkenaan.

    Taman Majlis Bandaraya Johor Bahru pula dengan namanya Laman Nurani yang meletakkan alat permainan angklung di tengah laman yang berbunyi dengan bantuan air di kolam buatan di keliling orkid, pepohon pinang dan kelapa serta batu-batu sungai disusun sebagai tapak refleksologi kaki.

    Namun, keindahan dan keunikan taman Irama Alam, Moving With Mind and Spirit of Nature, Majlis Perbandaran Negeri Johor yang diilhamkan daripada bentuk kuda kepang yang menjadi identiti negeri Johor tidak boleh disanggah ia memang menawan sesiapa saja yang melihat.


    Sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah lokasi acara berhampiran pentas utama, keunikan taman ini terserlah menerusi penggunaan bahan terbuang yang digunakan menghiasi taman. Maka, memang selayaknya, mereka dinobatkan Juara Keseluruhan Laman pada LAMAN2008 kali ini.

    Laman itu dibangunkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor dan Jabatan Landskap Negeri Johor (JLNJ) turut mengungguli lima anugerah lain untuk kategori Laman Malaysia, Kepemimpinan Laman (Majlis

    Bandaraya Johor Bahru), Rekaan Laman, Pencahayaan Laman (Semua 16 Majlis Perbandaran Johor), Binaan Laman Terbaik (JLNJ dan Majlis Daerah Johor).

    Lebih membanggakan kebanyakan peserta laman yang mengambil bahagian mempamerkan seni landskap tempatan walaupun elemen moden cuba diserapkan dalam rekaan masing-masing terutama pengguna cermin dan perabot futuristik.

    Penggunaan kayu, pasu, batu-batuan dan bunga serta pokok tempatan melengkapi taman digabungkan dengan sistem pencahayaan sesuai untuk pemandangan pada waktu malam.

    Peserta mewakili PBT lebih suka menampilkan keunikan daerah atau perbandaran yang mereka wakili tetapi masih mengekalkan tema festival iaitu Irama Alam.

    Turut mencuri perhatian adalah taman yang mengandungi pelbagai tanaman herba dan sayur-sayuran dikenali sebagai Edible Garden yang diilhamkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

    Pokok serai, kunyit, pudina dan cili digabungkan bersama herba berbunga seperti misai kucing, kantan menaikkan seri taman. Turut mewarnai taman itu, pepohon tomato, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, kedondong, kobis dan padi - memang sesuai dijadikan ilham suri rumah sebagai kebun dapur.

    Seperti dua kali penganjuran festival, Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetap sebagai penganjur manakala ia dihoskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memupuk semangat prihatin dan cintakan alam sekitar di kalangan semua lapisan masyarakat.

    Dengan mengambil kira kesan yang terjadi kepada alam sekitar akibat fenomena pemanasan global, Laman2008 boleh menjadi landasan mengajak rakyat Malaysia berganding tenaga untuk bersama mengekalkan keindahan alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

    Kawasan paling ramai pengunjung adalah Taman Expo yang menjual pelbagai produk dan menawarkan perkhidmatan berkaitan seni taman dan landskap.

    Perlu dipuji adalah penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta selain jabatan, agensi kerajaan yang turut sama memeriahkan LAMAN dengan menampilkan idea kreatif, mesra alam serta penggunaan teknologi baru.

    Sedia makanan ikut prinsip Islam


    Oleh Ziauddin Sharuddin


    BENTO kotakmakan tengah hari menjadi kebanggaan rakyat Jepun.

    "MEMANG ada perbezaan masakan mangkuk tingkat dan restoran. Rasa makanan mangkuk tingkat seperti masakan ibu," kata Fatahiyah Mohd Ghazali, pelanggan setia MangkukTingkat.com sejak dimulakan Jun lalu.

    Sebelum ini, katanya dia membeli makanan di restoran, tetapi gulai ikan tawar dan sambal tidak sedap menjadi pengalaman biasa.

    Selain rasa seperti masakan di rumah sendiri, usahawan itu memberitahu dia juga lebih mudah merancang kewangan kerana sudah memperuntukkan perbelanjaan untuk makan tengah hari bagi tempoh sebulan.


    “Sebelum ini antara RM7 hingga RM8 dibelanjakan untuk makan tengah hari. Sekarang, saya hanya masak nasi, manakala lauk dibeli melalui MangkukTingkat.com. Oleh kerana kuah lauk banyak seperti ayam masak kicap, saya gunakan kuah yang lebih dan masukkan telur untuk makan malam,” katanya.

    Fatahiyah adalah antara 400 pelanggan mangkuk tingkat yang menerima makan tengah hari dan malam terus di depan pintu rumah.

    Pengurus Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Syaidiatul Syahirah Roslan, berkata kelebihan mangkuk tingkat.com ialah setiap pembekal makanan menyediakan makanan seperti dilakukan setiap hari untuk keluarga masing-masing.

    Katanya, pemilihan pembekal makanan dibuat dengan rapi dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapat suntikan yang diwajibkan dan mengikuti kursus sehari kaedah menyediakan makanan mengikut prinsip Islam termasuk tertib ketika memasak.

    “Prinsip penyediaan makanan mengikut prinsip Islam bukan hanya halal dan bersih, tetapi tahap lebih tinggi ialah suci. Ketiga-tiga elemen ini yang mewujudkan `nur’ (cahaya) dalam makanan,” katanya.

    Beliau berkata, ramai orang tidak menyedari atau lupa bahawa makanan mempengaruhi perkembangan sahsiah seseorang.

    “Kita sering mendengar ada remaja berperangai menjolok mata, tetapi cuba kita lihat makanan dan pemakanan mereka. Makanan yang tidak bersih dan suci, apatah lagi tidak halal menjadi darah daging adalah antara punca masalah ini.

    “Sebab itu Islam amat mementingkan aspek halal dan suci seiring dengan kebersihan makanan,” katanya.

    Sementara itu, Nor Azizah Jaafar, 41, yang membekalkan makanan kepada 47 pelanggan sekitar Gombak, berkata dia bangun seawal jam 5 pagi untuk memastikan masakan siap dihantar pada jam 9.30 pagi.

    Katanya, sesetengah kerja seperti mengisar cili kering dan memotong bawang disiapkan pada waktu malam, manakala menyiang ikan dilakukan pada waktu pagi untuk memastikan kesegaran bahan mentah.

    “Berdasarkan menu ditetapkan, saya membuat perancangan mengenai jumlah bahan mentah yang diperlukan. Biasanya antara jam 7 hingga 8 pagi, saya akan mula memasak,” katanya yang menaja beberapa anak yatim melalui Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.

    Seperti memasak untuk keluarga, katanya mereka tidak menggunakan sebarang bentuk perasa tambahan dalam masakan.

    Syaidiatul Syahirah berkata, setiap pembekal makanan secara purata boleh mendapat antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan Nur Hikmah hanya mengambil 10 peratus keuntungan sebagai caj pengurusan.

    Sementara itu, katanya Nur Hikmah kini mempunyai 12 penghantar cepat bermotosikal dan dalam proses mengambil lebih ramai penghantar cepat.

    Seperti kaedah dabbawala, katanya dua kereta dan sebuah van menghantar makanan ke lokasi tertentu dan dari situ, penghantar cepat menghantar ke pejabat atau rumah pelanggan.

    Beliau berkata, setiap pelanggan mempunyai dua set mangkuk tingkat yang mempunyai nombor siri yang sama.

    “Apabila mangkuk tingkat dihantar hari ini, mangkuk tingkat yang digunakan semalam diambil. Ini bermakna mangkuk tingkat tidak boleh digunakan orang lain,” katanya.

    Kereta hibrid lebih mahal




    HONDA Insight dengan enjin hibrid.

    WALAUPUN menjimatkan penggunaan minyak, kereta hibrid belum meluas di pasaran akibat pelbagai halangan.

    Antara faktor halangan utama adalah harga yang lebih mahal kerana kereta hibrid mempunyai banyak komponen, berbanding sistem konvensional. Kebanyakan komponen adalah elektronik yang kompleks, terutama sistem kawalan.

    Sebuah kereta hibrid Honda dengan enjin kapasiti 1.3 liter berharga antara RM160,000 hingga RM170,000. Kos kereta yang sama tetapi menggunakan enjin pembakaran dalam pula berharga antara RM110,000 hingga RM120,000.


    Perbezaan harga yang besar ini kerana reka bentuk kereta hibrid yang kompleks. Badan kenderaan ini dikatakan diperbuat daripada aluminium yang mahal untuk meringankan keseluruhan kenderaan.

    Bolehkah kos kereta hibrid dikurangkan? Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azhar Abdul Aziz, percaya ini boleh dilakukan dengan penggunaan komponen elektronik secara meluas, kos pemasangan yang rendah dengan peningkatan permintaan, reka bentuk mudah dan ringkas serta subsidi kerajaan.

    Katanya, ini memerlukan penyelidikan rapi oleh pengeluar kenderaan dalam usaha menembusi pasaran di dunia.

    Penggunaan kereta hibrid tidak terlepas daripada kontroversi kerana isu alam sekitar akibat penggunaan bateri sistem hibrid.

    Ketika ini, kereta hibrid menggunakan dua jenis bateri, iaitu nikel logam hidrid (nickel metal hydride) dan lithium ion. Walaupun kurang toksik berbanding yang berasaskan plumbum, bateri hibrid tetap dianggap berbahaya.

    Selain itu, teknologi hibrid masih baru dan memerlukan pengujian rapi serta masih kurang pusat servis yang menyediakan perkhidmatan lepas jualan.

    Ketika pengeluar kereta gergasi dunia berlumba-lumba memajukan kereta hibrid, pengeluar kereta kecil, termasuk Proton, menghadapi cabaran sama ada turut mengeluarkan kereta ini atau terus ketinggalan.

    Dr Azhar berkata, cabaran pengeluar kereta kecil untuk menghasilkan teknologi hibrid adalah kos pelaburan yang tinggi, keperluan tenaga pakar penyelidikan dan suatu jangka masa untuk melihat hasil penyelidikan tercapai.

    Walaupun prototaip kereta hibrid berjaya dihasilkan, katanya pembinaan kilang mengeluarkan kereta hibrid memerlukan pelaburan besar dan rangkaian vendor yang banyak.

    “Kita perlu ingat bahawa terdapat banyak pihak yang melaburkan wang berbilion ringgit untuk menghasilkan sistem hibrid yang boleh diguna secara komersil seperti General Motor, Chryesler, Toyota, Honda, Ford dan Citreon.

    Usaha Proton untuk bersaing dalam teknologi dan pengeluaran kereta hibrid ibarat perlumbaan Formula One. Pelumba yang handal tidak mencukupi, tetapi memerlukan sokongan kewangan dan kerja berpasukan yang kukuh serta dedikasi.

    Persoalan pokok kepada pengeluar tempatan adalah bersediakah mereka menceburi arena ini atau sekadar cukup dengan permintaan tempatan sedia ada?

    KERETA ELEKTRIK

    Kereta yang menggunakan motor elektrik untuk menghasilkan pergerakan. Sumber tenaga elektrik diperoleh dari bateri dalam kereta itu. Sumber lain yang berpotensi ialah dari fuel cell dan tenaga suria. Motor elektrik yang sering digunakan sekarang adalah dari jenis motor arus ulang-alik (AU). Kebelakangan ini, motor yang menggunakan magnet kekal juga popular kerana kos magnet kekal yang semakin menurun dan kualiti semakin meningkat.

    Prof Madya Dr Nik Rumzi Nik Idris dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata secara ringkas, kereta elektrik bergerak apabila motor elektrik menghasilkan daya kilas dan ya memutarkan tayar.

    Katanya, kelajuan dan kuasa pemacuan kereta elektrik adalah berdasarkan kelajuan atau daya kilas motor elektrik. Pengawalan daya kilas atau kelajuan motor boleh dilakukan secara cekap dan pantas menggunakan penukar elektronik kuasa.

    “Apabila pemandu menekan pedal pemecut, pengawal akan memberikan isyarat kepada penukar elektronik kuasa untuk membekalkan arus atau voltan kepada motor yang berkadaran dengan tekanan kaki yang dikenakan pada pedal.

    “Kuasa yang digunakan untuk membrek boleh dikembalikan untuk mengecas bateri. Ini bermakna tenaga untuk membrek tidak akan hilang sebagai haba seperti kereta biasa,” katanya.

    Beliau berkata, penggunaan tenaga kereta elektrik lebih cekap kerana motor elektrik serta penukar elektronik kuasa boleh mencapai kecekapan hingga 90 peratus, berbanding enjin kereta pembakaran bahan api yang biasanya mempunyai kecekapan 20 peratus.

    Selain itu, katanya kos penyelenggaraan lebih rendah kerana tidak membabitkan penukaran minyak enjin, brek dan ekzos. Namun kos bateri adalah agak tinggi dan jangka hayat bateri haruslah panjang untuk memastikan bateri tidak perlu selalu ditukar.

    HYDROFUEL

    Hydrofuel yang dihasilkan sebuah syarikat tempatan, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI), adalah formula penjimatan bahan api hingga 29 peratus dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama petrol.

    Presiden HFI, Dr Halim Ali, berkata Hydrofuel menggunakan sistem teknologi air sebagai bahan bakar sesuai digunakan bagi kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah.

    Memperjelaskan teknologi itu, katanya: ”Air dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi kegunaannya bersama petrol ketika melalui injektor kereta.

    "Melalui sistem ini, pemilik kenderaan boleh menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 29 peratus dan pada masa sama, membantu memelihara alam sekitar," katanya

    Pengguna Hydrofuel hanya perlu memastikan sebuah air sebuah tong berkapasiti lima liter mencukupi. Setiap tong membolehkan penggunaannya bertahan hingga 2,000 kilometer.

    Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan.

    Kuasa jimat minyak


    Oleh Ziauddin Sharuddin


    SEBUAH kereta hibrid keluaran Toyota yang dipamerkan pada Asean Sumit Trade Exhibition 2005, di Kuala Lumpur.

    Kereta guna teknologi hibrid lebih jimat minyak apabila enjin dijana dengan gabungan petrol dan motor elektrik

    SETIAP kali krisis minyak berlaku, idea menghasilkan kereta yang dapat menjimatkan penggunaan bahan api timbul.

    Tidak ada bezanya dengan krisis yang berlaku sekarang apabila kereta hibrid muncul sebagai antara pilihan untuk menjimatkan penggunaan minyak. Berbanding kereta solar dan hidrogen, kereta hibrid bukan lagi suatu idea di atas kertas dan bersifat penyelidikan, tetapi meluncur di jalan raya apabila dikeluarkan secara komersial.


    Kelebihan utama kereta hibrid ialah menjimatkan minyak. Mengikut Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat pada 2007, Toyota Prius, yang menggunakan satu liter bahan api mampu pergi antara 21 hingga 25 kilometer (km), bergantung kepada pemanduan di lebuh raya atau bandar.

    Kebanyakan kereta di Malaysia, satu liter hanya dapat meliputi perjalanan antara lapan hingga 12 km.

    Kini, istilah kereta hibrid menjadi semakin biasa. Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azhar Abdul Aziz, mendefinisikan kereta hibrid sebagai kenderaan yang menggunakan dua atau lebih punca tenaga yang berbeza reka bentuk untuk membolehkan bergerak di atas jalan raya.



    Kebiasaannya kereta hibrid bermaksud gabungan enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) dan motor elektrik (electric motor).

    Ramai menyangka kereta hibrid adalah perkara baru, tetapi teknologi ini sebenarnya dimajukan sejak lebih 100 tahun lalu.

    Sejarah kereta hibrid bermula apabila Dr Ferdinand Porsche, mencipta kereta hibrid pertama, kereta elektrik petrol, Mixte atau nama panggilannya, Aunt Eulalia, tetapi nama rasminya ialah Semper Vivus yang bermaksud sentiasa hidup.

    Kereta ini menggunakan enjin petrol yang silih berganti pada kelajuan tetap untuk menjana dinamo yang mengecas akumulator untuk memberikan kuasa kepada motor elektrik di roda depan.

    DR Azhar menunjukkan enjin hibrid yang menjadi kajian di UTM.

    Idea kereta hibrid zaman moden boleh dijejaki ketika krisis minyak pada 1973 dan 1979 yang menyebabkan Amerika Syarikat, mengambil inisiatif melakukan penyelidikan terhadap teknologi hibrid. Ini juga menyebabkan pengeluar kereta terbesar dunia, General Motor, ketika itu membelanjakan lebih RM65 juta terhadap penyelidikan dan pembangunan kereta hibrid.

    Pengeluar kereta di benua lain tidak ketinggalan, terutama di negara maju yang isu alam sekitar mendapat perhatian serius.

    Pengeluar kereta utama Jerman, Volkswagen, memperkenalkan teksi Microbus hibrid, manakala Di Jepun, pengeluar kereta nombor satu, Toyota membina prototaip enjin hibrid dan Mazda, mengeluarkan trak enjin hibrid, Titan.

    Selepas banyak wang dicurahkan dan jurutera kereta memerah otak, pengeluar kereta nombor satu Jepun mendahului pengeluaran kereta hibrid secara komersil. Pertengahan 1997, Toyota memperkenalkan kereta hibrid pertama, Prius, untuk pasaran tempatan negara itu.

    Honda tidak mahu ketinggalan dan melancarkan Honda Insight, kereta hibrid dua tempat duduk pada 1999 untuk pasaran Amerika Syarikat, diikuti kemasukan Prius ke negara itu tidak lama kemudian. Pada 2003, Honda memperkenalkan Honda Civic Hybrid yang menyamai Honda Civic konvensional.

    Ketika pengeluar Jepun semakin ke depan, syarikat kereta Amerika Syarikat, Ford, pada 2004 melancarkan Ford Escape Hybrid, kenderaan hibrid pertama Amerika Syarikat dan juga SUV hibrid pertama dunia.

    Selepas itu semua menjadi sejarah. Pengeluar kereta terkemuka dunia kini menjadikan pengeluaran kereta hibrid sebagai keutamaan.

    INFO

    Komponen asas kereta hibrid

    Enjin

    Tangki bahan api


    Motor elektrik - Komponen juga boleh berfungsi sebagai generator.

    Bateri - Berfungsi menyimpan kuasa bagi kegunaan motor elektrik.

    Sistem transmisi - Berfungsi sama seperti kenderaan biasa menggunakan enjin pembakaran dalam.

  • Varisasi Kereta Hibrid

    Susunan selari


    Sistem ini banyak digunakan pengeluar kereta gergasi dunia. Ia adalah enjin pembakaran dalam dan sebuah motor elektrik yang disambung ke sebuah sistem transmisi. Kebanyakan sistem begini menggabungkan jana kuasa elektrik besar dan sebuah motor elektrik dalam satu unit.

    Starter motor dan alternator tidak digunakan. Untuk menyimpan kuasa, ia menggunakan bateri bersaiz besar untuk menyimpan voltan yang lebih besar daripada biasa, iaitu 12 Volt. Peralatan lain seperti stering kuasa (power steering) dan penghawa dingin memperoleh kuasa daripada motor elektrik.

    Susunan bersiri

    Sistem ini menyerupai sistem kereta elektrik berbateri daripada kereta berpacuan enjin pembakaran dalam. Enjin memacu generator elektrik dan tidak menyalurkan kuasa terus ke roda kereta. Generator yang tersedia mengecas bateri dan membekal pusa kepada motor elektrik yang menggerakkan kenderaan.

    Apabila kuasa yang besar diperlukan, motor elektrik menyedut kuasa elektrik daripada bateri dan generator. Sistem transmisi tidak diperlukan. Terdapat juga reka bentuk yang memperuntukkan satu motor elektrik untuk satu tayar bagi sistem begini.

    Sistem bersiri boleh dipasang dengan bateri jenis penyimpan kuasa elektrik super (supercapacitor) atau roda tenaga (flywheel) untuk menyimpan tenaga yang ditebus guna ketika menghentikan (brek) kenderaan. Proses ini meningkatkan kecekapan kenderaan keseluruhannya.

    Susunan kombinasi selari dan bersiri

    Sistem ini mempunyai alat pemisah kuasa (power-split) membolehkan kuasa dipindah daripada punca ke hiliran secara mekanikal atau elektrik.

    Prinsip asas di sebalik sistem ini ialah kebolehan untuk memisahkan kuasa (decoupling) yang dibekalkan oleh enjin (atau punca lain) daripada kuasa yang diperlukan oleh pemandu.

    Dalam kenderaan konvensional, enjin bersaiz besar diperlukan untuk menghasilkan pecutan daripada keadaan pegun ke keadaan laju akibat daya kilas enjin adalah rendah pada halaju rendah. Sebaliknya, motor elektrik mempamerkan daya kilas tinggi pada halaju rendah yang membantu enjin yang mempunyai kecekapan rendah pada halaju rendah.
  • 23 Julai 2008

    Mampukah negara hadapi cabaran


    Oleh Mohd Ayub Abd Razid

    SEJAK kebelakangan ini, ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu berikutan lonjakan harga minyak, krisis bekalan makanan dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Kejatuhan nilai dolar pula memberi impak cukup ketara dalam pertumbuhan ekonomi global yang dilihat lembap.

    Kadar inflasi dunia yang meningkat adalah sebahagian daripada kesan kejatuhan dolar. Krisis pinjaman subprima AS dilihat sebagai petanda awal krisis kredit global. Kebimbangan kemungkinan berulangnya krisis ekonomi yang dikaitkan dengan kejatuhan dolar sudah pun disuarakan oleh pakar ekonomi terkemuka AS, Paul Krugman.

    Janji pemimpin kumpulan lapan (G8) ketika sidang kemuncak mereka di Tokyo, Jepun untuk menurunkan harga minyak dan makanan dunia sekurang-kurangnya memberikan sedikit harapan kepada pemulihan ekonomi global. Apapun harapan dunia, senario ekonomi menunjukkan tekanan kos semasa berlaku di merata dunia. Ini sekali gus mengancam ekonomi domestik negara terbabit.


    Malaysia sudah mengambil langkah awal memisahkan diri daripada mengikat mata wang negara dengan dolar AS pada 2005. Ia adalah langkah bijak supaya ringgit tidak terikat dengan arah pergerakan dolar.

    Dagangan kita dengan AS juga sudah dikurangkan, sebaliknya negara sudah menjalin hubungan dagangan yang akrab dan kukuh dengan China, India, Korea Selatan, negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara Asean.

    Walaupun struktur ekonomi negara masih kukuh, bersifat pelbagai dan anjal, seperti ungkapan popular, 'apabila AS batuk, negara-negara lain akan selesema atau demam'. Justeru, Malaysia juga tidak boleh lari daripada menerima tempiasnya.

    Menurut Bank Negara, kadar inflasi negara untuk 2008 ialah enam peratus. Keupayaan kerajaan membendung kenaikan inflasi adalah penting supaya ia tidak terus mengekang pertumbuhan ekonomi negara serta memberikan tekanan kepada kehidupan rakyat. Kita tidak mahu kesan ekonomi yang lemah akan mencipta kembali jurang sosioekonomi yang luas antara kaum yang selama ini dapat dikecilkan.

    Banyak perkara perlu diperhalusi dan diberi fokus oleh kerajaan secara serius. Keupayaan mengekalkan momentum yang baik dalam aliran perdagangan luar negara serta keupayaan membawa masuk pelaburan asing (FDI) ke dalam negara adalah penting.

    Untuk kekal menarik FDI, iklim politik negara mesti sihat dan berada dalam keadaan stabil. Dalam konteks ini, kerajaan harus berupaya menyelesaikan sebarang bentuk krisis politik.

    Polisi dan dasar kewangan negara perlu diteliti semula supaya sektor kewangan akan terus berdaya saing, pasaran modal akan terus sihat serta nilai ringgit akan kekal kukuh walaupun mengalami sedikit penurunan. Operasi bank perlu dikawal supaya bank tidak memberi tekanan kepada pelanggan dengan pelbagai peraturan yang tidak munasabah khususnya kepada usahawan tempatan.

    Kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap peningkatan kadar pengangguran serta pemberhentian pekerja berikutan penutupan firma dan industri kecil yang tidak berupaya mempertahankan operasi mereka. Kita bimbang sekiranya pengangguran meningkat dalam keadaan negara mengalami tekanan inflasi yang tinggi, maka stagflasi akan berlaku, iaitu keadaan tingkat harga umum meningkat dengan mendadak.

    Kerajaan wajar memberikan perlindungan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) dan industri perkhidmatan kerana sektor ini adalah nadi kepada ekonomi rakyat. Syarikat luar yang bersifat multinasional mudah meninggalkan negara apabila keadaan ekonomi meruncing dan tidak memberikan keuntungan kepada mereka.

    Justeru, sektor PKS perlu dijaga dan dibantu supaya ia terus memberi sumbangan kepada negara, terutama ketika berdepan krisis ekonomi global.

    Beberapa isu seperti soal ketirisan, penyelewengan dan rasuah perlu dikawal dan diatasi. Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu diberi nafas baru supaya ia dapat menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih bermakna dan berkesan.

    Peranan pihak swasta juga tidak kurang pentingnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara. Syarikat dan firma swasta wajar melaksanakan pelbagai inisiatif membantu kerajaan mengatasi inflasi. Ini dapat dilaksanakan dengan cara menghasilkan produk nilai tambah yang tinggi bagi mengatasi persaingan harga.

    Kesimpulannya, negara perlu responsif terhadap semua perkembangan ekonomi global supaya tindakan dan rangka kerja dalam mengurus ekonomi negara benar-benar dapat membendung keadaan supaya ia tidak memberi impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

    Negara perlu menyedia pelan kecemasan yang tuntas untuk berdepan sebarang kemungkinan krisis ekonomi dunia. Kita yakin berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh negara ketika berlakunya krisis kewangan serantau 1997/98, maka kerajaan dilihat mampu mempertahankan kestabilan ekonomi negara.

    Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

    DNA berkesan dalam dunia perubatan dan penyiasatan jenayah


    Oleh Azrul Affandi Sobry


    JAGA KUALITI: Pembantu makmal, Muhd Afif Md Hashim, menunjukkan DNA yang disimpan di tempat penyimpanan khas.

    Analisis, perincian wajib dilakukan dengan tatacara teliti serta tepat dengan langsung tiada kesilapan

    UJIAN asid deoksiribonukleik (DNA) adalah teknologi terbaik digunakan di seluruh dunia untuk tujuan menyelesaikan sesuatu kes jenayah atau bagi tujuan mencari kesepadanan antara bahan bukti dengan suspek.

    Malah, ketepatan atau kebarangkaliannya agak tinggi kerana hanya ada kemungkinan satu dalam 20 bilion individu mempunyai padanan DNA yang sama.


    Bagaimanapun, Pengarah Institut Perbuatan Molekul Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr A Rahman A Jamal, berkata pelbagai faktor juga boleh menyebabkan keputusan ujian DNA tidak mencapai kebarangkalian tinggi termasuk tempoh bahan bukti diambil, disimpan dan kuantitinya, sama ada cukup untuk menghasilkan sel berkualiti atau sebaliknya.

    "DNA adalah satu hasil yang paling berkesan dalam dunia perubatan dan penyiasatan kes jenayah kini kerana ia mampu bertahan untuk jangka masa yang lama serta tidak mempunyai kesepadanan yang sama antara dua individu.

    "DNA biasanya masih boleh digunakan kembali meskipun sudah disimpan dalam tempoh lebih 10 tahun. Namun, ia bergantung kepada kaedah bagaimana DNA itu disimpan. Jika mematuhi prosedur simpanan yang betul, ia boleh bertahan lebih lama.

    Dr A Rahman

    "Kebiasaannya setiap makmal akan menyimpan DNA dalam peti sejuk dengan suhu di bawah -20 darjah celsius. Ada juga yang disimpan dalam peti sejuk biasa dengan suhu empat darjah celsius saja. Namun, jika dijaga dengan baik, kedua-dua kaedah ini membolehkan DNA digunakan kembali meskipun selepas 10 tahun.

    "Jika DNA yang disimpan itu rosak, kebiasaannya sel yang diambil dari sel darah putih yang disimpan dalam peti nitrogen bersuhu -192 darjah celsius akan diambil dan diekstrak kembali untuk mendapatkan DNA. Maksudnya, DNA masih boleh diambil dan digunakan walaupun sel asal sudah terlalu lama," katanya.

    Berdasarkan kenyataan beliau, kesimpulan yang boleh dibuat ialah sebarang hasil ujian DNA yang sudah diperoleh beberapa tahun lalu masih relevan untuk digunakan tetapi bergantung kepada bagaimana ia disimpan dan dijaga.

    Bagaimanapun, untuk sesuatu kes jenayah, adalah lebih baik sampel DNA yang baru diambil jika ada pihak mempertikai atau tidak puas hati terhadap sampel DNA yang sudah diambil beberapa tahun sebelum ini.

    Menurut Dr Rahman, ada kemungkinan DNA yang diperoleh pada 10 tahun lalu masih boleh digunakan kembali tetapi ada juga kemungkinannya ia rosak jika penjagaannya tidak teliti.

    Malah, jika kualiti DNA itu menurun dan menyukarkan hasil yang tepat diperoleh, sampel yang baru daripada individu atau suspek perlu diambil semula bagi membolehkan DNA yang lebih berkualiti diperoleh bagi meningkatkan kebarangkalian keputusannya.

    Justeru, merujuk kepada beberapa kes penyiasatan jenayah yang berlaku di negara ini, boleh dikatakan bahawa menggunakan keputusan DNA yang diambil pada 10 tahun lalu adalah masih relevan tetapi ia mungkin boleh diragui kerana ada kemungkinan kualitinya akan merosot.

    Namun, bagi membolehkan ujian DNA dilakukan semula bukan perkara mudah kerana perlu mendapatkan kebenaran individu atau suspek terlebih dulu, dan di sinilah perlunya satu peraturan yang mewajibkan individu menyerahkan sampel sel jika diperlukan untuk tujuan penyiasatan.

    Pensyarah Jabatan Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zafaraina Zainuddin, berkata Akta DNA yang sudah lama diteliti kerajaan, jika dilaksanakan akan memudahkan usaha polis untuk mengenal pasti penjenayah terutama dalam menyelesaikan jenayah seksual.

    "Tanpanya, tertuduh boleh menolak ujian DNA dan ini menyukarkan polis menyelesaikan kes kerana kekurangan bukti. Malaysia perlu menyediakan Akta DNA bagi membolehkan pihak berkuasa melaksanakan proses ujian DNA kepada penjenayah tanpa sebarang masalah," katanya.

    Menjelaskan secara lebih terperinci masalah yang mungkin berlaku dalam proses mendapatkan keputusan ujian DNA, Dr Rahman pula berkata, kesilapan dan masalah teknikal semasa proses pengambilan bukti serta analisis DNA harus juga diambil kira dalam kebarangkalian berkenaan.

    "Dalam penggunaan DNA, pendekatan kesilapan sifar harus diambil oleh kerana ia membabitkan nasib atau sabitnya seseorang dalam kes yang dipertikaikan. Analisis dan perincian wajib dilakukan dengan tatacara teliti serta tepat dengan langsung tiada ruang untuk kesilapan.

    "Tambahan pula apabila sampel DNA adalah sedikit, sampel perlu diamplifikasi (diganda). Kita tidak mahu DNA yang diamplifikasi adalah DNA daripada orang lain (contohnya, sel kulit saintis yang melakukan analisis berkenaan). Jelas, piawaian dan proses yang teliti harus diamalkan oleh setiap makmal yang menjalankan ujian DNA," katanya.

    Bercakap dalam konteks penyiasatan forensik, beliau berkata, keberkesanan dan ketahanan ujian DNA banyak bergantung kepada kaedah digunakan di makmal kerana tidak semua makmal mempunyai peralatan yang sama.

    "Namun, prosedurnya hampir sama dan teknologi atau kepakaran ujian DNA di negara ini adalah yang terbaik dengan kebanyakannya menjalankan tugas dengan profesional. Cuma, apa yang berlaku di luar bidang kuasa pakar seperti ketika bahan bukti diambil dan disimpan pihak lain yang tidak dapat diramal dan disahkan.

    "Jika keputusan ujian diragui, kebiasaannya pendapat atau ujian dari makmal lain akan dilakukan bagi mengesahkan keputusan supaya lebih sahih dan dapat meningkatkan kebarangkalian keputusan itu supaya sukar dipertikaikan," katanya.

    Hydrogen jimat kos minyak


    Oleh Faizatul Farhana Farush Khan


    JIMAT PETROL: Dr Halim bersama produk hydrogen keluaran Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd.

    Pemilik kenderaan mampu kurangkan penggunaan petrol sehingga 50 peratus

    PENGUMUMAN penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan yang menyaksikan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter dan kenaikan beberapa harga bahan bakar lain menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa berbelanja lebih bagi mengisi minyak kenderaan.

    Mereka yang dulu membayar RM40 untuk mengisi minyak penuh tangki bagi kenderaan berkapasiti kecil, kini perlu membayar hampir RM70 bagi kuantiti sama. Bayangkan berapa pula kos yang perlu ditanggung pengguna yang memiliki kenderaan dengan kuasa (cc) lebih besar atau kereta yang penggunaan minyaknya tidak cekap.


    Menyedari keadaan itu, Hydrogen Fuel Industries (M) Sdn Bhd (HFI) memperkenalkan alat penjimatan minyak dikenali ‘hydrogen’ bagi membantu pemilik kenderaan mengurangkan kos minyak. Alat itu dihasilkan selepas kajian awal dilakukan syarikat selama lima tahun antara 1997 hingga 2002, dan pada 2006, syarikat mengorak langkah mengkomersialkan produk berkenaan.

    Proses kajian yang teliti itu perlu bagi memastikan ia bukan saja dapat menjimatkan minyak dalam kuantiti yang banyak dan lebih murah serta mudah diuruskan, malah dapat membantu 'menghijaukan bumi'.

    Presiden HFI yang juga pengasas alat terbabit, Dr Halim Ali, berkata syarikat amat prihatin dengan beban yang ditanggung pengguna berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan pengenalan sistem itu diharap dapat menggembirakan mereka.

    MUDAH DIPASANG: Antara komponen utama hydrogen.

    “HFI adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penjimatan tenaga membabitkan pelbagai jenis keperluan dan kenderaan.

    “Berbekalkan pengalaman, kami yakin alat ini akan memberi kesan memuaskan kepada pengguna dalam menjimatkan penggunaan minyak kenderaan,” katanya ketika memperkenalkan alat itu di Ibu Pejabat HFI di Banting, Selangor, baru-baru ini.

    Hydrogen yang julung kali diperkenalkan di negara ini dicipta bagi semua jenis kenderaan berkapasiti 2,000cc ke bawah. Ia direka dalam tiga variasi iaitu MySmart Fuel Saver bagi menjimatkan 18 peratus penggunaan minyak, Hydrofuel-Basic (29 peratus) dan Hydrogen-Advance, 50 peratus.

    Dr Halim berkata, alat itu berfungsi dengan menggunakan air sebagai bahan bakar bersama petrol yang mana air akan dipecahkan menggunakan frekuensi tinggi dan dikongsi penggunaannya dengan petrol ketika melalui injektor kereta.

    TEMPAT KHAS: Bekas air diletakkan di dalam but kereta.

    Katanya, sebuah silinder dipasang pada bahagian kosong di bahagian enjin dan bekas memuatkan lima liter air diletakkan di bonet kenderaan.

    “Ketika ini, produk itu sudah diuji pada beberapa kenderaan dan mendapati matlamat penjimatan minyak sehingga 29 peratus berjaya dicapai dengan prestasi enjin berada pada paras yang membanggakan,” katanya.

    Beliau berkata, produk Hydrofuel yang dipasang pada enjin setiap kenderaan berkonsepkan mesra pengguna kerana ia mudah dipasang dan diselenggara tanpa perlu membabitkan banyak perubahan pada sistem enjin.

    “Mereka hanya perlu memastikan bekalan air sentiasa mencukupi kerana apabila membeli produk ini, ia akan disertakan sekali dengan sebuah tong air berkapasiti lima liter yang boleh bertahan penggunaannya untuk perjalanan sehingga 2,000 kilometer.

    “Apabila air berkurangan, alat pengesan yang dipasang pada kenderaan itu akan memberi amaran supaya menambah air pada paras yang disyorkan,” katanya.

    Pemasangan alat itu tidak membatalkan jaminan ke atas kenderaan dan tidak melemahkan prestasi, sebaliknya akan meningkatkan prestasinya sehingga pemandu akan berasa perubahan enjin yang lebih stabil dan lancar.

    Alat berkenaan perlu diservis di bengkel khas syarikat bagi setiap 10,000 kilometer perjalanan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik.

    Dr Halim berkata, alat itu yang jualannya disasarkan kepada pengguna kenderaan yang kerap melakukan perjalanan jauh sudah berada di pasaran selepas dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat lalu.

    Katanya, Perdana Menteri sudah melawat ke syarikat terbabit dan memandu uji kenderaan yang dipasang alat itu selepas melancarkannya.

    “Perdana Menteri memberikan reaksi positif mengenai alat itu dan ingin ia diperkenalkan segera supaya rakyat mendapat faedah daripada penggunaannya,” katanya.

    Beliau berkata, harga yang ditawarkan adalah berpatutan berbanding alat lain yang pernah diperkenalkan di negara ini iaitu RM499 bagi penjimatan 18 peratus, 29 peratus (RM1,300) dan bagi 50 peratus, RM2,300.

    “Ia akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk dipasang. Setiap pemasangan diberi jaminan selama dua tahun serta jaminan wang dikembalikan jika pelanggan kurang berpuas hati dengan prestasinya,” katanya.

    Mereka yang berminat perlu membawa kenderaan ke pusat perkhidmatan yang disediakan syarikat untuk diperiksa terlebih dulu sebelum pemasangan dibuat atau menghubungi talian 03-3180 3200 atau 03-3180 3201 bagi maklumat lanjut.

    Sedia makanan ikut prinsip Islam


    Oleh Ziauddin Sharuddin


    BENTO kotakmakan tengah hari menjadi kebanggaan rakyat Jepun.

    "MEMANG ada perbezaan masakan mangkuk tingkat dan restoran. Rasa makanan mangkuk tingkat seperti masakan ibu," kata Fatahiyah Mohd Ghazali, pelanggan setia MangkukTingkat.com sejak dimulakan Jun lalu.

    Sebelum ini, katanya dia membeli makanan di restoran, tetapi gulai ikan tawar dan sambal tidak sedap menjadi pengalaman biasa.

    Selain rasa seperti masakan di rumah sendiri, usahawan itu memberitahu dia juga lebih mudah merancang kewangan kerana sudah memperuntukkan perbelanjaan untuk makan tengah hari bagi tempoh sebulan.


    “Sebelum ini antara RM7 hingga RM8 dibelanjakan untuk makan tengah hari. Sekarang, saya hanya masak nasi, manakala lauk dibeli melalui MangkukTingkat.com. Oleh kerana kuah lauk banyak seperti ayam masak kicap, saya gunakan kuah yang lebih dan masukkan telur untuk makan malam,” katanya.

    Fatahiyah adalah antara 400 pelanggan mangkuk tingkat yang menerima makan tengah hari dan malam terus di depan pintu rumah.

    Pengurus Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Syaidiatul Syahirah Roslan, berkata kelebihan mangkuk tingkat.com ialah setiap pembekal makanan menyediakan makanan seperti dilakukan setiap hari untuk keluarga masing-masing.

    Katanya, pemilihan pembekal makanan dibuat dengan rapi dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapat suntikan yang diwajibkan dan mengikuti kursus sehari kaedah menyediakan makanan mengikut prinsip Islam termasuk tertib ketika memasak.

    “Prinsip penyediaan makanan mengikut prinsip Islam bukan hanya halal dan bersih, tetapi tahap lebih tinggi ialah suci. Ketiga-tiga elemen ini yang mewujudkan `nur’ (cahaya) dalam makanan,” katanya.

    Beliau berkata, ramai orang tidak menyedari atau lupa bahawa makanan mempengaruhi perkembangan sahsiah seseorang.

    “Kita sering mendengar ada remaja berperangai menjolok mata, tetapi cuba kita lihat makanan dan pemakanan mereka. Makanan yang tidak bersih dan suci, apatah lagi tidak halal menjadi darah daging adalah antara punca masalah ini.

    “Sebab itu Islam amat mementingkan aspek halal dan suci seiring dengan kebersihan makanan,” katanya.

    Sementara itu, Nor Azizah Jaafar, 41, yang membekalkan makanan kepada 47 pelanggan sekitar Gombak, berkata dia bangun seawal jam 5 pagi untuk memastikan masakan siap dihantar pada jam 9.30 pagi.

    Katanya, sesetengah kerja seperti mengisar cili kering dan memotong bawang disiapkan pada waktu malam, manakala menyiang ikan dilakukan pada waktu pagi untuk memastikan kesegaran bahan mentah.

    “Berdasarkan menu ditetapkan, saya membuat perancangan mengenai jumlah bahan mentah yang diperlukan. Biasanya antara jam 7 hingga 8 pagi, saya akan mula memasak,” katanya yang menaja beberapa anak yatim melalui Yayasan Pembangunan Nur Hikmah.

    Seperti memasak untuk keluarga, katanya mereka tidak menggunakan sebarang bentuk perasa tambahan dalam masakan.

    Syaidiatul Syahirah berkata, setiap pembekal makanan secara purata boleh mendapat antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan Nur Hikmah hanya mengambil 10 peratus keuntungan sebagai caj pengurusan.

    Sementara itu, katanya Nur Hikmah kini mempunyai 12 penghantar cepat bermotosikal dan dalam proses mengambil lebih ramai penghantar cepat.

    Seperti kaedah dabbawala, katanya dua kereta dan sebuah van menghantar makanan ke lokasi tertentu dan dari situ, penghantar cepat menghantar ke pejabat atau rumah pelanggan.

    Beliau berkata, setiap pelanggan mempunyai dua set mangkuk tingkat yang mempunyai nombor siri yang sama.

    “Apabila mangkuk tingkat dihantar hari ini, mangkuk tingkat yang digunakan semalam diambil. Ini bermakna mangkuk tingkat tidak boleh digunakan orang lain,” katanya.

    MangkukTingkat.com


    Oleh Ziauddin Sharuddin


    KEBERSIHAN menjadi keutamaan dalam proses penyediaan makanan.

    Program perniagaan bantu ibu tunggal - Nur Hikmah akan perluaskan program MangkukTingkat.com ke seluruh negara mulai bulan depan

    MANGKUK tingkat dalam budaya penduduk Malaysia pada suatu masa dulu digunakan pekerja sektor pembinaan dan petani di kebun untuk menikmati makanan yang lazat, panas dan bersih seperti di rumah.

    Bukan luar biasa melihat 'pekerja kontrak' membawa mangkuk tingkat sambil berbasikal dan tiada siapa pun peduli.


    Nilai mangkuk tingkat mungkin berubah tidak lama lagi apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak Jun lalu, memperkenalkan program penghantaran makanan menggunakan mangkuk tingkat yang dikenali sebagai Program MangkukTingkat.com.

    Di seluruh dunia, `kotak makan tengah hari’ seperti mangkuk tingkat adalah sebahagian budaya popular.

    Di India yang turut menggunakan mangkuk tingkat, dabbawala (orang yang menghantar kotak makan tengah hari) di Mumbai amat popular hingga Putera Charles ketika lawatan ke negara itu bergambar bersama mereka.

    FATAHIYAH antara pelanggan MangkukTingkat.com sejak dilancarkan Jun lalu.

    Jepun berbangga dengan bento, makanan dan lauk yang diisi dalam kotak kayu pelbagai bentuk yang cantik.

    Apa pun istilah atau di mana juga, matlamat akhir adalah untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang murah, bersih dan enak.

    Berbanding dabbawala dan bento yang mempunyai sejarah dan tradisi yang panjang, Program MangkukTingkat.com yang diperkenalkan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (Nur Hikmah) masih terlalu muda, tetapi berpotensi mencipta revolusi dalam budaya makan orang kita.

    Presiden dan Pengasas Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, mengakui program itu berdasarkan kejayaan dabbawala di Mumbai, tetapi disesuaikan dengan keadaan di negara ini.

    PENGHANTARAN cepat menghantar mangkuk tingkat kepada Fatahiyah di Cheras.

    Perbezaan utama, katanya mangkuk tingkat di Malaysia adalah versi teknologi alam maya hingga ada yang memberi gelaran kepada program itu sebagai `nasi internet’ apabila semua proses adalah melalui internet.

    “Pelanggan membuat tempahan melalui internet. Bayaran adalah secara dalam talian. Kami tidak mengenali mereka dan jika ada sebarang aduan atau cadangan, semuanya disalurkan melalui internet,” katanya.

    Beliau berkata, program itu tidak bermotif keuntungan, tetapi menyediakan pancing kepada ibu tunggal serta penjaga anak yatim, sejajar kedudukan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai penaung kepada lebih 200 anak yatim, miskin dan terbiar di enam pusat jagaan seluruh Malaysia.

    “Kita boleh memberi bantuan wang tunai atau kebendaan, tetapi lebih baik memberi pancing yang boleh menjana pendapatan kepada mereka, berbanding memberi ikan yang akhirnya tidak ke mana,” katanya.

    Selain ibu tunggal, katanya waris yang menjaga anak yatim mempunyai tanggungan masing-masing dan menyertai program ini sebagai pembekal makanan meringankan beban kewangan mereka.

    Mengapa mangkuk tingkat? Ameer Soekre berkata, makanan tingkat kedap udara membolehkan makanan kekal panas hingga kira-kira lima jam, selain menjimatkan, berbanding bekas polisterin yang berharga 12 sen sebungkus dan tidak mesra alam.

    Katanya, Program MangkukTingkat.com. mendapat bantuan RM15,000 dari Tekun Nasional untuk membeli mangkuk tingkat.

    Beliau berkata, setiap mangkuk tingkat mempunyai empat mangkuk, tetapi hanya tiga digunakan, iaitu setiap satu diisi nasi, lauk berkuah dan sayur.

    “Satu mangkuk lagi dibiarkan kosong sebagai lambang kasih sayang kami dan tukang masak. Setiap Jumaat, mangkuk kosong diisi buah seperti pisang. Pada hari ulang tahun kelahiran pelanggan, kami hantar kek.

    “Kadang-kadang usahawan yang mahu mempromosi produk masing-masing meletakkan sampel makanan dan kad perniagaan dalam mangkuk kosong itu.

    “Menjelang Ramadan dan kemudian menyambut Aidilfitri, sudah ada mahu mempromosi kuih raya menggunakan mangkuk tingkat,” katanya.

    Memperjelaskan Program MangkukTingkat.com, Pengurus Nur Hikmah, Syaidiatul Syahirah Roslan, berkata program bermula Jun lalu dengan seorang pembekal yang menyediakan makanan ke kawasan sekitar Cheras.

    “Sasaran awal ialah pelanggan mengambil sendiri makanan, tetapi mereka lebih suka makanan dihantar terus kepada mereka. Dari sini bermula program mangkuk tingkat,” katanya.

    Ketika ini, katanya 60 peratus daripada pelanggan adalah pekerja pejabat dan baki penghuni kediaman.

    Pada peringkat permulaan, katanya pelanggan adalah sekitar Lembah Klang, meliputi dari Bukit Beruntung hingga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Katanya, pelanggan mendapat makanan dari pembekal makanan paling hampir seperti makanan untuk pelanggan di KLIA adalah dari Dengkil.

    Untuk masa depan, katanya Nurhikmah dengan bantuan Tekun Nasional melantik vendor untuk membekalkan bahan mentah seperti ayam, daging, rempah dan sayur-sayuran.

    “Sebagai contoh, seorang vendor mendapat bantuan menanam sayur-sayuran yang dijual kepada kami dengan harga lebih rendah berbanding pasaran. Ada juga vendor yang dipilih memang sudah berniaga,” katanya.

    Melalui program vendor, katanya harga bahan mentah dapat dikawal, sekali gus memastikan harga makanan yang dijual berpatutan.

    Katanya, Program MangkukTingkat.com akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat dan mulai Ogos ini akan dimulakan di Pulau Pinang, selain beberapa lokasi di Johor Bahru, Melaka dan Negeri Sembilan.

    FAKTA
    Mangkuk tingkat


  • Alamat laman web: www.mangkuktingkat.com

  • Hidangan makan tengah hari sebelum jam 11 pagi atau antara jam 1 hingga 2 petang dan makan malam, antara jam 5 petang hingga 8 malam (rumah). Pelanggan pejabat menerima makanan antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

  • Lokasi pembekal makanan di Lembah Klang adalah di Bukit Beruntung, Selayang, Gombak, Keramat, Ampang, Pandan, Cheras, Kajang, Seri Kembangan, Dengkil, Kelana Jaya, Shah Alam dan Klang.

  • Dua pakej, iaitu lauk + sayur (RM3.50) dan lauk + sayur + nasi (RM4.50). Kos penghantaran ke rumah dan pejabat (RM1.50).

  • Ada 300 menu lauk dan sayur. Menu berbeza setiap hari. Contoh menu setiap Isnin sepanjang Julai: ayam masak kicap dan tauge goreng (7 Julai), daging kicap dan buncis goreng (14 Julai), ikan kembung percik dan sayur petola (21 Julai), kari udang dan peria goreng (28 Julai).
  • Singapura tuntut perairan Batu Puteh

    SINGAPURA: Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh, yang diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mei lalu.

    Menteri Kanannya, Balaji Sadasivan, berkata Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982.

    Penyelarasan perairan wilayah Singapura dan EEZ itu akan diumumkan apabila tiba masanya, katanya menjawab satu soalan di Parlimen.

    Transkrip sesi soalan dan jawapan itu dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura, semalam.

    Balaji berkata, jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

    Pada 23 Mei lalu, ICJ dalam penghakimannya berhubung tuntutan bertindih Malaysia-Singapura, memutuskan Batu Puteh dimiliki Singapura, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Batuan Tengah yang terletak berhampirannya. Kedaulatan Tubir Selatan pula akan menjadi milik negara yang menguasai perairannya.

    Bagaimanapun, Malaysia menegaskan ia akan terus mencari bukti mengenai kes Batu Puteh dengan pandangan untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ.

    Mengulas perkara itu, Balaji berkata, di bawah statut ICJ, sesebuah pihak boleh memohon kajian penghakiman jika 'ia berdasarkan penemuan sesetengah fakta seperti ini menjadi satu faktor muktamad, yang pada hakikatnya ketika penghakiman diberikan, yang tidak diketahui oleh mahkamah itu dan juga kepada parti yang menuntut semakan, sentiasa menyediakan bahawa kejahilan seperti itu bukan disebabkan kecuaian."

    Balaji berkata, penyelesaian melalui penghakiman pihak ketiga itu menunjukkan kedua-dua negara menghormati undang-undang antarabangsa dan komited untuk menyelesaikan pertikaian itu dalam cara aman.

    Katanya, kes itu memberi contoh mengenai penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga dan boleh menjadi satu contoh untuk menyelesaikan pertikaian dua hala lain.

    Penggunaan beg plastik diharamkan di Los Angeles



    LOS ANGELES: Majlis Bandaraya Los Angeles yang mengundi semalam mengharamkan penggunaan beg plastik di pusat beli-belah mulai 1 Julai 2010.

    Sehubungan itu, pengunjung hanya dibenar membawa beg sendiri untuk memasukkan barangan yang dibeli atau membayar 25 sen untuk mendapatkan beg kertas.

    Pegawai majlis bandaraya itu berkata, pengharaman beg plastik itu sebagai langkah mengurangkan sisa buangan di Los Angeles, yang menyaksikan penggunaan lebih 2.3 bilion beg plastik setahun.


    Majlis itu juga mengundi supaya pentadbiran negara meluluskan undang-undang mengharamkan penggunaan beg plastik pada 2012 dan mengenakan caj sekurang-kurang 15 sen untuk beg kertas kepada pengguna.

    Tahun lalu, San Francisco menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat mengharamkan beg plastik yang berkuatkuasa November. - AP

    20 Julai 2008

    CCTV di sekolah berisiko tinggi



    KUALA LUMPUR: Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara diarah mengenal pasti sekolah berisiko tinggi terdedah kepada kegiatan jenayah dan menghadapi masalah disiplin bagi membolehkan kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menaja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terbabit.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, berkata ia bertujuan mempertingkat perpaduan dan keharmonian melalui keselamatan pelajar, selain membantu membanteras gejala negatif termasuk vandalisme dan gangsterisme.

    Beliau berkata, perbelanjaan bagi pemasangan CCTV itu diperuntukkan kepada sekolah yang layak menerusi inisiatif sekolah, kerajaan dan NGO menganjurkan program mengumpul dana berkenaan.


    Silat bentuk rakyat berdisiplin


    Oleh Amin Ridzuan Ishak

    KUALA LUMPUR: Perjuangan mempertahankan silat sebagai warisan Melayu lama yang didukung Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) sehingga kini mampu membantu negara membentuk masyarakat berdisiplin dan baik.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sikap itu akan menjadi benteng kepada negara dan bangsa Melayu dalam mengharungi pelbagai cabaran globalisasi.

    “Tidak semua kemajuan yang bakal diterima memberi manfaat kepada negara terutama dari segi pembentukan akhlak. Di sinilah, peranan pertubuhan seperti PSSLM penting dalam ‘menentang’ cabaran sosial itu kerana pertubuhan seperti itu amat mementingkan disiplin.


    “Oleh itu, saya berharap PSSLM yang diterajui Datuk Omardin Mauju akan terus memainkan peranan itu (membentuk masyarakat baik dan berdisiplin) supaya kemajuan negara dihasilkan mengikut acuan bangsa kita sendiri,” katanya berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Sektor Kejurulatihan ke-34 di sini, semalam.

    Hadir sama, Omardin; Penasihat Seumur Hidup PSSLM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad dan Presiden PSSLM, Datuk Subahan Kamal.

    Mesyuarat sehari itu diadakan bagi memilih barisan kepemimpinan baru untuk menerajui sektor kejurulatihan PSSLM bagi tempoh tiga tahun.

    Turut diumumkan, pelantikan Ketua Penerangan Wanita Umno, Datin Paduka Seripa Noli Syed Hussein sebagai Presiden PSSLM Selangor.

    Muhyiddin juga mahu PSSLM meningkatkan lagi usaha supaya imej silat terus dipandang tinggi pada peringkat antarabangsa sehingga warisan Melayu itu disenaraikan dalam acara dipertandingkan pada sukan Olimpik.

    Sementara itu, Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, tindakan beliau memikirkan semula jawatan hendak ditandingi pada pemilihan Umno akan datang bukan kerana kepentingan peribadi.

    Tuanku Ja'afar mahu rakyat fikir ringan beban kewangan





    KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman mahu rakyat tidak hilang punca dan hala tuju dalam berdepan dengan kenaikan harga bahan api dan keperluan harian.

    Baginda bertitah, rakyat sebaliknya perlu memikirkan strategi untuk meringankan beban kewangan dengan melaksanakan amalan berjimat cermat, menabung wang berlebihan dan meningkatkan produktiviti dalam mewujudkan kekayaan.


    “Ini masalah global. Penyelesaiannya juga memerlukan tindakan global. Beta yakin rakyat negeri ini mempunyai nilai diri yang kental dan teguh serta jati diri yang kuat untuk mengatasinya,” titah Tuanku Ja'afar pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-86 baginda, di Istana Seri Menanti, dekat sini semalam.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd Nor mengetuai senarai penerima darjah dan pingat kebesaran apabila dikurniakan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) membawa gelaran Datuk. Turut menerima darjah itu ialah angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

    Tuanku Ja'afar bertitah, rakyat perlu menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan bercucuk tanam sayur-sayuran di kawasan tanah lapang, termasuk di halaman rumah masing-masing sekali gus mengatasi masalah tanah terbiar di negeri ini.

    19 Julai 2008

    Ibu bapa kena terus terang dengan anak


    Oleh Rohaniza Idris


    GUNAKAN bahasa yang jelas untuk bercakap dengan anak.

    Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan

    Kebenaran

    Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.


    Bercakap terus terang dan tepat

    Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.

    Sentiasa konsisten dan tepat

    Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.

    Rangsangan

    Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat

    Harapan

    Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.

    Berulang-kali

    Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.

    Jangkaan

    Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.

    Disiplin/ Undang-undang

    Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

    Kegembiraan

    Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.

    Kecewa

    Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.

    Teladan

    Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.

    Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak)

    Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.

    Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan)

    Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

    Sumber: Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar, Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim).

    Kendi kuatkan teori Melayu dari Champa


    Oleh Hussain Said


    SALAH satu kendi yang ditemui Sungai Mentakab, Pahang berusia lebih 2,000 tahun.

    PENEMUAN kendi berusia ribuan tahun tertanam di kawasan bukit berdekatan sungai di Mentakab, Pahang baru-baru ini menguatkan teori asal usul masyarakat Melayu zaman logam, sekitar 2,000 tahun lalu yang dikatakan dari Vietnam Utara dan Champa.

    Kendi atau istilahnya dalam perkataan Sanskrit kundika adalah tempat menyimpan air yang biasanya diperbuat daripada logam seperti gangsa dan tembaga atau seramik.

    Selain menjadi tempat menyimpan air, kendi yang mempunyai signifikan tersendiri berdasarkan reka bentuk dan lakarannya yang unik turut digunakan bagi menyimpan wangi-wangian, mereneh ubat, upacara keagamaan dan perkahwinan.


    Lazimnya, kendi yang diperbuat daripada logam digunakan golongan bangsawan yang dikenali sebagai 'Kendi Diraja' untuk dijadikan tempat mereka meludah dan sebagai tepak sirih yang mesti ada berdekatan.

    Dalam konteks zaman moden selepas kedatangan Islam, kendi dijadikan tempat menyimpan air suci iaitu air zam-zam dan ketika ini kendi yang diperbuat daripada logam sukar diperoleh berbanding jenis seramik.

    Pembuat kendi selalunya menjadikan haiwan mengkarung, cicak, buaya sebagai identiti ukiran hiasan kendi yang dihasilkan selain imej burung, kerbau, muka manusia, rebung dan buluh.


    Keistimewaan dan keunikan sesebuah kendi itu selalu berdasarkan ukiran serta material yang digunakan dan kedua-dua faktor itu juga melambangkan kemewahan kepada pemiliknya.

    Penemuan dua lagi artifak sama di Port Dickson dan Terengganu, juga berdekatan kawasan sungai selepas itu mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Kerajaan Melayu Maritim sezaman dengan Kerajaan Langkasuka, Champa dan Funan.

    Pengkaji sejarah tamadun alam Melayu, Wan Ahmad Arshad, yang menemui dan memiliki ketiga-tiga artifak itu berkata, zaman logam mula berpengaruh di Nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa.

    Kebanyakan institusi peradaban purba mempunyai akar umbi 'riverine maritime' yang kukuh serta strategik dan peradaban awal ini dipercayai berevolusi daripada masyarakat pra sejarah yang hidup secara nomad atau masyarakat pertanian yang terpimpin.

    "Berdasarkan sumber bertulis China, seawal milenium pertama sebelum masihi dan selewat-lewatnya kurun ke-2 masihi sudah muncul kerajaan awal di alam Melayu seperti Dong Son, Vietnam Utara; Fu-Nan, Lembah Sungai Mekong; Champa, Vietnam Tengah; dan Langkasuka, Selatan Thailand-Kedah," katanya.

    "Antara alasan perpindahan atau penghijrahan itu termasuk mencari tempat baru bagi putera raja atau mencari negeri baru untuk dibuka serta diterokai selepas kalah dalam peperangan.

    "Komuniti yang berpindah ini umumnya dipimpin seorang raja dan disertai oleh kerabat, menteri, hulu balang, bala tentera dan rakyat. Gambaran ini terdapat dalam sejarah Melayu mengenai pembukaan negeri Melaka itu sendiri," katanya.

    Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak penemuan tiga artifak kendi itu menjadi bukti arkeologi yang kukuh mengenai kewujudan sebuah peradaban Melayu awal setidak-tidaknya pada kurun pertama masihi.

    "Berdasarkan reka bentuk kendi yang ditemui di Mentakab yang unik, seperti seekor burung mahawangsa bersayap, berparuh dan berkaki empat, bahagian pemegangnya mempunyai imej haiwan mengkarung dan material gangsa yang digunakan untuk membuatnya, ia jelas menunjukkan ciri-ciri artifak purba zaman logam atau budaya Dong Son.

    "Manakala reka bentuk burung mahawangsa berkaki dua dengan tandu di atas badannya yang ditemui di Pasir Panjang, Port Dickson banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di Mentakab.

    "Jadi, saya tidak menolak kemungkinan kedua-dua artifak itu adalah berpasangan sekali gus mengukuhkan lagi teori kewujudan peradaban Melayu zaman logam yang menjadikan kawasan pesisiran perairan sebagai tapak pentadbiran kerajaan," katanya.

    Wan Ahmad yang juga pemilik Galeri Pusaka Moyang (GPM) di Senawang, Negeri Sembilan berkata reka bentuk ketiga-tiga artifak itu juga tidak melambangkan reka bentuk lazim artifak di zaman Kesultanan Melaka yang banyak dipengaruhi reka bentuk Arab, China, Indo-China dan Eropah.

    "Ini membawa kepada andaian artifak ini berasal dari zaman logam, yang berlaku sekitar milenium pertama sebelum masihi. Zaman logam mula berpengaruh di nusantara Melayu berdasarkan teori penghijrahan dari Vietnam Utara dan Champa di mana lokasi asal artifak zaman logam banyak ditemui," katanya.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan artifak yang ditemui di Mentakab itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penemuan kota purba - Kota Gelanggi, di Johor pada 2003.

    Asal usul Melayu terus dikaji


    Oleh Mohd Azis Ngah


    TELITI memeriksa serpihan artifak.

    Pulau Kalumpang dipercayai penempatan pertama manusia prasejarah

    MENELUSURI asal usul keturunan Melayu di Nusantara amat menarik tetapi sehingga kini belum ada ketetapan muktamad kerana terlalu banyak teori dan hujah.

    Merujuk kepada perlembagaan, orang Melayu adalah seorang Muslim, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini bermakna sesiapa saja tanpa kira asal usul bangsanya boleh bergelar Melayu jika memiliki ciri-ciri di atas.


    Namun, definisi Melayu di alam Melayu ditakrif sebagai mereka yang mendiami alam Melayu dan bertutur bahasa Austronesia/Melayu-Polinesia.

    Pengkaji sejarah, ahli arkeologi, pakar bahasa sentiasa mencari bukti kukuh melalui pelbagai kajian sekali gus menyemarakkan usaha mengesan asal usul Melayu.

    Wartawan Berita Minggu berpeluang mengikuti satu kajian lapangan oleh pakar arkeologi, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang kini mengkaji penemuan tapak arkeologi pra sejarah pertama di dunia yang dihuni manusia di kawasan bakau di Pulau Kalumpang, Perak.

    DR NIK Hassan bersama kumpulan pengkaji melakukan kerja cari gali artifak di Pulau Kelumpang.

    Memang banyak negara yang mempunyai kawasan bakau seperti India, Kemboja dan Afrika tetapi hanya di Malaysia dikesan mempunyai kesan peninggalan penempatan manusia prasejarah.

    Kerja mencari gali dimulakan pada 1987 selama dua tahun dan dihentikan sebelum dimulakan semula sejak Mei lalu. Hasil kajian pertama, Prof Nik Hassan menemui 11 rangka manusia prasejarah dipercayai dikebumikan di tanah perkuburan di situ.

    Manusia prasejarah itu dikatakan menanam mayat di bawah rumah mereka kerana pengkaji menemui tinggalan sisa makanan, tulang manusia, gigi yang dipercayai manusia yang hidup di abad kedua Sebelum Masihi hingga 10 Masihi.

    "Kajian ini lebih menjurus kepada mengesan siapa yang sebenarnya tinggal di situ. Kami percaya penempatan ini didiami sekumpulan manusia keturunan Melayu yang hidup di pesisir pantai. Mungkin juga mereka keturunan India, Sumatera atau Orang Laut.


    "Mereka lebih terbuka kepada hubungan luar berbanding Melayu yang tinggal di pedalaman. Bukti gigi dengan kesan makanan sirih dan pinang menguatkan hujah kemungkinan mereka orang Melayu dan penemuan serpihan tembikar, manik menunjukkan mereka berhubung dengan dunia luar," katanya.

    Menariknya, Pulau Kalumpang yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Gula, mempunyai tujuh kawasan penempatan yang mempunyai keluasan dua kilometer. Pulau itu juga mempunyai banyak pokok buluh yang sememangnya diakui tidak akan tumbuh di kawasan bakau.

    Pokok buluh itu hidup subur dipercayai ditanam dengan tujuan pelbagai guna untuk membuat rumah, senjata dan alat menangkap ikan. Selain itu, penemuan kerang pelbagai jenis menunjukkan penduduk di situ sememangnya menjadikan hasil laut sebagai makanan utama.

    Penduduk tempatan menggelar pulau itu sebagai Pulau Kota Kerang, ada yang memanggilnya Pulau Buluh.

    "Berdasarkan penemuan di pelbagai peringkat lapisan tanah, jelas menunjukkan diet makanan mereka juga berubah mengikut zaman. Kami menemui tulang ikan, monyet, burung, kepala babi dan beruk, mereka makan apa saja tetapi pada masa itu, rasanya mereka tidak beragama.

    "Persoalannya ialah bagaimana mereka hilang atau berpindah, kami tidak pasti dan sedang mengkaji," katanya.

    Ketika ini, Prof Nik Hassan dan pasukannya sudah menemui 50 jenis kerang pelbagai saiz yang jelas membezakan perubahan makanan penduduk di situ. Cara hidup mereka boleh dinilai berdasarkan sisa makanan yang ditemui.

    Apa yang pasti, pasukannya gigih menjalankan kajian sama ada penempatan di situ mempunyai kaitan langsung dengan orang Melayu yang tinggal berhampiran di Kuala Sepetang, Kuala Gula atau Kuala Kurau dan ia perlu dipastikan melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

    Info: Tapak Arkeologi Pulau Kalumpang

    Pulau Kelumpang

  • Mempunyai tujuh kawasan (Pulau Satu hingga Pulau Tujuh) seluas dua kilometer

  • Pulau Satu hingga Pulau Lima adalah kawasan utama kajian

  • Pulau Enam dan Pulau Tujuh terletak berdepan Pulau Selinsing

  • Tapak itu diwartakan sebagai Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi sebagai perkuburan prasejarah pada 15 Julai 2007.

  • Pemetaan dan sukatan geografi mula dijalankan di situ pada tahun 1988.
  • Menara berputar: Bangunan unik


    Susunan Bennie Zie Fauzi


    DYNAMIC TOWER Dubai yang bergerak setiap saat, seni bina kreatif terbaru daripada arkitek Itali.

    Reka bentuk menyanggah tradisi, tarik perhatian dunia

    APABILA menyebut bangunan, tentunya dibayangkan berciri pencakar langit, empat persegi, dikukuhkan dengan kerangka keluli selain dilengkapi tingkap kaca jernih.

    Tingginya yang menyapu awan dengan keluasan menyamai berpuluh-puluh padang bola sedikit sebanyak mengehadkan imaginasi kita bahawa ada segelintir pencakar langit menawarkan seni bina pelik lagi menakjubkan.


    Menara Bergerak, Dubai

    Dilancarkan pada 24 Jun lalu, arkitek Itali, Dr David Fisher mengumumkan pembinaan menara pertama di dunia yang bergerak setiap saat. Bangunan yang menghadap ke laut itu dirancang didirikan di beberapa lokasi di dunia bermula dengan Dubai, Moscow diikuti New York.

    Menurut Dynamic Group, syarikat yang akan membina bangunan yang dinamakan Dynamic Tower Dubai setinggi 420 meter itu bakal menempatkan 80 tingkat unit pangsapuri dengan keluasan 124 meter persegi manakala villa pula seluas 1,200 meter persegi. Setiap unit kediaman dilengkapi tempat meletak kereta dalam rumah.

    BANGUNAN Bakul (Amerika Syarikat)

    Keunikan seni bina menara itu adalah ciri aras lantai yang berpusing mengikut hala bebas sekali gus mewujudkan perspektif pandangan berbeza.

    Dynamic Tower mesra alam dan bangunan pertama di dunia direka dengan keupayaan menjana elektrik sendiri melalui turbin angin yang dipasang di setiap tingkat.

    "Setiap aras dijangka mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan. Ini revolusi baru seni bina. Mulai hari ini, bangunan bukan lagi disempurnakan di tapak projek tetapi di kilang," katanya yang berpengalaman 30 tahun menzahirkan bangunan teknologi terkehadapan di bandar besar seperti London, New York, Hong Kong, Paris dan Dubai.

    Bangunan Bakul (The Basket Building) di Amerika Syarikat

    THE CROOKED HOUSE di Poland, menjadi tarikan pelancong.

    Mulanya hanya angan-angan tetapi menjadi nyata apabila Dave Longaberger, pengasas syarikat Longaberger membina bangunan pejabat berbentuk bakul bertangkai.

    Longaberger percaya itu adalah ilham terbaik daripadanya. Beliau yakin kewujudan bangunan itu akan menarik perhatian dan menambah rezekinya namun sebaliknya reputasi Longaberger jatuh merudum.

    Bukan saja bank, arkitek malah syarikat pemaju mentertawakannya dan beliau dituduh cuba berlawak. Tidak cukup itu, pekerjanya juga lari meninggalkannya.

    Longaberger bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya mengambil keputusan mengekalkan bangunan berkenaan. Cita-citanya termakbul apabila bangunan itu dibuka untuk operasi pada 17 Disember 1997.

    The Dancing House, Republik Czech

    Bangunan pejabat yang terletak di pinggir bandar Prague ini diilhamkan arkitek kelahiran Croatia, Vlado Milunic dengan kerjasama arkitek Kanada, Frank Gehry. Bangunan itu dibina di atas tapak bangunan bersejarah yang musnah ketika pengeboman Prague pada 1945. Kerja pembinaan bermula pada 1994 berakhir dua tahun kemudian.

    Reka bentuk bangunan yang menyanggah tradisi itu menimbulkan kontroversi. Mujur Presiden Czech, Vaclav Havel, yang sekian lama menetap di sebelah tapak bangunan itu menyuarakan sokongan peribadinya. Dia yakin The Dancing House bakal menjadi pusat budaya tersohor.

    Asalnya, dinamakan Fred and Ginger bersempena pewarisnya Fred Astaire dan Ginger Rogers. Namun ditukar selepas mendapati seni bina bangunan berkenaan mirip seorang perawan sedang berdansa.

    Milunic dan Gehry menerapkan gaya Neo Baroque, Neo Gothic dan Art Nouveau yang menjadi tanda pengenalan seni bina bangunan di Prague. Restoran Perancis di puncak bangunan menawarkan pemandangan seluruh bandar.

    Rumah Piano di China

    Terletak di Wilayah An Hui, China. Untuk ke aras atas, pengunjung perlu menaiki tangga bergerak di dalam biola kaca. Bangunan ini menyediakan prospek cerah terhadap pelan pembangunan dan kemajuan bandar kerana mewujudkan daya tarikan baru pelancongan di daerah itu.

    Pustaka Kansas City di Amerika Syarikat

    Bangunan kutub khanah paling mengagumkan di Amerika Syarikat. Warga tempatan diberi peluang memilih judul buku yang memberi pengaruh besar terhadap bandar Kansas selain pernah memenangi anugerah untuk diabadikan pada dinding tempat meletak kereta.

    Bangunan Robot (Thailand)

    Bangunan yang terletak di zon perniagaan Sathorn, Bangkok ini sebenarnya ibu pejabat bank United Oversea. Diilhamkan arkitek Sumet Jumsai mewakili kecanggihan sistem pengkomputeran perbankan negara gajah putih itu.

    Seni binanya menampilkan pertentangan gaya antara neo klasikal dan teknologi tinggi pasca moden.

    Ciri muka bangunan yang landai, dilengkapi antena dan sepasang mata di bangunan teratas menjadikannya mirip robot gergasi.

    Siap dibina pada 1986, bangunan ini menjadi contoh mutakhir seni bina moden di Bangkok. Kemunculannya meraih perhatian antarabangsa dan diberi kritikan membina.

    Bangunan Biru di Belanda

    Pihak pentadbiran Delfshaven, Rotterdam meminta Schildersbedrijf N&F Hijnen menyediakan pelan baru bagi bangunan terbiar yang bakal dirobohkan. Perjanjian dengan kawasan kejiranan di situ ialah warna biru bangunan berkenaan dikekalkan selagi belum ada pelan pembangunan baru.

    Oleh kerana usia yang sudah berabad, seni bina bangunan ini dianggap paling ketinggalan zaman di Rotterdam. Malah kewujudannya langsung tidak diberi perhatian. Namun, sebaik ditambah satu lapisan lagi 0.002 milimeter cat biru, bangunan ini diisytiharkan paling popular di Rotterdam dan sering diabadikan dalam foto kenangan.

    The Crooked House di Poland

    Arkitek Poland, Szotynscy Zaleski, menzahirkan Crooked House seni bina pusat membeli-belah selepas mendapat ilham daripada ilustrasi dongeng kanak-kanak Jan Marcin Szancer.

    Berkeluasan 4,000 meter persegi, pusat membeli-belah yang terletak di Rezydent, Sopot, Poland ini kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke Poland.

    Sam Kee, bangunan paling nipis di Kanada.

    Terletak di 8 West Pender Street ini adalah bangunan dua aras dengan ukur lebar cuma 1.5 meter. Sejarah bangunan ini sama luar biasa dengan struktur seni binanya.

    Menurut cerita, Chang Toy pemilik hartanahnya diminta penduduk Vancouver menyerahkan seluas dua meter kawasannya untuk pembangunan Pender Street. Tiada ganti rugi diberikan sedangkan baki tanah tidak seluas mana. Toy kemudiannya mengupah seorang arkitek tampil dengan ilham binaan menakjubkan termasuk menjadi bangunan tunggal dilengkapi lorong pejalan kaki kaca di Chinatown.

    Selain Dynamic Tower, bangunan kreatif di dunia di pilih oleh laman web http://www.oddee.com

    FAKTA: Dynamic Tower

  • Setiap tingkat berpusing mengikut kelajuan berbeza.

  • 20 tingkat pertama memuatkan unit pejabat, tingkat 21 sehingga 35 menempatkan hotel mewah, 36 hingga 70 mengandungi unit kediaman pangsapuri dan 10 tingkat selebihnya menawarkan villa mewah.

  • Pembinaannya menuntut pembabitan 80 juruteknik dan 2,000 pekerja binaan.

  • Dilancarkan arkiteknya, David Fisher pada 24 Jun lalu dan dijangka siap menjelang 2010.

  • Impian Fisher membina bangunan menakjubkan ini menerima sokongan Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sultan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.

  • Fisher mendapatkan kerjasama arkitek dan jurutera berpengalaman dari United Kingdom dan India.
  •