Maju Melayu Perkasa!

27 September 2008

Ancaman pornografi siber membimbangkan


Oleh Siti Suriani Othman

PENCIPTAAN internet pada 1990-an membawa pelbagai tindak balas positif dan negatif di seluruh dunia. Hari ini, di United Kingdom (UK) penggunaan internet dan capaian pemilikan internet bagi setiap rumah turut meningkat.

Statistik Dunia Internet menunjukkan penggunaan internet di UK sehingga September 2006 berjumlah 38,512,837 orang berdasarkan Nielsen Ner//Ratings. Penggunaan ini dilihat meningkat dari tahun ke tahun berdasarkan perkembangan bilangan capaian internet di setiap rumah.

Statistik menunjukkan bahawa dari 2000 hingga 2005 saja, peningkatan sebanyak 59.8 peratus berlaku daripada keseluruhan jumlah penduduk di Britain.


Di Malaysia, statistik penggunaan internet juga didapati semakin meningkat. Dengan 14,904,000 pengguna internet sehingga Jun 2007, angka ini menunjukkan 59 peratus daripada jumlah penduduk negara mempunyai capaian internet daripada keseluruhan 25 juta penduduk.

Peratusan ini menunjukkan peningkatan, berbanding 15 peratus saja rakyat yang mempunyai akses internet pada 2000. Dalam pada itu, jangkaan pengguna internet di Malaysia akan terus meningkat menjelang 2012 yang dijangkakan meningkat 10 juta lagi berbanding statistik sekarang.

Namun, peningkatan akses terhadap internet ini tidak memberi semua nikmat dan kebaikan penciptaan internet itu sendiri kepada semua penggunanya. Di sebalik kemudahan disediakan internet, pornografi internet atau pornografi siber pula mengancam penduduk dunia. Industri ini memberi pulangan besar kepada keuntungan dunia yang mencecah AS$97 bilion pada 2006.

Pulangan industri ini secara keseluruhannya dikatakan lebih besar berbanding syarikat terkemuka seperti Microsoft, Google, Amazon, eBay, Yahoo! dan Apple. Daripada jumlah itu, dikesan bahawa setiap saat, AS$3,075.64 dibelanjakan khusus untuk pornografi di seluruh dunia, dan pada saat sama 28,258 penonton internet menonton pornografi, juga 372 pengguna internet menaip terma berkaitan kelucahan daripada enjin carian, dan setiap 39 minit satu video lucah dirakam di Amerika Syarikat.

Bagi jumlah jaringan pornografi pula, 12 peratus daripada jumlah keseluruhan laman web di dunia ini adalah laman lucah. Dengan jumlah 4.2 juta laman lucah dikesan sehingga 2006, ia menarik perhatian sehingga 420 juta 'peminat' di ruang siber.

Apakah sebenarnya pornografi siber? Pornografi siber adalah satu bentuk pornografi disebarkan menerusi sektor yang pelbagai menerusi internet, misalnya menerusi laman web, perkongsian fail atau kumpulan berita Usenet.

Walaupun hasil pornografi disebar luas di Barat sejak 1980 lagi, penciptaan world wide web pada 1991 membuka ruang lebih besar dan luas kepada ledakan pornografi on-line. Hari ini, negara yang menjalankan industri pornografi internet terhebat adalah China, diikuti Korea Selatan dan Jepun. AS menduduki tempat keempat dunia, manakala UK tempat keenam selepas Australia di tempat kelima.

Statistik ini nyata membimbangkan, kerana gejala ini bukan hanya menular di Barat malah rupanya dirajai Timur. Kemudahan penonton untuk melayari internet dari sehari ke sehari memberi peluang muat turun yang luas terhadap gambar dan video porno.

Di Barat hari ini, pornografi internet dilihat antara salah satu masalah yang bukan saja mengancam individu dewasa, malah juga kanak-kanak. Misalnya, satu kajian yang dijalankan di Kanada mendapati 90 peratus pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun dilaporkan pernah terdedah kepada kandungan lucah sekurang-kurangnya sekali.

Hasil kajian juga menunjukkan remaja lelaki mempunyai kecenderungan untuk menonton laman web lucah secara sukarela. Jika dilihat di peringkat awal perkembangan pornografi di UK pula, ia berkembang menerusi industri penerbitan majalah lucah yang dijual sehingga mencecah 20 juta pada 1990 dan dibaca oleh sehingga lima juta orang.

Hasil lucah ini dibentuk dan disebarkan dengan cara berbeza di UK dan AS. Di AS misalnya, bahan lucah dihasilkan dalam bentuk jenayah yang terancang. Di UK, ia dihasilkan oleh individu tertentu dalam industri penerbitan yang turut menerbitkan hasil bukan lucah untuk umum.

Menariknya hari ini, pornografi dan impak negatifnya tidak dipandang ringan sungguhpun di Barat. Di UK, kajian mengenai impak pornografi peringkat nasional diarah dijalankan untuk menambahbaik dan melengkapkan hasil kajian terdahulu.

Kajian mengenai pornografi dan kanak-kanak di Australia pula meminta pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya menentang pornografi dan keganasan yang dipaparkan media massa. Hasil kajian ini mencadangkan kesan buruk pornografi bukan disebabkan oleh kanak-kanak yang menontonnya, sebaliknya keadaan menjadi lebih buruk jika ibu bapa sendiri tidak memainkan peranan melindungi keluarga dan anak-anak daripada ancaman ini.

Kajian ini menyimpulkan pengetahuan memasang tapisan pada internet kegunaan keluarga misalnya dikatakan perlu ada pada setiap ibu bapa.

Seriusnya pengalaman pornografi di kalangan kanak-kanak di Barat tetapi tidak dianggap serius oleh ibu bapa atau penjaga mereka boleh dilihat dalam satu kajian lain yang pernah dijalankan. Dalam satu tinjauan yang mengkaji pengalaman ibu bapa dan anak terhadap penggunaan internet pada 2004, mendapati lebih separuh responden berumur sembilan hingga 19 tahun yang dikaji pernah menonton pornografi secara online.

Namun, hanya 16 peratus ibu bapa yang merasakan anak mereka pernah menonton pornografi daripada internet. Hal ini menunjukkan isyarat perlunya perhatian dan pemantauan lebih diberikan terhadap apa yang dilakukan oleh anak dengan kemudahan internet di rumah, sekali gus menyokong hasil kajian di Australia tadi.

Yang menariknya, hasil kajian ini juga menunjukkan 45 peratus responden berumur 18 hingga 19 tahun merasakan mereka terdedah kepada pornografi pada umur terlalu muda, dan ini tidak sepatutnya berlaku.

Dengan gejala pornografi internet yang kian rancak menular di Barat hari ini, keadaan yang menakutkan ini pastinya tidak kita ingini berlaku di Malaysia. Walaupun secara sahnya pornografi internet adalah diharamkan di Malaysia, pemantauan terhadap pelbagai laman web berkaitan amat perlu dilaksanakan.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom

Mitos 'Eurabia' jejas pandangan Barat kepada Islam


Oleh Muhammad Abdul Bari

Tanggapan buruk terhadap isu keganasan ancam hubungan Muslim dengan warga tempatan di Eropah

HARI ini wujud pelbagai cerita serius mengenai betapa ramai umat Islam Eropah mudah terpengaruh dengan keganasan; bagaimana Islam lebih menjurus kepada tindakan radikal; dan betapa disebabkan ajaran agama, kita memilih untuk mempunyai kediaman ibarat setinggan dan sekali gus mencipta satu 'lubuk yang membiakkan' pengganas.

Mengatasi semua ini ialah cerita paling melampau mengenai idea yang dipanggil 'Eurabia', terma yang membakar kemarahan � perkataan yang menggambarkan satu fenomena di mana umat Islam mencemarkan DNA penduduk Eropah.


Akibat cerita ini, kebimbangan Islam menjadikan daerah Eropah menjadi pusat pertumbuhan pengganas, mendorong warga benua itu memandang dan menyifatkan umat Islam sebagai musuh dan orang luar.

Pada masa sama, idea terbabit turut menjurus kepada pelbagai tindakan menangani isu perbezaan agama yang amat berbahaya.

Persepsi palsu itu memaksa umat Islam yang menjadi warga benua terbabit memilih untuk mengasing atau menyembunyikan identiti mereka sebagai Islam, dan menjalani sebagai warga Barat dan Eropah yang lain.

Bagaimanapun, hubungan antara penduduk yang mengasingkan pegangan Islam dan identifikasi sebagai warga Eropah, tidak memenuhi kriteria mereka yang dikategorikan sebagai stereotaip 'Eurabia'.

Satu kajian Gallup yang dipetik dalam buku Who Speaks for Islam: What A Billion Muslim Really Think oleh John L Esposito dan Dalia Mogahed, menyenaraikan analisis lengkap dan terkini mengenai sikap dan kelakuan umat Islam Eropah.

Hasil kajian terbabit mencadangkan identiti agama dan nasional sebenarnya saling melengkapi, bukan sekadar satu konsep.

Penduduk Islam yang menetap di Paris, London dan Berlin didapati lebih alim berbanding dengan penduduk biasa. Tetapi apabila mengenal pasti kenegaraan mereka dan institusi demokrasi yang dijunjung, serta dalam menolak sebagai tindakan keganasan � mereka tidak ada beza dengan warga Eropah lain

Cerita lazim didengar bahawa masjid atau persatuan Islam digunakan untuk tujuan radikal, membuatkan ramai anak muda tidak berminat dengan institusi yang menjunjung kedamaian ini.

Institusi masjid dan persatuan Islam tidak mampu bersaing dengan perdebatan hangat yang dicetus internet, di mana wujud ruang lebih besar bagi menangani isu politik, ketidakadilan yang berlaku di seluruh dunia atau laungan untuk menggunakan senjata yang boleh membawa kepada pertumpahan darah.

Internet adalah tempat ramai generasi muda Muslim tunduk kepada pelbagai cerita mengenai ketidakadilan yang dialami umat Islam terutama yang disemarakkan golongan pengganas.

Kita juga tahu mengenai penangan internet ke atas golongan muda. Bukti paling besar ialah tragedi di Bridgend di United Kingdom, apabila 17 belia yang dikenal pasti mempunyai hubungan di internet, membunuh diri.

Bagi segolongan belia Islam, garis yang menentukan batasan budaya terbaru ialah edisi maya (virtual) dan ia semakin mempengaruhi umat Islam, sama ada di Eropah atau dunia Islam.

Cerita yang dipersembahkan kebanyakan membabitkan ketidakadilan dunia � yang pada mereka satu-satunya penyelesaian ialah tindakan ganas yang diuar-uar akan membawa kepada kejayaan yang agung kepada dunia Islam, tanpa menghiraukan kebenaran hakiki bahawa tindakan mereka mungkin hanya satu pendapat yang dangkal atau sekadar untuk memuaskan hati.

Cerita seumpama itu menarik kerana ia melengkap perasaan dipinggir yang dirasai ramai pemuda Islam. Ada laporan seperti mendedahkan ketidakadilan pencerobohan di Iraq adalah contoh terbaik untuk menghalalkan sebarang tindak balas. Ada yang berasa lemas dengan tindakan bangsa lain yang menganggap Muslim Eropah sebagai orang luar, orang asing dan sentiasa disyaki.

Tindakan mewujudkan undang-undang semata-mata untuk mendakwa orang Islam dan kenyataan akhbar yang mengesahkan kewujudan Islamofobia, menyemarakkan lagi kebimbangan bahawa memang berlaku 'perang ke atas Islam'.

Masyarakat Islam di mana saja, berasa perlu ada usaha mencabar pendapat ini dengan memastikan semua pihak mengetahui bahawa Islam sebenarnya menolak keganasan. Kita mesti menggandakan usaha untuk mendekati masyarakat setempat dan membuktikan hakikat sebenar agama ini.

Dalam hal ini, kita perlu tabik kepada umat Islam Belanda yang menolak keras provokasi dicetus ahli politik mereka, Geert Wilders, yang mengeluarkan filem menyemarakkan perasaan prejudis bangsa lain terhadap Islam.

Umat Islam di Belanda menghadapi cabaran Wilders dengan membuka luas pintu semua masjid mereka kepada semua bangsa dan memastikan setiap jiran mengetahui apa ajaran Islam sebenarnya.

Ini adalah tanggungjawab bersama bagi menangani masalah � bukan sebagai isu yang hanya dihadapi umat, sebaliknya sebagai masalah yang penyelesaiannya boleh meningkatkan nilai yang memang menjadi asas masyarakat Eropah.

Usaha menangani perasaan tidak adil, terperangkap dan dipinggir yang dialami generasi muda Islam bukan satu kejayaan kepada golongan pelampau. Sebaliknya, ia adalah kemenangan bagi nilai liberal Eropah kerana ia membuktikan bahawa setiap individu dan puak minoriti mempunyai hak yang sama.

Kerana itu, kita tidak wajar melihat isu Islamofobia ini sebagai keganasan di daerah sendiri atau kehadiran umat Islam sebagai satu perkara baru di Eropah.

Interaksi Islam dengan masyarakat Eropah menyemarakkan ilmu pengetahuan. Sejumlah besar umat Islam menjadi warga negara Balkan, Eropah Timur dan Tengah, sejak ratusan tahun lalu.

Mereka membantu membina semula ekonomi benua Eropah selepas Perang Dunia Kedua, dengan hadir sebagai pendatang dan akhirnya, menjadikan Eropah sebagai rumah mereka. Umat Islam menjadi sebahagian daripada kehidupan Eropah dalam hampir setiap bidang.

Seluruh warga Eropah, termasuk mereka beragama Islam, berhak untuk berasa bimbang terhadap isu keganasan di tanah air masing-masing.

Hak kita untuk menikmati hidup yang selamat tidak ada jual beli, begitu juga dengan keperluan untuk hidup dalam suasana yang bebas daripada sebarang prasangka.

Ledakan bom pada 7 Julai, 2005, di London sebenarnya ada hikmah. Mangsa yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, termasuk umat Islam, menjadi wira membantu London pulih seperti sedia kala begitu pantas.

Mesej secara kolektif penduduk London selepas peristiwa 7 Julai adalah amat tegas dan ia wajar menjadi mesej seluruh benua Eropah - kami tidak akan membenarkan tindakan kejam pengganas memecahbelahkan kita.

Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Muslim Britain

21 September 2008

Jalan raya menjelang hari raya





KITA semua tahu ratusan rakyat negara ini terutama orang Melayu terbunuh dalam kemalangan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, kebanyakannya di jalan persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya.

Memang menyedihkan kerana kecuaian oleh seorang pemandu atau sesebuah kenderaan yang menjadi punca sesuatu tragedi menyebabkan deritanya ditanggung oleh banyak keluarga lain tidak berdosa yang kebetulan berada di atas jalan pada waktu yang sama.

Justeru, ruangan Enjin minggu ini menyeru semua yang merancang untuk pulang beraya di kampung tahun ini termasuk pemandu bas ekspres, teksi atau penunggang motosikal agar beringat dan bertanggungjawab atas perjalanan anda kerana tindakan anda memberi kesan kepada orang lain.

Sikap tanggungjawab ini boleh dizahirkan dengan membuat pemeriksaan atas tahap ‘kesihatan’ kenderaan, memastikan pemandu berada dalam keadaan baik dan mengawal tingkah-laku semasa memandu demi diri sendiri, penumpang di tempat duduk tepi dan belakang serta pengguna jalan raya yang lain.

Pemeriksaan tahap ‘kesihatan’ kereta biasanya melibatkan komponen-komponen utama iaitu enjin, brek dan tayar agar semua berada dalam keadaan cukup baik antaranya memastikan minyak enjin dan air dalam radiator mencukupi untuk perjalanan jauh selain bateri, stereng, lampu serta sistem penghawa dingin.

Kereta berasap
Pada musim perayaan sebegini, kita selalu juga melihat kereta berasap atau terbakar di tepi jalan, salah satu sebab berlakunya keadaan itu ialah kekurangan air dalam radiator yang menyebabkan enjin menjadi panas selain paip radiator tersumbat, kekotoran sirip radiator dan kipas serta termostat sistem penyejuk.

Apabila enjin kereta terlalu panas, berhenti di tepi jalan di tempat teduh dan jangan panik, sebaliknya buka bonet kenderaan agar enjin lebih cepat sejuk dan periksa salah satu daripada semua punca bahagian yang dinyatakan di atas.

Juga jangan lupa untuk memeriksa dan menilai kembali sistem brek asli dengan memastikan pelapik brek berada di posisi sepatutnya antara dua angkup dan disk berada di tengah manakala untuk brek drum pula, pastikan pelapik brek tidak menyentuh drum atau kesan geseran yang kelihatan adalah sama rata.

Kalau ada kelapangan, pergi ke kedai servis kenderaan yang berdekatan untuk meminta bantuan mekanik bagi melaraskan pedal brek supaya tidak terlalu brek mengejut dan sesuai dengan panjang kaki pemandu.

Periksa juga bateri jika terdapat tanda-tanda kerosakan seperti retak, bocor, karat, penutup hilang atau kepala longgar dan jika terdapat kesan debu putih di bahagian terminal atau air bateri cepat kering, kemungkinan kuasa yang disalurkan kepada bateri terlalu tinggi.

Pada masa yang sama, pemandu juga mesti memastikan tayar kereta memberi keselesaan ketika mengambil selekoh dan kawalan stereng dalam apa juga keadaan. Tukar tayar dengan segera jika bunganya sudah haus kerana takut mudah tergelincir sehingga terbabas.

Semasa memandu pula, pandulah dalam keadaan segar dan mengikut had laju yang tertera di sepanjang jalan, bukan kerana takut disaman. Sebaliknya berwaspadalah terhadap sebarang kemungkinan yang mungkin tercetus akibat kelajuan yang melampau.

Memandu kereta ketika waktu hujan lebat pula sebenarnya memberi kelebihan untuk sistem penyejukan kenderaan, tetapi pada masa yang sama menyebabkan pandangan pemandu menjadi kurang jelas manakala permukaan jalan yang basah dan licin boleh mengakibatkan peratusan kemalangan yang tinggi.

Pada masa yang sama, tolong berikan laluan kepada kenderaan berat dan membuat anggaran ketinggian air yang diredah dengan melihat had tinggi tayar. Sekiranya paras air di bawah satu kaki, pemanduan masih boleh terus berjalan tetapi secara perlahan.

Elakkan memandu secara laju kerana ia boleh menyebabkan bahagian enjin dibasahi air dan sistem brek tidak berfungsi sepenuhnya berikutan permukaan brek yang basah, gunakan gear 1 dan 2 bagi kenderaan menggunakan sistem gear manual dan gear 1 bagi sistem automatik.

Ingatlah bahawa tindakan menekan pedal brek serentak dengan pedal minyak akan menghasilkan kepanasan pada permukaan brek kereta yang dipandu laju.

Akhir sekali, pengguna kenderaan bermotor yang bijak akan berusaha mengurangkan kadar penggunaan bahan bakar ke tahap paling rendah sepanjang musim perayaan ini. Antaranya dengan tidak menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama serta tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit.

Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa. Perhatikan dalam but kereta anda, mungkin terdapat banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari.

Dari bakal ustazah menjadi jururawat



Jeanne Abdullah bertanya sesuatu kepada salah seorang jururawat pelatih dari Selatan Thailand sambil diperhatikan oleh Wan Abu Bakar (kiri).


BAGI golongan belia di selatan Thailand, sepanjang menjalani kehidupan di negara sendiri mereka tidak terfikir suatu hari kelak akan merantau ke negara orang bagi mencari secebis ilmu.

Pergolakan di tanah air sendiri dan kesempitan hidup seolah-olah menjadi batu penghalang utama kepada mereka untuk mencapai impian berkenaan.

Apa yang mereka tahu mungkin dalam usia muda ketika mencecah usia 18 atau 19 tahun, mereka akan dijodohkan kerana itulah pengakhiran kepada agenda kehidupan di negara sendiri.

Namun semua itu seolah-olah berubah bagi 40 gadis dari wilayah tersebut. Mereka bukan sahaja dibawa 'berhijrah' seketika di rantau orang, malah diberikan segala kemudahan untuk menjalani latihan sebagai pembantu perubatan di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL-RCMP) di Ipoh, Perak.

Semua itu mampu menjadi kenyataan hasil keprihatinan Task Force 2010 (Malaysia) yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar.

Program latihan itu dibentuk oleh Jawatankuasa Khas Kurikulum UniKL-RCMP pada Januari lalu khusus untuk beliawanis Selatan Thailand dan kurikulumnya disesuaikan dengan keperluan Task Force 2010 Malaysia dan Task Force 960 Thailand.

Apa yang menarik program itu mendapat perhatian istimewa apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah merasmikannya pada 30 Ogos lalu.

Dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia di universiti berkenaan pada Isnin lalu, tiada ucapan lain yang dilafazkan oleh jururawat-jururawat pelatih tersebut selain bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memperolehi rezeki tidak terduga itu.

Bagi Aisah Wamah, 21 dari Narathiwat, program berkenaan ibarat memenuhi impiannya selama ini untuk membantu merawat mereka yang sakit.

Walaupun selama ini dia tidak pernah didedahkan dengan ilmu perubatan, namun ia bukanlah halangan utama baginya untuk mempelajari ilmu tersebut.

''Program ini amat baik dan sudah pasti apabila pulang ke tanah air nanti, saya akan mencurahkan segala ilmu yang dipelajari bagi membantu penduduk di wilayah saya terutamanya orang-orang kampung," katanya.

Sememangnya ada di antara pelatih ini meminati bidang kejururawatan tetapi kekangan hidup menyebabkan impian itu tidak menjadi kenyataan atas sebab itulah seorang lagi pelatih Aesoh Samah, 20 begitu gembira apabila ditawarkan mengikuti kursus berkenaan.

impian

Bagi dirinya, tawaran berkenaan ibarat memenuhi impian selama ini yang sebelumnya dianggap agak mustahil untuk dicapai.

''Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengadakan program ini, saya amat bersyukur kerana bidang kejururawatan sememangnya satu bidang yang saya minati. Saya ingin menceburi bidang ini kerana ingin membantu mereka yang sakit dan ini adalah satu tugas yang mulia di sisi Islam," katanya.

Apa yang menarik mengenai pelatih-pelatih tersebut, seharusnya mereka ini adalah bakal-bakal ustazah memandangkan kesemua mereka adalah pelajar sekolah pondok pengajian agama di Selatan Thailand.

Tetapi mereka juga memahami bahawa Islam juga menyeru kita menuntut sebanyak mungkin ilmu dan bagi mencapai kejayaan dalam hidup pengajian dalam bidang agama semata-mata tidak mencukupi.

Atas alasan inilah bagi Wanida Yama, 23, langkah Task Force 2010 Malaysia mengadakan program tersebut amat baik kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari sesuatu yang selama ini di luar pengetahuan mereka.

''Di sini kami mempelajari pelbagai cara untuk merawat orang sakit, saya percaya ilmu yang kami perolehi bukan sahaja mampu mengubati orang ramai malah juga sanak saudara, saya amat bersyukur terpilih menyertai program ini," katanya.

Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh Suhaida Awae, 23 yang menganggap biarpun mereka belajar ilmu agama di pondok pengajian Islam namun ia bukanlah halangan untuk mereka menuntut ilmu kejururawatan tersebut.

Bagi Suhaida, kehadirannya dalam kursus itu melalui peluang yang diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 Malaysia adalah rahmat yang tidak harus disia-siakan.

''Saya sudah berjanji kepada keluarga untuk belajar bersungguh-sungguh dan akan menggunakan ilmu yang dimiliki untuk berbakti kepada masyarakat di kampung nanti," katanya.

Suhaida berharap apabila pulang nanti dia dan rakan-rakan yang lain akan diberi peluang untuk bekerja di hospital-hospital kerajaan di Selatan Thailand.

Berbanding rakan-rakan yang lain, Sainuree Binwae Yah-Koh, 19 pula mempunyai matlamat berbeza apabila pulang nanti. Dia berhasrat untuk mendalami lagi ilmu kejururawatan dan akan berusaha untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di negaranya.

Katanya, setakat ini dia sudah pun belajar mengenai pelbagai jenis penyakit dan cara rawatannya, semua itu telah menyemai rasa minat untuk mendalami ilmu kejururawatan.

''Walaupun sebelum ini saya adalah pelajar agama di Maahad Islamudin, di Yala, tetapi ia bukanlah halangan. Matlamat saya ialah membantu orang ramai tanpa mengira kaum dan agama," katanya merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik.

Sememangnya kursus anjuran Task Force 2010 tersebut amat bererti kepada gadis-gadis berkenaan, malah ia dianggap mampu membantu golongan belia di Selatan Thailand memperoleh peluang pekerjaan.

ilmu

Berdasarkan hakikat itulah salah seorang pelatih program ini, Khaola Damae, 19 amat berharap kerajaan Malaysia akan meneruskan program tersebut.

''Saya yakin program ini akan mampu mengubah hidup golongan belia di selatan Thailand. Mereka pastinya akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki demi berbakti kepada masyarakat," katanya.

Khaola berkata, biarpun mereka menghadapi sedikit masalah dari segi bahasa namun dari semasa ke semasa masalah itu dapat diatasi melalui kerjasama tenaga pengajar di situ.

''Saya berharap selepas ini ada lagi belia daripada selatan Thailand akan diberi peluang mengikuti kursus yang amat bermakna ini," katanya.

Antara maruah dan kuasa


Sejak kebelakangan ini seolah-olah terdapat satu gerakan terancang untuk memastikan mana-mana juga pihak yang cuba memperjuang atau mempertahankan institusi Melayu akan diserang habis-habisan.

Kelompok berkenaan akan dianggap perkauman dan lebih buruk lagi ada antaranya terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang dilihat seolah-olah cuba 'membisukan' mereka.

Akibatnya, bercakap soal kepentingan dan hak istimewa orang Melayu serta agama Islam seolah-olah satu dosa dan mereka yang terlibat perlu dihukum.

Tetapi hakikatnya, kita harus sedar apa yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan adalah satu strategi terancang untuk memastikan institusi-institusi Melayu terus diganggu gugat.

Keadaan ini samalah seperti di Singapura yang akhirnya Melayu tidak berupaya mempertahankan hatta adat resam mereka sendiri. Semua itu berlaku kerana orang Melayu telah 'diracuni' dengan pemahaman bahawa seandainya bercakap soal kepentingan mereka ia adalah satu perkauman.

Namun kalau dilihat terdapat puak-puak yang lebih perkauman daripada orang Melayu tetapi tidak pernah dianggap bersikap demikian. Malah kalau kita mengkaji blog-blog pembangkang mereka membangkitkan soal-soal yang lebih sensitif dan berbau perkauman.

Tetapi itu tidak pula dianggap perkauman sebaliknya akan disifatkan oleh pihak-pihak yang menyokong mereka termasuk di kalangan sesetengah pemimpin Melayu sendiri bahawa ia kebebasan bersuara. Apa yang paling memualkan ada di kalangan pemimpin yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam turut mengikut rentak berkenaan.

Kononnya atas dasar memperjuangkan kesamarataan dan keadilan maka mana-mana pihak tidak harus membangkitkan soal hak-hak orang Melayu dan institusinya.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Kanan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, mana-mana pihak yang memperjuangkan identiti dan institusi bangsanya tidak boleh dianggap perkauman.

Katanya, semua kaum mempunyai identiti tersendiri dan mereka akan cuba mempertahankannya sedaya upaya.

''Contohnya orang Cina mereka pastikan akan mempertahankan tiga identiti penting kaum tersebut iaitu pertubuhan Cina, pendidikan Cina dan media Cina.

''Oleh itu tindakan tersebut tidak boleh dianggap perkauman, begitu juga apabila orang Melayu mempertahankan identiti mereka,'' katanya ketika dihubungi.

Diakui

Walaupun fakta ini diakui oleh semua pihak terutamanya parti pembangkang namun mereka sengaja melupakannya.

Malah mereka cuba memastikan pihak-pihak yang memperjuangkan identiti atau institusi Melayu ini 'tidak hidup selesa', sedikit sahaja suara dilahirkan maka meraunglah mereka menuduh bahawa pihak itu atau pihak ini mengamalkan perkauman.

Apa yang malang, pandangan songsang itu turut disokong oleh pemimpin- pemimpin politik Melayu yang bukan sahaja bersengkongkol dengan puak tersebut malah mereka sendiri bertanggungjawab mengatur strategi bagi menggugat institusi Melayu.

''Orang Melayu perlu faham bahawa apa pun berlaku mereka harus mempertahankan jati diri. Tidak adalah masalah untuk mencapai permodenan tetapi dalam masa yang sama jati diri jangan dilupakan,'' kata Mohamed Mustafa.

Berdasarkan hakikat itu, beliau turut membidas sikap sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup mengorbankan sesetengah perkara berkaitan dengan jati diri orang Melayu semata-mata untuk mengejar kemajuan.

''Kita tidak mahu suatu hari kelak orang Melayu menjadi bangsa Creole - satu puak di Afrika yang sudah kehilangan identiti bangsa mereka,'' katanya.

Selain itu, Dr. Mohamed Mustafa berharap masyarakat Malaysia terutama generasi baru perlu memahami bahawa Malaysia bukan bermula pada tahun 1963 atau ketika 1957 tetapi Malaysia sudah bermula ratusan tahun lalu.

''Sebab itulah saya hairan kenapa soal tulisan Jawi di papan tanda jalan perlu menjadi isu, ia sebenarnya sudah menjadi identiti negara ini sejak berpuluh- puluh tahun lalu,'' katanya.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang bersengkongkol dengan pihak yang ingin 'memusnahkan' institusi Melayu ini memahami keadaan tersebut? Dan adakah mereka faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan mampu menggugat nasib anak cucu kita di masa depan?

Berdasarkan hakikat itu, Dr. Mohamed Mustafa turut membidas pihak tertentu yang memboikot mana-mana pihak yang memperjuangkan Melayu termasuk pemulauan ke atas akhbar Utusan Malaysia kerana dianggap rasis.

''Kalau itulah pemahaman mereka, bagaimana dengan akhbar Cina, tidakkah ia juga rasis kerana mereka turut memaparkan kepentingan masyarakat itu,'' katanya.

Malah kata beliau berbanding dengan Utusan Malaysia, akhbar Cina sepatutnya boleh diragui kerana ramai rakyat negara ini tidak boleh membacanya.

''Jadi adalah lebih baik jika kita tidak menuduh mana-mana akhbar berbentuk perkauman,'' katanya.

Ketika berbual politik dengan seorang pemimpin kanan UMNO, di Shah Alam baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan kedudukan orang Melayu sekarang.

Katanya, orang Melayu seolah-olah tidak bertaring lagi sehingga ada pihak yang sanggup mempersoalkan hak-hak mereka. Malah kata beliau, dalam keadaan tertentu orang Melayu bagaikan ditekan untuk membuat keputusan demi memuaskan hati pihak lain, jika tidak kuasa politik mereka akan tergugat.

''Dalam situasi itu kita berada di persimpangan iaitu antara kuasa dan maruah, semua ini terjadi kerana ada orang Melayu yang masih belum sedar bahawa mereka kini semakin diperlekehkan,'' katanya.

Atas sebab itu kata beliau, orang Melayu tidak boleh terlalu mudah bersubahat dengan kelompok yang mempunyai hasrat menganggu gugat institusi-institusi Melayu ini.

Katanya, puak-puak berkenaan melakukan tindakan secara senyap dan berjaya mempengaruhi orang Melayu menyokong mereka melalui hujah-hujah politik yang disampaikan.

Sedar

Justeru kata beliau, UMNO perlu sedar terhadap ancaman ini bukannya terus berebut jawatan sesama mereka.

Malah beliau berkata, dalam menentukan pemimpin dalam pemilihan pada Disember ini, ahli UMNO perlu memastikan mereka memilih pemimpin yang berprinsip dan hipokrit dalam perjuangan.

''Kita bimbang kalau pemimpin hipokrit yang dipilih, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah institusinya tidak akan ke mana,'' kata beliau.

Namun apa pun keadaannya, tanpa berhasrat mencetuskan sebarang sentimen perkauman, orang Melayu perlu diingatkan tentang bahaya yang sedang menanti mereka. Pemimpin-pemimpin politik Melayu tertentu tidak harus mengorbankan kepentingan dan maruah bangsa semata-mata demi meraih kuasa politik.

Mereka tidak harus menganggap orang yang dikenakan tindakan undang- undang kerana cuba menghina dan menganggu gugat institusi orang Melayu dan Islam seolah-olah seperti wira.

Apa pun keadaannya, adalah diharapkan orang Melayu akan memahami situasi yang sedang mereka hadapi.

Mereka tidak harus leka dengan mengejar kuasa politik sehingga terlupa ancaman yang sedang menanti. Selain itu mereka juga tidak harus takut mempertahankan apa yang dianggap hak mereka asalkan tindakan berkenaan tidak menggugat kaum-kaum lain.

Ingatlah Malaysia mencapai kemerdekaan dengan perpaduan yang dicapai oleh semua kaum tetapi asas kewujudannya yang bermula dengan Tanah Melayu beratus tahun lalu sebelum kedatangan Portugis tidak harus dilupakan.

Pertahan Perkara 153



Tan Sri ABDUL Rahim Tamby Chik, Pengerusi GABEM.


Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan. Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.

Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung ke arah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan. Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu. Kononnya atas prinsip untuk menegakkan kesamarataan dan keadilan, peruntukan ini cuba diganggu gugat. Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan Perkara 153, desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catatan sejarah.

Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengingatkan, Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Justeru tegas beliau sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ Perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, dalam pertemuan yang sebahagian hujah beliau berkisar kepada rentetan sejarah terhadap cabaran mempertahankan Perkara 153 melalui semangat DEB, bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO tersebut mengingatkan orang Melayu bahawa penghapusan DEB dan Perkara 153 adalah sebahagian usaha untuk menjadikan negara ini sebuah republik. Usaha ini ada kaitannya dengan konsep Malaysian Malaysia.

Mingguan: Apa kaitan perjuangan untuk menegakkan DEB dalam hubungannya dengan kewujudan peruntukan 153 dalam Perlembagaan?
ABDUL RAHIM: Sebagaimana kita maklum penggubalan DEB dicetuskan di era Almarhum Tunku Abdul Rahman. Ini adalah satu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.

Melaka pada masa itu merupakan satu tamadun Melayu yang amat cemerlang. Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diiktiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia. Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentransformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara Sungai Melaka menjadi satu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.

Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebagai satu kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin, pengurus dan pekerja yang baik - inilah yang menyusun sesebuah tamadun.

Apabila kita kalah kepada Portugis pada 1511, kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan bergelumang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif.

Oleh kerana ketika itu kita mengamalkan sistem feudal orang Melayu tidak mampu produktif kerana hasil mereka akan diberikan separuh kepada raja dan juga orang-orang besar. Akibatnya orang Melayu hidup dalam keadaan daif, miskin, papa dan kedana.

Hanya pada zaman Allahyarham Tun Razak Hussein, penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya Perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu. Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit, biasiswa, agama Islam, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Semua itu telah mendorong DEB digubal. Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.

Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia, perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal. Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat. Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.

Bagaimana pula kita hendak menegakkan Perkara 153 ini sebagai pengiktirafan kepada hak pribumi bumiputera terhadap negara ini?
ABDUL RAHIM: Ia ada kaitan dengan kewujudan Melaka, negeri itu dalam sejarah sebenarnya adalah tamadun yang diperakui oleh dunia dan dalam pembentukan tamadun ini kita mempunyai proses sejarah sebagai pribumi.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal? Kenapa tidak Orang Asli yang lebih awal tidak diiktiraf sebagai memulakan tamadun? Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan satu tamadun akan menjadi asas pengiktirafan. Dari segi sejarah, pengiktirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal, biarpun ada Orang Asli. Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.

Dalam mewujudkan Perkara 153 dalam Perlembagaan ia bukanlah satu perjuangan yang mudah kita capai. Saya ingin memperbetulkan kesilapan pandangan majoriti mengenai filem Hati Malaya. Filem itu menggambarkan seolah-olah perjuangan menegakkan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalam ada Perkara 153 hanya berlaku apabila wujud UMNO dan Tunku Abdul Rahman.

Tetapi sebenarnya perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung Perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar.

Ertinya perjuangan menegakkan Perkara 153 itu lebih awal?
ABDUL RAHIM: Ia lebih awal kerana Tunku Abdul Rahman hanya muncul di penghujung. Apa yang saya ingin katakan perjuangan untuk mewujudkan Perkara 153 ini sudah bermula pada zaman komunis lagi. Inilah cabaran pertama. Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada satu usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik.

Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana mengesyaki mereka bersubahat dengan orang Jepun. Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini dengan menjadikan ia sebuah republik. Maknanya, langkah itu akan memberi pengiktirafan yang sama rata kepada orang Melayu, India dan Cina. Walaupun Bintang Tiga ini ditentang keras namun mereka masih berjaya mempengaruhi orang Melayu. Apa yang perlu difahami seandainya republik diwujudkan maka dengan sendiri Perkara 153 tidak akan wujud.

Malang dalam usaha ia cuba menterjemahkan negara ini menjadi sebuah republik, orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak berbeza. Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadi Malaya sebuah republik. Semasa menentang pengganas komunis ini, kita terpaksa mengisytiharkan darurat dari tahun 1946 sehingga 1960.

Perbuatan PKM ini adalah satu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana Perlembagaan itu mempunyai satu peruntukan yang memberikan pengiktirafan kepada penduduk-penduduk pribumi. Ribuan warga keselamatan kita gugur dari 1946 hingga 1960 dan mereka ini bukanlah mati katak. Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengiktirafan kepada pribumi.

Titisan darah wira-wira yang terkorban harus direalisasikan dengan menegakkan satu Perlembagaan yang memberi pengiktirafan kepada pribumi. Kita mesti hargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan. Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap lebih tinggi iaitu merdeka.

Siapa mereka tidak pernah dan jarang disebut. Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya, tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi asas dan tonggaknya.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB yang berkaitan dengan Perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union. Sebenarnya Malayan Union adalah satu konsep republik seperti mana yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan juga PKM. Sebab itulah dalam Malayan Union terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan Jus soli – ertinya siapa sahaja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh British sehingga ia dilihat boleh menggugat Perkara 153 tersebut?
ABDUL RAHIM: Gabenor British pada masa itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn itu yang menggabungkan segala kekuatan orang Melayu dapat dibendung melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti boleh menerima bukan Melayu apabila berbuat demikian ia bermakna menerima Malayan Union. British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.

Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh Bintang Tiga dan Parti Komunis Malaya (PKM). Gabenor British memberi syarat kalau Datuk Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka, orang lain harus mempunyai hak sama dengan orang Melayu.

Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.

Tetapi apabila orang Melayu tahu kedudukan raja tidak dihormati, hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Datuk Onn Jaafar. Semua itu adalah cabaran ketiga dalam kita hendak mempertahankan Perkara 153. Nasib baik orang Melayu membuat keputusan menolak cadangan British tersebut kalau tidak UMNO akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semua itu adalah hasil pengorbanan orang Melayu, orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan Jepun dan Bintang Tiga, orang Melayu dibunuh oleh PKM yang hendak menjadikan Tanah Melayu republik dan orang Melayu cuba diperkudakan oleh British dengan memanipulasikan UMNO.

Dalam soal konsep Malaysian Malaysia, tidakkah ia turut menjadi cabaran dalam mempertahankan hak istimewa orang Melayu?
ABDUL RAHIM: Itu merupakan cabaran keempat dalam usaha kita mempertahankan Perkara 153. Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan PAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia – konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Ertinya, mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153, apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB. PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.

Jika dikaji Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung. Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita. Apa yang dikemukakan oleh Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disambut oleh orang Cina di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu akan menjadi kenyataan.

Kini kita menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep keadilan dan kesamarataan cuba diperjuangkan oleh PKR dan ia cuba menjadikan perkara itu sebagai asas tonggak kepada sistem kenegaraan, ertinya Melayu tidak lagi menjadi tonggak.

Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok. Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh negara besar.

Dalam berhadapan situasi seumpama itu, apa yang seharusnya kita lakukan?
ABDUL RAHIM: Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini. Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara. Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan Malaysia. Semua ini didorong oleh saiz ekonomi. Jepun kalau dibandingkan dengan saiz negara China sangat kecil tetapi kenapa Jepun dipandang sangat besar sama dengan Amerika Syarikat (AS)? Semua itu kerana saiz ekonominya.

Kita melihat bahawa Anwar dan PKR menganggap dengan adanya DEB dan Perkara 153 ia adalah satu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita. Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari Perkara 153 melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin, daif dan terhina ini. Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat kepada satu tahap yang begitu hebat. Walaupun sama-sama naik tetapi masih terdapat banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara luar bandar dengan bandar.

Pada pandangan Tan Sri apa muslihat di sebalik usaha Anwar hendak menggugat DEB itu?
ABDUL RAHIM: Anwar yang membawa satu ideologi baru melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada Perkara 153. Selagi DEB yang mentranformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tidak ada parti yang dapat menggantikan UMNO. Maknanya dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila- bila.

Strategi PKR ialah mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi satu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan PKR mendominasikannya.

Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang gugur yang membolehkan asas Perlembagaan yang mengandungi Perkara 153, generasi muda kita senang dipengaruhi. Sebab itu Anwar berhasrat menghancurkan dan memusnahkan DEB dengan mewujudkan Agenda Ekonomi Malaysia.

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam berhadapan dengan agenda ekonomi seumpama itu?
ABDUL RAHIM: Agenda Ekonomi Malaysia yang akan dilancarkan adalah satu pengisytiharan yang mesti ditolak. Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengiktirafan kepada semua kaum dengan kaedah pengagihan yang berlainan dengan DEB. DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.

Kalau bumiputera 65 peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau tujuh peratus. Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan. Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata. Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan yang berbeza dengan DEB.

Pas yang ada dalam Pakatan Rakyat pula meletakkan perjuangan Islam lebih daripada perjuangan kaum. Mereka tidak peduli tentang kedudukan bahasa Melayu atau ketuanan Melayu kerana pendekatan kepada Islamik cara Pas.

Jadi dari segi keperluan mikro mungkin perjuangan itu universal pendekatan Islam. Sedangkan perjuangan untuk mengangkat martabat memerlukan pendekatan makro untuk melihat setiap strategi itu disusun. Ini kerana budaya, sejarah dan latar belakang kita berlainan dan memerlukan pendekatan yang lebih efektif untuk mengangkat martabat.

Mungkin orang tertanya-tanya kenapa baru sekarang Tan Sri bercakap tentang rentetan sejarah DEB ini?
ABDUL RAHIM: Saya perlu sebutkan perkara ini supaya rakyat Malaysia faham tentang laluan sejarah. Dalam memahami cita-cita untuk untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak terkorban dalam menegakkan perlembagaan Malaya ketika itu.

Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957. Jika kita tahu laluan sejarah, soal kontrak sosial atau DEB tidak menjadi debat. Tetapi kini bukan saja debat tetapi nak menghapuskan kedudukan ini. Jadi 16 September itu bukan hari keramat tetapi “hari kiamat”.

DEB bukan menindas kaum lain tetapi sebaliknya untuk membela kaum yang lemah. Kebetulan yang banyak lemah dan papa kedana ialah orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh PKR ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional serta mempunyai kebijaksanaan membuat keputusan.

Tetapi sokongan kepada PKR ini juga turut diberikan oleh orang Melayu, adakah mereka tidak tahu sejarah ini?
ABDUL RAHIM: Mungkin tidak tahu sejarah. Mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sekarang. Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada laluan sejarah kita yang jelas. PKR bukan memperjuangkan sesuatu yang baru atau landskap politik yang baru. Ini yang kelima dalam siri untuk menghancurkan kedaulatan dan kedudukan Melayu dalam negara kita.

Apakah nasihat Tan Sri kepada orang Melayu?
ABDUL RAHIM: Kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.

ISA bukan kekang kegiatan orang politik




Datuk Seri Syed Hamid Albar

Pendekatan mencegah sebelum merawat langkah terbaik kekal keharmonian rakyat

PENANGKAPAN penulis blog, Raja Petra Kamaruddin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng, menghangatkan semula perdebatan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Bagi sesetengah pihak, ISA sudah ketinggalan zaman dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mempunyai pandangannya, terutama apabila menyentuh soal keselamatan negara dan ketenteraman awam. Ikuti temu bual bersama wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin.

AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilabel sebagai Draconian (sangat keras) serta sepatutnya hanya digunakan terhadap anasir subversif yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara paksaan dan bukan terhadap ahli politik, wartawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan. Apakah penjelasan Datuk Seri.


ISA terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti subversif seperti pengganas Komunis adalah sejarah. Dalam konteks sekarang, ISA adalah undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan. Itu adalah objektif utama ISA.

ISA bukan tindakan selepas ancaman berlaku, tetapi tindakan pantas bagi mengelakkan sebelum sesuatu perkara berlaku. Sejak merdeka sama ada secara sedar atau tidak, ISA berjaya memelihara keamanan dan ketenteraman awam. Elemen utama akta ini adalah ketenteraman awam dan keselamatan. Apakah ketenteraman awam dan keselamatan?

Pertama ialah jika didapati tindakan atau kelakuan seseorang itu boleh melahirkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam seperti menyebabkan konflik, rusuhan dan perang saudara. Ini membabitkan perasaan benci meliputi isu agama, kaum dan budaya.

Kedua, tindakan yang dianggap boleh menjejaskan ekonomi negara seperti boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh, pelabur lari dari negara ini kerana takut akibat keadaan tidak menentu. Begitu juga aktiviti sindiket mengeluarkan kad pengenalan dan pasport palsu yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan bagi mencegah kegiatan terus berlaku.

Ketiga, pihak yang mengancam perkhidmatan perlu dan penting seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga boleh dikenakan tindakan ISA.

Masih ramai mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan campur tangan politik.

Orang berkata ISA adalah undang-undang yang membolehkan penahanan di bawah kuasa Menteri (Keselamatan Dalam Negeri) dan penahanan tanpa bicara. Orang selalu lupa bahawa ISA mempunyai dua bahagian penting.

Pertama ialah mengikut Seksyen 73(1) yang memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awal menahan mana-mana pihak yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Tindakan ini membolehkan polis menahan seseorang sama ada selama 24 jam, dua hari dan seminggu dengan tempoh maksimum selama 60 hari. Jika dalam jangka masa itu tidak ada kes menunjukkan ada ancaman, pihak polis boleh melepaskan. Perkara ini adalah budi bicara polis sepenuhnya.

Ini membolehkan polis menjalankan kerja risikan bagi menentukan perkara ini tidak merosakkan ketenteraman awam.

Penahanan ini bukan suatu kesalahan jenayah dan tidak dituduh mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan. Tempat tahanan berbeza dengan mereka yang ditahan mengikut akta lain. Mereka yang ditahan reman dimasukkan dalam lokap, manakala tahanan ISA mempunyai sel sendiri yang lengkap dengan tempat tidur.

Tahanan ISA mempunyai hak untuk habeas corpus (writ hak untuk mencabar kesahihan penahanan seseorang) berjumpa keluarga, mendapatkan peguam dan apabila dibebaskan tidak mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah atau seperti tertuduh yang dilepaskan kerana tiada kes. Ini adalah semata-mata untuk ketenteraman dan keselamatan awam.

Polis tidak perlu merujuk kepada menteri untuk mengambil tindakan ini. Cuma sebagai Menteri Dalam Negeri, polis akan memberitahu tindakan itu diambil kerana perkara ini akan ditanya oleh pelbagai pihak, itu saja. Hendak melepaskan juga tidak perlu meminta kebenaran menteri. Itu adalah budi bicara polis yang cukup berhati-hati dan teliti.

Bagaimana jika selepas 60 hari dan polis mendapati bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Jika polis mendapati bahawa orang itu masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara, perakuan akan dibuat kepada menteri untuk menahan mengikut Seksyen 8(1) atau 8(5). Menteri akan melihat hujah polis untuk menahan orang itu. Jika berpuas hati, menteri akan menandatangani dokumen yang dipanggil Detention Order (Perintah Penahanan) selama dua tahun. Tidak bermakna sepanjang tempoh itu, orang itu tidak dapat berjumpa keluarga seminggu sekali dan juga peguam.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, kes boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat dan tahanan boleh membawa peguam ketika kesnya didengar. Jika Lembaga Penasihat menyatakan masih menjadi ancaman, tahanannya akan diteruskan dan setiap enam bulan akan ada semakan (sama ada orang itu menjadi ancaman).

Di Kamunting (Perak), tahanan ISA ada surat khabar, boleh bersenam dan tidak duduk seperti macam pesalah jenayah. Dia boleh bertanding pilihan raya dan mendapat rawatan bukan saja di hospital berdekatan, malah rawatan pakar. Makanan juga sangat baik dan kalau ada diet khas seperti vegetarian, kita akan sediakan makanan itu.

Kita kadang-kadang mudah lupa. Kita menganggap seolah-olah penahanan ini bertujuan untuk memuatkan orang politik. Orang politik boleh bertindak mengikut sesuka hati selagi tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kebanyakan orang yang ditahan mengikut ISA adalah berasaskan ancaman gerakan militan dan ideologi yang boleh memecah belahkan serta sikap melampau yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Jika polis tidak mengambil tindakan terhadap golongan begini, negara kita porak peranda. Lihat suasana sekarang, satu isu boleh mencetuskan perasaan tidak menentu, menimbulkan kegelisahan dan kemarahan antara kaum. Di negara ini, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal dengan baik supaya tidak bertukar menjadi konflik terbuka.

Dalam kes penahanan tiga individu terbabit, beberapa pihak, termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan penggunaan ISA. Apakah ketenteraman awam benar-benar tergugat hingga memerlukan ISA digunakan.

Soalan ini patut ditanya kepada polis. Saya tidak ada maklumat yang polis ada kerana polis menggunakan kuasa yang dalam pengetahuan mereka. Saya fikir dalam soal menjaga keselamatan di mana-mana pun, apabila mula mempertikaikan pasukan polis melaksanakan tugas seperti butiran yang ada apabila mengambil sesuatu tindakan, ini akan menggagalkan tindakan pencegahan.

Tetapi kalau kita melihat undang-undang antikeganasan di United Kingdom, pihak berkuasa boleh menahan seseorang kerana semata-mata ada ancaman. Mereka menyerbu dan memecahkan rumah orang Islam kerana dipercayai ada pengganas dan menangkap imam kerana ceramah imam dikatakan membangkitkan semangat.

Kita tidak boleh mengetahui keadaan yang membawa kepada penangkapan mengikut ISA seperti apakah maksud keadaan tidak terkawal dan bagaimana keputusan itu dibuat.

Jika buat begitu, pasukan keselamatan tidak boleh menjalankan tugas kerana setiap hari kena berbahas. Apabila berbahas akan ada perbezaan pandangan. Kita terlupa bahawa selama ini di belakang ada pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan. Kita lihat bahawa (sebelum penahanan mengikut ISA) suhu semakin lama semakin panas hingga Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi pandangan bahawa suasana ini perlu dibendung.

Kita hendak bendung atau 'kita tidak boleh percaya cakap polis kerana kita perlu tengok biar bergaduh dulu, baru ambil tindakan'. Saya fikir ini tidak pernah menjadi pendekatan Malaysia dan ini yang menyebabkan wujud kedamaian dan keamanan di negara ini. Polis apabila mengambil tindakan mengambil kira semua faktor itu. Malangnya orang yang memberi komen (mengenai ISA) mempunyai faktor politik sedangkan polis melihat faktor keselamatan.

Memang perkara ini adalah kontroversi. Tetapi adakah kerana kemungkinan kontroversi, polis tidak mengutamakan soal keselamatan.

Saya fikir parti komponen BN yang membentuk kerajaan perlu mempunyai satu pemikiran. Kekuatan politik BN ialah kita menyimpan semua perkara yang hangat dalam perbincangan tertutup dan ini tidak mencetuskan reaksi berbeza.

Adakah kerajaan tidak memberi perhatian terhadap pandangan yang mengkritik ISA.

Terdapat dua reaksi terhadap ISA. Jangan ingat orang yang menghentam ISA adalah golongan majoriti. Mereka yang menentang penggunaan ISA adalah golongan yang vocal (lantang) dan mereka melahirkannya dengan menulis surat dan SMS. Saya anggap sebagai kakitangan awam yang menjalankan tugas, itu adalah perkara biasa kerana setiap orang ada pandangan masing-masing.

Bagaimanapun pada masa sama, saya mendapat banyak surat dan SMS memberi sokongan terhadap ISA. Akhirnya saya berfikir orang yang menyokong ISA bukan kerana faktor kaum, budaya dan agama, tetapi takut tercetus pergaduhan dan perselisihan.

Bagaimana tiada ancaman jika pihak antarabangsa mengklasifikasikan Malaysia sebagai tidak stabil dari segi politik, keadaan tidak menentu dan dinasihat tidak melabur. Bukankah itu adalah ancaman kepada keselamatan. Polis mesti ada asas sebelum bertindak mengikut ISA.

Kadang-kadang pihak yang memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjadi mangsa kepada niat kita untuk melahirkan kebebasan daripada golongan yang tidak semesti majoriti. Golongan majoriti selalunya senyap. Ada orang kata ISA ketinggalan zaman, tetapi akta ini sudah berkembang dan prosedur berubah berbanding peringkat awal.

Pihak yang menentang ISA menggesa mereka yang ditahan ISA diberi peluang membela diri. Sebagai contoh mereka yang ditangkap kerana menghasut didakwa mengikut Akta Hasutan.

Saya bercakap mengenai keselamatan. Sebagai contoh jika menghasut yang boleh menyebabkan keselamatan terjejas dan menimbulkan konflik terbuka atau sifat perkauman yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, tindakan ISA akan digunakan.

Katakan seorang yang tidak suka orang Islam meletakkan daging babi di depan rumah orang Islam. Daging itu boleh dibuang sajalah, tetapi ini boleh mencetuskan perbalahan antara orang Islam dan bukan Islam. Begitu juga jika orang Islam mengatakan 'apalah sembahyang pada tokong atau bakar kertas'. Semua sifat tidak bertolak ansur terhadap fahaman berlainan boleh membangkitkan kegelisahan, kemarahan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Kita boleh bertindak mengikut Akta Hasutan jika hasutan itu adalah hasutan biasa, tetapi keadaan berbeza jika hasutan menjejaskan keselamatan serta membawa kepada suasana permusuhan dan konflik terbuka, sama ada ia berlaku atau tidak adalah soal lain. Polis akan menganalisis sama ada ia akan berlaku atau tidak.

Antara dua perkara yang dianggap buruk (between two evils), lebih baik kita mencegah berbanding membiarkan rusuhan berlaku. Untuk membetulkan masyarakat selepas rusuhan berlaku adalah lebih susah seperti (pergaduhan antara kaum) di Kampung Medan (Selangor) dan Kampung Rawa (Pulau Pinang). Untuk membina mengambil masa, tetapi untuk meruntuhkan sekelip mata.

Di sebalik wujud tentangan, tangkapan mengikut ISA dilihat agak lewat ketika keresahan dan kebimbangan berhubung isu perkauman sudah lama meruap di kalangan masyarakat.

Saya sudah menjangka jika kita tidak mengambil tindakan, dikatakan gagal melaksanakan tugas. Kalau ambil tindakan, dikatakan sudah lambat. Pada saya, tindakan perlu dilihat kepada tahap. Jika tahap itu boleh lagi tolak ansur, pihak polis tidak mahu mengganggu kebebasan dan kemahuan masyarakat melaksanakan hak.

Polis cukup berhati-hati dan teliti kerana tahu bahawa ini menyentuh soal kebebasan dan hak individu. Saya sendiri sebelum menandatangani benda ini (dokumen ISA), mereka (pegawai bahagian ISA Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) ditanya macam-macam soalan hingga pening kepala. Mereka kata Datuk ini susah!

Hendak menahan orang bukan suatu perkara mudah atau kita kata 'orang itu kena tahan, tahan dia'. Tidak boleh! Mesti kaji dengan teliti kerana ada penahanan mengikut ISA mempunyai sistem, iaitu penahanan boleh dipertikaikan, dibawa ke mahkamah, ada jaminan bahawa orang itu tidak teraniaya dan kita hendak tentukan dua keadilan apabila bertindak. Pertama keadilan kepada individu yang hendak ditahan. Kita tidak menyalahgunakan kuasa serta memberi keadilan dan kesaksamaan.

Kedua, jangan lupa bahawa masyarakat juga menuntut keadilan. Kita mesti adil kepada individu serta kepada masyarakat dan negara. Kita mesti saksama terhadap kedua-dua pihak supaya tidak menimbulkan keresahan yang akhirnya orang duduk saja dalam rumah dan malam lengang kerana orang dengan pelbagai kemungkinan. Alhamdulillah sejak merdeka, negara cukup selesa hingga kita lupa bahawa ISA banyak membantu.

Penangkapan wartawan Sin Chew Jit Poh, Tan Hoon Cheng dilihat agak ekstrem dan alasan untuk melindungi keselamatannya juga tidak diterima. Apakah pandangan Datuk Seri.

Saya fikir perkara ini dilihat dalam konteks terpisah. Keselamatan individu ialah jawapan kepada banyak soalan, tetapi yang utama dan telah dialihkan pandangan, jika dilihat temu bual saya ialah mengenai keselamatan.

Bukan keselamatan individu, tetapi secara keseluruhan. Sebagai contoh untuk membuat penangkapan seterusnya, polis kena mulakan dari sesuatu.

Polis (dalam kes Tan) bermula dengan mendapatkan orang yang mula-mula menulis, adakah digunakan oleh orang lain untuk mengancam keselamatan, mengapa dia tulis itu, adakah unsur yang mempunyai perkara tersirat yang boleh menjejaskan keselamatan dan siapa yang terbabit. Jika polis hendak tangkap orang lain pun, dia kena berpunca dari sini (Tan).

Jika orang kata mengapa tidak mengambil tindakan terhadap orang tertentu, apabila hendak mengambil tindakan, kita kena kaitkan dan ada rangkaiannya. Jadi perlu ambil punca utama dan bukan kita hendak menahan dan melakukan keganasan terhadap dia.

Penahanan wartawan, sama seperti ahli politik dan peguam memang mendapat perhatian dunia antarabangsa. Soalnya, kita sayang negara atau lebih melihat kepada tekanan luar. Jika negara porak peranda, siapa yang hendak jaga. Orang luar?

Apabila Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sebagai anggota Kabinet, mempertikaikan penggunaan ISA dan kemudian meletakkan jawatan. Tidakkah ini melemahkan kewajaran tindakan kerajaan menggunakan ISA.

Saya fikir antara tradisi seluruh dunia ialah berpegang kepada tanggungjawab bersama. Jika kita mempunyai pegangan yang betul-betul berlainan di atas prinsip, memang saya fikir tindakannya adalah tepat kerana tidak boleh berkongsi pandangan yang sama.

Kita semua mempunyai pandangan masing-masing terhadap ISA. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi ketika mengamalkan undang-undang dan sebelum menjadi Menteri Dalam Negeri. Apabila saya menjadi sebahagian kumpulan yang bersama, paling penting kita hendak tentukan ialah tidak ada penyalahgunaan kuasa dan menentukan keselamatan negara diletakkan di atas segala kepentingan lain.

Ketika zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), ada anggota Kabinet membuat kenyataan berlainan daripada apa yang diputuskan berhubung pengambilan tanah di Johor untuk membuat Link Kedua. Komen Dr Mahathir, 'kita ada keputusan dalam Kabinet, kalau sesiapa tidak bersetuju, tidak boleh menyokong keputusan bersama, cara terhormat ialah berhenti dari kerajaan'.

Saya fikir tindakan beliau berhenti (Zaid) adalah elok, tetapi kebanyakan orang apabila berhenti sepatut tidak pergi kepada pembangkang. Kebanyakan orang berhenti kerana ada prinsip, tetapi tetap ahli parti dan bersama kerajaan. Jika dalam kerajaan, kita sentiasa membangkang, di mana semangat setia kawan? Kekuatan itu adalah tanggungjawab bersama sebagai tradisi yang dipegang oleh anggota Kabinet yang memang ramai peguam.

Ketika kerajaan menggalakkan kebebasan dan bersikap liberal terhadap kebebasan bersuara, ISA digunakan. Tidakkah ini mewujudkan pertentangan yang nyata.

Cuba lihat sejak diperkenalkan, berapa banyak surat khabar ditutup kerana ISA? Cuba lihat Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), kumpulan yang bukan saja dikatakan dimiliki parti pemerintah, tetapi mempunyai hubung kait dengan Umno, tetapi memberi laporan satu muka penuh kepada Zaid dan laporan penuh terhadap tangkapan ISA, memuatkan pandangan semua orang. Lihat blog dan begitu juga surat khabar lain. Apa yang terkandung dalam The Sun dan Sin Chew Jit Poh?

Saya fikir kebebasan cukup banyak. Jangan mengambil satu kes dan salahkan ISA. Mana ada orang yang ketika menulis memikirkan ISA. Tidak ada! ISA tidak menjadi hambatan tetapi jangan kita menggunakan seolah-olah ISA menghantui kebebasan. ISA hanya datang apabila kita menjejaskan keselamatan.

Hendak tulis sebebas-bebasnya, tetapi tidak bermakna bebas itu tidak patuh kepada undang-undang. Raja Petra dalam temu bual bersama BBC berkata bahawa kerajaan hendak mengekang kebebasan internet. Saya cakap kebebasan tetap ada, tetapi dilaksanakan dalam konteks patuh kepada undang-undang negara.

Takkan kita biarkan kebebasan hingga negara porak peranda. Kebebasan mesti dilaksanakan dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti menghormati bukan saja hak kita, tetapi hak orang lain, menghormati sensitiviti. Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dikatakan menyebabkan tidak ada kebebasan. Tetapi Malaysia adalah antara negara yang banyak surat khabar dalam pelbagai bahasa. Banyak pandangan dikeluarkan dalam surat khabar. Saya tengok sangat baik untuk sebuah negara sedang membangun, standard kita dalam sesetengah keadaan terutama di bawah Perdana Menteri sekarang sehebat negara maju.

Selepas 51 tahun merdeka, Datuk Seri melihat hubungan antara kaum masih menjadi masalah besar.

Kita boleh melihat Malaysia sebagai Malaysia dan tidak melihat dari kaca mata kaum atau memperjuangkan kepentingan kaum. Kita meletakkan integrasi sebagai agenda utama. Masalahnya kita bercakap mengenai Malaysian Malaysia, tetapi hanya bercakap mengenai kepentingan kaum masing-masing.

Ini bermakna pihak berkenaan mahu pewarnaan mengikut sudut kaum masing-masing. Kalau macam itu, kita belum sampai tahap integrasi sebenar yang mahu dicapai. Integrasi bukan bermakna asimilasi. Kita tidak boleh asimilasi orang kerana kita dalam satu masyarakat majmuk. Kepelbagaian menjadi kekuatan kita.

Allah menjadikan orang Melayu cukup tinggi toleransi kerana mengambil unsur budaya lain dan diMelayukan. Budaya Melayu bukan budaya menekan, menerima semua unsur sebab itu boleh menjadi asas kepada keMalaysiaan.

Tabiat tradisi kunyah daun qat ancam nyawa penduduk Yaman


Oleh Shamsiah Sanin


BERIKUTAN permintaan qat yang tinggi dalam pasaran, pengeluarannya semakin bertambah di Sana'a, Yaman.

Penyakit barah mulut makin meningkat kerana petani guna racun perosak

TABIAT mengunyah qat, daun daripada sejenis tumbuhan berbunga di kalangan penduduk Yaman kini menyebabkan masalah ekonomi dan kesihatan di negara itu, malangnya kerajaan mendapati amat sukar untuk membendung amalan buruk itu.

Bagi penduduk Yaman mengunyah qat adalah satu cara mengisi masa lapang. Tumbuhan ini mudah didapati hampir di seluruh Semenanjung Arab dan apabila dikunyah boleh memberi reaksi rangsangan lembut.


Bagaimanapun si pengunyah qat biasanya akan memasukkan seberapa banyak daun ke dalam mulut dan menyimpan di sebelah pipi, menyebabkan pipi menjadi kembung dan ia adalah suatu pemandangan biasa hampir di mana saja di negara itu. Sebilangan penduduk mengunyah qat untuk menambah tenaga ketika bekerja, manakala yang lain mengunyah qat untuk menenangkan fikiran.

Untuk mengatakan qat popular di Yaman mungkin keterlaluan, bagaimanapun hampir semua penduduk di Yaman mengunyah qat, dua pertiga lelaki dan satu pertiga wanita.

Adalah pemandangan biasa untuk melihat lelaki dengan pipi kembung duduk di kaki lima tanpa menghiraukan keadaan sekeliling sebaliknya terus mengunyah qat.

PIPI kembung 'identiti' si pengunyah qat di Yaman.

Tabiat mengunyah daun ini juga bukan membabitkan golongan tertentu sebaliknya semua orang, daripada ahli perniagaan sehingga penjual di tepi jalan. Sebilangan kecil adalah pengunyah tegar, manakala kebanyakan penduduk akan mula mengunyah sejurus selepas makan tengah hari dan akan terus mengunyah sehingga lewat malam.

Qat sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di Yaman, bagaimanapun sejak akhir-akhir ini kerajaan semakin prihatin terhadap pengaruh qat di negara itu.

Orang yang bertanggungjawab memberi amaran kepada kerajaan mengenai masalah ini ialah Menteri Perancangan Yaman, Abdulkarim al-Arhabi yang mengetahui kesan mengunyah qat secara terperinci.

Beliau berkata, penyakit barah mulut semakin menunjukkan peningkatan berikutan petani yang menanam qat kini menggunakan racun makhluk perosak.

Semakin ramai petani menanam qat yang memerlukan banyak air berbanding tanaman makanan berikutan harga daun itu yang tinggi.

"Akibatnya negara padang pasir itu kini mengalami masalah kekurangan air yang amat teruk dan terpaksa bergantung kepada makanan yang diimport dan terpaksa membayar harga lebih mahal," katanya.

Abdul Karim berkata, pada masa sama tabiat mengunyah qat mempunyai kesan kepada produktiviti.

"Golongan muda boleh bekerja lebih dan meningkatkan produktiviti masing-masing, sebaliknya mereka lebih suka duduk melepak dan mengunyah qat," katanya.

Kritik terhadap kerajaan pula menuding ke arah seorang daripada tiga rakyat Yaman menganggur dan mengunyah qat adalah cara mudah melalui hari dalam kehidupan mereka, selain cara menjauhkan diri daripada minuman keras dan dadah lain yang lebih berbahaya.

Di pasar menjual qat di sekitar Sanaa, suasana riuh rendah dan kesibukan adalah pemandangan biasa. Daun qat bermutu tinggi boleh mencapai harga RM73 satu beg dan ia hanya mencukupi untuk dikunyah bagi tempoh sehari saja.

Hasrat kerajaan untuk menghapuskan tabiat mengunyah qat, bagaimanapun membimbangkan sebilangan penduduknya.

"Kerajaan memerlukan qat dan ia memperoleh banyak wang daripada cukai yang dibayar petani. Apabila penduduk mengunyah qat mereka tidak akan bertanya ke mana pergi keuntungan minyak Yaman," kata seorang penduduk yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad.

Kemiskinan, rasuah, ekonomi yang tidak menentu dan pengangguran, semuanya mempunyai kaitan dan hubungan dengan qat.

Ia mungkin mendatangkan masalah, tetapi tiada siapa yang tahu apa akan terjadi jika qat dihapuskan.

Seorang peniaga qat di pasar besar Sanaa pula menegaskan bahawa... qat adalah kunci keamanan kepada Yaman dan hanya orang bodoh akan cuba menghapuskannya."

Bagaimana inovasi mengubah dunia


Oleh Johan Jaafar

Inovasi menurut Kamus Dewan bermakna 'sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan'. Ia juga bermaksud 'memulakan sesuatu yang baru'. Perkataan ini ada kaitannya dengan ciptaan, kreativiti dan imaginasi. Maka itu dalam konteks yang lebih luas ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan, dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

Hari ini inovasi menentukan siapa yang berjaya dan tidak. Produk dan barangan yang inovatif mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu idea yang inovatif boleh mengubah sesuatu industri. Idea yang kadangkala kecil dan dipandang ringan tetapi melalui inovasi yang betul menjadikannya hebat dan berkesan.

Bayangkan bagaimana industri pengangkutan yang satu waktu dulu dicorakkan oleh kereta api tetapi berubah dengan inovasi dalam pengangkutan bentuk yang lain. Industri kapal terbang yang selalunya kental dengan cara dan peraturan lama diubah dengan inovasi melalui penerbangan tambang murah. Komputer yang sebelumnya berat dan kompleks dipermudahkan menjadi komputer peribadi (PC) dan komputer bimbit. Telefon bimbit menjadi ciri penting dalam kehidupan moden, tetapi dengan masuknya elemen sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi kamera dan simpanan muzik, menjadikan peralatan itu boleh memainkan fungsi yang lebih luas.


Inovasi dalam dunia perfileman mengubah cara kita berhibur. Konsep makanan segera merupakan inovasi sistem makanan untuk umum. Starbucks dan Coffee Bean menulis semula hukum hakam generasi baru berkumpul sambil minum-minum atau melayari dunia siber. Google mengubah cara kita mencari maklumat melalui sistem cariannya yang unik. Microsoft sebelum ini melalui inovasi perisian komputer memudahkan pengguna mengendalikan peralatan moden itu.

Internet merupakan sungai besar yang mengalir membawa bersama-samanya ilmu, maklumat selain segala sampah-sarap. Sebelum ini kita berkenalan dan berinteraksi melalui cara tradisional di dalam majalah hiburan atau kelab peminat. Hari ini Friendster, Myspace dan Facebook mengubah cara kita berhubungan di alam siber. Inovasi itu membawa pulangan berbilion ringgit pada penciptanya.

Sistem perbankan selalunya konservatif. Bank dikatakan hanya melayan mereka yang berwang dan mampu menyimpan. Tetapi ahli ekonomi Profesor Muhammad Yamin memulakan sistem pinjaman mikro-kredit untuk rakyat termiskin. Dengan memberikan AS$27 atau kira-kira RM86.4 kepada seorang wanita untuk memulakan pembuatan perabot dari buluh pada tahun 1974, beliau merevolusikan sistem perbankan. Hari ini Bank Grameen di Bangladesh memberikan pinjaman mikro-kredit bernilai RM192 bilion kepada lebih tujuh juta peminjam. Inovasi seperti inilah yang mengubah kehidupan jutaan manusia.

Pemenang Anugerah Merdeka untuk Pendidikan dan Kemasyarakatan, Profesor Diraja Ungku Aziz melihat bagaimana kaedah ribuan jemaah haji menunaikan rukun Islam yang kelima. Beliau mencadangkan konsep sebuah institusi yang dikenal sebagai Tabung Haji. Tabung Haji ialah inovasi luar biasa yang mengubah cara jutaan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik melalui sistem terancang dan sistematis.

Pada 1973, beliau membawakan cadangan radikal masa itu untuk mengubah pemberian biasiswa pada satu sistem pinjaman yang mencukupi. Pelajar akan membayar balik pinjaman itu dengan cara yang tidak membebankan. Beliau memberikan empat alasan mengapa perubahan itu perlu: Biasiswa yang tidak akan mencukupi, mereka yang tidak memerlukan mendapat biasiswa, sikap terhadap pemberian percuma dan keperluan kerajaan menjimatkan wang.

Tidak banyak orang yang memberikan perhatian serius pada cadangan beliau masa itu. Sebagai pelajar di Universiti Malaya pada 1975, saya melihat cadangan itu sebagai munasabah dan praktikal. Saya menulis sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia pada 15 Jun 1975 dengan judul "Gantikan sistem biasiswa kepada sistem pinjaman." Hari ini kita tahu cadangan Ungku Aziz dijelmakan sebagai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang semangatnya masih merupakan cadangan Ungku Aziz 35 tahun yang lalu. Inilah inovasi yang dimaksudkan, yang datang daripada pemikiran kreatif.

Hari ini inovasi menjadi kunci dan rahsia kejayaan bukan saja bagi syarikat tetapi negara yang berdaulat. Negara seperti Finland, Ireland, Singapura dan Denmark adalah negara yang kecil dan pernah mundur tetapi berada di tahap teratas dalam keupayaan inovasi. Bukan bahan mentah lagi yang menentukan kelebihan kompetitif sesebuah negara tetapi juga kelebihan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) dan inovasinya.

Cabaran bagi negara membangun khususnya ialah untuk memastikan inovasi berada pada tahap dan kedudukannya yang terbaik. Inovasi harus menjadi falsafah yang merubah sistem pentadbiran, hala tuju teknologi dan kemampuan saintisnya. Masa depan dunia ditentukan oleh persaingan untuk menjadi lebih inovatif.

Negara kita tidak terkecuali. Usaha membangunkan modal insan adalah langkah yang betul ke arah melahirkan generasi masa depan yang dilengkapkan dengan skil dan ketrampilan yang sesuai. Pada waktu yang sama kita juga harus melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif bagi memungkinkan penggunaan sumber sedia ada secara berkesan dan produktif bagi tujuan bersaing. Globalisasi dan dunia tanpa sempadan tidak menunggu mana-mana negara dan komuniti yang lembap dan lemah.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan Teras Kedua Misi Nasional sebagai 'Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama'. Dua aspek penting yang dikaitkan dengan teras ini ialah meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan dan memperkukuh keupayaan sains, R & D, dan inovasi.

Negara tidak mungkin menjadi negara maju tanpa kapasiti sains dan teknologi yang jelas, kata beliau. Salah satu matlamatnya ialah memastikan pencapaian sasaran R&D negara sebanyak 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2010. Satu lagi sasaran utama ialah 'menyepadukan usaha R&D serta memberi perhatian yang lebih terhadap pengkomersialan penemuan R&D'.

John Kao menghasilkan Innovation Nation: How America Is Losing Its Innovative Edge, Why It Matters, and What We Can Do To Get It Back. Buku ini patut menjadi bacaan wajib bagi semua orang yang berminat untuk melihat bagaimana inovasi mengubah dunia. Walaupun tumpuan beliau ialah pada kegagalan Amerika Syarikat (AS) dalam mempertahankan tradisi inovasi dan kreativitinya, tetapi ia relevan untuk negara lain juga, termasuk Malaysia.

John Kao menanyakan apakah rahsia yang membolehkan Finland menjadi negara teratas sebagai ekonomi yang paling kompetitif. Mengapakah pelajar AS kini berada di tangga ke-24 dari segi penguasaan Matematik dan di tangga ke-26 dalam kebolehan menyelesaikan masalah? Mengapakah lebih 30,000 profesional yang cukup terlatih dalam bidang teknologi maklumat berpindah ke Bangalore, India? AS selama ini menjuarai inovasi dalam pelbagai lapangan � daripada filem hingga sistem perbankan. Tetapi kekuatan itu semakin berkurang menjadikan AS ketinggalan dalam banyak hal.

Beliau mencadangkan antara lain Agenda Inovasi Kebangsaan (National Innovation Agenda) bagi AS untuk mengembalikan kekuatan itu. Ia harus bertolak dari 20 hub inovasi yang menjadi penjana bagi menjadikan AS negara yang inovatif semula. Buku ini mengingatkan rakyat AS bahawa the next big idea tidak semestinya datang dari negara maju. Bakat tidak ditentukan oleh mana-mana budaya atau kedudukan geografi. Tidak ada siapa yang mempunyai monopoli idea.

Inovasi juga akan menentukan di mana kita pada masa akan datang.

20 September 2008

Semua mesti bersatu atasi krisis kewangan



APABILA Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran tempatan, menjunam ke paras di bawah 1,000 mata kelmarin � kali pertama dalam tempoh dua tahun � ia jelas memperlihatkan kesan langsung prestasi buruk pasaran saham dunia terhadap pasaran tempatan. Kita perlu mengakui kemelut ekonomi di Amerika Syarikat (AS) berpunca daripada masalah pinjaman gadai janji subprima yang dikesan 13 bulan lalu, kini dilihat sudah merebak menjadi krisis kewangan global. Keadaannya semakin ketara dan tidak menunjukkan tanda akan berakhir menyebabkan ramai pakar kewangan global bimbang. Ia bakal menyebabkan krisis dolar AS selaku mata wang rizab antarabangsa, sekali gus mengakibatkan sistem kewangan AS, kuasa besar ekonomi global semakin terancam. Senario yang berlaku di AS kini, sama seperti dialami negara Asia pada 1997, termasuk Malaysia yang berdepan dengan kemelut keruntuhan ekonomi yang menyaksikan Thailand dan Indonesia terpaksa melutut kepada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk bantuan. Kalau sebelum ini, tindakan negara Asia menyelamatkan syarikat perniagaan daripada bankrap dianggap bertentangan dengan kehendak ekonomi pasaran dan menerima kritikan kuasa ekonomi besar, terutama IMF, sebagai kuasa besar ekonomi, AS dan Eropah juga terpaksa menyelamatkan syarikatnya yang berdepan dengan krisis bagi mengelak ia memberi kesan buruk kepada ekonomi mereka, walaupun bercanggah dengan prinsip ekonomi diamalkan sebelum ini.

Berikutan masalah dihadapi AS, bank pusat utama dunia termasuk European Central Bank (ECB), Bank of England, Bank of Japan, Swiss National Bank dan Bank of Canada menyuntik sejumlah AS$300 billion (RM1.02 trilion) untuk membantu Rizab Persekutuan AS merangsang kecairan pasaran kewangan global. Kita dapati walaupun negara tidak terdedah secara langsung, tempiasnya turut dihadapi ekonomi dan rakyat terutama ancaman inflasi, penurunan eksport dan pelaburan, selain pengurangan perbelanjaan pengguna. Berikutan itu, kerajaan perlu bertindak segera untuk menangani masalah yang timbul melalui dasar fiskal dan kewangan lebih mantap. Sehubungan itu, langkah mengekalkan kadar faedah; penurunan cukai; penyediaan pelbagai insentif pelaburan; bantuan kewangan dan pembiayaan langsung kepada rakyat; kawalan harga barangan keperluan; pembinaan prasarana; pembangunan wilayah ekonomi dan mengenal pasti destinasi eksport baru diharap dapat mengurangkan impak kemelesetan ekonomi global kepada ekonomi negara. Dalam pada itu, kita juga meminta semua pihak yang bertelagah dalam politik supaya menyedari kemelut bakal dihadapi negara sekiranya pertembungan politik dan ekonomi meledak sehingga menyebabkan ekonomi negara terencat. Ketika kita berdepan krisis ekonomi 1997, senario politik negara dalam keadaan terkawal, namun kali ini negara berdepan masalah politik yang serius dan perlu ditangani segera.


16 September 2008

Penuhi kemudahan ICT setempat


BUKAN mudah menceburi bidang perniagaan tanpa sebarang pengalaman dan jaringan kenalan. Ia juga tidak memadai hanya mempunyai idea perniagaan yang menarik dan mampu mengeluarkan produk atau perkhidmatan tetapi tidak tahu mengenai saiz pasaran. Namun cabaran itu disambut sebagai sesuatu yang positif oleh Datin Norhayati Md. Haniff, 30, untuk meletakkan diri jika tidak melebihi sekalipun, tetapi setanding dengan orang lain.

Prinsip 'kerja keras dan sentiasa cuba merebut peluang' menjadi iltizam yang menguatkan keinginan wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini meneruskan impian untuk berjaya dalam perniagaan yang selama ini dikuasai bangsa asing.

Penubuhan Super Arrow (M) Sdn. Bhd., bukti kepada kesungguhan wanita ini untuk meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan pembukaan In (teleca ) Shoppe, baru-baru ini khusus bagi penjualan produk telekomunikasi dan multimedia.

"Saya bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah Taala kepada saya hari ini. Saya menganggapnya sebagai kurniaan dan peluang yang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Kenapa saya memilih bidang ini, jawapannya mudah kerana permintaan dan peluang pasarannya yang cukup tinggi ketika ini dan juga pada masa akan datang,'' ujarnya dengan nada perlahan tetapi penuh makna ketika ditemui di In (teleca) Shoppe di Jalan Diplomatik, Presint 15, Putrajaya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut kata pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di utara tanah air ini, biarpun tidak kaya pengalaman dalam bidang ICT seperti orang lain, keinginannya untuk sentiasa belajar, tidak takut kepada cabaran antara faktor yang menguatkan keyakinan untuk membawa syarikatnya ke tahap membanggakan satu hari nanti.

Malah pembukaan kedai telekomunikasi dan multimedia yang pertama seumpamanya di Putrajaya, baru-baru ini juga memberi keyakinan kepada beliau yang juga Pengarah Urusan Super Arrow Sdn. Bhd. itu untuk menawan pasaran di kawasan tersebut.

Ini berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk kedudukan strategik kedai Telekom Malaysia (TM) di kawasan kedai baru yang terletak di Presint 15 itu.

"Ia juga tepat dengan masanya sebagai alternatif untuk berurusan dengan mudah kepada penduduk setempat yang selama ini terpaksa pergi ke Cyberjaya. Apa yang lebih menggembirakan ia juga pelengkap kepada kemudahan berkaitan dengan telekomunikasi dan multimedia di Putrajaya yang seharusnya wajar dimanfaatkan penduduk setempat,'' ujarnya sambil mengakui operasi In (teleca) Shoppe menepati sasarannya bagi memenuhi permintaan pengguna di kawasan Putrajaya dan sekitarnya yang pesat berkembang sejajar dengan tuntutan era ICT.

Pelanggan katanya, bukan sahaja dapat memanfaatkan kemudahan di In(teleca) Shoppe bagi urusan mendapatkan Streamyx, pendaftaran Broadband, membayar bil dan perkara- perkara lain berkaitan dengan produk TM, tetapi juga produk Celcom.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa bangga kerana sasaran syarikat untuk melantik sekurang-kurangnya 50 ejen dalam tempoh dalam tiga bulan pertama operasinya sudah melebihi sasaran sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berkelayakan bagi meluaskan operasi pemasarannya.

Selain melantik ejen, syarikatnya juga turut merancang membuka kiosk-kiosk di beberapa kementerian bagi membantu pelanggan menyelesaikan urusan mereka.

"Saya merancang untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan dengan menawarkan apa sahaja produk dan perkhidmatan berkaitan. Ini termasuklah menjual peralatan telekomunikasi, termasuk telefon, aksesori berkaitan dan sebagainya. Hasrat saya mahu menjadikan In (teleca) Shoppe sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung,'' ujarnya sambil tersenyum penuh makna.

Bagaimana bersemangatnya beliau ketika bercerita mengenai perniagaannya itu, begitulah juga ketika ditanya harapan dan masa depannya. Sifat bersungguh itu mungkin lahir daripada keperibadian beliau sendiri yang menggambarkan dirinya seorang bersemangat tinggi dan fokus dalam mencapai apa yang diingini.

Menceritakan pengalaman dalam dunia perniagaan kata Norhayati, hanya menceburi bidang tersebut pada tahun 2003 iaitu setahun selepas berumahtangga. Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai juruaudit beberapa tahun di salah sebuah syarikat insurans terkemuka di ibu negara.

Jika sebelum ini beliau hanya dilantik sebagai rakan kongsi kini setelah memiliki syarikat sendiri, kini segala-galanya perlu diuruskan sendiri, terutama bertemu pelanggan.

"Ia antara cabaran besar yang perlu saya hadapi. Saya percaya apa yang saya lalu setiap hari adalah proses pembelajaran terbaik buat saya. Saya percaya kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan kemahuan dan usaha sendiri,'' ujarnya yang mengakui cukup bertuah kerana mempunyai individu iaitu suaminya sendiri, Datuk Ismail Kijo sebagai pendorong kepada penglibatannya dalam dunia perniagaan selama ini.

Sebagai ibu kepada tiga anak kembar masing-masing berusia 2 1/2 tahun, Farid Danish, Faris Danial dan Fasha Dania, beliau tidak menafikan masa bersama anak-anak sudah semestinya cukup terhad.

Namun beliau tidak pernah menjadikan semua itu sebagai alasan kerana bagi wanita ini keluarga adalah segala-galanya. Oleh kerana ini sesibuk mana sekalipun, beliau sentiasa memastikan masa diperuntukkan terutama pada malam hari dan hujung minggu bersama-sama suami dan anak-anak.

Ditanya harapan, kata wanita gigih ini, sudah pasti mengharapkan kebahagiaan berkekalan dalam rumahtangga, selain mempelbagaikan lagi cabang perniagaan terutama membuka restoran makanan segera dalam tempoh terdekat.

Guna kaedah mudah belajar Sains dan Matematik


RAMAI murid gagal menguasai Sains dan Matematik sehingga timbul cadangan agar kedua-dua mata pelajaran itu kembali diajar menggunakan bahasa Melayu.

Saya berpendapat masalah tersebut timbul bukan kerana murid-murid terbabit 'otak beku' atau tahap kecerdikan mereka rendah tetapi kerana mereka tidak faham dan tidak diberi kefahaman tentang kedua-dua mata pelajaran itu dengan betul.

Guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu kelihatan serba kekok, malah mereka semacam mengalami kejutan budaya apabila terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris.

Saya mengambil contoh di salah sebuah sekolah rendah yang agak terkemuka di Kota Bharu, Kelantan iaitu di tempat anak saya belajar.

Kelemahan murid-murid di situ dalam kedua-dua mata pelajaran amat ketara, kecuali bagi ibu bapa yang ada kemampuan dan menghantar anak-anak ke tuisyen sains dan matematik.

Bukan itu sahaja, hanya beberapa helaian buku kerja anak saya yang terusik dan banyak yang tidak diperiksa sedangkan penggal persekolahan sudah lebih setengah tahun.

Bila ditanya anak kenapa kerja sekolah tidak dibuat, jawapannya tidak tahu dan cikgu belum ajar lagi kerana kononnya cikgu jarang masuk kelas. Bila ditanya kenapa cikgu jarang masuk kelas, jawabnya cikgu pergi berkursus.

Oleh kerana banyak masa guru dihabiskan untuk berkursus, masa untuk mengajar hanya sedikit dan mahu tidak mahu masa untuk murid belajar dan diajar terhad.

Justeru apa bila menghadapi ujian dalam keadaan yang tidak cukup ilmu, maka markah yang diperolehi semestinya rendah.

Seingat saya sebelum mata pelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, anak saya dan rakan-rakan sekelas memperolehi markah 80 peratus ke atas tetapi sekarang menurun kepada 50 peratus.

Kemerosotan pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan jelas disebabkan murid tidak diajar dan guru tidak mengajar dalam jangka masa yang mencukupi.

Kita tidak salahkan guru kerana terpaksa menghadiri kursus untuk mengelak rasa kekok ketika mengajar dan menjauhi kejutan budaya iaitu terpaksa mengajar menggunakan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.

Untuk jangka panjang mengajar sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris memang melabakan tetapi apakah bagi keperluan jangka pendek murid-murid terpaksa menjadi mangsa.

Walaupun agak terbeban, namun ibubapa terpaksa menghantar anak-anak ke pusat tuisyen menjadikan pusat pengendalian tuisyen melimpah dengan pelajar.

Bagaimanapun ia tidak banyak membantu kerana tuisyen bahasa Inggeris tidak mengajar tentang istilah-istilah sains dan matematik pun.

Tujuan mendidik adalah supaya golongan pendidik dapat memberi ilmu kepada kumpulan yang hendak dididik.

Persoalannya, bagaimana pendidik boleh memberi pendidikan yang berkesan jika tugas mendidik diberikan dalam keadaan serba kekok dan menggunakan bahasa yang tidak benar-benar dikuasai.

Sepatutnya kaedah termudah digunakan untuk mewujudkan pelajar bijak sains dan matematik. Gunakan bahasa yang boleh memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran supaya tiada siapa rugi yang dalam hal ini.

Jika bahasa Melayu lebih mudah difahami maka gunakanlah bahasa tersebut sebaliknya jika bahasa Inggeris lebih berfaedah untuk jangka panjang maka ia bukannya sesuatu yang mutlak untuk ditolak.

Berhubung dengan istilah-istilah sains dan matematik, serahkan sahaja kepada pakar-pakar bahasa dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada unit khusus di samping mempunyai pakar dalam bidang peristilahan. Yang pentingkan perlu dipastikan para pelajar tidak menjadi mangsa keadaan.