Maju Melayu Perkasa!

31 Disember 2008

Jangan eksploitasi anak yatim


Apabila pergi ke pusat membeli- belah, bank dan juga masjid, kita dapati sudah menjadi trend kanak-kanak dieksploitasikan untuk membawa kaset agama atau pun buku agama termasuk naskhah surah Yasin. Ia bukan untuk tujuan menjual dengan harga tertentu tetapi meminta bantuan kewangan. Perkataan yang selalu digunakan kanak-kanak ini untuk merayu simpati itu adalah mereka daripada Yayasan Anak-Anak Yatim.

Angkara siapakah yang membawa anak- anak yatim berlonggok di pintu-pintu bank dan di kaki lima pusat membeli belah yang kini merebak bukan sahaja di bandar besar tetapi telah menular ke bandar kecil. Ada yang sampai meletakkan meja dengan tabung derma serta dikelilingi oleh kanak-kanak meminta bantuan kepada sesiapa sahaja yang lalu lalang di kawasan itu.

Kita tidak boleh menggunakan anak- anak yatim meminta 'sedekah' kerana terasa zalim mengerahkan tenaga mereka untuk keuntungan orang tertentu. Atau, apakah mungkin kanak-kanak ini diupah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan kaedah derma kepada tabung anak yatim atau kebajikan.

Kaedah derma ini boleh dicurigai kerana pada zaman yang canggih dengan kelicikan dan penipuan, mereka ini sanggup berbuat apa sahaja untuk menipu orang awam asalkan menguntungkan dengan cara mudah agak selamat.

Ajaran Islam dan banyak ayat dalam kitab suci al-Quran melarang keras memakan hasil atau harta anak-anak yatim serta kita tidak boleh menzalimi mereka dalam apa juga keadaan sekali pun.

Mereka yang melakukannya akan menerima azab yang amat pedih di akhirat kelak dan itu adalah janji Allah dan Allah menepati segala janji-Nya.

Berwaspadalah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

Diharapkan pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan dan juga Penguatkuasa Jabatan Agama Islam, mengambil tindakan sewajarnya dengan segera sebelum nama baik Islam dicemari kerana kelalaian serta sikap ambil mudah yang tidak sepatutnya berlaku dan berleluasa sekarang ini.

Jika perlu adakan undang-undang di mana setiap derma yang hendak dikutip, perlukan permit dan permit itu pula jangan mudah dikeluarkan jika ia boleh mendatangkan fitnah atau tidak keselesaan kepada umat Islam itu sendiri.

Peliharalah anak-anak yatim sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah kepada kita semua.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban

Hapuskan jenayah tugas kita semua


KADAR indeks jenayah yang melibatkan harta benda dan keganasan kian meningkat walaupun masih terkawal. Adalah tidak keterlaluan jika penulis sifatkan ia menjadi satu igauan yang membuat kita merasa kurang selesa untuk menguruskan kehidupan harian kita.

Kestabilan politik serta kemakmuran untuk menjana aktiviti ekonomi membuatkan negara kita menjadi syurga di dunia adalah antara faktor penarik kenapa warganegara asing ramai berhijrah ke sini bukan sahaja untuk mencari rezeki bahkan segelintir melibatkan diri dengan aktiviti jenayah di samping penjenayah-penjenayah tempatan yang berkeliaran.

Memerangi jenayah tidak lagi harus dibebankan sepenuhnya kepada pasukan polis. Ia menjadi tanggungjawab bersama. Oleh yang demikian setiap orang, kita semua, perlu memainkan peranan untuk seberapa yang boleh mengelak menjadi mangsa kepada penjenayah yang secara langsung menyumbang kepada kenaikan indeks jenayah.

Ke arah itu, kita harus bijak menjaga diri serta harta benda dan adalah dalam keupayaan kita untuk menghalang kes jenayah yang boleh berlaku. Sebagai contoh, antaranya seperti ragut, pecah rumah, rompakan, kecurian kenderaan dan sebagainya. Untuk mencegah berlakunya kes tersebut tidaklah terlalu sukar kerana kadang kala ia cuma memerlukan pemikiran akal yang biasa atau common sense. Jenayah biasanya berlaku bila kita alpa dan cuai dengan sikap acuh tidak acuh kita.

Kita boleh mempelajari sesuatu dari liputan akhbar kerana lazimnya laporan yang dimuatkan bersabit sesuatu kejadian jenayah akan melahirkan cara mana sesuatu jenayah itu dilakukan atau modus operandi. Apa yang kita pelajari haruslah disepadukan dengan panduan yang telah diberikan untuk memastikan perkara yang sama tidak berlaku terhadap kita.

Kepekaan terhadap berlakunya sesuatu jenayah dan cara mengatasinya tidak harus berakhir dengan orang persendirian sahaja malah ia patut diperturunkan kepada ibu bapa untuk dijadikan bahan bualan dengan anak-anak, guru-guru untuk dijadikan bahan mengajar dan juga pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan di sesuatu organisasi untuk dihebahkan kepada semua kakitangan sebagai satu ingatan melalui sistem yang sedia ada di bangunan tersebut. Untuk melakukannya ia tidak melibatkan apa-apa kos tambahan dan masa yang diluangkan tidaklah begitu lama hingga ia boleh menganggu tugasan harian tetapi sebaliknya jika diambil kira ia akan mendatangkan manfaat.

WMRAMLI
Ulu Klang

Awasi haram di Jepun halal di Malaysia


KEMEWAHAN dan kesenangan hidup yang kita kecapi pada hari ini membolehkan pelbagai perkara yang dahulunya sukar untuk dilihat menjadi satu kebiasaan. Misalnya makanan buatan luar negara yang dahulunya hanya dapat dinikmati apabila ada saudara mahupun sahabat yang ke luar negara, kini banyak dijual di pasar raya mahupun kedai-kedai di negara ini.

Persoalannya, apakah status halal semua makanan tersebut terjamin untuk umat Islam di negara ini?

Mungkin ada antara kita yang tidak begitu prihatin dengan perkara ini memandangkan makanan tersebut hanya coklat, makanan ringan ataupun sekadar gula-gula getah. Sudah menjadi kelaziman kepada masyarakat kita yang membeli makanan tanpa melihat terlebih dahulu ramuan yang tertera pada bungkusannya. Apatah lagi kalau ditulis dalam bahasa asing yang sama sekali tidak mampu difahami.

Sebagai bekas pelajar yang pernah hidup di negara matahari terbit tidak lama dahulu, membaca ramuan sebelum membeli telah menjadi amalan sebahagian besar daripada kami. Mungkin jumlah makanan yang haram lebih banyak daripada yang halal menyebabkan kami menjadi begitu prihatin dengan perkara ini.

Pernah ketika dalam tahun pertama di Jepun, penulis langsung tidak menjamah kerepek kentang dalam tempoh yang agak lama gara-gara tulisan ramuan yang ada pada bungkusannya.

Kisahnya bermula apabila penulis singgah di kedai serbaneka untuk membeli sedikit makanan ringan. Memang tidak dapat dinafikan pilihannya cukup banyak. Walaupun begitu, penulis tetap membaca satu per satu ramuan yang tertera di belakangnya walaupun tahap penguasaan 'kanji' (tulisan yang digunakan oleh orang Jepun) agak terbatas.

Yang anehnya, didapati semua kerepek kentang menjadikan 'kuda' sebagai salah satu ramuannya. Oleh yang demikian, terpaksa juga penulis batalkan niat membeli kerepek kentang dan menjadikan makanan lain sebagai pilihan.

Ketawa

Perkara ini berlarutan buat beberapa bulan sehingga penulis bertanya kepada teman berbangsa Jepun yang ketawa berdekah-dekah apabila diceritakan perkara tersebut.

Dalam ketawa dia berkata dalam bahasa Jepun, kentang disebut sebagai bareisho yang secara kebetulan ditulis dengan kanji 'kuda' sebagai salah satu daripada suku katanya.

Akhirnya barulah penulis faham mengapa dia ketawa dan terungkailah semua persoalan mengenai karakter 'kuda' pada ramuan kerepek kentang berkenaan.

Sejak hari itu, kamus poket sering menjadi teman kepada penulis supaya tidak lagi berlaku perkara yang sama. Sehingga hari ini, walaupun tanpa kamus, membaca ramuan menjadi amalan penulis terutamanya apabila membeli makanan dari luar negara yang sering menimbulkan rasa was was kepada pembeli.

Berbalik kepada isu lambakan makanan luar negara dalam pasaran kita, apa yang menjadi isu sekarang ialah setakat manakah pemantauan yang dijalankan serta tahap kesedaran pengguna mengenai status halal makanan ini?

Makanan Jepun sebagai contohnya, memang banyak didapati di pasar raya tertentu yang bukan sahaja dibeli oleh ekspatriat asing, malahan juga penggemar makanan tersebut yang terdiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Yang menjadi isunya ialah penulis dapati makanan yang kami jauhi semasa di Jepun dahulu dijual secara berleluasa tanpa sebarang tanda 'haram' ataupun 'tidak halal' di Malaysia. Kepada kami yang boleh membaca tulisan Jepun dan pernah hidup di sana, mungkin tidak timbul masalah tetapi bagaimana pula dengan masyarakat kita yang lain?

Ramuan yang tidak halal ini tidak terhad kepada daging sahaja. Terdapat juga banyak makanan ringan Jepun yang menggunakan estrak haiwan, shortening, mirin (sejenis alkohol) dan banyak lagi penambah rasa yang diharamkan oleh Pusat Islam Jepun.

Ramuan ini digunakan dalam roti, keropok, coklat, kicap soya dan makanan-makanan lain yang ramuannya kurang diberikan perhatian oleh pembeli.

Tidak dapat dinafikan ada terjemahan ramuan dilekatkan untuk sebahagian makanan tersebut. Walaupun begitu, ketepatan terjemahan itu juga amat meragukan. Mungkin ia dibuat sekadar memenuhi syarat ataupun sengaja dibuat sedemikian untuk tujuan pasaran kerana ia dilekatkan betul-betul di atas ramuan yang ditulis dalam bahasa asal.

Ketiadaan sebarang tanda halal juga boleh mengelirukan orang ramai. Seharusnya pengguna diberikan peringatan bagi dijadikan panduan untuk membeli makanan-makanan sedemikian.

Oleh itu, satu sistem pemantauan yang baik harus digubal khusus untuk makanan ringan yang diimport. Walaupun kaedah pembacaan ramuan dapat membantu, bukan semua masyarakat kita boleh membaca tulisan terutamanya dari Timur Jauh.

Menggunakan penterjemah yang berkelayakan juga mungkin dapat membantu dalam menyelesaikan perkara ini. Terjemahan ini harus diperhatikan dari semasa ke semasa supaya ketepatannya terjamin dan tidak ditukar sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkepentingan.

Pengguna tidak sepatutnya memandang remeh terhadap ramuan makanan yang dimakan. Walaupun ia hanya sebungkus coklat, tetapi harus diingat bahawa statusnya harus diketahui apatah lagi sekiranya ia diimport dari luar negara.

Penulis berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian supaya duit halal yang kita perolehi tidak digunakan untuk membeli makanan haram tanpa kita sedari.

Henti desak kerajaan terbit Bible dalam BM


SAYA merujuk seruan Timbalan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia - The Christian Federation of Malaysia (CFM), Rev. Dr. Eu Hong agar membenarkan Bible (Injil) diterbitkan dalam Bahasa Malaysia (yang sebenarnya bahasa Melayu) yang tersiar dalam sebuah akhbar Inggeris tempatan beberapa hari lalu.

Umum mengetahui bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar utama orang Melayu-Muslim yang juga merupakan bangsa majoriti di negara ini.

Percubaan menerbitkan kitab Injil dalam bahasa Melayu secara tidak langsung bermaksud mensasarkan Bible kepada bangsa Melayu-Muslim. Ini tentunya mengundang isu yang lebih sensitif dan berbahaya iaitu isu murtad.

Sama ada kita mahu menafikannya atau tidak, kemungkinan itu akan berlaku dan saya menjangkakan jika terjadi kemelut, krisis, salah faham, rasa tidak puas hati, geram dan kemarahan umat Islam, CFM dan semua yang menyokong seruan itu hanya akan berlepas tangan.

Amat malang jika mana-mana pihak tidak dapat melihat bahawa isu kitab Injil dalam bahasa Melayu amat rapat dengan isu murtad; dan isu murtad pasti mengundang rasa tidak senang serta bantahan daripada umat Islam seluruhnya. Negara pernah melalui episod hitam dalam isu murtad ini baik berdekad lalu seperti kes Natrah ataupun kes paling sensasi Aishah Bukhari. Persoalannya apakah kita sanggup melihat kesudahan sebuah pertembungan dua agama, ia sama seperti isu perkauman melampau yang seharusnya dielakkan.

Apakah dengan alasan rapuh iaitu bagi memenuhi kehendak etnik bumiputera Sabah dan Sarawak yang minoriti jumlahnya dan yang pastinya mereka boleh memahami bahasa Inggeris; serta alasan Islam harus toleransi dan kerajaan perlu mengakui hak kebebasan bersuara, maka kita harus berdepan dengan bahaya yang lebih besar iaitu kemarahan umat Islam seluruhnya.

Pertimbangan ini seharusnya difahami semua termasuk CFM sendiri. Di Malaysia kita mesti menghormati sesama kita tanpa menggadaikan prinsip agama dan undang-undang yang telah dipersetujui. Kita tidak perlu melakukan eksperimen 'dangkal' seperti ini.

Bukanlah satu yang aneh jika saya katakan jika seruan ini terus diulang-ulang bermaksud ia adalah 'inisiatif curang' yang sengaja mahu mengundang kemarahan umat Islam dan membuka ruang baru dalam krisis murtad yang sepatutnya dielakkan. Ini sewajarnya difahami oleh CFM.

Saya mendesak kerajaan bertegas dalam isu yang amat sensitif ini pada peringkat akar umbi lagi iaitu jangan benarkan 'riak-riak' ini menjadi 'gelombang'. CFM harus faham ini bukan isu tidak toleransi, kebebasan bersuara atau liberalisme kerana komposisi bangsa, prinsip, sejarah dan budaya negara tidak sama seperti Indonesia mahupun Singapura.

Malaysia tidak didirikan atas doktrin-doktrin yang cuba dipropagandakan oleh anasir-anasir Barat yang sememangnya sudah runtuh moral serta terhakis kepercayaan terhadap agama. Apa perlu kita menyahut seruan curang yang berslogan hak kebebasan bersuara, liberalisme mahupun bertoleransi yang bukan pada tempatnya.

Kita sudah saksikan bagaimana kecelaruan dan salah faham antara agama mudah berlaku seperti dalam isu fatwa pengharaman Yoga. Amat malang Islam diletakkan dalam kandang orang salah iaitu seolah-olah tidak toleransi terhadap agama lain dan mengongkong penganutnya.

Hal ini amat mengecewakan, pada hakikatnya agama lain yang tidak berusaha untuk memahami asas dan susur galur prinsip Islam. Dalam isu pengharaman yoga bagi umat Islam, kita sedia maklum bahawa yoga adalah sub-set daripada amalan ritual agama Hindu.

Maka mana-mana Muslim yang sihat akalnya tetapi beramal dengan amalan Yoga, secara sedar dia sedang mempratiskan ritual agama Hindu yang dikhuatiri akan gugur syahadahnya. Syahadah adalah teras agama orang Islam. Oleh kerana itu fatwa pengharaman dikeluarkan bagi memelihara akidah (kepercayaan) umat Islam; maka apa yang salahnya di situ.

Isu ini diperbesarkan sehingga orang Hindu sendiri salah faham terhadap perkara ini. Kini percubaan yang sama dibuat sekali lagi menerbitkan Injil dalam bahasa Melayu. Ia menyentuh sensitiviti umat Islam yang tidak mahu isu murtad ini ditimbulkan kembali.

Adalah keterlaluan jika saya katakan orang yang terus mendesak isu yang sensitif ini tanpa peduli bermaksud mereka naif dan sanggup menggadaikan keharmonian negara. Kita yang hidup dalam pelbagai bangsa dan agama seharusnya peka dan prihatin. Tidak mementingkan hal minoriti dengan menggadaikan keharmonian majoriti.

Mungkin bagi CFM, isu murtad itu remeh dan tidak berkaitan dengan urusan mereka tetapi tidak bagi Islam dan penganutnya - isu murtad adalah isu dasar, berat dan serius.

Sekali lagi saya mendesak agar kerajaan bertegas dan prihatin dalam isu sensitif ini yang boleh mengundang isu dan gejala murtad kembali keruh. Kita harus bersedia menghormati agama lain dengan tidak mencampuradukkan dan menambah kekeruhan yang akan terjadi.

MOHD. KHALID YAHYA

Gombak, Selangor

Kesedaran krisis global


Sepanjang tahun 2008, dunia telah dikejutkan dengan pelbagai krisis yang datang bertali arus. Negara kita turut sama menerima badai krisis globalisasi yang agak memeritkan. Apa yang diungkapkan sebagai 'dunia tanpa sempadan' sememangnya menyediakan cabaran hebat buat negara dan rakyat.

Pelbagai krisis global yang melanda pada tahun 2008 seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran dalam meniti hari di tahun-tahun yang mendatang. Tahun 2008 boleh dianggap sebagai tahun penuh krisis sehingga memaksa manusia di serata dunia untuk peka terhadap persekitaran dan bersedia untuk beradaptasi dengan suasana yang tidak menentu.

Sekurang-kurangnya terdapat empat krisis global yang melanda dunia pada tahun 2008. Iaitu krisis bencana alam, krisis makanan, krisis kenaikan harga minyak dan krisis ekonomi global.

Krisis bencana alam besar pada tahun ini bermula dengan Taufan Nargis yang melanda Myanmar. Tragedi ini telah mengakibatkan 85,000 kematian dan 35,000 orang hilang di Myanmar. Bencana tersebut turut menjejaskan sektor pertanian khususnya tanaman padi yang merupakan nadi penggerak utama ekonomi Myanmar.

Ia juga telah memberi implikasi terhadap bekalan beras di negara-negara sekitarnya. Pada 12 Mei 2008 pula di wilayah Sichuan, China berlaku gempa bumi yang dahsyat sehingga mengorbankan 69,227 nyawa.

Wilayah Sichuan hampir lenyap dari peta dunia setelah hampir seluruh infrastruktur termasuk sekolah dan bangunan kediaman runtuh digegar bumi. Lazimnya setelah berlakunya bencana ia memerlukan kos yang tinggi untuk melaksanakan program pemulihan dan pembangunan semula.

Krisis kenaikan harga makanan di pasaran global, turut berlaku pada awal tahun 2008. Kenaikan harga bijirin seperti gandum, beras dan jagung berlaku di kebanyakan negara. Keadaan ini telah mencetuskan keadaan huru-hara di beberapa buah negara. Antara negara yang paling teruk dilanda krisis makanan ialah Brazil, Mexico, Filipina dan Indonesia sehingga mencetuskan demonstrasi jalanan dan mogok lapar.

Ada beberapa faktor yang dikaitkan dengan krisis makanan. Pertama; kekurangan pengeluaran disebabkan oleh faktor perubahan iklim sehingga menyebabkan kemarau, banjir besar dan taufan memberi kesan terhadap hasil pengeluaran pertanian.

Kedua; kenaikan harga minyak menyebabkan inflasi terhadap harga makanan. Ketiga; pengeluaran bahan api bio yang mengunakan hasil pertanian (jagung) memberi kesan terhadap keluaran makanan.

Negara kita juga mengalami masalah kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan. Ini memaksa kerajaan mengadakan beberapa polisi dan tindakan bagi mengawal kenaikan harga beras. Langkah yang diambil kerajaan dapat mengawal keadaan dengan baik.

Selain itu kerajaan juga berusaha mengukuhkan sektor industri padi dengan mengenal pasti kawasan luas di Sabah dan Sarawak untuk dimajukan sebagai projek penanaman padi negara.

Dunia di tahun 2008 terus dikejutkan dengan kenaikan harga minyak mentah di pasaran global secara mendadak sehingga mendorong kenaikan inflasi yang tinggi. Keadaan ini telah memaksa rakyat untuk mengubah amalan terhadap penggunaan bahan api. Pelbagai saranan dicadangkan semata-mata untuk menggantikan bahan api fosil dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Perdana Menteri turut memberikan saranan yang sama untuk negara membangunkan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy Technology - RET) semasa majlis penyampaian Anugerah Bandar Lestari 2006/2007 dan Anugerah Langkawi pada 5 Jun 2008. Cadangan ini wajar dilaksanakan untuk membina wajah baru sumber tenaga negara.

Di penghujung tahun 2008, harga minyak di pasaran dunia turun dengan mendadaknya. Ini disertai dengan krisis ekonomi global yang semakin memuncak. Harga minyak mentah turun ke paras AS$40 setong, terendah dalam tempoh empat tahun. Pada 6 dan 7 Oktober 2008, pasaran saham dunia mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak 23.1 trilion dolar.

Meningkat

Kemuraman ekonomi dunia dijangka akan berterusan sehingga tahun hadapan. Ini diikuti dengan kadar pengangguran dijangka meningkat disebabkan pemberhentian kerja di beberapa buah syarikat perindustrian yang terpaksa gulung tikar disebabkan menanggung kerugian yang amat tinggi.

Dalam konteks negara kita harga minyak sawit mentah dan harga getah turut menerima nasib yang sama. Hakikatnya, golongan pekebun kecil sawit dan getah adalah mereka yang menerima impaknya.

Setiap kali krisis berlaku pelbagai cadangan diberikan untuk mengatasinya. Tidak kurang juga pelan tindakan dibuat bagi menangani masalah yang berlaku. Namun cadangan tidak sepatutnya tinggal begitu sahaja tanpa ada kesungguhan mendalam untuk melaksanakannya. Dalam konteks rakyat Malaysia, kita seharusnya mengambil iktibar apa yang telah berlaku dan bersedia untuk menghadapi saat-saat krisis yang bakal menimpa di masa hadapan.

Penghujung dan awal tahun (Masihi dan Hijrah) adalah masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dan merancang persiapan yang lebih kukuh pada masa hadapan. Fokus 2009, perlu diberikan perhatian mengikut keutamaan yang jelas.

Bagi individu dan keluarga perancangan kerjaya dan kewangan seharusnya diberi fokus yang utama. Perbelanjaan seharusnya dirancang secara berhemah pada setiap keadaan sama ada senang atau susah. Yang paling penting jangan membazir wang dan masa untuk sesuatu yang tidak berfaedah.

Di kala bencana menimpa, tiada siapa yang dapat membantu kita seratus peratus. Seandainya kita mempunyai simpanan kewangan, ia dapat meringankan bebanan kita.

Bagi organisasi swasta dan NGO, saat ini adalah saat yang terbaik untuk merancang aktiviti dengan mengambil kira faktor semasa yang serba tidak menentu. Fokus dan matlamat organisasi seharusnya jelas dan mantap serta dikongsi bersama dengan setiap ahli.

Kesuraman ekonomi yang diramal berlaku pada tahun 2009, seharusnya dijadikan pertimbangan. Program kebajikan, sosial dan masyarakat seharusnya tidak terhenti di saat kita menghadapi krisis ekonomi.

Jadi kesimpulan terpenting, setiap ahli dalam masyarakat seharusnya sedar dan faham tentang krisis global yang melanda dunia hari ini. Ini kerana semua yang berlaku di luar sana mungkin juga akan berlaku di dalam negara kita.

Proses kesedaran hanya akan mampu dibina melalui peningkatan budaya ilmu dalam masyarakat melalui pembacaan. Masyarakat akan mampu beradaptasi dengan suasana yang mencabar andainya sedar akan krisis yang berlaku di sekitar mereka.

30 Disember 2008

Mahasiswa lemah minda


Oleh Suliati Asri






DULU pembabitan dunia politik dijadikan punca pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memperoleh keputusan corot dalam pelajaran selain tidak berdaya saing.

Kini, timbul pula isu pelajar kita terutama di IPT lemah minda bukan disebabkan mereka berpolitik, tetapi malas sehingga pengetahuan am mereka turut lemah.


Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tinjauan dan temu duga yang dilakukan mendapati pelajar IPT begitu lemah pengetahuan am dan tidak mengikuti perkembangan isu semasa.

Selain itu, kebanyakan pelajar IPT hanya membaca dan mengharapkan nota yang diberikan pensyarah dan malas membuat rujukan terutama buku berbahasa Inggeris.

Mungkin kalau dilihat dari satu sudut, pendedahan itu ada kebenaran. Mana tidaknya, pelajar kini lebih cenderung menghabiskan masa berseronok dengan pelbagai aktiviti terutama hiburan.

Kebanyakan mereka ini juga hanya belajar serta membaca buku apabila ada ujian atau peperiksaan.

Namun, bagaimana pula dengan pencapaian pelajar kita yang saban hari, bulan dan tahun meraih anugerah dan pengiktirafan peringkat antarabangsa?

Adakah pencapaian itu semua tidak cukup untuk menunjukkan pelajar IPT mempunyai daya asing yang tinggi dan mempunyai minda yang bijak?

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata pihaknya menyangkal pendedahan itu dan tidak bersetuju dengan apa yang dibahaskan.

Menurutnya, memang tidak dapat dinafikan ada segelintir pelajar IPT yang mempunyai sikap malas tetapi tidak semua dan pendedahan ini diibaratkan sebagai mewakili semua pelajar IPT.

"Amat tidak adil kenyataan yang diberikan Datuk Tajuddin kerana bukan semua pelajar bersikap sedemikian dan pendedahan itu mengguris hati pelajar IPT.

"Jika pelajar IPT lemah mindanya, bagaimana sesetengah mereka diberikan anugerah dekan, anugerah diraja atau apa-apa anugerah di majlis konvokesyen yang diadakan setiap tahun," katanya.

Menurutnya, pelajar kini bukan seperti pelajar yang dulu. Kini, mereka lebih berfikiran jauh dan sentiasa inginkan pembaharuan dalam pemikiran mereka.

"Keupayaan minda pelajar IPT kini lebih maju dan mereka mampu menghasilkan yang terbaik. Buktinya, hasil kerja dan idea mereka diterima di peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, pertandingan mencipta robot, satelit, mesin perindustrian dan banyak lagi. Mereka bukan saja mendapat pengiktirafan dalam negara tetapi juga di luar negara.

"Ini juga sedikit sebanyak menarik pelajar dari luar negara untuk belajar di negara ini," katanya.

Selain itu juga, pelajar IPT dalam jurusan kedoktoran, kejuruteraan, multimedia dan jurusan lain yang memerlukan pelajar banyak berfikir mereka sentiasa mempunyai idea yang bernas serta menghasilkan produk dan hasil kerja yang bermutu.

Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran juga kini lebih banyak mengadakan pelbagai program memberi peluang kepada pelajar terutama pelajar IPT yang mampu menjana minda mereka serta memberi peluang untuk mereka mencungkil bakat dalam pelbagai bidang.

Semua itu dilaku dan dianjurkan bagi memberi pengetahuan serta menggalakkan pelajar berfikir lebih jauh serta boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, kenyataan pelajar IPT malas dan lemah minda adalah tidak wajar dan ini cukup mengguris hati pelajar.

"Kita sepatutnya memberi galakan kepada pelajar kita untuk berfikir lebih kreatif dan menimba ilmu yang lebih dari apa yang diberikan di bilik kuliah, bukannya menjatuhkan semangat mereka untuk belajar," katanya.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Profesor Dr Anuar Ahmad, turut tidak bersetuju dengan pendedahan itu kerana tidak semua pelajar yang mempunyai sifat sedemikian disebabkan mereka kini mencari ilmu dengan berhutang.

"Pelajar kini bukan menimba ilmu dengan percuma sebaliknya kebanyakan mereka terpaksa berhutang dengan mana-mana tabung pendidikan terutama pelajar di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Jadi, pastinya mereka ada semangat yang lebih tinggi untuk mencapai kecemerlangan agar memperoleh kerjaya yang baik selepas menghabiskan pengajian," katanya.

Menurutnya, isu pelajar hanya bergantung kepada nota pensyarah itu sebenarnya tidak seharusnya menjadi punca pelajar dilabelkan sebagai malas.

"Pelajar yang lemah mindanya mungkin tidak punya teknik pembelajaran yang betul dan ini menyebabkan mereka dianggap tidak berpengetahuan. Selain itu juga, tahap penerimaan mereka juga perlu dilihat.

"Oleh yang demikian, pensyarah seharusnya memberikan teknik belajar yang terbaik dan sentiasa memastikan pelajarnya tidak ketinggalan," katanya.

Menjaga martabat seni





SEPANJANG perjalanan dari pinggir Kuala Lumpur hingga ke Bandar Baru Puncak Alam dekat Shah Alam baru-baru ini, seperti tidak banyak tarikan yang boleh memusatkan pandangan mata.

Selain landskap bukit yang ditarah, kesibukan jentera pembuat jalan dan perata tanah agak mengganggu pemerhatian. Begitu juga dengan luasnya kawasan hutan semula jadi yang diteroka, antaranya dengan janji daripada papan tanda yang tertera ‘projek perumahan ala resort’. Sungguh ironi.

Kalau bukan merencana kunjungan ke rumah milik artis seni kontemporari yang aktif bergerak bersama kumpulan Matahati, Ahmad Shukri Mohamed, 39, mungkin krew EKSTRA sudah berpatah balik.

Namun, sejurus tiba di hadapan pintu sebuah lot kediaman di hujung deretan rumah teres, banyak soalan mula terkumpul dalam fikiran. Tersergam sebuah seni bina yang tidak salah kalau diumpamakan sebagai mercu tanda kejiranan tersebut.

Patisatustudio nama yang diberi untuk santuari itu. Dikelilingi redup pohon-pohon menghijau, ia menaungi kerja-kerja seni Shukri dan isterinya, Umibaizurah Mahir@Ismail, 33.

Jika si suami kerap menjadikannya ruang untuk mencipta mood dalam pembikinan seni visual atas kanvas, si isteri pula berekspresi melalui pembuatan seramik dan arca tanah liat konseptual.

“Seramik sering dianggap barangan mewah. Di negara ini, tanggapan tentang produknya pula sering tertumpu pada pembuatan pasu atau pinggan mangkuk.




“Sedangkan ia lebih daripada itu,” kata Umibaizurah yang mula menjinakkan diri dalam dunia pembikinan seramik pada tahun 1997.

Dia yang mesra membahasakan diri sebagai Umi tidak lokek berkongsi kepada krew EKSTRA tentang ilmu pembuatan seramik. Daripada proses campuran tanah liat, eksperimen warna, membakar, menyepuh, hinggalah kepada teknik kemasan akhir.

Bekas tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini senang meluangkan masa bercerita tentang cinta tanah liatnya itu sedangkan dia, ketika ditemui, agak sibuk memberi tunjuk ajar kepada beberapa remaja yang mengikuti bengkel kraf seramik kendaliannya.

Kalau bukan menurunkan skil kepada kelompok pelajar jurusan seni halus dari institusi pengajian tinggi, anak-anak sekolah juga sudah biasa memeriahkan Patisatustudio, khususnya pada musim cuti.

“Inilah fungsi studio ini, selain menjadi tempat kami berkarya, ia juga membuka peluang kepada teman-teman penggiat seni dan golongan muda untuk sama-sama menimba pengalaman tentang jurus seni halus,” ujar Shukri yang berkolaborasi dengan Umi dalam sebuah pameran berjudul Warning! Tapir Crossing sedikit masa dahulu.


SHUKRI bangga dengan hasil karya awalnya yang kini dipamerkan di galeri salah sebuah rumah yang disewa berdekatan Patisatustudio.


Tapir merupakan metafora yang digunakan bagi mengingatkan tentang pertembungan antara alam sekitar dengan pembangunan manusia. Ia dicetuskan peristiwa tahun 2002 apabila mereka menemui tapir yang mati dilanggar ketika projek Bandar Baru Puncak Alam rancak dilaksanakan.

“Kami gunakan seni sebagai saluran menyampaikan mesej kesedaran awam agar manusia dapat berfikir tentang impak pembangunan.

“Patisatustudio sering mengajak artis, kurator dan pengkritik seni berbincang tentang perkembangan seni serta pengaruhnya terhadap masyarakat dan persekitaran,” terang Shukri yang masih meminjamkan pengalamannya dalam kuliah seni di UiTM.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya seramai 500 graduan seni halus dan seni reka ‘dikilangkan’ dari institusi pengajian tinggi di negara ini.

Kalau dahulu, UiTM sahaja yang menjadi perintis, kini semakin ramai yang muncul daripada beberapa institusi lain.

Semakin ramai graduan bermakna semakin banyak persaingan untuk memulakan langkah kerjaya. Kalau Umi dan Shukri berjaya menemui hala tuju mereka, tidak dinafikan ramai yang menemui jalan buntu.

Bagi bapa dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini, graduan seni halus boleh diibaratkan seperti anak-anak penyu yang baru menetas. Nasib dan survival hanya menyebelahi mereka yang benar-benar jujur dan bersungguh dalam berkarya.

“Graduan perlu merancang dengan bijak dan menggunakan sumber pengetahuannya untuk bergerak dalam situasi yang berubah-ubah dan berbeza.

“Umi sendiri sebelum dia dapat bekerja dengan tanah liat sepenuhnya, dia memanfaatkan ilmu yang dipelajari pada projek-projek lakaran dan membantu kerja artis visual. Dia juga rajin mengukuhkan rangkaian kenalan dalam bidang ini,” puji Shukri tentang wanita yang sebelum ini merupakan salah seorang anak didiknya di UiTM.


PATISATUSTUDIO sering dijadikan tempat pertemuan dan perbincangan di kalangan karyawan dan pencinta seni.


Tambahnya, seniman M. Nasir dan pengarah, Adman Salleh, ialah antara contoh graduan seni halus yang ‘mengeksploit’ penghayatan seni masing-masing demi membina nama dan kerjaya dalam industri muzik dan perfileman.

“Proses pembelajaran adalah berterusan. Tidak hairan jika seni diterapkan dalam kerjaya seorang pemilik restoran, pereka hiasan dalaman atau pengusaha resort misalnya.

“Kita lihat, mereka yang kaya sentuhan seni dalam dirinya boleh berjaya dalam apa juga bidang. Seni bersifat mengadaptasi,” tambah Umi.

“Berbalik pada niat pelajar itu sendiri. Adakah mereka belajar jurusan seni halus untuk sekadar lulus peperiksaan atau adakah mereka mahu menjadikan ia sebagai suatu kerjaya serius,” Shukri merumuskan.

Mungkin bagi ramai graduan seni halus yang masih belum menemui titik fokus dalam merancang masa depan, pasangan ini boleh menjadi rujukan terbaik untuk membantu mengupas pemahaman tentang hal-hal yang berkaitan dengan seni.

Shukri dan Umi yang sudah banyak kali berpeluang ke luar negara, sama ada untuk memperkaya pengalaman ataupun membawa hasil karya mereka untuk dipamerkan, turut mengharapkan lebih ramai pihak yang sedar dan percaya bahawa dunia seni halus mempunyai prospek cerah sebagai profesion.

“Jika dinilai dari sudut jangka panjang, produk seni yang dihasilkan itu mampu menjadi aset negara pada masa akan datang. Ia sebenarnya mempunyai fungsi besar iaitu melonjakkan tamadun manusia, selain bertindak sebagai medium yang memasyarakatkan,” Shukor membuat kesimpulan.

Cuma satu yang sempat mereka pesan, agar masyarakat hari ini meluaskan pemahaman tentang istilah ‘artis’ itu sendiri. Ia bukan eksklusif merujuk kepada gelaran seorang penyanyi atau pelakon.


SENI seramik yang diperkenalkan Umi bersifat kontemporari dan sudah banyak kali diiktiraf pencinta seni dalam dan luar negara.


Artis adalah terma luas untuk menerangkan tentang golongan yang menghasilkan produk seni. Seni itu jugalah yang akan kembali ke pangkuan masyarakat.

Shukor dan Umi secara tidak langsung telah menjawab tanggapan skeptikal ramai tentang kemampuan profesion yang mereka cintai itu untuk menjana pendapatan, meraih pengiktirafan dan menyara kehidupan.

Prejudis gadis lanjut usia


Semakin ramai wanita yang belum berkahwin di Mesir berkomunikasi melalui rangkaian sosial Facebook di Internet.


YOMNA MOKHTAR menggunakan rangkaian sosial Facebook untuk berhubung dengan wanita yang lambat berkahwin sepertinya.


KECEWA dengan tekanan yang berpanjangan daripada masyarakat yang menitikberatkan soal perkahwinan ataupun kehidupan berkeluarga dan mempunyai zuriat, seorang wanita muda Mesir cuba menyelamatkan negaranya daripada terus memandang serong terhadap gadis berusia yang masih bujang.

Mengambil kesempatan daripada kemajuan teknologi komunikasi terutamanya Internet, dia berharap dapat mengubah prejudis yang dihadapi oleh anak dara lanjut usia.

Pada masa yang sama tindakan itu diharapkan dapat memberi sinar baru terhadap kesusahan yang dihadapi oleh kaum wanita dalam masyarakat yang menganggap lelaki sebagai ketua keluarga.

Sejak enam bulan lalu, Yomna Mokhtar mewujudkan sebuah kumpulan khas untuk saling memberi sokongan dan menyuarakan nasib wanita sepertinya.

Kumpulan itu menggunakan rangkaian sosial seperti Facebook sebagai platform untuk membolehkan mereka saling berhubungan dan mengumpulkan lebih ramai ahli.

Sehingga kini kumpulan tersebut telah mempunyai lebih 550 ahli yang berusia 27 tahun ke atas.

"Masyarakat memberi pandangan yang amat negatif terhadap golongan yang belum berkahwin. Perkara ini memberi tekanan hebat dan timbul rasa terpinggir di kalangan mereka," jelas Yomna.

Berada di sebuah negara yang konservatif berhubung agama, soal perkahwinan menjadi keutamaan di kalangan penganut Islam dan Kristian.

Kebiasaannya, persatuan-persatuan Islam menganjurkan perkahwinan secara besar-besaran untuk mereka yang dianggap tidak berkemampuan terutama dari segi sumber kewangan bagi menampung upacara perkahwinan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengelakkan seseorang mempunyai hubungan sulit termasuklah homoseksual.

Walaupun mereka bekerja seperti orang ramai atau belajar, wanita tidak berkahwin di Mesir dilihat masih tidak sempurna disebabkan persepsi itu.

Umur yang sesuai bagi seseorang wanita berkahwin bergantung kepada kelas sosial dan pendidikan mereka. Wanita yang terdiri daripada golongan kaya mahupun berpendidikan universiti selalunya diberi sedikit kelonggaran tetapi apabila umur mencecah 30-an mereka mula dipandang hina.

"Sejak kecil lagi wanita diajar tujuan utama mereka dalam kehidupan adalah berkahwin dan mempunyai anak.

"Walaupun orang mula berkata, pandangan negatif yang diberikan terhadap gadis yang lambat berkahwin adalah tidak adil, namun ia tetap diteruskan," jelas Yomna.

Menurut ahli sosiologi, Madiha el-Safty, peranan seorang wanita Mesir secara rasminya merupakan sebagai isteri dan ibu sahaja.

"Setiap orang akan membenci wanita yang belum berkahwin dalam keluarga masing-masing. Orang ramai akan bertanya apakah ada sesuatu yang tidak kena terhadap wanita tersebut," terang Madiha.

"Apa yang berlaku adalah luar biasa," beritahu Rabab Ibrahim, 33.


PERKAHWINAN adalah satu perkara yang ditekankan dalam negara yang konservatif terhadap agama.


Tambah Rabab, masyarakat Mesir percaya perkahwinan sentiasa membawa kebahagiaan walaupun hakikatnya boleh juga membawa kekecewaan.

"Masyarakat menolak untuk memahami bahawa ramai pasangan yang sudah berkahwin tidak menemui kebahagiaan.

"Saya selalunya menahan kesabaran bila berhadapan dengan tekanan semasa meluahkan pendapat saya terhadap perkahwinan. Saya amat yakin dengan prinsip, sama ada saya mempunyai suami yang baik dalam perkahwinan ataupun saya sanggup membujang untuk selamanya. Itu pilihan saya.

"Masalahnya masyarakat tidak memahaminya. Keadaan dan pemikiran wanita hari ini sudah berubah," katanya.

Seorang daripada ahli kumpulan ini, Mohammed Abdel Ati, 25, berkata, apa yang berlaku sekarang adalah pelik. Seseorang harus tampil untuk memberi pandangan mengenainya.

"Hampir semua kawan saya berkahwin dengan remaja dan kanak-kanak. Dan isteri-isteri mereka akan bertanya kepada saya adakah mereka perlu mencari seseorang untuk saya?" jelasnya.

Kumpulan rangkaian laman web Facebook mempunyai perancangan untuk menganjurkan sesi yang akan diketuai oleh pakar psikologi bagi mendengar luahan golongan wanita lanjut usia itu.

"Kami tidak menentang perkahwinan. Kami mahu rumah tangga yang bahagia dan asas yang kukuh.

"Sesetengahnya berkahwin terlalu awal untuk mengelak orang ramai menganggap mereka seperti orang gaji keluarga.

"Saya percaya untuk mengubah sikap adalah amat susah. Tetapi itu tidak menghalang kami untuk mencuba dengan perlahan-lahan," tambah Yomna.

Berhadapan dengan tekanan masyarakat tanpa belas kasihan, seorang ahli perubatan yang belum berkahwin, Ghada Abdel Al, 29, menerbitkan buku bertajuk I Want to be Married.

"Ramai wanita muda yang mempunyai impian untuk belajar dan bekerja. Saya mencabar mereka untuk berkata impian utama mereka bukanlah untuk dikahwini," akuinya dengan berani.

Meninjau semangat pertanian Australia


WILAYAH Australia Barat mungkin asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini tetapi bagi penggiat dalam industri pertanian dan penternakan, negeri terbesar di negara kanggaroo itu adalah destinasi yang tidak mungkin dilepaskan jika diberi peluang untuk dikunjungi.

Dengan keluasan kira-kira 2.5 juta kilometer persegi atau tujuh kali keluasan Malaysia, Australia Barat yang mempunyai suhu tropika di bahagian utara dan sederhana sejuk di bahagian tengah dan selatan menjadi antara negeri utama dalam pengeluaran hasil pertanian dan penternakan Australia.

Australia Barat dianggarkan menyumbang sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan eksport pertanian dan penternakan Australia yang dianggarkan bernilai kira-kira 60 bilion dolar Australia setahun atau kira-kira RM150 bilion.

Dengan kelebihan tanah yang luas, subur serta iklim yang pelbagai, Australia Barat yang mempunyai populasi kira-kira 2.1 juta orang itu juga kini menjadi tempat kediaman untuk 23 juta biri-biri, dua juta lembu, kambing (satu juta) dan unta antara 400 hingga 500 setahun.

70 peratus daripada jumlah ternakan itu adalah untuk dieksport ke seluruh dunia. Arab Saudi sahaja mengimport satu juta biri-biri setahun dari Australia Barat.

Jika ditanya apakah rahsia di sebalik kisah kejayaan itu, sudah pasti adalah kerana dedikasi yang tidak berbelah bahagi seluruh warganya dalam memajukan bidang itu sama ada untuk memenuhi keperluan diri dan juga perniagaan.

Selain itu mereka juga tidak pernah jemu untuk terus berpaksi kepada sains dalam mencari teknologi terbaru walaupun pada masa yang sama telah menuai kejayaan bertaraf dunia. Gabungan mantap institusi kerajaan dan swasta serta institusi pengajian tinggi tempatan menjadikan pertanian dan penternakan di negara itu terus unggul di dunia satu langkah yang membawa kepada kejayaan itu.

Semangat rakyat Australia yang sentiasa berpegang kepada prinsip bangga dengan setiap produk yang 100 peratus buatan tempatan membantu mengangkat bidang pertanian dan penternakan mereka ke tahap hari ini.

Malah, jika melihat kepada kempen dan semangat yang dibuat oleh kerajaan negara itu, seolah-oleh tiada lagi kawasan lain di dunia ini yang boleh menghasil produk pertanian dan penternakan serta lain-lain hasil hiliran yang bermutu selain daripada yang dikeluarkan oleh negara mereka sendiri.

Amalan kuarantin yang ketat juga menjadi satu sebab wilayah Australia Barat dan Australia secara amnya sentiasa bebas daripada serangan racun dan serangga perosak tidak seperti di kawasan lain. Sebagai contoh, ketika dunia digegarkan dengan isu wabak lembu gila, ternakan di Australia Barat disahkan bebas daripada gejala itu.

Walaupun hanya sempat berada tiga hari di wilayah itu, penulis sudah mampu untuk mengagumi semangat rakyatnya dalam kedua-dua bidang itu, teruja dengan teknologi yang digunakan dan tidak dapat tidak jatuh cinta dengan keindahan dan kebersihan bandarnya serta ketenangan kawasan luar bandar yang kebanyakannya luas menghijau saujana mata memandang.

Iklim nyaman sehingga membolehkan penduduknya melakukan riadah pada pukul 12 tengah hari di kawasan terbuka atau di sepanjang Sungai Swan yang membelah bandar Perth tanpa perlu bimbang cuaca panas, satu lagi aset utama wilayah di barat Australia itu.

Memproses

Bermula dengan kunjungan di pusat penyembelihan dan pemprosesan daging HarveyBeef yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Perth, rombongan kami yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad disajikan dengan teknologi terkini yang membolehkan pusat berkenaan memproses sebanyak 5,000 ekor lembu seminggu.

Keupayaan untuk merencanakan setiap pergerakan bahagian badan dan isi lembu untuk dibungkus sebelum dipasarkan terus, amat mengagumkan. Kira-kira 120 pekerja bertugas pada setiap masa di pusat itu - memproses setiap ekor lembu untuk menghasilkan lebih 30 produk berasingan yang mempunyai kelas-kelas tertentu.

Walaupun pusat berkenaan telah memperolehi sijil halal daripada badan Islam Australia, namun ia kini masih berusaha untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Selepas menyaksikan kecanggihan teknologi HarveyBeef, rombongan kami dibawa melawat Pusat Penyelidikan Vasse.

Di Pusat Penyelidikan Vasse, Bunbury itu kami disajikan pula dengan kesungguhan mereka untuk mengkaji dan memperbaiki aspek pengurusan makanan dan tumbesaran haiwan. Setiap petak-petak rumput dikaji untuk memastikan ia mempunyai zat-zat seperti kandungan gula, kabohidrat dan tenaga yang mencukupi untuk keperluan haiwan.

Menurut Pengurus Wilayah, Jabatan Pertanian dan Makanan Australia Barat, David Windsor, pernah berlaku mereka mendapat rungutan daripada kilang-kilang pemprosesan daging bahawa lembu yang dihasilkan terlalu banyak daging dan kurang tulang.

''Oleh itu kami mengubah sedikit kandungan makanan haiwan itu untuk memenuhi kehendak komersial berkenaan. Hal yang sama juga kami buat untuk lembu tenusu," katanya.

Selain itu, di pusat itu juga kami ditunjukkan Sistem Pengesanan Haiwan Kebangsaan (NLIS) yang berfungsi untuk mengesan pergerakan setiap haiwan bermula dari saat dilahirkan sehingga ke rumah penyembelihan.

Walaupun undang-undang persekutuan Australia hanya mewajibkan pemakaian NLIS apabila haiwan itu hendak dibawa keluar dari ladang, namun kini penternak di seluruh Australia memasang sistem itu secara sukarela pada haiwan ternakan mereka.

Sistem itu bukan sahaja akan memudahkan penternak mengesan tumbesaran haiwan, penyakit dan sebagainya tetapi mengawal kualiti haiwan tersebut. Sebagai contoh dalam kunjungan kami ke ladang tenusu di Victoria, NLIS memudahkan ladang tersebut membuat pemantauan terhadap kuantiti dan kualiti setiap susu yang dikeluarkan oleh lembu.

Lembu yang mengeluarkan hasil tidak menepati piawaian tertantu akan dikesan dan diperiksa untuk dirawat.

Kunjungan di bumi Australia itu turut diselitkan agenda kemudahan penyelidikan terkini seperti di Makmal Biologi Tenaga Tumbuhan di bawah Pusat Kecemerlangan ARC, Universiti Australia Barat; dan kemudahan di Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) yang merupakan agensi penyelidikan utama Australia di Canberra.

Dalam lawatan itu beberapa kerjasama turut ditandatangani seperti persetujuan Australia untuk memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Industri Kambing Malaysia (PPIKM) dan membantu Malaysia membentuk Pelan Pembangunan Industri Lembu.

Selain itu pada mesyuarat tahunan Kumpulan Kerjasama Malaysia-Australia Mengenai Pertanian, Australia bersetuju untuk memberi keutamaan menyelesaikan isu kesukaran buah-buahan Malaysia memasuki pasaran negara itu khususnya berkaitan nanas.

Sementara itu, Mustapa berkata, keupayaan Australia Barat memanfaatkan sains dan teknologi bagi meminimumkan kos tetapi pada masa sama meningkatkan pulangan perlu dicontohi.

''Ini yang perlu kita contohi dalam usaha kita untuk menjadikan bidang pertanian kita berdaya maju, mampu untuk memenuhi keperluan negara dan pada masa sama meningkatkan pendapatan petani dan penternak yang secara tidak langsung mampu mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya.

Beliau menambah telah banyak kemajuan yang dikecapi dalam hubungan pertanian dengan Australia. Namun ia masih belum memadai kerana usaha di peringkat tempatan perlu dilipat gandakan. Dalam hal ini katanya, peranan sektor swasta amat penting bagi membantu kerajaan mengangkat martabat pertanian.

''Sebagai contoh sasaran negara untuk mencapai satu juta kambing atau 35 peratus daripada keperluan negara menjelang 2015 tidak akan tercapai tanpa penyertaan swasta. Setiap tahun kita hanya mempunyai dana berjumlah RM22.5 juta untuk membawa masuk 15,000 baka kambing. Dengan angka ini sukar untuk kita mencapai sasaran itu kecuali dengan penglibatan sektor swasta," katanya.

Beliau berharap kerjasama dengan Australia akan mampu menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam skala besar, selari dengan hasrat untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi kegunaan negara.

29 Disember 2008

Martabatkan semula bahasa Melayu


Abdul Aziz Abdul Rahman

LUAHAN, cerita dan hujah ‘Dr Kampung’ yang disiarkan dalam ruangan surat pembaca akhbar ini 25 Disember lalu adalah benar. Begitu juga luahan dan hujahan kebanyakan penulis lain sebelumnya, termasuk cadangan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Hujah saya bahawa melaksanakan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti sekarang ini adalah tidak sah dari segi undang-undang. Fakta dan kebenaran tidak boleh ditukar ganti dengan tindakan dan perlakuan yang salah dari segi undang-undang; dari segi menidakkan peranan yang sah salah satu tiang seri kedaulatan Melayu dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia dan dari segi ilmiah pendekatan pengajaran bahasa Inggeris, sungguhpun niat yang ingin dicapai adalah amat baik.

Menyelesaikan masalah dengan menggunakan cara dan pendekatan yang salah akan menyelesaikan masalah bukan dengan cara keseluruhan dan berkekalan; akan menimbulkan masalah baru yang lain seperti dalam setiap cerita kejayaan banyak lagi cerita ketidakadilan, kekecewaan, peminggiran dan akan memberi kesan jangka panjang kepada evolusi pembinaan negara bangsa Malaysia yang semestinya bertunjangkan kepada kedaulatan Melayu.


Menyelesaikan permasalahan PPSMI perlu berdasarkan dan bertitik-tolak daripada kebenaran berikut:

l Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran teras termasuklah Sains dan Matematik seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan;

l Pendekatan PPSMI sebagai cara atau kaedah pembelajaran bahasa Inggeris adalah salah kerana mempelajari sesuatu bahasa itu memerlukan pendekatan kejiwaan bahasa yang berkenaan, yang sama sekali berbeza daripada apa yang dilakukan melalui PPSMI.

Dalam konteks ini, PPSMI mungkin berjaya sedikit sebanyak dari segi memberi penguasaan gunaan kepada pelajar tetapi kesan negatif jangka panjang kepada penuntut daripada aspek penggunaan bahasa Inggeris yang betul, terutama dari segi nahu dan penjiwaan bahasa itu adalah besar dan berkekalan;

l Pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah kebangsaan kebelakangan dan masa kini, bermasalah iaitu gagal mencapai objektif terminalnya untuk membolehkan pelajar selepas mengikuti sistem pembelajarannya mampu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris yang betul dan fasih.

Perkara-perkara asas seperti guru bahasa Inggeris yang layak, mencukupi dan menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan dan dapat diukur daripada pencapaian objektif terminal masih lagi sehingga kini tidak selesai dan tidak pun nampak penyelesaian (menghantar beberapa kumpulan guru bahasa Inggeris berkursus bahasa Inggeris di England bukanlah penyelesaian sebenar kepada masalah sebesar ini).

Masalah kelemahan pembelajaran bahasa Inggeris ini adalah besar dan ketara di kawasan luar bandar dan di negeri-negeri majoriti penduduknya Melayu;

l Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini gagal untuk menyelesaikan masalah kelemahan yang amat ketara berkaitan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar (kebanyakannya Bumiputera) sungguhpun setiap IPTA mempunyai unit atau Jabatan Bahasa Inggeris masing-masing, mempunyai pensyarah berkelulusan tinggi dan mempunyai kelengkapan canggih seperti makmal bahasa, dan

l Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan Negara gagal dalam memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan dengan secukupnya buku-buku rujukan di peringkat tinggi dalam bahasa Melayu di semua bidang ilmu. Dalam konteks ini, IPTA yang juga mempunyai tanggungjawab sama, turut gagal memainkan peranan ini.

Inilah kebenaran yang harus mendasari pemikiran kita dalam menyelesaikan pemasalahan PPSMI. Sudah tentu penyelesaiannya amat mudah - gunakan bahasa Melayu semula dalam pengajaran bagi mata pelajaran teras Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah dan menengah dan pada masa sama, lakukan usaha radikal dan bersifat transformasi.

Ini bagi memastikan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah berkesan iaitu pelajar berupaya menguasai pertuturan, pembacaan dan penulisan bahasa Inggeris dengan fasih. Pembelajaran bahasa Inggeris di IPTA yang diwajibkan kepada pelajar selama empat tahun perlu dipastikan dapat menggilap dan meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris pelajar ke tahap objektif terminal yang lebih tinggi.

Keadaan di mana guru bahasa Inggeris tidak ada, tidak mencukupi dan tidak terlatih, sudah tidak boleh diterima lagi. Sesiapa yang bertanggungjawab pada peringkat perancangan dan pelaksanaan harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kelemahan dan kegagalan ini. Mesti ada sesuatu yang tidak kena jika mata pelajaran lain tidak mempunyai masalah seperti mata pelajaran bahasa Inggeris.

Pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan buku-buku rujukan ilmiah dalam bahasa Melayu mestilah, tanpa lengah lagi melakukan perubahan radikal dan bersifat transformasi dalam cara bekerja serta mencapai hasil.

Pencapaian objektif terminal perlu diukur setiap bulan untuk memastikan buku yang dihasilkan mencukupi dan memenuhi keperluan di samping dikekalkan mutu setiap penghasilan. Banyak model yang dapat dipelajari seperti digunakan di Jepun, China, Perancis, Jerman dan Russia.

Kalau diteliti sejarah, sebenarnya pada awal 1970-an hinggalah ke awal 1980-an, kita sudah berjaya melakukan yang betul dalam isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada semua peringkat - rendah, menengah dan universiti.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengisian penubuhan ini dengan jayanya merakamkan kejayaan kita melakukan perkara yang betul dalam membangun dan membina negara bangsa mengikut acuan yang benar.

Pada ketika itu, buku rujukan ilmu dalam bahasa Melayu dihasilkan pada kadar yang mencukupi sementara penuntut pada semua peringkat pembelajaran tidak menghadapi masalah menguasai dengan fasih bahasa Inggeris serta membuat rujukan ilmiah di dalam bahasa Inggeris.

Mengapakah selepas itu dan pada masa kini memuncak dengan masalah? Dan mengapakah penyelesaian yang begitu mudah menjadi terlalu sukar untuk dicapai? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.



Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ialah peguam dan bekas Pengarah Urusan MAS

Waspada strategi gugat pemikiran golongan muda


BUKU tulisan cendekiawan Islam pada awal tahun 1900-an, Abu A'la al- Maududi iaitu Wajib al-Shabab al- Muslim al-Yaum yang bererti 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari Ini' cukup menarik untuk dihuraikan.

Beliau menyentuh perihal situasi umat di era penjajahan dan memerlukan penyertaan daripada golongan pemuda yang bakal menggalas warisan teraju negara.

Penyertaan tidak semestinya pada aspek politik semata-mata. Sebaliknya melibatkan semua bidang sama ada politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.

Yang pasti, setiap bidang perlu diwarisi oleh golongan muda.

Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah peringatan Abu A'la al- Maududi tentang sesuatu yang perlu kita waspada.

Seperti yang disentuh oleh cendekiawan tersebut, antara ancaman yang dihadapi dahulu ialah imperialisme atau kolonialisme.

Fahaman ini cuba memastikan supaya cahaya matahari tidak memancar ke kawasan lain melainkan ke atas tanah-tanah penjajahan mereka.

Mereka ingin menjadikan semua daratan yang memberi imbuhan lumayan menjadi milik mereka sahaja.

Namun, beliau mengingatkan suatu perkara yang agak ganjil iaitu rampasan tersebut bukanlah sejelik-jelik natijah.

Hal ini kerana kezaliman yang lebih buruk ialah mereka melakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamadun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan keruntuhan akhlak.

Barangkali aspek-aspek khusus yang perlu diambil perhatian iaitu beberapa strategi musuh yang mampu menggugat keteguhan pendirian umat Islam adalah seperti yang digariskan oleh Abu A'la al-Maududi, antaranya ialah:

Pertama: Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara tujuan penjajahan.

Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan jika mereka mampu.

Kedua: Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus.

Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi.

Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

Mengekalkan

Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara.

Mereka menguatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu.

Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah Barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Rusia dan China.

Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

Barangkali aspek ini yang dibimbangi oleh beberapa ahli akademik berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketiga: Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah Barat telah mencipta suatu generasi baru yang jahil tentang Islam di negara-negara Islam melalui cara yang amat halus.

Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agung dan tamadun yang hebat.

Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikirannya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kaca mata materialisme Barat.

Dari generasi yang berhaluan Barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang kemudian ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamadun Barat, lebih cinta kepada kebudayaan Barat dan lebih yakin terhadap falsafah Barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

Harapan sangat tinggi kepada pihak berkuasa, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, cendekiawan, ilmuwan dan parti-parti politik serta golongan pelajar untuk bertindak memerah keringat memastikan pembelaan terhadap pegangan tradisi di Malaysia berkekalan.

Pekebun getah boleh pelbagaikan cara mencari rezeki


SEBELUM negara mencapai kemerdekaan dahulu, harga getah pernah melambung sampai RM2 satu kati (sukatan timbangan lama). Pekebun-pekebun ketika itu tidak tahu hendak buat apa dengan wang yang diperoleh dengan begitu banyak sehingga ada yang membeli peti ais walaupun tidak ada bekalan elektrik di rumah mereka. Sudahnya, peti ais itu dijadikan tempat menyimpan pakaian.

Awal tahun ini sampailah kepada bulan Ogos lepas, ramai penoreh yang ke kebun getah menaiki kereta.

Pemilik kebun kelapa sawit juga tidak kurang bergaya dengan pendapatan yang begitu banyak, mengalahkan pegawai kerajaan.

Apabila harga kedua-dua komoditi itu jatuh merudum sejak kebelakangan ini, kedua-dua golongan tersebut mula merungut. Malah, ada yang masih mendapat RM3,000 sebulan juga masih mengeluh sedangkan sebelum ini ada di kalangan mereka yang memperoleh lebih RM12,000 sebulan.

Kerajaan terpaksa campur tangan apabila ramai pekebun getah mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas teruk.

Baru-baru ini, kerajaan terpaksa memberi jaminan agar harga lantai bagi getah diperkenalkan seperti mana yang dilakukan di Thailand.

Apa yang menjadi pengajaran daripada perkembangan ini ialah perlunya semua pihak memahami bahawa dalam bidang pertanian risikonya sangat tinggi.

Di samping penyakit tumbuh-tumbuhan, petani, peladang dan pekebun terpaksa juga berdepan dengan turun naik harga dan bencana alam.

Hanya mereka yang beringat sahaja yang terselamat dan tidak merasa bebanannya. Mereka yang beringat sentiasa memikirkan cara untuk menyelamatkan wang perolehan mereka yang banyak itu dengan menabung atau mempelbagaikan cara memperoleh rezeki.

Masalahnya, ada antara mereka yang membeli kereta dan sebagainya sedangkan itu bukanlah satu keperluan harian bagi mereka. Tidak ramai yang melebarkan pendapatan mereka dengan cara berniaga dan sebagainya.

Tetapi, sesetengah antara mereka yang sedar akan turun naik pasaran sesuatu komoditi, dengan wang itulah mereka menjadikan modal untuk mengusahakan tanaman lain sama ada tanaman jangka pendek, menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan sebagainya.

Oleh hal demikian, di samping bantuan, sokongan dan bimbingan daripada kerajaan mahupun badan-badan pertanian lain, para peladang mestilah menyedari hakikat bahawa banyak cara lain untuk mereka mampu mengaut rezeki dengan syarat ada usaha dan kemahuan.

Kita amat bersyukur apabila ada sesetengah antara pekebun getah dan kelapa sawit telah mengusahakan tanaman-tanaman lain di celah-celah pokok getah dan kelapa sawit seperti keladi, ubi, nanas dan pelbagai jenis ulam.

Semua ini membawa sumber pendapatan kepada mereka kerana permintaan terhadap hasil-hasil tersebut sentiasa ada. Apa yang dibimbangkan ialah apabila berlakunya penurunan harga getah dan kelapa sawit seperti sekarang, kebun-kebun itu akan kembali semak dan terbiar.

Kesimpulannya baik petani, peladang, pekebun dan juga nelayan, sebagai golongan marhaen, mereka mesti memahami putaran dan kitaran hidup yang membabitkan rezeki harian mereka. Mereka juga harus menyedari bahawa yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.

M. JASNI MAJED
Bukit Kapar, Selangor

Tangani penghinaan agama


iSLAM sebagai suatu agama yang harmoni mengharamkan pencelaan atau penghinaan yang berlaku terhadap agama lain. Gangguan atau provokasi agama sememangnya boleh mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah yang dianuti mereka walaupun terpaksa menggadai nyawa.

Larangan provokasi ini dijelaskan di dalam al-Quran; Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Untuk menjaga keseimbangan hubungan kaum atau agama, al-Quran telah mengklasifikasikan orang bukan Islam kepada dua kumpulan iaitu Kafir Harbi (kafir yang memusuhi orang Islam) dan Kafir Dhimmi (kafir yang berjiran dan bersahabat dengan orang Islam tanpa dendam).

Orientasi perbezaan di antara kedua-kedua kumpulan bukan Islam itu telah dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud; Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang- orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Mumtahanah [60.8]).

Walaupun diberikan kebenaran untuk menghadapi tentangan golongan Kafir Harbi secara kekerasan, Islam masih membataskan bentuk pembalasan yang hendak dilakukan sebagaimana firman Allah: Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang- orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (al-Baqarah [2.190]).

Juga firman Allah yang bermaksud:

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (al- Baqarah [2.194]).

Allah juga berfirman: Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (al-Nahl [16.126]).

Merujuk kepada isu penghinaan kepada Nabi Muhammad yang berlaku di dalam sebuah blog baru-baru ini, umat Islam perlu menjadi lebih praktikal dalam menangani masalah ini. Sikap emosional hanya akan menyebabkan umat Islam dipandang lemah serta keanak-anakan.

Sememangnya Islam memandang berat sebarang penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintah-Nya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? (al-Tawbah [9.13]).

Menyakiti

Selain itu, Sirah Rasulullah juga membuktikan bagaimana pemuka kaum Yahudi Madinah yang bernama Ka'ab al-Asyraf telah dihukum bunuh kerana terlalu banyak menyakiti baginda Rasulullah SAW. (rujuk al-Rahiq al-Makhtum, hal 277-281)

Namun begitu, sebarang sikap agresif dalam menangani masalah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ditakuti akan mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam.

Berkemungkinan umat Islam akan dilabel sebagai golongan yang membuta tuli, fanatik, emosional dan hanya tahu menggunakan kuasa undang-undang untuk mempertahankan akidah mereka.

Apa yang pasti penghinaan ini berlaku kerana kejahilan. Lumrahnya orang yang jahil senantiasa merasakan diri mereka benar walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" (al-Mutaffifin [83:29-32]).

Langkah terbaik untuk menangani masalah ini adalah dengan memberikan kefahaman sebenar tentang tugas serta fungsi perutusan baginda Rasulullah kepada manusia.

Penulis percaya orang yang menghina dan menentang Rasulullah SAW sebenarnya golongan yang sakit jiwanya kerana kejahilan. Oleh itu kejahilan mereka ini perlu diubati dengan diskusi ilmiah kerana hanya ilmu yang mampu mengubat jiwa yang jahil dan sakit. Benar kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Cinta mereka terhadap baginda SAW sebenar terhalang oleh karat kejahilan atau salah faham mereka. Untuk itu pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menghantar 'penghina' ini ke klinik ilmu untuk mengubati kejahilan mereka itu terhadap baginda SAW.

Sejarah jelas membuktikan bagaimana para pembesar Quraisy seperti Abu Suyan yang dahulunya kuat menentang Rasulullah SAW telah menjadi pencinta baginda setelah benar-benar mengenalinya.

Kita mengharapkan agar penghina Nabi Muhammad SAW akan bertukar kelak menjadi pencinta sebenar baginda setelah penyakit jiwa dan mental mereka diubati oleh ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Rasulullah.

Akan tetapi sekiranya mereka masih berdegil dengan pemikiran kotor untuk menghina Nabi Muhammad SAW, umat Islam perlu yakin dengan janji Allah di dalam al-Quran tentang kemuliaan yang berkekalan terhadap baginda SAW;

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad SAW), dialah yang terputus (dari mendapat rahmat dan sebarang perkara yang diingininya). (al-Kawthar [108.3]).

Cari makna baru Hijrah


Sebagai junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam. Nabi Muhammad, bagi mereka, bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok-sosok lain dalam sejarah kemanusiaan.

Baginda merupakan, Rasul Junjungan dan Insan Kamil yang diutus Tuhan bagi menzahirkan kesempurnaan sifat akhlak seseorang insan. Baginda merupakan manusia yang paling tinggi martabat kerohaniannya dan yang paling di sayangi Tuhan.

Walaupun baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga dengan peristiwa hijrah yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Secara historis, ia merupakan detik perpindahan dakwah Nabi dari peringkat pertama di Mekah yang penuh dengan mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa baginda sendiri, ke peringkat yang kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Daripada segi pensyariatan agama, ia merupakan dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Mekah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah dan pandangan alam Islam.

Namun di sebalik dimensi historis yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau siri-siri ceramah Maal Hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran yang lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan kita sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama oleh umat Islam zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik dan kebijaksanaan Nabi apabila berhadapan dengan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad merupakan insan terpilih dan yang terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doa-doanya dan dikurnia mukjizat dari Tuhan, kehidupan Nabi juga seperti kehidupan manusia yang lain, menuruti sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan.

Dengan perkataan lain, kehidupan Nabi juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Nabi apabila sunnatullah mengajar bahawa golongan yang lemah walaupun benar amat sukar mengalahkan golongan yang lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul dan mempunyai jumlah yang kecil dan persiapan yang kurang, tekanan dan ancaman yang ditujukan oleh golongan Musyrikin di Mekah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi oleh Nabi dan golongan Muslimin yang ada pada ketika itu.

Justeru perpindahan dari Kota Mekah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan. Nabi perlu mencari ruang dan kekuatan baru ke Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam.

Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil oleh masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Nabi ini? Sekiranya Nabi, insan terpilih yang dikurniakan Allah pelbagai bentuk mukjizat itu sendiri menyedari hakikat bahawa baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi yang ada, umat Islam dewasa ini sudah pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka.

Secara umumnya, masyarakat Islam sememangnya berada dalam keadaan yang lemah baik dari segi kekuatan fizikal, ketenteraan ataupun kekayaan ekonomi. Malah dari segi kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama negara-negara Barat.

Akan tetapi terdapat sekelompok dari masyarakat Islam yang nampaknya yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk kepada tindakan sekelompok yang melakukan tindakan mengebom dan menculik serta membunuh yang melibat manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kita tidak menafikan bahawa sebahagian peristiwa tersebut adalah tindak balas daripada segelintir orang Islam terhadap tindakan politik yang dilakukan oleh kuasa besar ke atas beberapa negara Islam atau merupakan perencanaan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam secara keseluruhannya terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan umat Islam dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas sekiranya berlaku.

Mengundang

Kita melihat sebahagian besar daripada tindakan sebegini sekadar mengundang tindakan balas yang lebih keras dan buruk kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah kita lihat berlaku di Afghanistan, Iraq dan negara Islam lain. Yang penting ia juga menggambarkan kerangka pemikiran yang ekstrem hasil daripada kekeliruan tentang ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan bahawa Nabi sendiri bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan yang ada apabila baginda mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan perkataan lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya inilah antara makna hijrah yang baru yang harus kita manfaatkan untuk suasana kita dewasa ini.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal sebagaimana yang disaran al-Quran, seperkara yang juga penting ialah kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain. Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlakiyah terutama dalam menolak faham-faham yang bertentangan dengan agama.

Berbanding dengan Islam, sebahagian agama lain misalnya, telah pun berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran-aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme. Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama-agama tersebut telah merubah dasar-dasar agama dan kepercayaan mereka bersesuaian dengan ideologi-ideologi tersebut.

Namun agama Islam, berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan oleh golongan ilmuwan Islam sepanjang zaman, ia masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran-aliran pemikiran asing.

Kekuatan yang pada agama Islam ini harus dipertahankan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya melibatkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Malah, dari segi strategi, sememangnya umat Islam dalam keadaan mereka lemah fizikal, seharusnya menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan ini.

Ia juga merupakan satu jihad yang besar dan harus dilakukan dengan menggunakan usaha yang kuat dan serius. Malah, ia juga satu bentuk peperangan yang melibatkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan.

Sekiranya kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan yang berlaku ke atas negara-negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang telah 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan oleh sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian dari aspek siasah dan ketenteraan. Malah jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan.

Mungkin ini merupakan salah satu makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu suasana kepada suasana yang baru, tetapi juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita telah pun berada sebelumnya. Jika sebelum ini kekuatan tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan tersebut kepada umat Islam.

28 Disember 2008

Islam dari persepsi ilmuan bukan Islam


DUA buah buku dalam bahasa Inggeris yang menyenaraikan 100 insan genius sejak zaman lampau hingga dewasa ini memberi penghormatan tinggi kepada Nabi Muhammad SAW. Kedua-duanya ditulis oleh dua ilmuan Barat bukan Islam.

Buku pertama The 100: The Most Influential Persons in History oleh Michael Har meletakkan nama Nabi Muhammas di peringkat atas sekali. Lalu dicatat betapa kombinasi pengaruh agama dan sekular Nabi Muhammad melayakkannya sebagai “manusia paling berpengaruh sekali dalam sejarah”.

Buku kedua, Genius ditulis oleh Harold Bloom, tokoh pengkritik sastera keturunan Yahudi. Olehnya disebut: “Tiada orang lain dalam sejarah manusia menyampaikan kepada kita firman Tuhan. Kita tidak boleh bersantai manakala membaca Quran atau melafaz ayat-ayatnya, sama ada bersendirian atau bersama orang-orang lain.”

Menurut Michael Hart, sebilangan tokoh yang disenaraikan lahir dan membesar di waktu perkembangan tamadun dunia yang berbudaya atau di negara-negara kancah politik. Sebaliknya pula Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun 570 di Mekah di selatan negara Arab, ketika itu sebuah wilayah yang mundur, jauh dari pusat-pusat perdagangan, kesenian dan pendidikan pelbagai ilmu.

Hijrah Nabi Muhammad ke Madinah pada tahun 622 mencetus perubahan besar. Kalau di Mekah para pengikutnya tidak begitu ramai, maka di Madinah bilangan mereka meningkat berkali ganda.

Nabi Muhammad akhirnya mencapai kemenangan setelah kembali ke Mekah. Melaluinya rakyat Arab pelbagai kaum bersatu kemudiannya. Agama Islam berkembang ke negara-negara lain melalui kegiatan lanjut sahabatnya, Abu Bakar a.s, saidina Umar a.s dan lain-lain hingga ke negara Parsi dan Sepanyol lalu berkuasa selama hampir 800 tahun lamanya.

tewas

Kerana perbalahan sesama sendiri, antara lainnya, pemerintahan Islam di Sepanyol tewas kepada pihak Kristian. Kerana kesemuanya itu menurut Hart lagi, Nabi Muhammad “mungkin pemimpin politik yang berpengaruh sekali sepanjang masa.”

“Profesor Harold Bloom, sarjana Universiti Yale dan Universiti New York, menulis mengenai Quran dan 114 surahnya setelah, sebelumnya lahir kitab Taurat dan kitab Injil. Beliau menambah: Tidak ada kitab lain yang menyamai Quran dan ini adalah kerana Quran firman Tuhan keseluruhannya.

“Quran adalah kitab yang penting bagi setiap manusia. Ini kerana Tuhan menunjukkannya kepada kesemua manusia dan kerana itu ia kitab yang universal.”

Ayat-ayat tersebut dipetik dari lima surah, antaranya surah ke-75 Al-Qiammah. (Berikut tafsir Al-Quran terbitan Darulfikir di bawah kawalan JAKIM.)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Pengasihani.

1. Aku bersumpah dengan hari Kiamat:

2. Dan Aku bersumpah dengan “An-Nafsul-Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati!)

3. Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula?)

4. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).

5. (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari Kiamat).

6. Ia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari Kiamat itu”?

7. Maka (jawabnya: Hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpendar-pendar (kerana gerun takut).

8. Dan bulan hilang cahayanya.

9. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama

10. (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari Kiamat:) Ke manakah hendak melarikan diri?”

11. Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!

12. Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.

13. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan.

14. Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri.

Profesor Bloom, penulis 25 buku lain, juga menyebut mengenai hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan wujudnya era Islam. Beberapa perkara yang dicatat oleh kedua-dua ilmuan Barat itu selari dengan catatan Profesor Golam Choudhury (warga Bangladesh) bekas sarjana Universiti Columbia di New York, antara lainnya:

* Dalam Islam tidak ada perpisahan antara agama dan politik. Nabi Muhammad menjadi ketua negara Islam di Madinah. Nabi bukan saja ketua agama tetapi juga pemimpin politik, negarawan dan pentadbir.

* Dalam melaksanakan tugas-tugasnya Nabi Muhammad terpaksa melakukan kempen ketenteraan bagi melindungi Islam dan menyertai rundingan-rundingan diplomatik.

Karya kedua-dua penulis Barat itu berbeza sama sekali daripada tindak-tanduk Geert Wilders, ahli Parlimen Belanda penerbit filem Fitna yang anti Quran.

Demikian juga dengan Theo Van Gogh yang menghina Islam melalui filemnya Submission serta rakannya Ayaan Hirsi Ali, bekas ahli Parlimen Belanda. Ia wanita Afrika yang mulanya beragama Islam, tetapi kemudian keluar dari agama Islam dan menulis buku menganggap dirinya kafir. Di samping itu para kartunis melukis 12 kartun Nabi Muhammad dalam akhbar Denmark Jyllands-Posten atas alasan kebebasan akhbar.

Baru-baru ini pula sebuah akhbar Inggeris menyiarkan berita mengenai 1,600 madrasah di Britain yang punyai kira-kira 200,000 murid belajar membaca Quran. Sebilangan murid dikatakan dipukul oleh guru-guru mereka.

Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

Yang ternama dan sumbangannya


Setiap hujung tahun majalah Time akan memilih seorang tokoh terkemuka sebagai Person of the Year. Selain daripada Person of the Years, Time juga memilih lima tokoh lagi yang dianggap memberikan kesan yang besar daripada sudut sosial dan politik khususnya kepada dunia. Tahun ini Time memilih bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama sebagai Person of the Year untuk tahun 2008.

Tahun ini selain Obama, lima tokoh yang turut disenaraikan sebagai yang memberikan kesan besar kepada politik daripada kacamata Time ialah Setiausaha Perbendaharaan AS, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy, calon naib Presiden AS yang mewakili Republikan dalam pilihan raya yang lalu, Sarah Palin dan pengarah filem terkemuka China, Zhang Yimou.

Tetapi pemilihan yang dibuat oleh Time misalnya hanya mengambil kira tokoh yang memberikan sumbangan kepada dunia politik, sosial atau budaya daripada persepsi Barat.

Misalnya tokoh dari dunia Islam tidak ada dalam senarai lima tokoh selain Person of the Year untuk tahun 2008. Tetapi hakikatnya ada beberapa pemimpin dunia Islam atau bukan Barat yang memberikan kesan atau individu yang mencipta sejarah tersendiri dari dunia Islam. Tokoh-tokoh dari negara-negara Islam atau di luar kelompok Barat juga penting untuk dilihat sumbangan mereka ke atas manusia seluruh dunia.

Tetapi ada beberapa tokoh yang tercicir atau sengaja dicicirkan daripada lingkungan pengaruh Time. Tokoh-tokoh yang tidak disenaraikan dan juga diperkatakan sumbangan kepada politik dan sosial sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar sekaligus menjadi bahan berita di seluruh dunia. Walaupun ada nama individu yang tidak bertaraf tokoh tetapi mereka menjadi bahan berita sekaligus mencipta nama khususnya di dunia Islam.

Tanpa menafikan pilihan yang dibuat oleh Time, tahun ini ada beberapa tokoh dan individu yang membentuk satu kesan pemikiran khususnya di luar lingkungan Barat atau AS. Kita juga sangat perlu untuk melihat keterampilan tokoh-tokoh yang dimusuhi AS kerana mereka ini memberikan kesan politik yang besar di dunia Islam.

Obama:

Pemilihan Obama sebagai Person of the Year 2008 dianggap tepat kerana di seluruh dunia tidak ada tokoh lain yang paling banyak diperkatakan selain bakal presiden AS pertama daripada kulit hitam ini. Tahun 2008 adalah tahun bersejarah bagi AS kerana buat pertama kali kuasa rakyat memilih seorang bukan kulit putih sebagai presiden. Ketokohan Obama menewaskan saingan dalam Demokrat, Hillary Clinton memperlihatkan kekuatan pengaruhnya yang merentasi diskriminasi warna kulit. Selepas menewaskan Hillary yang kini dilantik sebagai Setiausaha Negara menggantikan Condoleezza Rice, Obama sekali lagi membuktikan kekuatan apabila bertemu di gelanggang akhir menentang calon daripada Republikan, McCain.

Obama memperlihatkan dasar luar yang berbeza daripada Presiden George W. Bush terutama dalam menangani krisis di Asia Barat. Bush mempunyai perancangan mahu menyusun semula politik di Asia Barat menerusi penguasaan ke atas Kuwait kemudian diikuti dengan serangan ke atas Iraq. Tidak habis di situ saja, Bush dengan sokongan Rice mengugut menyerang Iran, sebuah lagi negara di dunia Islam yang berani bertegas menentang dasar Bush. Bagaimana pun Obama memperlihatkan sikap yang lebih terbuka apabila berjanji akan mengeluarkan tentera AS dari Iraq serta mahu menyelesaikan krisis di meja rundingan bukan menggunakan kuasa ketenteraan. Maka tahun 2008 akan diingati dengan kehadiran Obama sebagai pemimpin sebuah negara kulit putih yang kini diterajui oleh seorang kulit hitam.

Obama memperlihatkan sikap awalnya yang tidak memusuhi Islam dan ini memberikan harapan baru selepas rejim Bush melabelkan beberapa negara Islam sebagai paksi kejahatan pasca 11 September 2001. Pada pertengahan Januari depan Obama akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS, sekaligus mengubah senario hubungan AS dengan dunia luar. Ketika Obama menjejakkan kaki ke Rumah Putih, AS sedang dilanda krisis ekonomi paling teruk sejak 1930-an dan ini sudah pasti menjadi cabaran paling getir antara memulihkan hubungan AS dengan negara luar khususnya Asia Barat dan menangani krisis ekonomi yang dijangka menjulangkan angka pengangguran ke paras yang tertinggi dalam sejarah AS.

Mahmoud Ahmadinejad:

Selain Obama, tahun 2008 juga memperlihatkan pendirian presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang sangat konsisten mengenai pertahankan isu nuklear yang dibangkitkan oleh AS. Ahmadinejad dianggap pemimpin muda Iran yang kelihatan agak liberal berbanding pemimpin sebelum ini tetapi tetap mempertahankan program nuklear Iran untuk tujuan tenaga dan bukan senjata. Pendirian Ahmadinejad membuatkan AS mengugut mahu melancar serangan ketenteraan seperti yang dilakukan ke atas Iraq.

Tetapi ugutan AS yakni Bush yang sengaja mencari alasan untuk menyerang satu-satunya negara di Asia Barat yang berani menentang dasar-dasar melampau anjuran Bush. Ahmadinejad memberi kerjasama yang cukup baik kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat pemeriksaan di tapak pembangunan tenaga nuklear di Iran. Sepanjang tahun 2008, Ahmadinejad diingati oleh dunia kerana tegas mempertahankan negaranya daripada diceroboh oleh kuasa besar seperti AS menerusi tuduhan membangunkan senjata nuklear.

Ahmadinejad menjalinkan hubungan baik dengan Rusia, sebuah lagi kuasa besar yang menjadi musuh tradisi AS. Iran mendapat bekalan uranium dari Rusia dan Rusia dengan terbuka menghantar beberapa kapal penuh dengan uranium yang didakwa tidak melanggar ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Nampaknya Iran terlepas daripada ugutan serangan oleh AS selepas Obama menduduki kerusi presiden AS tidak lama lagi.

Ahmadinejad menjadi pemimpin dunia Islam yang bukan saja paling lantang mengkritik AS malah mempunyai strategi untuk membangunkan Iran di luar bayang-bayang Barat. Kini Iran menjadi negara tunggal di Asia Barat yang tidak jatuh ke tangan AS, sekaligus menjadi contoh kepada banyak pemimpin negara Islam lain yang diancam oleh kuasa besar supaya bangun mengatakan pendirian. Ahmadinejad bijak menghalang kemaraan AS apabila menjalinkan hubungan baik dengan Rusia dan kalai kita masih ingat Putin pernah mengkritik Bush sebagai pencetus ketidakstabilan politik dunia. Ahmadinejad menggunakan peluang kecaman Putin untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penentang AS.

Asif Ali Zardari:

Presiden Pakistan ke-14, Asif Ali Zardari sebenarnya tidak terbayang akan menjadi teraju utama Pakistan yang tidak pernah sunyi daripada konflik politik sejak sekian lama dulu. Asif Ali Zardari adalah suami kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto yang terkorban dalam serangan berani mati semasa kempen pilihan raya presiden. Pembunuhan Benazir, anak kepada Julfikar Ali Bhutto memberi laluan kepada Asif Ali Zardari yang memimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP).

Laluan ke persana kuasa bukanlah mudah. Peralihan kuasa daripada pemimpin kuku besi Prevez Musharraf mempertembungkan pula dengan pergolakan dengan beberapa parti politik lain untuk memimpin Pakistan. Walaupun banyak penganalisis politik menganggap Asif Ali Zardari bukanlah tokoh terbaik untuk menjadi Presiden Pakistan selepas terkorbannya Benazir, tetapi pemilihannya juga disebabkan legasi Bhutto. Sebagai sebuah negara Islam, kedudukan Pakistan sebenarnya sangat bahaya apa lagi dengan campur tangan AS.

Bagaimanapun Asif Ali Zardari menumpang pengaruh Benazir yang sangat kuat di Pakistan malah menggugat Preves Musharraf semasa bekas jeneral tentera itu masih memimpin Pakistan. Asif Ali Zardari pernah digelar "lelaki sepuluh persen" selepas didakwa menerima rasuah daripada banyak projek kerajaan semasa Benazir menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana pun tuduhan itu tidak dipedulikan oleh rakyat khususnya anggota PPP yang mahu melihat legasi Bhutto terus menerajui Pakistan selepas Ali Bhutto dihukum gantung sampai mati oleh Preasiden Zia. Kini Asif Ali Zardari menjadi antara pemimpin negara Islam yang lantang khususnya mengenai krisis dengan India terutama selepas serangan militan di Mumbai baru-baru ini.

India menuduh Pakistan terlibat dalam serangan militan itu dan Asif Ali Zardari bangun mempertahankan bahawa Pakistan tidak pernah terlibat dan mengarahkan menarik balik penghantaran pasukan penyelamat ke Mumbai. Dalam keadaan politik Pakistan yang tidak pernah stabil, terlalu sukar untuk diramalkan berapa lamakah Asif Ali Zardari boleh bertahan sebagai Presiden Pakistan. Walau apa sekali pun beliau membuktikan berjaya meneruskan impian isterinya untuk menduduki persada tertinggi di negara itu.

Hugo Chavez:

Presiden Venezuela, Hugo Chavez seorang lagi pemimpin dari Amerika Latin yang begitu lantang menentang AS. Beliau mengambil tindakan berani mengusir duta AS ke Venezuela. Sebagai membalas tindakan Chavez, AS baru-baru ini mengenakan sekatan ke atas tiga pembantu kanan Chavez iaitu dua ketua perisik Venezuela, Hugo Carvajal Barrios dan Henry Rangel Silva serta seorang bekas menteri, Ramon Rodriguez Chacin.

Sekatan itu sekaligus mencatat hubungan diplomatik antara Venezuala dengan AS berada di paras yang paling buruk. Sikap tidak gentar dengan gertakan AS menjadikan Chavez seperti bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro malah Chavez secara terbuka mengakui bekas pemimpin Cuba itu sebagai mentornya dan menganggap Rusia sebagai pengimbang kuasa AS.

Akibat ketegangan hubungan antara Venezuala dengan AS, Chavez mengancam mahu menghentikan eksport minyak ke AS dan harga minyak ketika itu diramal akan meningkat hingga lebih AS$ 200 setong jika Venezuela memberhentikan bekalan minyak kepada AS. Chavez juga secara terbuka memihak kepada Rusia dengan membenarkan pesawat pengebom jarak jauh Rusia mendarat di Venezuela. Malah Chavez memihak kepada Rusia dalam isu Georgia.

Muntadar Al Zaidi:

Muntadar Al Zaidi bukanlah pemimpin politik. Beliau seorang wartawan Iraq yang ditugaskan membuat liputan sidang media Bush di Baghdad baru-baru ini. Muntadar ditugaskan mencari berita tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau pula menjadi bahan berita dan disebarkan ke seluruh dunia.

Muntadar mencatatkan sejarah yang tidak mungkin berulang untuk kali kedua iaitu melemparkan Bush dengan sepasang kasut yang dipakainya ke acara sidang media itu. Dalam adat budaya Iraq, melempar kasut adalah satu penghinaan yang amat teruk. Maka Bush telah dihina dengan sangat jijik oleh seorang warga Iraq selepas mengirimkan sekian banyak derita dalam perang Iraq.

Wartawan yang berjiwa nasionalis ini akan didakwa kerana cuba mencederakan seorang ketua negara asing. Sebenarnya Muntadar kini sudah melampaui tugasnya sebagai seorang wartawan yang menulis berita tentang Bush. Beliau dalam sekelip mata menjadi wira Iraq kerana keberanian melemparkan kasut yang sasarannya ke muka Bush. Kalau dilihat rating populariti Muntadar ketika ini, sudah tentulah beliau mengatasi Bush yang semakin dilupakan. Malah Muntadar mendapat sokongan seluruh dunia terutama daripada umat Islam yang menentang pencerobohan Bush ke atas Iraq.

Ironiknya semasa patung Saddam Hussein ditumbangkan oleh tentera AS dulu, ada rakyat Iraq sendiri yang memukul kepala patung Saddam dengan kasut. Mereka mengalu-alukan kedatangan tentera AS dengan jambangan bunga. Selepas ini mereka tentu akan mengingati pengorbanan besar yang dilakukan oleh Muntadar, ikon wira Iraq yang menghantar Bush pulang dengan sepasang kasut.