Oleh Azman Abdul Hamid
HASILKAN KAMUS: Kamarul menunjukkan kamus bahasa Urdu, Melayu, Inggeris dan Arab. |
Penulis rancang novel kisah anak watan hadapi pelbagai cabaran di rantau asing
ISLAMABAD: "Saya bercita-cita melahirkan novel bertajuk Gerimis di Khaniwal. Watak utama mengenai seorang lelaki Malaysia yang merantau dan belajar agama untuk hidup. Sebahagian besar cerita adalah mengenai pengalamannya selepas sampai di Khaniwal."
Begitulah azam seorang anak Malaysia di Pakistan, Kamarul Ariffin Ithnan, 33, yang berasal dari Bagan Datoh, Perak ketika bertemu di ibu negara Pakistan, baru-baru ini.
Apa yang menarik ialah beliau berjaya menghasilkan kamus bahasa Melayu kepada bahasa Arab dan Urdu manakala bahagian keduanya dari bahasa Melayu kepada Inggeris, Arab dan Urdu. Kamus itu yang dicetak pada tahun ini dijual pada harga 800 rupees (RM44).
"Saya mendapat idea membuat kamus itu pada tahun kedua pengajian Islam di sini di Jamiah Allama Yusuf Binoory," kata Kamarul yang juga Presiden Umno bahagian luar negara di Karachi.
"Idea itu datang dengan spontan saja, maklumlah mungkin ketika itu saya rasa agak tertekan kerana belum lagi boleh bercakap Urdu dengan baik.
"Jadi, saya usahakan secara sedikit sedikit, kadang-kadang selepas pulang belajar atau sebelum tidur. Ada kalanya saya melakukan terjemahan itu selepas bersukan. Malah, ada sekali saya lakukannya ketika berada dalam kereta api dari Karachi ke Lahore.
"Saya akui proses untuk menghasilkan kamus itu pada masa-masa tertentu menyebabkan saya rasa bosan dan jemu hingga terhenti pada satu ketika sehingga setahun," katanya yang mengambil masa sejak 1996 untuk menghasilkan kamus berkenaan.
Baginya cabaran terhebat adalah apabila kenalan dan sahabatnya tak henti-henti bertanya bila kamus itu akan diterbitkan.
"Memang berasa semacam, maklum saja apabila kawan-kawan tanya bila nak siap, asyik usung kamus ke sana ke mari. Tapi, pada masa sama, itu juga menjadi sebab menaikkan semangat saya untuk menyiapkannya," katanya lagi.
Pada masa sama, katanya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ahmad Shahizan Abdul Samad dan isteri serta kakitangan kedutaan kerana sentiasa memberi galakan membolehkannya menyiapkan kamus itu.
Kamarul juga berterima kasih atas bantuan Muhammad Firdaus Ibrahim, Muhammad Haidir Auzir dan Abdul Hadi Abu Bakar dalam penghasilannya menerusi perbincangan mengenai ejaan, perkataan dan makna.
Bagaimana pula dengan pengalaman 'manis' khususnya dalam mencari makna perkataan Urdu kepada Melayu?
"Sebenarnya mungkin lebih tepat jika dikatakan sebagai sukar dilupakan. Misalnya, apabila mencari makna mengenai organ manusia. Saya kena tebalkan muka dan bertanya guru. Maklum saja perkataan anggota sulit bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditanya.
"Begitu juga apabila mencari makna alat pertukangan kayu, contohnya. Saya pergi ke kedai tukang kayu. Pada masa itu, dia tidak ada, jadi saya tinggalkan perkataan inggeris dan syukur dia dapat membantu saya menterjemahkannya ke dalam bahasa Urdu," katanya.
Kamarul turut merancang menghasilkan kamus dwibahasa Urdu kepada Melayu dan Melayu kepada Urdu yang diharapkan siap pada 2009.
Jadi, muncul pula satu lagi persoalan iaitu novelnya Gerimis di Khaniwal yang diharapkan menjadi kenyataan pada 2010, satu penulisan berbentuk motivasi Islam.
Cerita mengisahkan seorang anak bangsa yang berani menjelajah rantau bangsa lain, mencari dan melalui pengalaman baru ke arah memperkukuh identiti supaya lebih cemerlang jati diri.
"Saya merancang seorang hero yang menghadapi konflik dalam diri di perantauannya, termasuk isu lain seperti jatuh cinta yang diakhiri dengan watak utama itu menjadi imam apabila pulang ke kampung dan membuka syarikat motivasi untuk anak bangsa. Kejayaannya dibanggakan semua," kata Kamarul.
Mesej daripada novel itu adalah supaya orang muda suka beramal, tidak takut mencari ilmu dan pengalaman baru di rantau asing, suka kepada pelbagai budaya tidak kira tempatan atau asing, katanya lagi, yang tentu sedikit sebanyak mengandungi pandangan, isi hati dan pengalamannya sendiri di Pakistan.