Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Disember 2007

Pertahankan bahasa Melayu


DALAM isu yang menyentuh permuafakatan politik di Malaysia ini sering kali berhadapan dengan retorik para pemimpin yang menyarankan perlunya semua pihak menghormati kontrak sosial yang telah lama disepakati dan menjadi tunjang dalam penggubalan Perlembagaan Negara.

Kewajaran atau idealnya adalah begitu tetapi sesuatu yang ironi kerap berlaku, misalnya apabila salah satu perkara yang amat penting dan telah termaktub dalam Perlembagaan iaitu berkaitan dengan masa depan bahasa Melayu yang kini kembali dikenali sebagai bahasa Malaysia.

Rentetan dan signifikannya dapat dikaitkan dengan polemik kaedah pengajaran bagi subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah. Sebab, kenyataannya di peringkat akar umbi terutama di kalangan ibubapa sebenarnya ramai yang terkilan dan tidak bersetuju dengan langkah pengekalan kaedah tersebut selama ini walaupun tidak dinafikan tujuannya adalah baik.

Pada peringkat awal dahulu, protes dan kebimbangan turut disuarakan oleh pihak yang terlibat secara langsung iaitu golongan pendidik sendiri yang dikatakan masih lagi tidak bersedia dan terpaksa menghadapi pelbagai kekangan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi kedua-dua subjek tersebut.

Natijahnya, terpaksalah anak-anak kita yang belajar terutamanya di sekolah rendah dan menengah menempuhi kesukaran dalam pembelajaran mereka.

Seiring dengan itu, terdapat juga pemimpin, pejuang bahasa dan budaya Melayu, pensyarah serta tokoh-tokoh akademik di IPTA yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Tan Sri Ainuddin Wahid, Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Jagjit Singh yang turut mengupas dilema bahasa Melayu ini.

Ruang untuk balik ke pangkal jalan kembali terjelma melalui upaya politik yang dicernakan oleh wakil Badan Perhubungan UMNO Johor (selain wakil Pergerakan Pemuda UMNO) dalam Persidangan Agung ke-58 parti siasah terbesar bangsa Melayu itu baru-baru ini. Tujuannya tiada lain - untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ini bukan soal kecil atau perkauman kerana kita perlu memahami kerangka pembinaan negara yang komposisi penduduknya terdiri daripada masyarakat majmuk, pelbagai budaya dan agama. Perlu dihayati semangat kontrak sosial yang telah lama termeterai itu. Kaum lain hendaklah hormat dan menerima dengan hati terbuka agenda Melayu yang juga menjadi agenda semua kaum di Malaysia.

Gesaan untuk mengembalikan istilah bahasa Melayu dan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu adalah langkah yang betul dan selaras dengan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Namun, demi tuntutan ilmu dan kemajuan, kaedah pengajaran bahasa Inggeris (juga bahasa-bahasa lain) perlu dimantapkan di semua peringkat institusi dan kemasyarakatan.

Dalam bidang pendidikan ini, asasnya ialah kerajaan perlu memelihara ciri-ciri dominan Melayu dan menggubal dasar yang jelas serta tuntas demi masa depan rakyat dan negara. Sebarang salah perkiraan akan membawa bahana dan impak yang mendalam. Akhirnya, diharapkan matlamat memperkasa sekolah kebangsaan sebagai satu-satunya pusat pembelajaran utama akan tercapai.

– MARAMIN ABD. LABIN,