Oleh Nasron Sira Rahim
MAKAM lama warisan Samudera Pasai di Aceh. |
Ibnu Batutah catat wilayah diperintah Sultan Mahmud Malik Zahir sebagai maju, pelabuhan besar dan gemilang
KETIKA berada di China sekitar abad ke-14, pengembara Islam terkenal, Ibnu Batutah terlihat satu bahtera asing berlabuh di pelabuhan negara itu. Selepas diselidikinya, beliau dimaklumkan yang bahtera itu milik Sultan Samudera Pasai.
Kehadiran bahtera bersama wakil utusan Sultan Samudera Pasai ke China adalah secara rutin berikutan kerajaan itu perlu menyerahkan ufti kepada Kerajaan China mengikut senggang masa tertentu.
Seterusnya beberapa tahun kemudian iaitu pada 1346, ketika dalam perjalanan merentas jalan laut dari Tanah Arab ke China, Ibnu Batutah sempat mengunjungi Kerajaan Samudera Pasai yang terletak di pinggir Selat Melaka (kini Wilayah Aceh).
Melihat keadaan di negeri berkenaan, pengembara yang berasal dari Maghribi itu membuka helaian kertas jurnal perjalanannya, mengambil pena dan mula mencatatkan pendapatnya mengenai kerajaan berkenaan.
Antara terjemahan catatannya berbunyi lebih kurang begini: “Samudera Pasai adalah negeri nan hijau dan subur, rakyat dan alamnya indah dan menawan, (ia) negeri yang menghijau dan kota pelabuhannya besar dan indah.”
SULTAN Malik Al-Saleh |
Ketibaan Ibnu Batutah di negeri itu disambut baik Panglima Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir Al-Syirazi, Tajuddin Al-Asbahani dan beberapa ulama ahli fiqh di kerajaan berkenaan atas perintah Sultan Mahmud Malik Zahir.
Ibnu Batutah mencatat lagi dalam jurnalnya. Pada pandangannya, Sultan Mahmud adalah penganut mazhab Syafie yang giat menyelenggarakan pengajian, perbahasan dan muzakarah mengenai Islam sehingga menyebabkan Samudera Pasai menjadi pusat tumpuan pengajian Islam ketika itu. Mengenai peribadi dan corak pemerintahan Sultan berkenaan, beliau menulis:
“Sultan sangat rendah hati dan berangkat ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki. Selesai solat, Sultan dan rombongan mengelilingi kota untuk melihat keadaan rakyatnya.”
Ibnu Batutah berada di Samudera Pasai selama 15 hari. Sebelum berangkat meninggalkan wilayah Nusantara itu, beliau sempat mengunjungi pedalaman Sumatera yang masih dihuni masyarakat bukan Islam.
Di situ, beliau menyaksikan beberapa perlakuan masyarakat yang mengerikan antaranya upacara bunuh diri beramai-ramai yang dilakukan golongan hamba ketika pemimpinnya mati.
Demikianlah antara beberapa catatan Ibnu Batutah mengenai Samudera Pasai, satu kerajaan silam yang hebat serta wujud lebih 600 tahun lalu malah didirikan lebih awal daripada Kerajaan Melaka.
Kini, Kerajaan Samudera Pasai sudah tiada. Susur galur dan kehebatannya hanya dikenang lewat catatan sejarah silam antaranya menerusi ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ selain penemuan pelbagai tinggalan arkeologi yang ditemui di Wilayah Aceh.
Samudera Pasai mencatat rekodnya tersendiri dalam sejarah Melayu kerana ia dianggap Kerajaan Melayu pertama yang menerima Islam. Ketika Majapahit atau Srivijaya masih berpegang kepada fahaman Hindu-Buddha, pemimpin dan rakyat Samudera Pasai sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mentauhidkan Allah SWT.
Detik pertukaran daripada pengamalan ajaran Hindu-Buddha kepada Islam itu bermula sekitar 800 Masihi apabila sebuah kapal saudagar Islam dari Gujerat tiba di Bandar Perlak (satu daripada kawasan di wilayah Aceh).
Ketibaan kumpulan saudagar diketuai Nakhoda Khalifah itu tidak saja untuk urusan perdagangan malah untuk menyebar dakwah. Penerimaan baik penduduk tempatan terhadap dakwah Islamiah selain perkahwinan campur antara gadis tempatan dengan saudagar Muslim menyebabkan Islam mula tersebar ke seluruh wilayah Aceh dalam tempoh 40 tahun saja.
Seterusnya Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai (satu lagi kerajaan yang wujud di wilayah Aceh ketika itu) disatukan sehingga wujudnya Kerajaan Samudera Pasai. Sultan pertamanya adalah Sultan Malik Al-Saleh dan baginda dikahwinkan dengan Puteri Ganggang iaitu puteri pemerintah Perlak ketika itu, Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat.
Di bawah pemerintahan berasaskan tauhid kepada Allah itu, Samudera Pasai menjadi Kerajaan Islam yang terkenal dan maju.
Kerajaan itu menjadi tumpuan kunjungan saudagar daripada pelbagai negeri seperti China, India, Siam, Arab dan Parsi malah angkatan dagangan Samudera Pasai turut merentas laut untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan luar. Selain menghantar ufti ke China, Sultan Pasai turut mengirimkan utusan ke Quilon, India Barat pada 1282 Masihi.
Dagangan utama di wilayah itu adalah lada. Kemajuan perdagangan yang dialami mereka menyebabkan Samudera Pasai turut menghasilkan mata wang emas yang disebut dirham dan mata wang itu digunakan secara rasmi oleh kerajaan mereka.
Selain berkembang sebagai pusat perdagangan, Samudera Pasai turut menjadi pusat perkembangan ilmu dan Islam. Ajaran Islam menerusi kitab bertulis Arab kemudian mencetuskan penghasilan tulisan jawi yang akhirnya menjadi warisan budaya Melayu.
Terhasilnya tulisan jawi juga mencetuskan perkembangan sastera klasik Melayu antaranya penghasilan kitab ‘Hikayat Raja-raja Pasai’ yang ditulis sekitar 1360.
Selaras dengan itu juga, ilmu tasawuf turut berkembang apabila ada antara kitab tasawuf diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertulisan jawi. Antaranya adalah Durru al-Manzum, karya Maulana Abu Ishak.
Kegemilangan Kerajaan Samudera Pasai dikatakan sama hebatnya dengan zaman kemasyhuran Melaka di Tanah Melayu.
Bagaimanapun, melewati masa, Samudera Pasai mula mengalami kemunduran apabila Kerajaan Melaka diasaskan. Kehebatan kerajaan diasaskan Paramesrawa itu menyebabkan pedagang mula beralih dari pelabuhan Samudera Pasai ke Melaka.
Seterusnya pada 1360, Samudera Pasai diserang Majapahit dan akhirnya kerajaan hebat itu ditakluki sekali gus menamatkan era kegemilangannya dalam rentetan sejarah silam Nusantara, suatu ketika dulu.
Cerita pelik Hikayat Raja-Raja Pasai
KERJA arkeologi yang dijalankan di Kampung Geudong, Aceh Utara, menemui kawasan kubur purba yang misteri. Akhirnya kajian dan penyelidikan mendapati kawasan pusara itu adalah makam diraja sebuah kerajaan silam yang masyhur iaitu Samudera Pasai.
Antara banyak makam diraja yang ditemui itu, satu daripadanya tertera nama Sultan Malik al-Saleh. Seterusnya penemuan makam itu menyingkap sejarah kehidupan tokoh berkenaan yang namanya turut disebut dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.
Malik al-Saleh adalah nama Merah Silu selepas beliau menganut Islam. Namanya menjadi sebutan dan amat dikenali ketika membicarakan mengenai Kerajaan Samudera Pasai.
Ini disebabkan Malik al-Saleh adalah Sultan pertama Samudera Pasai malah beliaulah yang bertanggungjawab menukarkan kerajaan itu daripada mengamalkan ajaran Hindu-Buddha kepada Islam.
Cerita pengislaman tokoh itu amat pelik jika dibaca dalam Hikayat Raja-raja Pasai. Beliau dikatakan menganut Islam selepas bermimpi menemui Nabi Muhammad SAW (sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan).
Ditulis dalam hikayat itu bahawa Merah Silu disuruh mengucap dua kalimah syahadah dalam mimpinya tetapi beliau tidak tahu berbuat demikian menyebabkan baginda meludah ke dalam mulutnya.
Selepas itu, Merah Silu mampu mengucap dua kalimah syahadah dan diberi gelaran Sultan Malik al-Saleh seterusnya menjadi Sultan sebuah Kerajaan Islam bernama Samudera Pasai.
Dalam hikayat itu juga, Merah Silu diberitahu supaya hanya memakan binatang halal yang disembelih selain dalam masa 40 hari kemudian, akan datang sebuah kapal dari Makkah dan hendaklah dia menerima ajaran Islam yang dibawa seseorang yang menaiki kapal itu.
Diceritakan lagi, apabila Merah Silu terjaga daripada tidurnya, Merah Silu mendapati kemaluannya sudah disunat dan mulutnya lancar membaca 30 juzuk al-Quran.
Tidak lama selepas itu, sebuah kapal dari Makkah berlabuh di pelabuhan Samudera Pasai dan turunlah seorang ulama bernama Sheikh Ismail. Ulama itu menghadap Sultan Malik al-Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah dan membaca al-Quran. Sheikh Ismail kemudian berjaya mengislamkan seluruh rakyat Samudera Pasai.
Sememangnya wujud banyak kisah pelik yang di luar logik akal dalam Hikayat Raja-raja Pasai antaranya ibu Malik al-Saleh iaitu Puteri Betong ditemui di perdu rebung buluh dan bapanya iaitu Merah Gajah, dibela seekor gajah.
Merah Gajah pernah mencabut rambut emas Puteri Betung lalu keluar darah pelik berwarna putih dan akhirnya Puteri Betung ghaib. Merah Silu juga pernah menahan bubu dan mendapat cacing gelang yang bertukar menjadi emas dan perak.
Selain itu, diceritakan lagi yang Merah Silu pernah berjumpa seekor semut sebesar kucing dan memakan makhluk itu.
Walaupun pelbagai kisah pelik dan mistik menyelubungi Malek al-Saleh, sesuatu yang pasti adalah kajian mendapati tokoh itu sememangnya wujud dan beliau dikenali sebagai Sultan pertama Kerajaan Islam Samudera Pasai.
INFO: Samudera Pasai
sumber: Ensiklopedia Tokoh Islam, www.wikipedia.com, www.melayuonline.com.