Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Disember 2007

Wira Tak Didendang singkap sejarah negara


MUNGKIN ada antara kita yang alpa dan terleka dek kemewahan yang dinikmati hari ini tanpa menyedari pejuang dan pemimpin terdahulu yang telah banyak berkorban demi memastikan kesejahteraan negara dan bangsa.

Namun, adakah antara kita yang tahu siapakah yang memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dan kemakmuran negara sehingga ada yang sanggup bersabung nyawa mempertahankan kedaulatan negara tercinta?

Justeru, untuk menyingkap kembali sejarah tersebut, sebuah rancangan dokumentari yang berjudul Wira Tak Didendang (WTD) akan menemui penonton setia RTM1 pada setiap Isnin dan Selasa pukul 6.05 petang menerusi slot Gemilang 50.

WTD merupakan dokumentari yang diadaptasi daripada buku karya Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Menerusi dokumentari sebanyak 13 episod ini, para penonton akan dibawa mengamati peristiwa-peristiwa lalu daripada kaca mata seorang wartawan.

Salah satu kisah yang dipaparkan dalam WTD adalah peranan anggota keselamatan khususnya Pasukan Polis Cawangan Khas dalam usaha mencari perdamaian dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Dengan ini, bermulalah rentetan peristiwa-peristiwa penting sehingga termeterainya Perjanjian Hatyai pada 2 Disember 1989.

Bukan itu sahaja, dokumentari ini turut memperlihatkan sudut pemikiran yang kritikal mengenai proses kemerdekaan yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ternyata membawa keamanan kepada negara sehingga ke hari ini.

turut dipaparkan bagaimana Tunku memberi pandangannya dengan menolak cara Indonesia dan beberapa negara Asia dan Afrika yang memperjuangkan kemerdekaan dengan kekerasan dan pertumpahan darah.

Menariknya juga, penonton juga akan dibawa untuk melihat bagaimana kesepaduan orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union oleh British lalu memberi keyakinan kepada Tunku bahawa menentang secara aman boleh mencapai kejayaan. Disebabkan itu, UMNO berjaya ditubuhkan di Istana Besar, Johor Bahru pada pada 11 Mei 1946.

Selain itu, WTD turut menyorot kisah bagaimana negara berhadapan dengan serangan komunis sehingga Tunku Abdul Rahman membuat tawaran supaya PKM menyerah diri. Malangnya, beliau pula dipaksa untuk mengiktiraf PKM. Sudah tentu, Tunku Abdul Rahman berkeras menolak permintaan PKM kerana beliau tahu PKM mempunyai hubungan yang erat dengan parti komunis di China.

PKM yang merupakan musuh rakyat terus menggiatkan serangan mereka sehingga kerajaan mengisytiharkan darurat pada 12 Januari 1948. Dek kerana itu, Tunku Abdul Rahman berazam menghapuskan PKM yang didukung oleh orang-orang Cina yang kecewa dengan janji British kerana tidak menyerahkan negara ini kepada mereka selepas Jepun menyerah kalah.

Seterusnya, menerusi WTD juga, dipaparkan bagaimana tugas berat menanti Bapa Kemerdekaan itu apabila perlu berhadapan dengan dua peperangan iaitu berperang menghapuskan komunis dan ‘memerangi’ kemiskinan rakyat pada waktu itu. Untuk itu, program pembangunan menjadi agenda utama sementara prasarana untuk rakyat ditambah.

Penonton WTD pastinya akan merasai semangat dan falsafah yang dilaungkan Tunku iaitu, 'Dasar kita ialah mengutamakan makanan bukan peluru, mengutamakan perumahan bukan berek, mengutamakan pakaian bukan uniform' yang terbukti tepat dan memacu kemakmuran negara ini dengan pantas.

Falsafah beliau itu dilangsungkan dalam semangat dan jiwa yang baru. Merdeka akan hilang maknanya jika negara terus dibelenggu dengan kemiskinan lalu menjadikan rakyat tidak merdeka.

Pastikan temu janji anda bersama WTD yang akan bersiaran setiap hari Isnin dan Selasa bermula pukul 6.05 petang menerusi slot Gemilang 50 di RTM1 untuk menghayati pengorbanan mereka yang berjuang demi negara yang mungkin juga tidak diketahui oleh ramai orang terutama generasi muda masa kini.