Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Januari 2008

Bank Dunia Melayu dilancar akhir 2008


Oleh Lukman Ismail

MELAKA 21 Dis. – Bank Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), yang akan menjadi institusi kewangan khusus bagi negara-negara anggota DMDI dijangka dilancarkan akhir tahun depan.

Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pada masa ini jawatankuasa penasihat yang beliau pengerusikan telah mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, hasil mesyuarat yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husin, wakil-wakil dari agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan itu akan diteruskan pada mesyuarat kedua yang dijadual diadakan bulan depan.

“Mesyuarat akan datang akan membincangkan secara terperinci kaedah dan caranya. Hasil rumusan yang diperoleh kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diulas.

“Pada suku pertama tahun depan kita harap dapat melancarkan konsep dan selepas dipersetujui, hujung tahun depan kita lancar (DMDI),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Tabika Kemas Rumah Awam Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Sehingga ini terdapat 13 negara menganggotai DMDI melibatkan penduduk Melayu Islam lebih 300 juta orang.

Mohd. Ali berkata, buat masa ini pihaknya belum menetapkan siapa yang akan menerajui bank tersebut kerana keputusannya terletak di tangan Perdana Menteri.