Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Januari 2008

Syed Mokhtar model jutawan pemurah


Oleh Mohamad Sofee Razak

PEMILIHAN Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, personaliti dan ikon unggul dunia korporat negara sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 tahun ini adalah pemilihan bijak dan kena pada masanya.

Walaupun ada persepsi bahawa anugerah berprestij itu layak diberikan hanya kepada tokoh agama, tanggapan seperti ini tidak tepat kerana Islam itu bukan hanya bersifat ritual semata-mata, malah satu cara serta gaya hidup yang lengkap, syumul dan holistik.

Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.


Syed Mokhtar antara manusia terkaya di Asia dan anak Melayu terkaya di negara ini. Syed Mokhtar yang berasal daripada sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini memiliki harta bernilai RM4.16 bilion seperti dilaporkan dalam Senarai Bilionaire Dunia Forbes 2007.

Kekayaan beliau tidak dijadikan milik peribadi bahkan dikongsikan dan diwakafkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Seawal usia 25 tahun, Syed Mokhtar sudah menyumbang separuh daripada gaji RM1,500 yang diterima kepada 15 keluarga miskin, manakala bakinya digunakan untuk membiayai persekolahan adiknya.

Pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat supaya menyerahkan separuh daripada pendapatan yang diterima setiap bulan kepada fakir miskin, kekal menjadi azimat dan pegangan hidupnya sehingga kini.

Walaupun sudah lebih 30 tahun berlalu, 15 keluarga terbabit masih menerima bantuan daripada Syed Mokhtar, selain beberapa keluarga baru dipilih menggantikan mereka yang sudah meninggal dunia.

Syed Mokhtar berkata, kerajaan memberi bantuan kewangan kepadanya ketika mula-mula berniaga serta mahu membalasnya dengan menolong golongan susah, termasuk membina masjid dan membiayai kos mengerjakan ibadat haji.

Nama beliau begitu dekat di hati orang miskin, fakir, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di negara kita oleh kerana sifat pemurah dan penyayangnya kepada golongan terbabit. Beliau sanggup melakukan apa saja untuk mengeluarkan golongan tidak bernasib baik ini daripada belenggu kemiskinan, kebuluran, buta huruf dan kesengsaraan di mana saja mereka berada sehinggalah beliau menubuhkan sebuah yayasan khas untuk tujuan murni itu.

Beliau menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global dan aktif dalam penubuhan serta pembiayaan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sejarah awal beliau bukanlah datang daripada keluarga yang senang, tetapi mampu bangkit dan berjaya memecah tembok kemiskinan keluarganya untuk muncul sebagai manusia paling berpengaruh di dunia korporat di negara kita.

Sehingga 2006, yayasan ditubuhkannya sudah menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan, termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan beliau juga sedang berusaha menubuhkan sebuah hospital Aids di Uganda bagi membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lubnan.

Bermula dengan perniagaan lembu dan beras, kini tidak satu pun sektor penting yang menjadi injap ekonomi negara yang tidak diceburi gergasi korporat ini meliputi sektor pembinaan, ICT, import eksport, cari gali minyak, perbankan Islam, perhotelan, automotif dan sebagainya sama ada di dalam dan luar negara.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkannya juga terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, pertahanan, makanan dan kewangan.

Aspirasi dan manifestasi hijrah meletakkannya berada di kedudukan sekarang dan beliau tidak lagi menoleh ke belakang ditelan sejarah lama, bahkan terus memecut kerjaya korporatnya dan tidak mustahil beliau bakal menjadi manusia terkaya di Malaysia suatu hari nanti.

Menelusuri sejarah kejayaan dan sumbangan beliau mengingatkan kita kepada sirah sahabat jutawan seperti Uthman Ibnu Affan dan Abdul Rahman Bin Auf yang memperhambakan diri dan kekayaan mereka seluruhnya kepada Islam dan umat Islam.

Kekayaan dan kemewahan tidak menjadikan mereka lupa diri, bongkak dan hilang rasa hormat kepada orang miskin, bahkan seluruh kekayaan mereka diwakafkan kepada pembangunan dan kebajikan Islam.

Realiti inilah yang berlaku kepada tokoh yang bernama Syed Mokhtar Al-Bukhari ini dan beliau menggunakan segala kekayaannya untuk membina rumah anak yatim dan fakir, rumah perlindungan kepada orang tidak bernasib baik, institusi khas untuk golongan OKU, membina institusi pendidikan khas kepada anak miskin melalui pembiayaan biasiswa, tuisyen percuma dan pelbagai lagi yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan Islam di negara kita.

Kesedaran tinggi mengenai keperluan menguasai ilmu mendorong beliau membantu hampir 22,000 pelajar daripada kalangan mereka yang kurang berkemampuan mengikuti tuisyen dalam subjek Sains, Matematik dan bahasa Inggeris sejak empat tahun lalu.

Setakat ini, seramai 372 pelajar dari 47 negara minoriti Islam yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary. Prinsip berbakti selagi hidup yang disemai ibu bapanya sejak kecil terus mendorong Syed Mokhtar mengumpul harta dan berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

"Sejak kecil jiwa saya dibentuk kedua-dua orang tua, terutama ibu untuk sentiasa membantu golongan susah yang memerlukan. Saya sendiri tidak berpeluang melanjutkan pelajaran selepas Tingkatan Lima berikutan kesempitan hidup.

"Saya fikir peluang itu (belajar) perlu diberikan kepada orang lain yang tidak mampu," katanya yang kali pertama berkongsi kisah suka duka dan rahsia kejayaan kepada media tempatan baru-baru ini.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 dan siri kejayaan serta kecemerlangan beliau sewajarnya menjadi motivasi dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Beliau membuktikan bahawa apa saja yang dihajati boleh diperoleh sekiranya kuat bekerja, tawakal dan berdoa kepada Allah di samping mengaplikasikan segala keistimewaan dan kebijaksanaan dikurniakan Allah serta bukannya bergantung kepada nasib dan takdir semata-mata.

Pemilihannya sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini kerana kejayaan beliau yang dianggap luar biasa, selain kebijaksanaan menjalankan perniagaan serta sifat kemanusiaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia.

Penulis, lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-undang UiTM kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara