Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 Mac 2008

Abdullah ketepikan cakap-cakap mengenai undi tidak percaya

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyangkal khabar angin mengenai wujudnya rancangan mengadakan undi tidak percaya terhadapnya dengan menegaskan beliau mendapat sokongan padu Umno.

Perdana Menteri juga berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai spekulasi adanya usaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau pada perhimpunan agung Umno yang dijadual Jun depan dan juga hubungannya dengan Najib.


“Apa yang saya tahu, saya masih di sini. Saya sudah diberikan satu mandat yang amat kukuh, saya percaya...hanya kurang lapan kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga. Saya bukannya seorang yang lari daripada mandat yang sudah diberikan kepada saya.

“Mereka (pengundi) sudah memberikan saya undi mereka dan adalah menjadi hasrat saya untuk meneruskannya. Saya mendapat sokongan kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan barisan Kabinetnya di Perdana Putra, di sini.

Mengenai hubungannya dengan Najib, beliau berkata: “Saya mempunyai hubungan paling baik dengan Najib. Anda yang bertanya mengenainya...orang membuat tuduhan mengenai banyak perkara.” — Bernama