Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

15 April 2008

250 NGO Melayu bersatu tubuh barisan bertindak perpaduan Melayu



KUALA LUMPUR: Dua ratus lima puluh badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang prihatin terhadap masa depan bangsa bergabung menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, 20 Mac lalu bagi memastikan hak dan kepentingan bangsa terbela dalam konteks perpaduan kaum di negara ini.

Ketua Umumnya, Osman Abu Bakar, berkata penubuhan barisan itu berikutan timbulnya kesedaran di kalangan NGO berkenaan untuk menentukan hala tuju orang Melayu dalam satu suara ekoran perkembangan semasa politik, sosial dan ekonomi kaum itu.

“Penubuhan badan itu sempena sambutan Maulidur Rasul pada tarikh keramat itu juga bagi mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gagasan Kajian Permuafakatan Melayu Malaysia, Datuk Dr Ibrahim Saidun yang juga Exco Barisan Bertindak Perpaduan Melayu.

Osman berkata, sebagai permulaan barisan itu akan menganjurkan Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini.

Beliau berkata, acara utama majlis perhimpunan yang akan dihadiri lebih 3,000 tokoh ulama, politik, profesional, budayawan dan mahasiswa Melayu dari seluruh negara itu adalah forum “Memperkasakan Perpaduan Untuk Kesejahteraan Negara” bagi membincangkan secara terbuka pelbagai isu masa kini membabitkan orang Melayu.

Tiga panel jemputan forum itu ialah Datuk Prof Muhammad Uthman El-Muhammadi, Datuk Dr Hasan Ahmad dan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein, manakala moderatornya ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman.

“Resolusi daripada majlis perhimpunan itu akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-Raja Melayu, sebelum disalurkan kepada kepemimpinan tertinggi dan bawahan Melayu untuk tindakan lanjut,” katanya.