Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

22 April 2008

Adiguru kebaya nyonya



LIM Swee Kim, Adiguru sulaman kebaya nyonya memotong lebihan kain kasa rubiah yang telah siap hasil sulamannya.

DILAHIRKAN dalam keluarga yang penuh kesederhanaan di sebuah daerah di Kuala Krai, Kelantan, mengajar Lim Swee Kim menghargai kehidupan dan orang di sekelilingnya.Sikap rendah diri dan pegangan untuk sentiasa berpijak di bumi yang nyata, menjadikan beliau seorang wanita yang kaya dengan adat resam dan sopan santun orang Timur.

Membesar dalam lingkungan masyarakat Melayu, sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidupnya terutama dari segi pertuturan dan kemesraan yang ditunjukkan.

Malah, semasa kecil iaitu sekitar 1930-an, ibunya, Koh Geck Sim, merupakan tukang jahit yang sering mendapat tempahan menjahit baju kurung dan kebaya daripada penduduk setempat

"Sejak kecil saya melihat ibu menjahit, lama kelamaan timbul minat tersebut dalam diri saya. Setiap kali bila ibu berehat, saya curi-curi menggunakan mesin jahit dia untuk menjahit baju sendiri.

"Apabila tempahan yang diterima semakin banyak dan saya sendiri sekolah setakat tingkatan dua, saya mengambil keputusan menjadikan bidang jahitan dan sulaman sebagai mata pencarian," ujarnya semasa ditemui ketika lawatan Media Turun Padang ke Pulau Pinang anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Sambung Swee Kim lagi, pada tahun 1960 beliau berpindah ke Pulau Pinang selepas berkahwin dengan suaminya, Koid Kee Loon.

Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman, cinta wanita ini terhadap seni sulaman tidak pernah padam, bahkan di Pulau Pinang, dia telah membuka sebuah kedai jahit yang khusus menghasilkan kebaya nyonya dan sulaman.

"Memang dari muda lagi saya minat sangat tengok orang pakai baju kebaya yang bersulam. Lain negeri lain bentuk sulamannya.

"Saya gemar menghasilkan rekaan sulaman yang bermotifkan flora dan apabila idea untuk membuat sulaman datang saya terus melukisnya di atas kertas," katanya yang telah menyulam lebih dari 1,000 pasang baju kebaya nyonya.

Seiring dengan perubahan masa dan dengan kemahiran yang dimiliki selepas berpuluh tahun menekuni bidang tersebut, motif sulaman Swee Kim semakin pelbagai.

Baginya, sulaman untuk kebaya nyonya mempunyai keistimewaan tersendiri dan ia berbeza dengan sulaman-sulaman lain terutama dari Indonesia.

Untuk kebaya nyonya, motif yang biasa digunakan seperti bunga ros dan motif haiwan seperti burung merak yang banyak mendapat permintaan pelanggan.

"Biasanya motif sulaman dipengaruhi oleh kain sarung yang mereka pilih, jadi lebih mudah bagi saya untuk memadankan motif dengan sarung," ujarnya yang hanya memiliki lima pasang kebaya sendiri.

Kualiti sulaman yang dihasilkan sememangnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana penyulam di negara ini.

Malah, kehalusan kerja tangan beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila ramai kenamaan termasuk Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dan Marina Mahathir, pernah mengenakan kebaya hasil sulaman Swee Kim ketika menghadiri urusan-urusan rasmi di luar negara.

Malah, sehingga sekarang beliau masih berpegang teguh pada janjinya kepada arwah Endon untuk membantu anak-anak muda termasuk orang Melayu mempelajari kemahiran membuat sulaman kebaya nyonya.

Kemahiran beliau bukan setakat diperturunkan kepada generasi muda, malah menjadi rujukan para pelajar asing yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang seni sulaman kebaya nyonya.

Atas sumbangan dan kemahiran yang dimilikin, beliau telah diiktiraf oleh Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru dalam bidang sulaman.

Bagi Swee Kim, pengiktirafan tersebut merupakan satu amanah untuk memastikan seni warisan itu mempunyai pewarisnya dan dapat dipelajari oleh generasi akan datang.

"Saya rasa puas sangat apabila dapat tengok orang gembira pakai baju yang saya hasilkan.

"Dengan gelaran Adiguru, menjadi tanggungjawab saya memastikan seni sulaman kebaya nyonya ini kekal sampai bila-bila," ujarnya yang turut membuka butik sendiri di Gurney Plaza, Pulau Pinang.