Bersama: KU SEMAN KU HUSSAIN
"DARAH tidak boleh membasuh darah." Demikian sebaris dialog yang dilontarkan oleh balu seorang pegawai polis yang terbunuh dalam filem Street Kings arahan David Ayer. Kata-kata seorang wanita kulit hitam kepada anggota detektif kulit putih sangat tajam maknanya.
Filem ini seperti kata pepatah Melayu, harapkan pagar tetapi pagar yang makan padi. Street Kings bergerak di atas premis di mana pasukan polis yang diamanah menjaga ketenteraman menjadi musuh dalam selimut kepada masyarakat. Walaupun stail Street Kings kelihatan agak klise tetapi subjeknya agak menarik dan diberi pengolahan plot yang baik. Filem ini menyimpulkan penamat di luar jangkaan sama sekali. Walaupun di segi isu pegawai polis di Amerika Syarikat (AS) terkenal dengan korup tetapi cara pengolahan menjadikan Street Kings menarik diikuti hingga akhirnya.
Street Kings mengenai seorang detektif yang jujur terperangkap dalam korupsi yang berlaku dalam pasukan polis. Rakan-rakan sepasukan berkerjasama dengan penjenayah. Semua ini menyulitkan siasatan malah dia yang bertugas dengan penuh dedikasi pula dituduh membunuh rakan setugasnya.
Dia yang memburu pembunuh rakannya diperangkap dan ketua yang selama ini kelihatan banyak kali menyelamatkan dia sebenarnya menjadi perancang segala kerja korupsi dalam pasukan polis.
Filem ini bukanlah sepenuhnya melangsungkan klise sebuah filem kepolisan, cuma aksinya agak hilang fokus. Maka Street Kings hanya mengingatkan kita kepada Speed kerana pelakon utamanya Keanu Reeves juga berlakon dalam Street Kings.
Kepada peminat Keanu Reeves, Street Kings enak ditonton. Tetapi kepada penonton yang mahu melihat kedalaman watak detektif Tom Ludlow, mereka mungkin akan kecewa. Ini kerana Keanu Reeves antara pelakon yang selalu memberi masalah kepada watak lakonannya. Dia sekadar menyapu lapisan luar dan bukan memasuk ke dalam psikologi wataknya.
Kehadiran Keanu Reeves hanya menambah jurus Street Kings sebagai sebuah klise di layar perak. Tetapi dia agak selamat kerana kelemahan lakonan disembunyikan di sebalik pembinaan plot yang menarik. Malah Street Kings kelihatan berusaha untuk keluar dari kongkongan klise filem kepolisan Hollywood atau Hong Kong sebelum ini. Filem kepolisan juga tentang manusia, pergolakan jiwa harus dizahirkan dalam gerak fizikal, tentunya bukanlah kemarahan dan dendam yang menggila semata-mata. Di sinilah kurangnya persembahan Keanu Reeves.
Dunia kepolisan seharusnya menjadi penuh dramatik dan menarik apabila diangkat ke filem. Tambahan pula temponya pantas. Tetapi realitinya tidak mudah untuk membawa filem tentang kepolisan apabila semacam dibelenggu filem-filem yang sebelum ini.
Salah satu elemen filem kepolisan tentulah aksi. Tetapi aksi saja belum cukup untuk menghantar sebuah filem kepolisan sebagai filem yang baik. Filem harus dibangunkan dengan pembinaan drama yang baik. Perwatakan dan tektur sosial menjadi elemen yang mampu mengubah filem kepolisan daripada melangsungkan klise.
Street Kings masih terperangkap, pembunuhan dan percikan darah tidak begitu meninggalkan kesan yang panjang. Malah arahan David Ayer ini belum mencerminkan sebuah filem kepolisan yang tidak bergayut kepada aksi semata-mata.
Ini kerana David Ayer tidak mampu mengimbangi tuntutan filemik dengan hambatan aksi. Dia lebih tertarik kepada aksi hingga terlepas fokus kepada pembinaan drama. Pengarah membiarkan Keanu Reeves, hingga watak Tom Ludlow hilang warna warninya.
Street Kings sebenarnya berada pada subjek yang menarik untuk dikembangkan sebagai filem yang lebih baik. Filem ini bertolak daripada korupsi yang berlaku dalam sebuah pasukan polis di Los Angeles. Di negara yang memberi kebebasan berkarya termasuk menyentuh perihal buruk pasukan polis, tidak ada sebab untuk Street Kings tidak boleh melepasi filem polis sebelum ini.
Kalau Street Kings sebuah filem Malaysia, tentu kita semua faham kepada belenggu yang mengikat kreativiti pengarah untuk menghasilkan sebuah filem tentang kepolisan. Bagaimana pun David Ayer tidak menggunakan keluasan ruang berkarya untuk membina persepsi baru filem kepolisan.
Filem ini bagaimana pun dikagumi dari sudut sinematografi. Pengarah fotografi memberikan persembahan yang menarik semasa merakamkan kehidupan di pinggir bandar yang menggambarkan tektur sosial kaum kulit hitam di Los Angeles. Kerja kamera pada adegan tembak menembak tidak keterlaluan mengeksploitasi mata penonton.
Cuma apabila berulang kali pengarah filem ini membuat establishing shot dari udara bandar raya Los Angeles tidak membantu mood filem ini. Syot ini digunakan sebagai penanda masa tetapi apabila terlalu kerap dimasukkan, dengan sendiri menurunkan graf tumpuan kepada pergolakan yang berlaku kepada watak-wataknya.