Oleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 29 Mac – Dasar Ekonomi Baru (DEB) memerlukan pendekatan baru mengikut peredaran semasa supaya terus relevan dalam membangunkan orang Melayu dan bumiputera, kata Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Sehubungan itu, beliau berkata, DEB tidak harus dihapuskan dan perlu diperbaharui agar sumbangannya kepada pembangunan kaum Melayu dan bumiputera dalam sektor ekonomi khususnya bidang perniagaan dapat diteruskan dengan lebih efisien.
Menurut beliau, sumbangan DEB mungkin tidak dapat diperluaskan atau tidak lagi diterima pakai jika tiada kaedah atau perancangan baru difikirkan untuk memajukan lagi objektif serta semangat dasar itu pada masa hadapan.
“Kita tahu dasar ini sudah lama diperkenalkan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi yang sebelum ini jauh ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Catur Bestari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Peringkat Nasional di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui DEB masih belum mampu membawa lebih ramai orang Melayu dan bumiputera untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti dalam bidang ekonomi.
Katanya, kerajaan perlu mencari pendekatan pelaksanaan baru supaya lonjakan ekonomi orang Melayu berada pada paras 65 peratus iaitu me lebihi sasaran DEB itu sendiri pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, Muhammad Ali turut menasihatkan orang Melayu agar perlu berani melakukan hijrah dalam pelbagai aspek kehidupan yang lebih baik dalam usaha untuk mencapai kejayaan.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengelakkan orang Melayu daripada terus terpinggir dan tertekan dalam persaingan global khususnya dengan kaum-kaum lain.
“Orang Melayu perlu faham dan mengiktiraf peranan ekonomi melalui perniagaan yang jelasnya menjanjikan jalan keluar daripada kemelut keciciran dan kemiskinan.
“Oleh itu, jalan terbaik bagi orang Melayu ialah mengeluarkan diri mereka sendiri daripada terus berpegang kepada prinsip cepat ‘berpuas hati’, selain melaksanakan perubahan dengan membangunkan ekonomi mereka melalui aktiviti perniagaan,” jelas beliau.
Sementara itu, pertandingan yang dianjurkan bersama oleh JCorp dan Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec) adalah untuk menarik minat lebih ramai golongan muda khususnya pelajar IPT melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
Pertandingan yang akan bermula pada Mei ini akan disertai kira-kira 70 pasukan daripada IPT awam dan swasta seluruh negara.
Pertandingan itu mengikut format berasaskan permainan monopoly yang dicipta sendiri oleh JCorp.