Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Kenali unggas di bandar raya


Oleh Faizatul Farhana Farush Khan




Taman Botani Negara di Shah Alam tumpuan ramai untuk menenangkan fikiran

SHAH ALAM: Ramai berpendapat tidak lengkap lawatan ke bandar raya ini jika tidak singgah ke Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam atau nama barunya Taman Botani Negara (TBN).

Ini kerana taman yang menjadi mercu tanda sejak 1989 itu menjanjikan keseronokan dan kepuasan tidak ternilai kepada pengunjung yang mahu lari daripada kesibukan kota dan merapatkan hubungan kekeluargaan.


Berkeluasan 817 hektar, TBN cetusan idea Menteri Pertanian ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid memfokuskan kepada empat elemen utama yang menarik di bawah satu bumbung iaitu tempat lawatan, kemudahan asas, penginapan dan rekreasi.

Bagi pengunjung yang pernah ke sini, mereka pasti tidak sabar untuk kembali, apatah lagi selepas adanya tarikan terbaru iaitu "Skytrex Adventure Park" yang julung kali diperkenalkan di Asia.

Berjalan, merangkak, melompat dan meluncur selama dua jam adalah antara aktiviti menarik bagi mereka yang menggemari sukan lasak.

CHALET disediakan bagi pengunjung yang ingin bermalam.

Selepas berjaya bergerak pantas sambil mengetepikan perasaan takut atau gayat, peserta berpeluang menikmati keindahan hutan taman dari puncak kanopi hutan hujan tropika pada ketinggian tiga meter hingga 17 meter dari aras tanah.

Pengunjung yang belum pernah ke TBN yang dibuka sejak 18 tahun lalu itu pasti tertarik dengan Taman Iklim Sederhana Empat Musim yang mempunyai empat musim setiap tahun bermula dengan musim bunga, panas, luruh dan sejuk.

Berubah setiap tiga bulan, pengunjung dapat menikmati setiap musim seperti suasana sebenar di negara iklim sederhana ditambah dengan hiasan yang menggambarkan musim terbabit. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan khazanah flora dan fauna yang terus terpulihara di sini.

Sambil berbasikal atau berjalan mengelilingi TBN, pengunjung akan ditemani bunyi unggas dan melihat pelbagai spesies burung yang jarang ditemui berterbangan, antaranya Perenjak Belukar, Kesumba Bukit, Baya Weaver, Sambar Bukit dan Pekaka Rimba Besar.

RUMAH salji menjadi tarikan utama pengunjung ke Taman Botani Negara.

Pengurus TBN, Said Abdul Manaf Said Mahadi, berkata pihak pengurusan sentiasa berusaha mencari daya tarikan baru yang dapat memberi keseronokan dan kepuasan kepada pengunjung.

"Ketika ini, 'Skytrex Adventure Park' adalah tarikan terbaru taman ini dan orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mencuba melakukan aksi lasak.

"Kini, kami merancang untuk menubuhkan satu tempat khas untuk memberi peluang kepada pengunjung bermain paintball dalam persekitaran hutan," katanya.

Said Abdul Manaf, berkata, selain sesuai kepada pencinta alam, tempat ini adalah lokasi paling tepat bagi individu yang ingin menenangkan fikiran setelah penat bekerja.

"Tempat ini pasti memberikan ketenangan kepada pengunjung terutama mereka yang menetap di bandar besar yang sesak dan sibuk," katanya sambil menambah penduduk sekitar Shah Alam juga sepatutnya singgah di taman itu.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam TBN, Ahmad Farid Abu Dzarim, berkata hanya 30 peratus dari keluasan taman itu dibangunkan untuk membina kemudahan asas antaranya pejabat, penginapan, jalan dan tandas.

"Pihak pengurusan TBN terpaksa menggunakan 30 peratus dari keluasan hutan untuk kemudahan pengunjung namun ia tidak memberi kesan yang boleh merosakkan hutan kerana 70 peratus masih kekal sebagai hutan semula jadi.

"Ketika musim buah-buahan, pengunjung boleh menikmati pelbagai buah-buahan tempatan yang ditanam di taman buah-buahan di sini seperti durian, rambutan, manggis dan cempedak, secara percuma," katanya.

Ciri-ciri sejarah turut diselitkan di TBN apabila dua empangan iaitu Empangan Air Kuning dan Empangan Sungai yang dipercayai dijadikan tempat tadahan hujan ketika zaman pemerintahan British masih dikekalkan.

Empangan itu tidak diubah suai kerana pihak pengurusan TBN beranggapan ia khazanah bersejarah untuk disaksikan pengunjung.

Keunikan lain ialah kewujudan sebuah bukit yang digelar Bukit Sapu Tangan yang membolehkan pengunjung melihat bandar raya Shah Alam dari puncaknya.

Walaupun tidak dapat dipastikan maksud nama bukit itu, ada mengatakan pengunjung perlu berjalan hampir dua kilometer untuk sampai ke puncaknya dan ini menyebabkan mereka berpeluh dan memerlukan sapu tangan untuk mengelapnya.

FAKTA

Antara taman lain yang ada di Taman Botani Negara:

  • Taman Haiwan, Taman Padi, Taman Cendawan, Taman Hidroponik, Taman Rempah dan Taman Buah-Buahan.

  • Pelbagai aktiviti antaranya berbasikal, memancing, jamuan, berkhemah, berjoging dan bersiar-siar boleh dilakukan di sini.

  • Taman yang letaknya di Seksyen 8 dan bersebelahan Bukit Bandaraya itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum dengan kadar bayaran kemasukan berpatutan.

  • Pihak pengurusan taman itu boleh dihubungi menerusi 03-5510 6922/6923/7048.
  •