PUTRAJAYA 13 April – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meminta kerajaan memajukan kemudahan pengangkutan kereta api sedia ada dahulu sebelum meluluskan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM8 bilion.
Pengarah Urusan KTMB, Datuk Mohd. Salleh Abdullah berkata, projek anjuran YTL Corporation (YTL) itu tidak sesuai dijalankan pada masa ini kerana KTM mampu memberi perkhidmatan yang bermutu jika beberapa infrastrukturnya dimajukan.
‘‘Saya berpendapat buat masa ini projek (kereta api laju) tidak sesuai dijalankan tetapi mungkin ia boleh dilaksanakan pada masa depan.
‘‘Untuk masa ini, apa yang penting ialah meningkatkan mutu infrastruktur yang dimiliki KTMB antaranya meluluskan projek landasan berkembar antara Gemas dengan Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini yang menyiarkan bantahan Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB (KPPKTMB) terhadap projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM8 bilion.
Presidennya, Abdul Razak Md. Hassan berkata, projek itu dijangka tidak dapat meraih keuntungan kerana rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu menaiki kereta api laju itu sekiranya perbandingan kos tambang kereta api laju sedia ada seperti Express Rail Link (ERL) diambil kira.
Ditanya mengenai landasan berkembar antara Gemas dengan Johor Bahru, Mohd. Salleh berkata, projek itu penting untuk meningkatkan mutu pengangkutan kereta api di negara ini.
‘‘Dengan satu landasan kereta api (antara Gemas dengan Johor Bahru) sahaja sebenarnya tidak banyak yang boleh kita lakukan.
‘‘Landasan yang ada hanya membenarkan 25 kereta api menggunakannya setiap hari tetapi jika landasan berkembar dibina, maka kadar penggunaanya boleh meningkat hingga ke sembilan dan 10 kali ganda atau 250 kereta api setiap hari,” katanya.
Menurutnya, projek landasan berkembar antara Seremban dengan Gemas telah dimulakan pembinaannya awal tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2012.
‘‘Landasan berkembar telah ada antara Kuala Lumpur dengan Seremban dan landasan berkembar antara Seremban dengan Gemas sedang dibina, maka saya berfikir adalah wajar jika landasan berkembar diperluaskan hingga ke Johor Bahru,” katanya.
Ditanya kemungkinan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura menghadapi kerugian seperti yang didakwa oleh KPPKTMB, Mohd Salleh bagaimanapun enggan mengulas.
‘‘Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai perkara ini cuma saya berharap kemudahan KTMB dapat ditingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat ketika dihubungi di luar negara pagi ini berkata, beliau akan memberi ulasan mengenai perkembangan projek kereta api Kuala Lumpur-Singapura itu sekembalinya ke tanah air nanti.