Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Tinggalkan budaya yang bercanggah dengan Islam


SOALAN
SUAMI saya seorang saudara baru. Baru-baru ini ibunya telah meninggal dunia dan suami saya telah melakukan upacara keagamaan bagi kematian ibunya.

Saya telah menghalangnya, tetapi dia teruskan juga. Ini kerana katanya, dia seorang sahaja anak lelaki dalam keluarganya. Soalan saya:

1) Apakah status agama suami saya?

2) Apakah status saya sebagai isterinya?

Untuk pengetahuan ustaz, saya telah keluar daripada rumah saya.

JAWAPAN
1) DALAM sesebuah masyarakat ada budaya dan agama. Setiap budaya yang bertentangan dengan agama mesti ditinggalkan, lebih-lebih lagi kalau amalan budaya itu boleh membawa seseorang itu kepada kekufuran. Dalam syariat Islam budaya yang tidak bercanggah dengannya dijadikan salah elemen pertimbangan bagi menetapkan sesuatu hukum.

Itulah yang dinamakan dengan al-‘Aadah muhakkamah. Maksudnya adat yang tidak digugurkan malahan ia mempengaruhi sesuatu hukum dalam fikah. Hal ini diketengahkan supaya para pembaca dan yang bertanya soalan faham bahawa dalam kehidupan seharian, manusia berhadapan kedua-dua perkara ini, iaitu agama dan adat. Ini penting agar tiada salah faham terhadap budaya bangsa lain. Mungkin juga ada yang mengukur bahawa apa yang diamalkan oleh orang Melayu adalah lantaran daripada agama Islam. Maksudnya apa sahaja budaya Melayu boleh.

Tanggapan ini mungkin berlaku kerana orang Melayu mempercayai bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Sehingga apa sahaja yang diamalkan oleh masyarakat majoriti negara ini dilihat suatu yang harus. Sedangkan ada di antara budaya masyarakat Melayu yang diadaptasi daripada budaya bangsa lain.

Namun sekarang ini sudah ada banyak perubahan sejak adanya pendidikan berintegrasikan agama. Perkara yang seterusnya mendapat perhatian ialah kedudukan suami puan sebagai saudara baru. Maksudnya masih baru dengan agama Islam.

Setiap orang menganut Islam selepas mendapat hidayah daripada Allah. Ini kerana Dia jugalah yang maha Mengetahui siapakah yang lebih layak mendapat petunjuk.

Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam. (al-Qasas: 56).

Sebab turun ayat ini seperti mana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Said Bin Al-Musayyab daripada bapanya berkata yang bermaksud: Apabila Abu Talib hampir meninggal telah datang Rasulullah mendampingi beliau ketika itu Baginda mendapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berada di sisi Abu Talib, tanpa mengendahkan kedua kewujudan kedua mereka.

Lantaran Rasulullah telah mengajak Abu Talib dengan bersabda: Wahai pamanku bersaksilah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t.. Akan tetapi Abu Talib enggan berbuat demikian. Dengan berkata : Aku berada di atas landasan Abdul Mutalib. (al-Bukhari, no: 4494, Muslim, Kitab: Al-Iman, Bab: Dalil ala sehhat Islam…, no:24, Ibn Kathir, jld:3, hlm:394).

Apa yang jelas serta kaitan antara sebab turun dan ayat itu sendiri ialah pertamanya ialah Allah mengetahui siapakah yang layak mendapat hidayah biarpun Baginda telah berusaha sehingga ke saat yang terakhir dalam kehidupan Abu Talib.

Nampaknya, hidayah Allah tidak menyebelahi dia. Tetapi suami puan dan manusia yang mendapat hidayah sangat beruntung ini kerana orang yang mendapat hidayah adalah orang yang dipilih Allah dalam kehidupan mereka.

Orang yang bergelar saudara baru kebiasaannya lemah dari sudut pendidikan agama. Kejahilannya juga kadang-kadang menyebabkan dia gagal membezakan antara amalan ritual agama dan amalan budaya. Apatah lagi bila suami puan berhadapan dengan situasi yang cukup rumit.

Mungkin bagi mereka yang melihat insiden itu dari luar menghukum haram, berdosa, syirik dan sebagainya. Tetapi bagi orang menghadapinya dalam keadaan yang lagi kritikal.

Bagi sesetengah agama pengendalian dan menguruskan jenazah ibu atau ayah adalah penghormatan yang terakhir bagi mereka daripada si anak yang masih hidup lagi.

Betullah dalam agama Islam tidak boleh bertolak ansur lebih-lebih dalam dalam persoalan akidah. Namun, status akidah suami puan hanya dia sahaja boleh menjawabnya. Cuba puan tanya kepada suami puan apa sebab dia buat upacara itu dan ketika dia buat itu bagaimana keyakinan dia?

Ada upacara yang sekadar adat sahaja dan ada upacara yang berkait dengan kepercayaan dan keyakinan. Semua ini perlu dihalusi dan berbincang terlebih dahulu dengan suami. Sekiranya upacara yang tidak berkaitan dengan akidah ia tidak salah namun lebih baik tidak melakukannya.

Dalam hal ini perlu ada sedikit kelonggaran kepada saudara baru bukan bermaksud menghalalkan yang haram. Namun, demi kelangsungan dakwah Islamiyah itu sendiri. Kalau tidak, akan menjadi benarlah dakwaan keluarga saudara baru yang tidak beragama Islam yang mengatakan, “Islam memisahkan hubungan anak beranak.”

Saya pernah melalui situasi yang sebegini, sedangkan ketika itu saya sudah mempunyai ijazah Sarjana Muda Usuluddin, namun saya cuba pertimbangkan upacara yang berbentuk budaya.

Pada masa yang sama saya berusaha memahamkan keluarga saya yang bukan beragama Islam mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dalam Islam. Sekarang ini mereka sudah memahaminya. Mungkin inilah hasil sedikit toleransi bersama ahli keluarga yang bukan beragama Islam.

2) Perbuatan puan meninggalkan suami adalah salah. Adalah salah menghukum seseorang yang masih jahil dalam agama. Apabila puan melihat perbuatan suami yang bertentangan dengan agama, itu bermaksud suami puan masih ketandusan ilmu agama. sebelum kita menghukum dia, baik kita dan keluarga kita buat padanya.

Pulanglah ke pangkuannya jangan biarkan dia terus sesat selepas mendapat petunjuk Islam.

Ramai lagi isteri yang bersabar dengan perangai suami mereka yang Islam sejak lahir dan arif halal haram tapi masih melakukan tegahan dan perkara yang haram. Ada di antara suami mereka yang minum arak, berjudi, berzina dan tanpa rasa berdosa meninggalkan perintah Allah.

Tidak salah kalau puan bersabar demi menyelamatkan akidah seorang saudara baru. Ajak suami puan bertaubat dan ajar dia secara berterusan. Saya doakan agar puan diberi kekuatan dalam menghadapi cabaran hidup.

Di sini, ingin saya bawakan satu kisah yang berlaku kepada golongan saudara baru zaman Rasulullah iaitu seorang pemuda yang bernama Ammar Bin Yasir.

Ibunya bernama Sumayyah. Kisahnya, kaum kafir musyrikin telah membunuh ibu bapa Ammar secara kejam di depan matanya dan memaksa Ammar kufur kepada Allah, jika tidak beliau juga akan menerima nasib yang sama.

Demi menyelamatkan nyawa, Ammar telah mengkufuri Allah dan memperakui ketuhanan berhala.

Apabila perkara ini sampai kepada Rasulullah, Baginda bersabda : “Suruh dia ulangi (perkataan kekufuran ), sekiranya mereka mengulangi seksaan ke atasnya.” Hal ini mendapat perhatian daripada Allah sehingga turunnya ayat yang bermaksud: Sesiapa Yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab Yang besar. (al-Nahl:106)

Apa yang berlaku kepada Ammar boleh berlaku kepada sesiapa sahaja antara kita. Namun, keizinan al-Quran dan Rasulullah adalah semata-mata menjaga nyawa daripada terancam dan benar-benar darurat.