Oleh Rohaniza Idris
![]() |
Pengurus akuarium di Aquaria KLCCA layan ikan macam anak sendiri
BERENANG untuk memberi ikan makan, menjaga dan membersihkan akuarium adalah tugas utama aquarist atau pengurus akuarium.
Namun, bagi Zulina Wook, 29, tugasnya lebih daripada itu termasuk merawat ikan, memahami karektor ikan, menyediakan makanan termasuk memastikan nutrisi makanan dan diet, mengawal kualiti dan suhu air serta melatih ikan.
Pengurus akuarium terbesar di Kuala Lumpur, Aquaria KLCC, Zulina atau Lin berkata, di situ ada enam pengurus akuarium dan beliau lebih mengkhusus menjaga pemakanan ikan termasuk urusan penyimpanan dan penyediaan makanan, memastikan nutrisi makanan, kualiti, diet dan makanan tambahan ikan.
"Saya juga bertanggungjawab dalam proses kuarantin, rawatan dan menjaga kualiti air bagi memastikan ia sesuai dengan ikan bagi mengelakkannya mati," katanya yang sudah bertugas lima tahun di Aquaria.
Minatnya terhadap haiwan dan air bermula sejak kanak-kanak kerana latar belakang keluarganya yang suka dengan aktiviti luar seperti mendaki gunung dan berkhemah di hutan. Tambahan pula persekitaran tempat beliau membesar dekat dengan Sungai Kelantan.
![]() |
"Saya tidak ingat bila saya mula pandai berenang. Minat itu kini saya kongsi bersama suami dan anak lelaki yang kini berumur 3 tahun," katanya.
Rutin kerjanya, bermula seawal 7.30 pagi menyediakan makanan untuk ikan. Kebanyakan makanan ikan sejuk beku dan terpaksa dikeluarkan daripada peti sejuk untuk mencairkan aisnya.
Bagi ikan dan sayuran segar, beliau perlu memotong mengikut saiz ditetapkan kerana ikan dalam akuarium berkenaan pelbagai spesies, bentuk dan saiz. Makanan tambahan juga penting untuk memastikan mereka sihat, imunisasi tinggi serta bebas jangkitan penyakit.
"Aquaria mempunyai 21 tangki dengan 2.5 juta liter air dan bukan mudah untuk memastikan semuanya sihat. Tindakan mesti cepat diambil walaupun seekor ikan didapati mati. Masa ini kita kena pastikan air tidak tercemar dan boleh menjejaskan ikan yang lain," katanya.
![]() |
ZULINA memberi makan dan meneliti kesihatan ikan. |
Selepas makanan disediakan, Lin akan membahagikan makanan mengikut dulang yang disediakan untuk spesies ikan ditetapkan. Kemudian, beliau akan terjun ke dalam kolam bersama juruselam untuk memberi ikan makan di samping membuat pemerhatian terhadap ikan itu.
"Masa makan inilah, saya dapat mengesan tahap kesihatan selain memahami karektor ikan. Biasanya ikan yang tidak mahu makan mungkin sakit atau masih kenyang. Menerusi pemerhatian juga, saya dapat melihat jika ada anggota atau badan yang cedera. Jika tercedera atau ada tanda jangkitan penyakit, ikan akan dikuarantin untuk mendapat rawatan selanjutnya," katanya.
Zulina mengakui tugasnya menuntut beliau lebih berhati-hati, sentiasa waspada dan menjadi pemerhati yang baik untuk mengesan tingkah laku ikan kerana hidupan air berkenaan tidak boleh berkata-kata atau mengeluarkan bunyi jika sesuatu berlaku terhadapnya.
"Sebenarnya tugas sebagai pengurus akuarium mengambil masa bekerja 24 jam kerana kami perlu sentiasa bersedia jika dipanggil bertugas terutama apabila pengawal keselamatan memaklumkan mengenai kejadian tidak diingini atau luar biasa di kolam pameran," katanya.
Sepanjang lima tahun di Aquaria, saat yang tidak boleh dilupakannya apabila terpaksa menghadapi saat-saat ikan mati atau gagal menyelamatkan ikan yang sakit.
"Saya sedih jika ada ikan mati tetapi saya tidak ada masa untuk menangis kerana perlu bertindak cepat bagi memastikan ikan yang lain tidak mengalami nasib sama," katanya.
Saat manisnya pula apabila berjaya menyelamatkan ikan nuri yang sakit dan tiada harapan hidup, kembali cergas.
"Ramai meramalkan ikan ini akan mati. Bagaimanapun, berkat kesabaran merawatnya, memberinya makan menggunakan tiub dan mengajarnya berenang kembali, ikan itu dapat diselamatkan.
"Kerana terlalu lama sakit, ikan nuri ini sudah terlupa cara berenang, maka terpaksa mengajarnya semula dan Alhamdulillah ia hidup hingga ke hari ini," katanya yang sempat menunjukkan penulis ikan berkenaan ketika melawat sekitar kolam di Aquaria.
Kata Lin, bukan semua ikan boleh makan kacang atau sayuran kerana ada ikan boleh kembung jika salah makan.
Seperti melayan anak sendiri, Lin memberitahu, ikan seperti haiwan jinak lain yang mahu dibelai dan dimanja cuma cara memanjakan ikan sedikit berbeza.
Beliau kini sedang melatih ikan air tawar yang dikenali sebagai kelompok ikan pemalu untuk makan di tangan.
"Ikan adalah hidupan yang sangat istimewa kerana sesetengahnya dapat menunjukkan perasaan mereka menerusi tingkah laku, ada juga yang pandai merajuk dan nakal serta pandai bermain.
"Saya melayan mereka seperti bayi yang makan minum mereka saya jaga, malah memberi makanan tambahan seperti kalsium, vitamin dan minyak pati ikan.
"Ikan ini pun suka bertukar selera. Setiap hari saya akan pastikan menu makanan ikan ini berubah. Untuk makan siang hidangannya mungkin ikan kembung, salad atau kacang pes, malam pula ditukarkan kepada ikan tenggiri, kangkung dan timun," katanya mengakhiri perbualan petang itu.
PROFIL: Zulina Wook
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Pekerjaan: Pengurus Akuarium Aquaria
Status: Berkahwin, satu anak
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Sains (Zoologi), Universiti Sains Malaysia (UM).