Bersama Prof Dr Zaini Ujang
Mengupas persoalan mesra alam, kehidupan moden di sebalik krisis makanan
PETANG itu kami bersidang lagi. Kali ini kami membahaskan isu global iaitu kenaikan harga minyak dan krisis kekurangan bekalan makanan dunia. Seperti biasa, sebelum bersidang, kami membuat segala macam persiapan. Selain merujuk buku dan keratan makalah daripada akhbar dan majalah, ada juga pembahas yang merujuk sumber siber dan perbualan dengan pelbagai pihak, termasuklah penganalisis pasaran, menteri dan pentadbir kanan.
Tema perbahasan kami petang itu dipersetujui bersama seminggu lebih awal. Tidak seperti Dewan Rakyat yang dipengerusikan Speaker, persidangan kami di cafe itu tidak ada yang sanggup mempengerusikannya. Namun demikian kami cuba mendisiplinkan diri dengan membuat persiapan minda dan tiba tepat pada waktunya, lalu memesan minuman bagi melayakkan kami berada di cafe untuk beberapa jam dengan mendapat kemudahan internet. Seperti ahli Dewan Rakyat, kami bersedia dengan puluhan isu dan persoalan untuk diperdebatkan.
Soalan pertama ditujukan kepada saya oleh seorang penganalisis pasaran yang mendakwa keghairahan menghasilkan sumber tenaga alternatif mesra alam (terutama bahan api biologi seperti biodiesel) menyebabkan suasana panik di pasaran tenaga dan makanan dunia. Pada masa sama, tumpuan beralih daripada menghasilkan bahan makanan kepada etanol, iaitu sejenis bahan api mesra alam, menggantikan petroleum.
Belum habis penganalisis pasaran itu mengemukakan dakwaannya, seorang pakar ekonomi sumber menambah bahawa peningkatan mendadak harga bahan petroleum adalah suatu konspirasi antara pedagang petrol dengan pencinta alam. Angkara merekalah punca krisis makanan dan peningkatan mendadak harga petroleum. Untuk menangani krisis makanan, kerajaan Malaysia terpaksa mengkaji semula keutamaan projek yang dijadualkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Sebelum sempat saya menjawab, seorang ahli falsafah mencelah dengan dakwaan baru bahawa gagasan pembangunan lestari adalah suatu klise yang tidak berasaskan pemikiran besar dan waras.
Apakah mungkin, tanya beliau, warga dunia secara sedar dan insaf boleh mengurangkan tapak ekologi (ecological footprint) masing-masing dalam keadaan dunia penuh persaingan, ego peribadi menjadi sandaran dan materialisme menjadi anutan?
Perbahasan kami seperti biasa sering tegang, panas dan kritis. Tidak ada pihak 'selamat' dan terlepas daripada analisis dan kritik kami. Tetapi kami tidak pernah menggunakan istilah lucah, apatah lagi maki-hamun. Mujurlah ustaz yang bersama kami sering menjadi pendamai dan mengamankan suasana dengan kalimah memuji kebesaran Allah dan selawat ke atas Nabi SAW.
Kami juga diingatkan supaya segera beristighfar jika tersilap kata, terlajak bicara. Walaupun tidak disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen, perbahasan kami sentiasa dicatat dua malaikat, pesan ustaz.
Petang itu saya menjadi sasaran kritikan semua pembahas. Sebagai environmentalis, saya mempertahankan gagasan mesra alam dan pembangunan lestari. Memang saya akui keghairahan banyak pihak untuk 'kelihatan' mesra alam besar kesannya kepada percaturan politik, perkembangan ekonomi dan arah tuju pasaran global. Buktinya semua calon jawatan Presiden Amerika Syarikat mempunyai falsafah dan dasar pelestarian alam sekitar dan cara menangani krisis tenaga sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai dasar baru negara itu selepas pilihan raya nanti.
Ketika rencana ini ditulis, minyak mencecah harga tertinggi melebihi AS$120 setong. Pada asalnya, peningkatan mendadak sejak 2006 berpunca daripada permintaan berganda oleh China dan India, di samping krisis politik di negara pengeluar. Taufan Katrina dan pelbagai bencana alam lain berkaitan perubahan iklim dunia turut memberi kesan terhadap prasarana, seperti kerosakan kemudahan pelantar minyak.
Saya berhujah, kepesatan perkembangan ekonomi berlaku ketika ini di luar keupayaan yang dapat ditampung sistem ekologi. Seharusnya ada batasnya, seperti cadangan The Club of Rome pada awal 1970-an dengan gagasan The Limit to Growth. Selain itu, sebahagian besar barang dihasilkan sektor industri ketika ini bukan keperluan asasi.
Sektor pengilangan makanan pula lebih menguntungkan dengan mengeluarkan makanan segera dan junk. Saya juga memperingatkan pembahas bahawa kopi yang kami hirup di cafe itu adalah juga junk di sebalik segala macam skandal dan manipulasi pekerja ladang!
Selain itu, sektor pembuatan lebih menumpukan barang pengguna elektronik, pakaian, kenderaan, bahan kimia dan kemudahan hidup moden. Barang elektronik seperti televisyen sudah melangkaui peranan sebagai sumber maklumat dan hiburan.
Malah dengan ratusan saluran menjadikan televisyen semacam satu 'keperluan' di setiap bilik (bukan lagi rumah) di kebanyakan negara maju. Apakah manusia akan mati tanpa televisyen?
Ahli falsafah itu lantas menjawab, belum ada yang mati kerana ketiadaan televisyen. Tetapi jasad manusia akan mati jika tanpa bekalan air bersih dalam tempoh seminggu, atau ketiadaan makanan dalam tempoh 14 hari. Tambahnya lagi, tanpa ilmu minda manusia akan sesat dalam tempoh dua jam. Tanpa iman, roh manusia akan menderita walaupun sesaat!
Memang gaya dan budaya hidup masyarakat semakin sukar dibentuk, apatah lagi dikawal dalam dunia tanpa sempadan. Selari dengan amalan demokrasi, sesiapa saja bebas untuk membeli barang atau perkhidmatan yang difikirkan sesuai dengan syarat mempunyai cukup wang.
Tiba-tiba pakar ekonomi bersuara, wang adalah punca segala masalah! Disebabkan wang maka peladang jagung di Amerika menjual hasil kepada kilang etanol, tidak lagi kepada kilang makanan. Pada 2006, penggunaan etanol di Amerika hanya enam bilion gelen (250 juta gelen digunakan untuk biodiesel).
Menjelang 2012, Amerika dijangka menggunakan 7.5 bilion gelen biodiesel. Jumlah itu dijangka meningkat dengan lobi pengilang etanol untuk menambah penggunaan kepada 12 bilion gelen pada 2010 dan 35 bilion gelen pada 2017.
Harga sumber makanan seperti jagung, tebu, kelapa sawit dan bijirin lain turut meningkat mendadak disebabkan persaingan untuk dijadikan bahan api 'mesra alam' yang lebih murah berbanding petroleum asli.
Secara tidak langsung harga bahan makanan juga meningkat secara mendadak sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai kelaparan di negara miskin. Menurut Bank Dunia, 2.7 bilion penduduk dunia hidup dengan dua dolar atau kurang sehari. Golongan ini dijangka paling parah menerima akibat kenaikan harga makanan.
Tetapi krisis ini mungkin tidak begitu dirasakan penduduk negara maju disebabkan pelbagai inisiatif dan subsidi kerajaan. Malah mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan. Bagi pencinta alam, mereka boleh menggunakan bahan api 'mesra alam'. Sebagai contoh, kenderaan SUV dengan saiz tangki 25 gelen berisi etanol memerlukan 450 pound jagung � iaitu sama jumlah kalori makanan yang diperlukan manusia setahun!
Maknanya, dunia ini penuh dengan penindasan dan ketidakadilan atas nama pilihan dan gagasan besar seperti 'mesra alam'. Sekali muatan penuh tangki minyak SUV di Amerika sama nilainya dengan kalori makanan seorang insan di Darfur, Sudan? Ustaz yang dari awal diam, menjawab, itulah ujian Tuhan bahawa dunia ini sebagai pentas persiapan kita menghadapi Hari Kemudian.
Dari kejauhan kedengaran suara azan berkumandang. Tandanya persidangan hari itu ditamatkan. Sidang akan bersambung minggu hadapan dengan perbahasan isu obesiti dan kelaparan.
Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia