Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Mei 2008

Apabila undang-undang letak di kaki

Oleh ARIF ATAN

ADAKAH masyarakat kita sekarang sudah luntur sifat kemanusiaannya dalam membuat sebarang pertimbangan? Kejadian kira-kira 20 penduduk sebuah kampung di Perlis membelasah secara 'borong' seorang lelaki sampai mati pada 4 Mei lalu nyata di luar batas seorang manusia.

Adakah hanya disyaki berbuat perkara tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak perempuan maka hukuman terus sahaja dijatuhkan?

Jika benar bersalah sekalipun, mengapa menggunakan' undang-undang rimba' tidak diserahkan kepada pihak berkuasa?

Mungkin sikap kebinatangan tersebut boleh disifatkan sebagai kes terpencil. Namun, ibarat sel kanser yang merayap secara senyap, tindakan tersebut harus dikutuk kerana bersikap zalim terhadap manusia lain.

Seolah-olah generasi muda pewaris bangsa diajar untuk bertindak ganas serta membelakangkan undang-undang.

Mengapa masyarakat kita semakin cenderung menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara dalam usaha memerangi kejahatan?

Oleh itu sudah tiba masanya juga untuk kita membuat penilaian segera secara kritikal terhadap sejauh mana proses penerapan nilai-nilai kemanusiaan dan moral dalam masyarakat kita.

Apatah lagi, apabila tindakan kejam tersebut berlaku dalam masyarakat Melayu yang umum diketahui sebagai mereka yang amat menekankan pendidikan agama Islam dalam seluruh aspek hidupnya berbanding kaum lain di negara ini.

Adakah pendidikan agama Islam di negara ini benar-benar telah berjaya menyampaikan aspek nilai dan moral kepada orang Melayu?

Benarkah pendapat menyatakan pendidikan agama Islam yang kita amalkan selama ini hanya berat kepada aspek mekanikal seperti yang sering dibangkitkan oleh Allahyarham Rustam Sani sebelum ini?

Walhal, pendidikan agama yang berkesan sepatutnya bukan sekadar meningkatkan religiousity bahkan harus juga memberikan impak secara menyeluruh dari segi moraliti.

Setiap anggota masyarakat perlu menyedari bahawa kuasa menghukum bukanlah sewenang-wenangnya boleh diambil.

Selari dengan penekanan dalam Islam, kemampuan mengawal emosi marah dalam berhadapan dengan mana-mana perlakuan menyeleweng individu dalam masyarakatnya perlu menjadi pegangan.

Masyarakat Melayu Islam tidak wajar bertindak menurutkan emosi melulu sehingga mencemar maruah orang Melayu sekali gus kesucian agama Islam itu sendiri.

Jika tidak, kita sendiri sengaja menempah tanggapan negatif orang lain bahawa Melayu itu kejam dan Islam itu mengajar keganasan.