Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mei 2008

Derita peneroka Lurah Bilut


Oleh Minarni Mat Saad


PENEROKA awal dari Perlis bersama keluarga sedang bersiap menaiki kereta api menuju ke Lurah Bilut.

IBARAT perumpamaan 'yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang', begitulah keadaan peneroka awal Lurah Bilut di Bentong yang terpaksa berhempas pulas membanting tulang untuk memulakan hidup baru jauh di pedalaman sebaik dipilih menyertai skim Tanah Rancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan selepas merdeka.

Ketika pembukaan awal Felda itu, 400 peneroka terpaksa menempuh hutan belantara, onak dan duri untuk membuat penempatan. Keadaan ketika itu amat memeritkan. Jalan ke rancangan penempatan hanya dipenuhi tanah merah dengan debu berterbangan. Apatah lagi ketika hujan, jalan menjadi becak mengakibatkan sesiapa yang berdiri di tepi jalan disimbah air lumpur apabila dilalui lori.

Keperluan harian untuk minum, mandi, memasak dan membasuh pakaian hanya mengharapkan air paya, sungai dan hujan.


Kehidupan peneroka bermula seawal jam 6 pagi. Bertemankan lampu suluh di dahi, peneroka akan keluar menunggang basikal atau berjalan kaki melalui laluan kecil tidak berturap untuk menoreh getah. Kira-kira jam 1 tengah hari mereka habis menoreh dan melakukan kerja kampung bagi menampung kehidupan. Oleh kerana kedudukan yang jauh dari pekan kecil Bentong, peneroka terpaksa menanam sayuran dan pokok buah-buahan untuk bekalan makanan.

Keperluan makanan yang lain diperoleh dari kedai runcit yang ada dalam kawasan penempatan tetapi bekalannya terhad.

Sebelum pelbagai kemudahan pengangkutan dan perhubungan disediakan, peneroka mengalami kesukaran membawa hasil kebun ke Pusat Pengumpulan Getah melalui jalan tanah merah yang sempit. Keadaan lebih teruk pada musim hujan. Sering basikal mereka hilang kawalan dan tergelincir disebabkan jalan licin menyebabkan susu getah tumpah.

RUMAH asal yang dibuat sendiri oleh peneroka secara bergotong royong.

Begitulah sedikit gambaran kehidupan peneroka awal Tanah Rancangan Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) yang bermula di Lurah Bilut, Bentong, Pahang sekitar tahun 1958.

Penubuhannya menjadi satu agenda penting negara dalam membasmi kemiskinan rakyat, khususnya yang tinggal di luar bandar.

Lurah Bilut asalnya sebuah lembah di Banjaran Titiwangsa bersempadanan dengan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Kelau. Bilut adalah sejenis ikan darat atau nama saintifiknya Krytopterus Cryptopterus.

Tanahnya subur dipenuhi hutan dara dan kayu kayan yang berharga. Orang Minangkabau adalah peneroka awal berhijrah untuk menjalankan aktiviti mencari bijih dan emas di Sungai Bilut pada abad ke 16.

Bagaimanapun, pada 1912, mereka berpindah ke utara di kawasan Sungai Jelai dan sekitarnya. Di sini juga ada penduduk Orang Asli yang hidup berpindah randah kerana menghadapi ancaman komunis menyebabkan kawasan ini tidak mempunyai penempatan kekal.

Kerajaan mendapati kawasan Ulu Kelau hilir Kelau dan Lurah Bilut berpotensi dimajukan. Pada 1 April 1958, bermulalah pembangunan Lurah Bilut membabitkan kawasan seluas 5,171 hektar

Kumpulan pertama peneroka seramai 28 orang dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur tiba di Lurah Bilut pada 2 Ogos 1959 diketuai Ahmad Husin, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan. Beliau yang lahir pada 1901 meninggal dunia pada 10 Februari 1984.

Kumpulan kedua seramai 30 orang tiba pada 7 November 1959 diketuai Hashim Abdul Samad dari Sabak Bernam, Selangor. Ini disusuli kumpulan peneroka lain secara berperingkat menjadikan jumlah peneroka awal di Lurah Bilut seramai 400 orang.

Mereka datang secara berkumpulan mengikut daerah dengan bas, kereta dan kereta api yang diatur dengan kerjasama Pejabat Daerah dan ditempatkan secara berasingan mengikut kumpulan negeri.

Lurah Bilut dimajukan pada April 1958 dengan tanaman getah. Ketika pembangunan di peringkat Satu, peneroka di panggil masuk lebih awal dan mereka dikehendaki membawa kapak, cangkul untuk membersihkan kawasan, menanam, menjaga kebun kemudian baru membina rumah.

Kerja pembersihan hutan dijadikan kawasan pertanian dilakukan sebelum peneroka dipanggil masuk. Kerja tebang hutan dilakukan oleh buruh mahir menggunakan alat tradisional seperti kapak dan gergaji.

Sejak dibuka pada 1958, seramai 16 pengurus rancangan pernah berkhidmat di Felda Lurah Bilut. Dalam kegigihan mereka, seorang pengurus rancangan, Mohd Zaki Hasra terbunuh ketika berkhidmat pada 1986. Kejadian berlaku pada 20 Ogos 1986 apabila land rover yang dinaiki bersama pengurus dan tujuh anggota bomba terbalik ke dalam gaung sedalam 40 meter ketika mengawal kebakaran ladang.

Hari ini, Lurah Bilut menjadi penempatan kepada 616 keluarga membabitkan generasi peneroka pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada 400 Melayu, 169 Cina dan 47 India.

FAKTA:

  • Pembangunan Lurah Bilut membabitkan kawasan seluas 5,171 hektar pada 1 April 1958.

  • Kumpulan pertama peneroka seramai 28 orang dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur tiba pada 2 Ogos 1959.

  • Kumpulan kedua seramai 30 orang tiba pada 7 November 1959 diketuai Hashim Abdul Samad dari Sabak Bernam, Selangor

  • Bilut adalah sejenis ikan darat atau nama saintifiknya Krytopterus Cryptopterus.

  • Lurah Bilut kini menjadi penempatan 616 keluarga membabitkan 400 Melayu, 169 Cina dan 47 India