Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mei 2008

Detik jam besar rakam sejarah

Oleh Mohd Azis Ngah


KUNASEGARAN bersama loceng jam yang dijaga sejak 33 tahun sambil dibantu Azhar.

Jam buatan Gillet Johnston Founders Croydon di Bangunan Sultan Abdul Samad berusia 111 tahun jadi saksi bendera Union Jack diturunkan

SETIAP kali menyambut Tahun Baru atau Hari Kemerdekaan, puluhan ribu rakyat akan berkumpul di Dataran Merdeka untuk bersama-sama pemimpin negara menanti detik bersejarah tepat pada jam 12 tengah malam menerusi dentuman jam loceng besar di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Satu ketika dahulu, dentuman itu boleh didengari pada jarak lebih satu kilometer dari Dataran Merdeka, tetapi disebabkan pembangunan pesat di Kuala Lumpur, bunyi jam keramat itu hanya boleh didengar di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Yang pasti, tidak semua orang berpeluang menaiki menara bersejarah itu dan merasai sendiri detik dentuman loceng besar di tingkat empat menara berkenaan kecuali kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem). Bagaimanapun, ia bukan semua, sebaliknya sebilangan kecil kakitangan Jupem yang dapat menikmati pengalaman menarik di menara berkenaan.

Saiz locengnya memang besar dan diibaratkan sebagai payung yang boleh memuatkan kira-kira 10 orang. Beratnya dianggarkan kira-kira satu tan dan dihasilkan menggunakan tujuh jenis unsur bahan besi manakala pengetuk yang asal digunakan sejak 1897 masih utuh dan dianggarkan seberat 80 kilogram. Semuanya masih dalam keadaan baik dan terjaga.

Menara Jam Besar di Bangunan Sultan Abdul Samad itu sebenarnya boleh dianggap sebagai mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur dan Malaysia. Ia umpama Menara Big Ben di Britain, Eifel Tower di Perancis atau Menara Condong Pisa di Itali.

Ramai menyedari bangunan menempatkan jam besar itu menyimpan pelbagai sejarah negara tetapi mungkin tidak tahu bagaimana ia berfungsi dan diselenggarakan selaras dengan usianya mencecah 111 tahun.

Jam buatan Gillet Johnston Founders Croydon England pada 1897 itu berfungsi sepenuhnya secara mekanikal mengikut kaedah bandul pemberat, sistem takal, gear.

Pasukan petugas Jupem dipertanggungjawabkan memeriksa, menjaga dan menyelenggara termasuk mengunci sistem jam secara manual dua kali seminggu. Ia bertujuan menyelaraskan waktu, membersih, meminyak dan memeriksa fungsi mekanikalnya.

Wartawan Berita Minggu berpeluang menaiki menara itu bersama dua petugas Jupem, Penjaga Jentera Elektrik, Azhar Dahlan dan rakannya, V Kunasegaran (Pembantu Am Rendah) yang berpengalaman selama 33 tahun mengendalikan jam loceng berkenaan.

Mereka memulakan tugas dengan menaiki 89 anak tangga di tiga peringkat hingga ke kabin (bilik) operasi di tingkat lima. Di tingkat empat menempatkan loceng jam dan memerlukan ruang agak besar. Di situlah loceng itu akan berbunyi mengikut waktu misalnya jam 10 pagi, ia akan berbunyi 10 kali diikuti sekali dentuman bagi setiap setengah jam.

Di kabin operasi tingkat lima, terdapat mesin manual menempatkan pemberat 250 paun untuk perjalanan jarum saat dan pemberat 650 paun untuk jam loceng. Kedua-dua pemberat itu perlu berada di paras tertinggi iaitu di tingkat lima selepas jam dikunci.

Kedua-dua pemberat itu dengan sendirinya akan turun sehingga ke tingkat dua selepas tiga atau empat hari menggunakan sistem takal dan kabel dawai. Pemberat itu akan dikunci dan dinaikkan semula supaya jam terus berfungsi.

Kunasegaran yang dikenali sebagai pegawai penjaga jam mengakui tugasnya membuatkan beliau bangga menjadi rakyat Malaysia. Beliau menganggap tugas itu sebagai satu tanggungjawab besar kerana menyelenggara bahan sejarah negara.

“Bukan semua orang mendapat peluang ini, ia menyimpan seribu kenangan dan lipatan sejarah negara.

“Saya tidak kisah walaupun terpaksa datang dan panjat menara untuk mengunci jam ketika waktu cuti walaupun Deepavali.

“Semua lima senior saya sudah berhenti atau bersara, kini tinggal saya seorang yang bertugas. Hanya tinggal lagi tiga tahun sebelum bersara, ia agak menyedihkan tetapi mungkin zaman saya sudah berlalu. Pasukan ini memerlukan pengganti.

“Perlu ada pelapis kerana ia bukan kerja mudah dan perlukan kesabaran,” katanya.

Setiap kali tiba waktu mengunci jam, beliau akan naik ke menara seawal jam 8 hingga 10 pagi mengelakkan cuaca panas berada di dalam menara yang tertutup. Di situlah beliau menjalankan tugas memutarkan 281 kali pusingan roda untuk menaikkan pemberat loceng jam dan jarum saat.

Katanya, bukan mudah untuk menaikkan kabel itu kerana ia memerlukan ketelitian dan perlu mematuhi aturannya bagi mengelakkan kabel terlepas dan boleh merosakkan enjin jam.

“Semua ini perlu diingati dan dipelajari. Kita tidak ada buku manual bagaimana nak kunci jam, kena belajar dan ingat langkah-langkahnya. Sebab itu perlu ada pelapis yang berminat nak buat kerja ini, jika dipaksa, mungkin mesin jam akan rosak,” katanya.

INFO: Detik bersejarah yang dirakam berdasarkan detik jam besar

* Penurunan bendera Union Jack sempena pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada jam 12 tengah malam, 31 Ogos 1957.
* Berlaku pertukaran waktu tempatan dalam tempoh 50 tahun iaitu

o 31 Disember 1931 - dipercepatkan 20 minit untuk memanjangkan waktu siang
o 1 September 1941 - dipercepatkan lagi 10 minit
o 1942 - dipercepatkan dua jam mengikut waktu Tokyo, Jepun
o 1945 - Diselaraskan semula sama seperti 1941
o 1 Januari 1982 - Dipercepatkan 30 minit untuk seragamkan dengan waktu Sabah, Sarawak dan menjadi ‘Malaysian Standard Time’.


* Acara rasmi yang diadakan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka:

o Sambutan kemerdekaan negara
o Perarakan Citrawarna Malaysia
o Sambutan Tahun Baru
o Mengarak Panji-Panji Diraja