Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Mei 2008

Dilema peniaga Melayu

Oleh Hanisah Selamat

SEDANG DIBINA: Kompleks Pasar Keramat bernilai RM25 juta dijangka beroperasi Julai depan.

Persatuan bimbang Kompleks Pasar Keramat jadi projek gajah putih jika tuntutan beberapa perkara tidak dilaksana

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun tertangguh, Kompleks Pasar Keramat bernilai RM35 juta bakal beroperasi sepenuhnya Julai ini. Ia pasti memberi keselesaan kepada orang ramai kerana mereka dikatakan dapat membeli-belah dalam suasana selesa.

Namun berita itu belum mampu menggembirakan 429 peniaga di tapak lama yang kebanyakannya bimbang ia hanya menjadi satu lagi projek gajah putih.

Biarpun dikhabarkan kompleks berkenaan dilengkapi teknologi tinggi kuasa solar, selain ruang meletak kereta yang luas dan dewan serba guna, kelebihan yang diwar-warkan itu belum mampu melegakan peniaga yang tidak pasti masa depan mereka jika diminta berpindah.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat, Shoib Ghee, 46, berkata mereka hanya akan berpindah jika DBKL memenuhi permintaan persatuan terhadap beberapa perkara bagi memastikan kepentingan peniaga terpelihara, sekali gus tidak membunuh peniaga Melayu.

Beliau berkata, nasib peniaga Melayu yang semakin tidak menentu selepas berpindah ke beberapa pasar moden sekitar Lembah Klang perlu dijadikan contoh supaya peniaga Pasar Keramat tidak berdepan masalah yang boleh menyebabkan mereka ditekan di tempat sendiri.
GIGIH: Ramai peniaga Melayu mencari rezeki di Pasar Keramat.

"Sepatutnya pasar moden di beberapa tempat dijadikan panduan kerana ruang niaga di aras dua tidak dikunjungi pelanggan berusia yang sukar menaiki tangga. Senario itulah yang akan kita lihat di kompleks baru apabila pasar moden dibina setinggi dua tingkat.

"Bukan kami menolak kemajuan, tetapi biarlah ia memudahkan semua orang sama ada peniaga atau pelanggan. Kami hanya akan berniaga di tempat baru jika permintaan kami dipenuhi," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Antara permintaan persatuan adalah tempat sembelihan ayam, pembinaan jejantas dari stesen LRT Damai ke kompleks berkenaan serta memindahkan deretan rumah kedai dan sebuah stesen minyak di depan pasar ke lokasi lebih sesuai.

Shoib berkata, mereka tidak bermaksud menyukarkan keadaan, sebaliknya mengakui pusat sembelihan ayam penting untuk meminimumkan kos logistik serta masalah sampingan lain, manakala jejantas memberi kelebihan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan LRT.

"Pelan bangunan dua tingkat itu sudah tentu tidak dapat diubah, justeru biarlah semua peniaga ditempatkan di aras bawah yang diperluaskan. Pelan sokongan seperti jejantas juga dapat memudahkan urusan, sekali gus menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Kami meminta kerajaan melihat semua bangunan kompleks pasar yang dihalang pandangan dari jalan besar berikutan kewujudan deretan kedai dan stesen minyak hingga membuatkan kawasan itu seolah-olah dikepung hutan batu," katanya.

Bendahari persatuan yang juga peniaga barangan runcit, Mohd Tarmizi Mohd Akil, 47, berkata tempoh penangguhan bertahun-tahun sepatutnya digunakan untuk mengkaji kekurangan yang disuarakan peniaga sejak awal pembinaan tetapi hingga kini tiada sebarang perubahan dilihat.

Beliau berkata, sejak dulu persatuan sudah menyuarakan supaya pasar hanya dibina di aras bawah, namun khabar yang diterima tetap sama apabila peniaga akan dibahagikan kepada dua tingkat berlainan bergantung kepada jenis perniagaan.

"Kerajaan harus faham, kebanyakan pelanggan adalah golongan ibu dan suri rumah yang terpaksa membawa bersama anak kecil ke pasar, selain golongan pertengahan usia. Memanjat anak tangga adalah masalah kepada mereka.

"Operasi memunggah stok masuk dan keluar bagi peniaga juga tentu menimbulkan masalah apabila perlu mendaki tangga yang tentu saja membabitkan masa, tenaga dan kos. Perkara ini sepatutnya menjadi keutamaan sebelum mengatur perancangan," katanya yang sudah berniaga di Pasar Keramat sejak dua dekad lalu.

Bagi peniaga barang kemas, Wan Faizal Ismail, berkata sehingga kini beliau dan rakan lain belum dimaklumkan mengenai tarikh pemindahan dan tidak tahu-menahu mengenai pengumuman terbaru DBKL yang mengatakan ia beroperasi dua bulan lagi.

Katanya, dalam surat terakhir yang diterima, mereka dimaklumkan pemindahan sepatutnya bermula Mac lalu, namun hingga kini tiada perkembangan memandangkan kompleks berkenaan masih dalam pembinaan yang belum menunjukkan tanda bila dapat disiapkan.

"Mungkin penangguhan projek itu sejak bertahun dulu membuatkan saya semakin lali dengan perkembangannya kerana sama ada siap atau belum, ia tidak membawa sebarang makna kerana saya difahamkan petak niaga yang disediakan agak kecil.

"Saya harap, jika kerajaan ingin membantu peniaga kecil Melayu seperti kami, buatlah dengan bersungguh-sungguh kerana perniagaan di sini adalah hasil keringat generasi terdahulu dan sebagai penyambung warisan, saya mahu buktikan kami tidak akan mati atau dibiarkan mati," katanya.

FAKTA: Kompleks Pasar Keramat

# Lokasi tidak sampai satu kilometer dari lokasi lama

# Projek dimulakan awal 2001 sepatutnya siap Jun 2002

# DBKL menarik balik kontrak pemaju pada Mei 2005 apabila gagal menyiapkan projek mengikut tempoh

# Kompleks merangkumi dua ruang jualan utama iaitu pasar basah dan pasar kering

# Kemudahan tempat letak kereta mencukupi

# Medan selera yang boleh memuatkan 83 peniaga makanan.