Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Mei 2008

Haslinda lahirkan usahawan kosmetik





TANGISAN luka itu telah lama disimpan dalam sejarah. Biarlah segala duka dan keperitan masa lalu menjadi iktibar terbaik untuk dia menempuh hari depan yang lebih cemerlang. Melihat kejayaan yang dikecapi anak kelahiran Kota Bharu Kelantan ini, tiada siapa yang tahu laluan berliku yang pernah ditempuhi beberapa tahun lalu.

Haslinda Idris, 40, pernah jatuh terduduk apabila perniagaan yang dijalankan tidak menjadi kerana beberapa halangan.

“Ia adalah kenangan yang tidak mungkin saya lupakan. Tetapi saya percaya apa juga kesakitan dan kegagalan hari lalu bukan satu bebanan.

“Sebaliknya ia adalah cabaran untuk menguji kehidupan. Ia juga peluang untuk kita menjadi manusia yang lebih baik di hari esok,” jelas Pengarah Urusan Mum Bio Cos Manufacturing Sdn. Bhd. ini.

Tidak mengalah dengan situasi kelam, hari ini Haslinda bangkit daripada kegagalan dan mengatur kehidupan yang lebih selesa bersama dengan tekad yang membara.

Yakin dengan dunia kosmetik, dia pernah menjual beberapa kereta mewah dan rumah miliknya untuk dijadikan modal membuka kilang sendiri.

Dengan usaha yang payah, Mum Bio Cos yang dibangunkan pada tahun 2004 hari ini menjadi antara syarikat pengilang produk kosmetik milik bumiputera yang semakin disegani. Dibantu oleh sahabat baiknya Dr. Anisah Omar dia mampu menghasilkan produk kosmetik sendiri yang berkesan dan terbaik.

“Kini setelah empat tahun, saya merasakan usaha dan susah payah sudah dibayar. Sekarang saya bukan saja mempunyai produk kecantikan sendiri iaitu La Zerra, tetapi juga dapat membantu usahawan lain yang berminat dengan bidang kecantikan mengeluarkan produk berjenama sendiri,” katanya.

Menyediakan produk kecantikan dan kosmetik dari hujung rambut sehingga hujung kaki, makanan dan minuman kesihatan serta produk untuk kegunaan salon dan spa, syarikat berkenaan mampu menjadi pengeluar produk kosmetik terunggul negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Menariknya, di samping membekalkan produk kepada mereka yang berkeinginan Haslinda juga turut membantu memberi konsultasi mengenai bisnes, pemasaran dan cara mempromosikan produk yang diterbitkan.

“Sebagai pengilang, saya tidak mahu pelanggan saya berhadapan dengan banyak masalah terutamanya ketika bisnes mereka baru bermula.

“Jadi, saya merasakan perlu bertanggungjawab untuk memberi konsultasi secara percuma kepada mereka. Kalau mereka berjaya, syarikat saya juga akan lebih berjaya “ katanya.

Menariknya bercakap tentang syarikat berkenaan juga, mereka yang mahu mendapatkan khidmat Haslinda tidak perlu memperuntukkan modal yang terlalu besar, sebaliknya boleh mengikut kesesuaian bajet mereka.

Soal pendaftaran produk, label, pengesahan Kementerian Kesihatan dan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) sehinggalah kepada strategi pemasaran yang dibantu dengan sebaik mungkin.

“Prinsip saya dalam bisnes ialah bukan untuk menganiaya orang, apa gunanya kalau pelanggan mengeluarkan duit ratusan ribu ringgit tetapi barang mereka tidak berjaya di pasaran?

“Saya juga tahu macam mana sukarnya menjalankan bisnes ini seandainya kita bergerak seorang diri. Sebab itu kalau boleh saya tidak mahu pelanggan saya berhadapan dengan masalah yang sama seperti yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu.

“Jadi Mum Bio Cos menyediakan semua khidmat berkenaan secara percuma untuk keselesaan pelanggan kami,” katanya.

Sikap suka membantu dan ikhlas dalam perniagaan nyata telah membuahkan hasil yang cukup lumayan.

Sehingga sekarang beberapa produk keluaran syarikatnya sudah pun mendapat tempat di negara-negara Asia Barat seperti Iran dan Arab Saudi selain menembusi Indonesia dan Bangladesh.

Malah Haslinda juga sedang berbincang dengan syarikat Art Trading Limited yang berpangkalan di Dubai untuk mengeluarkan wangian berstatus halal untuk kegunaan lelaki dan perempuan di negara berkenaan.

Merasakan industri kosmetik memberi peluang yang baik kepada ekonomi negara terutamanya untuk golongan wanita, Haslinda bersedia untuk berkerjasama dengan lebih banyak pihak yang berhasrat untuk menerbitkan produk berjenama sendiri pada masa depan.

Percaya dengan kekuatan dan kehebatan ahli perniagaan di kalangan wanita Malaysia, Haslinda bersedia untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Jika dulu kita terlalu bergantung kepada jenama yang diimport, sekarang orang Malaysia sendiri mampu mengeluarkan produk kecantikan sendiri setara dengan produk import. Sekarang masa untuk kita pula membawa barangan kita menembusi pasaran luar negara,” katanya dengan penuh optimis.

Masa depan, Haslinda tidak mahu menjadikan bidang bisnes sebagai cabang untuk meraih wang ringgit semata-mata. Sebaliknya agenda yang lebih berhemah sudah diatur, cuma menunggu masa untuk dijalankan sahaja.

Di benak dia merancang untuk membuka akademi kecantikan khas untuk muslim di kawasan pedalaman yang berminat dengan dunia kecantikan.

“Dengan cara ini saya berharap dapat membantu kerajaan mengatasi masalah gejala sosial di kalangan wanita kita sendiri. Saya mahu menganjurkan akademi ini secara percuma sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang telah Allah kurniakan,” katanya.

Mereka yang berminat untuk membuka bisnes produk kecantikan sendiri dan menjalankan usahasama dengan Mum Bio Cos boleh menghubungi Haslinda di talian 016- 7683368 dan 016- 7621118.