Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mei 2008

'Kami rasa terangkat'


Oleh Mohd Azis Ngah


KAPAL tangki Choon Hong III meletup sebelum tenggelam 18 jam selepas kejadian

Tragedi letupan kapal tangki Choon Hong III di Pelabuhan Klang buatkan penduduk sekitar cemas, panik

SEKITAR jam 8.30 malam, penduduk di kawasan perumahan Pelabuhan Klang masih berwirid bersama iman sebaik selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Al-Mina.

Sebilangan lagi penduduk di kuarters kakitangan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Pusat LPK sedang menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Selangor dan Kuala Lumpur.


Tiba-tiba mereka dikejutkan letupan kuat yang pada mulanya disangka bunyi guruh di langit, tetapi selepas diikuti letupan kedua menggegarkan bangunan disulami hiruk pikuk orang ramai menjerit mengatakan tangki minyak di pelabuhan meletup, mereka menjadi panik.

Dentuman kuat itu sebenarnya berpunca daripada letupan kapal tangki Korea Selatan, Choon Hong III yang membawa muatan bahan kimia jenis toleuna seberat 950 tan metrik dan xilena (400 tan metrik) ketika berlabuh di depot Tiram Kimia Sdn Bhd, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Tragedi ngeri pada 20 Jun 1992 itu mengorbankan 13 nyawa membabitkan tujuh anak kapal dan enam pekerja pelabuhan terdiri daripada lima rakyat tempatan, tujuh pekerja warga Indonesia serta pemilik kapal warga Singapura.



Semua mayat mangsa ditemui secara berperingkat iaitu tiga mangsa pada hari pertama, dua hari kedua dan lapan lagi pada hari berikutnya.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengawal kebakaran supaya tidak merebak ke depot British Petroleum (BP) yang terletak berdekatan depot Shell dan bangunan lain termasuk rumah penduduk.

Serentak itu, anggota bomba memindahkan 216 keluarga dari Kompleks Kakitangan Bomba dan LPK membabitkan 12 deret flat empat tingkat ke Balai Bomba Pelabuhan Utara kerana bimbang serpihan letupan.

Bekas anggota bomba dan penyelamat, Ahli Bomba Tingkatan Kanan, Abdul Hamid Md Yassin ketika menceritakan detik cemas itu berkata, pada hari kejadian, beliau tidak bertugas dan berada di surau menunaikan solat Maghrib.

"Kami sedang berzikir, tiba-tiba terdengar letupan. Bunyinya macam petir tetapi tidak berapa kuat. Kemudian berlaku letupan berturut-turut beberapa kali. Memang kuat hinggakan saya yang duduk bersila di lantai surau terasa terangkat.

"Semua jemaah lari bertempiaran dan keadaan ketika itu kelam kabut. Masing-masing sibuk menyelamatkan diri. Saya terus pulang ke rumah (kuarters), tukar pakaian seragam bomba dan bergegas ke balai. Itu sudah menjadi rutin tugas kami, walaupun tidak berkerja tetapi perlu bersiap sedia 24 jam," katanya.

Abdul Hamid yang sudah bersara sejak 12 tahun lalu berkata, ketika tiba di balai, pasukan pertama sudah keluar ke tempat kejadian dan beliau bersedia di balai untuk menguruskan pertukaran syif hinggakan pasukannya dikerahkan ke sana kira-kira jam 5 pagi menggantikan pasukan awal.

"Hampir 24 jam pasukan bomba bertungkus lumus memadam dan mengawal kebakaran. Pasukan bomba menjalankan tugas dengan baik kerana berjaya mengawal api daripada merebak ke tangki berdekatan serta rumah penduduk.

"Cukup mengerikan, kerana bila-bila masa saja boleh berlaku letupan. Api menjulang tinggi dan asap hitam memenuhi ruang udara," katanya.

Kebakaran itu turut menyebabkan depot Tiram Kimia Pelabuhan Klang Blending Plant musnah kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokannya manakala Bangunan Royal Selangor Yacht Club, terletak kira-kira 300 meter dari tempat letupan, turut terbakar empat jam selepas itu.

Kepantasan lebih 115 anggota bomba memadam api dalam masa lapan jam di kawasan depot Tiram Kimia itu berjaya menyekat api merebak ke depot Bulk Chemical termasuk menyembur buih untuk menyejukkan tangki kimia.

Jika tidak, seluruh bandar Klang mungkin musnah terbakar jika api daripada kebakaran depot Tiram Kimia dan kapal tangki Choon Hong III itu merebak ke depot Bulk Chemical yang menyimpan bahan kimia metanol.

Depot Bulk Chemical bersebelahan depot Tiram Kimia itu mempunyai beberapa tangki besar mengandungi metanol dan jika terbakar boleh memusnahkan seluruh bandar Klang.

Kebakaran itu berlaku apabila kapal tangki yang didaftarkan di Singapura terbakar dan meletup ketika menyalurkan bahan kimia ke tangki loji kimia Shell kira-kira jam 8.45 malam. Ketika itu, 13 anak kapal, dua pekerja bahagian operasi Shell dan dua Juru ukur Caleb Brett (M) Sdn Bhd dipercayai berada di atas kapal.

Letupan itu juga menyambar lima tangki di loji kimia Shell, kira-kira 30 meter dari kapal berkenaan.

Siasatan mendapati serpihan besi seberat 67.5 kilogram yang berterbangan ketika letupan terkena tangki kimia loji Shell menyebabkan kebakaran.

Kapal seberat 1,000 tan metrik dan berukuran 76.6 meter panjang itu musnah dijilat api dan tenggelam kira-kira jam 3 petang keesokannya sebelum ia diapungkan menggunakan kren syarikat Smit Tag Salvage and Towage Pte Ltd (Singapura) yang mengambil masa 17 hari untuk timbul sebelum ditunda ke Singapura yang mengambil masa tiga hari.

Kronologi: Kapal tangki terbakar

  • 8.45 malam (Sabtu): Letupan besar berlaku di depot minyak Shell di Pelabuhan Klang membabitkan sebuah kapal kimia Korea Selatan, Choon Hong III, diikuti beberapa letupan kecil. Ia boleh didengar sejauh kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.

  • 9 malam: Bomba Pelabuhan Klang menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di depot minyak Shell, Pelabuhan Klang. Bantuan bomba Shah Alam, Petaling Jaya, Pelabuhan Klang Utara, Selatan dan Wilayah Persekutuan diminta membantu apabila kebakaran sukar dikawal.

  • 9.45 malam: Mangsa pertama, lelaki India ditemui di jeti pelabuhan itu. Kerja menyelamat digiatkan kerana lebih ramai dikhuatiri mati.

  • 12.07 tengah malam: Dua mayat lagi ditemui berhampiran jeti.

  • 12.30 pagi (Ahad): Kebakaran menyebabkan Tiram Kimia Pelabuhan Klang Blending Plant musnah.

  • 1.50 pagi: Tiga mangsa yang ditemui dibawa ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Kebakaran di tangki depot berjaya dikawal.

  • 2.30 pagi: Satu platun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah untuk mengepung kawasan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri atau memasuki kawasan tragedi.

  • 3.40 petang: Api menyambar bahan cecair kimia yang melimpah ke permukaan air.

  • 4 petang: Bangunan Royal Selangor Yacht Club yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat letupan, turut terbakar.

    INFO: Mangsa terkorban
  • Rakyat Indonesia
    1- Hamzah, 30,
    2- Komari, 28,
    3- Moohamad Rusdi Adang Siswanto, 32,
    4- Muhamad Ondro Djuneidi, 21,
    5- Achmad Dhoris, 27,
    6- Anisar Usman, 35,
    7- Husin, 25,

  • Rakyat Malaysia
    1- Awalluddin Mohd Arshad, 36, juruukur Caleb Brett (M) Sdn Bhd, dari Telok Gadong, Klang,
    2- Ho Tiew Teng, 37, penyelia syarikat perkapalan - dari Kampung Raja Uda, Klang
    3- Hamzah Mohd Dah, 41, pekerja kapal dari Bandar Baru Selayang.
    4- Lim Soon Hoe, 42, juruukur Caleb Brett (M) Sdn Bhd.
    5- Armuthalingam, 35, jurugegas syarikat Shell

  • Rakyat Singapura
    1- Kapten Tan Kok Hearn, 35 (Singapura) - pemilik kapal
  •