Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

03 Mei 2008

Kerajaan digesa perkukuhkan Perlembagaan Persekutuan

JOHOR BAHRU 2 Mei - Kerajaan digesa mengukuhkan lagi Perlembagaan Persekutuan mengikut keperluan semasa bagi memastikan kepentingan kaum dan Raja-Raja Melayu tidak dicabar oleh pihak tertentu.

Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, langkah itu perlu diambil kerana masih terdapat usaha pihak tertentu yang menafikan hak istimewa orang Melayu khususnya berkaitan Artikel 153 perlembagaan tersebut.

Menurutnya, golongan yang cuba menafikan hak orang Melayu itu beranggapan Artikel itu hanya berkuat kuasa untuk tempoh 15 tahun bermula dari negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957.

"Sebaliknya, artikel itu kekal untuk selama-lamanya setelah dipersetujui bersama oleh British, Raja-Raja Melayu dan UMNO ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kedaulatan Perlembagaan Malaysia.

Abdul Aziz meminta supaya Artikel 153 itu terus dipertahankan oleh kaum Melayu bagi memastikan hak ketuanan yang diterajui sultan dan raja Melayu serta agama Islam terus kekal serta dihormati oleh kaum lain.

"Artikel itu bukan untuk membolehkan orang bukan Melayu mendapat kerakyatan Malaysia, tetapi merupakan hak keistimewaan orang Melayu," katanya yang juga seorang peguam.

Menurutnya, istilah kontrak sosial yang disebut beberapa pihak berkaitan Artikel 153 juga tidak tepat dan tidak boleh dipakai dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, tindakan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bererti turut mempertahankan bahasa, ekonomi dan kebudayaan Melayu.

"Sesiapa yang mempersoalkan peruntukan pada Artikel 153, 152 dan 181 walaupun dalam Parlimen merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum mengikut Akta Hasutan 1948,'' katanya.

Abdul Aziz menegaskan, setiap undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan pula tidak sah dan tidak boleh dipraktikkan.

Mengenai kedaulatan raja-raja Melayu, beliau berkata, institusi tersebut telah wujud sejak beratus tahun lalu dan akan terus kekal serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Perkara 153 bukan urusan yang boleh dijual beli dalam rundingan tawar-menawar oleh mana-mana pihak,'' katanya.