Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 Mei 2008

Keunikan masjid gamit pelancong


Oleh Mohd Azrone Sarabatin


MASJID Jamek 'Asr Hassani Bolkiah memiliki rekabentuk menarik terutama kubah kuning keemasan.

Pelancong dari serata dunia kagumi keindahan reka bentuk masjid di Brunei

BRUNEI Darussalam mungkin negara kecil di Kepulauan Borneo tetapi memiliki tarikan besar tersendiri, terutama reka bentuk masjid yang menggamit kedatangan pelancong ke negara kaya dengan hasil minyak dan gas itu.

Masjid Omar Ali Saifuddien dan Masjid Jamek `Asr Hassanil Bolkiah di Bandar Seri Begawan adalah antara yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.


Kedua-duanya tersergam gah dengan reka bentuk menarik, terutama kubah kuning keemasan dan lampu di dalam serta anjung masjid yang berkilauan umpama kristal membuatkan pelawat teruja.

Keunikan binaan bangunan masjid berkenaan menyebabkan pengunjung tidak lekang memetik punat kamera merakam kenangan sebagai koleksi abadi.

Masjid Omar Ali Saifuddien yang dibina di tapak seluas dua hektar berhampiran tebing Sungai Brunei dirasmikan oleh Sultan Brunei ke-28, Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 26 September 1958.

MASJID Omar Ali Saifuddien berlatarkan Kampung Air di Bandar Seri Begawan.

Masjid berkemampuan menampung 3,000 jemaah dalam satu masa itu boleh dirakamkan dalam dua panorama iaitu berlatarkan Bandar Seri Begawan dan perkampungan tradisi, Kampung Air.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ramai pengunjung memilih perkampungan tradisi sebagai latarnya dengan merakam kenangan dari jambatan merentangi Sungai Brunei di Kampung Air.

Ini kerana keindahan reka bentuk moden masjid itu digabungkan dengan keunikan desa zaman silam yang kekal diwarisi masyarakat mendiami Kampung Air. Ada laluan khas pejalan kaki dari masjid ke perkampungan tradisi itu.

Perkampungan tradisional di Kampung Air yang mempunyai lebih 35,000 penduduk pernah digelar Venice of the East oleh pelancong Eropah.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan, Brunei

Masjid Jamek `Asr Hassanil Bolkiah, empat kilometer (km) dari Bandar Seri Begawan mula beroperasi pada 14 Julai 1994 sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei ke-29, Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Masjid dibina di tapak seluas lapan hektar itu berkemampuan menempatkan 5,000 jemaah dalam satu masa dan dilengkapi kemudahan seperti pusat pentadbiran, perpustakaan dan dewan.

Selain dua masjid berkenaan, ada puluhan masjid dengan reka bentuk menarik dan sesuai dikunjungi di negara Islam itu.

Ia bertepatan zaman kegemilangannya pada abad ke-15 dan 16 sebagai pusat perkembangan dan penyebaran Islam unggul di Borneo, di samping menguasai pentadbiran pulau ketiga terbesar di dunia itu.

Sebuah masjid di Sabah iaitu Masjid Kampung Tanjung Pasir, Kota Belud misalnya masih mengekalkan khutbah lama dikenali `Ilahu' yang mendoakan kesejahteraan Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddien.

Kunjungan pasti tidak lengkap tanpa berkunjung ke Taman Tema Jerudong di Gadong, dekat bandar Seri Begawan yang dibuka pada waktu malam.

Kanak-kanak pasti gembira menaiki replika kereta api sambil mengelilingi Taman Tema Jerudong mirip Disneyland di Hong Kong. Ia dibahagi dua bahagian iaitu `Playgroud' dan `Garden'.

Panorama indah yang boleh disaksikan adalah arca hidupan purba seperti dinosaur.

FAKTA: Masjid Omar Ali Saifuddien dan Masjid Jamek Asr Hassanil Bolkiah

  • JADUAL lawatan ke Masjid Jamek Asr Hassanil Bolkiah untuk pelancong dan orang ramai adalah pada Isnin, Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad merangkumi tiga waktu iaitu mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, jam 2 hingga 3 petang dan jam 8 hingga 9.30 malam.

  • LAWATAN pada Jumaat pula merangkumi dua waktu iaitu mulai jam 4.30 hingga 6 petang dan jam 8 malam hingga 9.30 malam manakala pada Khamis pelancong dan orang ramai tidak dibenarkan melawat masjid terbabit.

  • JADUAL waktu lawatan pelancong dan orang ramai ke Masjid Omar Ali Saifuddien adalah pada Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu mulai jam 8.30 pagi hingga 8 malam.

  • BAGI Khamis, pelawat hanya dibenarkan melawat persekitaran masjid mulai jam 9 pagi hingga 8 malam manakala pada Jumaat boleh berkunjung ke dalam masjid mulai jam 4.30 petang hingga 5.30 petang.

  • MASYARAKAT Islam yang menunaikan ibadah tidak tertakluk kepada jadual waktu lawatan ke Masjid Omar Ali Saifuddien dan Masjid Jamek `Asr Hassanil Bolkiah.

  • PELAWAT bukan beragama Islam tidak dibenarkan membuat lawatan ketika hari kebesaran Islam dan upacara keagamaan dan kenegaraan di dua masjid terbabit.

  • PERKHIDMATAN Perpustakaan Ismail Omar Abdul Aziz, Masjid Jamek `Asr Hassanil Bolkiah adalah pada waktu pejabat mulai jam 8.30 hingga 11.45 pagi dan 2.15 petang hingga 4 petang.

  • MAKLUMAT mengenai masjid di Brunei Darussalam boleh diperoleh melalui laman web Kementerian Hal-Ehwal Ugama negara itu di alamat, http://religious-affairs.gov.bn.

    Bagaimana ke Masjid Omar Ali Saifuddien dan Masjid Jamek 'Asr Hassanil Bolkiah?

  • ADA penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)

  • BAGI yang berminat menggunakan feri, perkhidmatan harian disediakan dari Labuan ke Kuala Belait, Brunei. Tambang teksi dari terminal feri Kuala Belait ke Bandar Seri Begawan sekitar RM45.

  • MASJID Omar Ali Saifuddien terletak di tengah Bandar Seri Begawan manakala untuk ke Masjid Jamek 'Asr Hassanil Bolkiah boleh menaiki teksi dengan kadar tambang RM20.

  • PENGEMBARA pula boleh menggunakan rangkaian jalan darat sama ada dari Sabah atau Sarawak ke Brunei Darussalam.
  •