Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 Mei 2008

Kisah kecamukan tragedi keluarga


PELBAGAI tragedi telah melingkari kehidupan manusia sejak Nabi Adam dan Hawa dicipta oleh Allah s.w.t. dalam meneruskan perjuangan umat manusia di muka bumi ini.

Tragedi itu banyak dikaitkan dengan sikap manusia yang sombong, mementingkan diri sendiri dan kurangnya ilmu pengetahuan selain pertembungan antara kuasa alam yang sukar diramalkan kemunculannya.

Itu merupakan antara sekelumit falsafah yang cuba dipaparkan menerusi teater Inggeris berjudul Swarm Dwellers arahan Sabera Shaik.

Ahmad YatimTalib merupakan pelakon utama yang akan mengangkat falsafah yang cuba diketengahkan menerusi teater tersebut.

Pelakon berusia 60 tahun yang akan melakonkan watak Makuri, seorang bapa kepada dua anak lelaki banyak memainkan emosinya bagi mengetengahkan keberkesanan watak itu.

Menurut Ahmad Yatim, beliau bukan setakat bermain dengan dialog yang boleh dikatakan ringkas tetapi penuh makna tersirat yang cukup mendalam bagi menyampaikan mesej-mesej teater itu yang mengambil durasi masa hampir dua jam.

“Saya sebagai seorang ayah yang sederhana statusnya tinggal di sebuah kampung dan mempunyai dua orang anak lelaki yang tinggal di bandar.

“Konflik antara kami mula timbul apabila ladang yang diusahakannya tidak menjadi kerana masalah alam seperti banjir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Swarm Dwellers di KLpac, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Permasalahan yang diutarakan itu berkembang hingga ia mengundang menjadi suatu tragedi manusia dan kekeluargaan yang mungkin boleh dijadikan sebagai iktibar oleh para penonton.

Hubungan kekeluargaan yang boleh dikatakan agak rumit sering mengundang pelbagai konflik dan dilema dalam instituisi ini.

Sehubungan itu, dialog bukan setakat memainkan peranan penting, tetapi para pelakon teater ini turut ‘berperang’ dengan gaya olahan penghayatan lakonan yang membabitkan ekspresi wajah dan gerak-geri yang membayangkan pelbagai situasi serta perasaan setiap watak menerusi teater ini.

Apatah lagi, kerana sudah lama tidak berlakon dalam teater Inggeris, penghayatan dialog dan kekuatan minda amat diperlukan biarpun oleh pelakon berpengalaman seperti Ahmad Yatim.

“Untuk teater ini yang menggunakan medium bahasa Inggeris, saya terpaksa berlakon dan berlatih dengan lebih gigih lagi.

“Selain isu bahasa, persoalan yang cuba diungkap menerusi teater ini juga merupakan isu global yang relevan kepada mana-mana bangsa juga,” ujarnya yang kali terakhir berlakon filem menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir arahan Erma Fatima pada 1998.

Swarm Dwellers merupakan teater Inggeris terbaru lakonan beliau selepas teater We Could ... U Mr. Birch yang dilakonkannya pada 1996.

Skil

Beliau yang pernah mendapat pendidikan dalam bidang lakonan dari National Institute of Dramatic Art di Sydney, Australia pada 1978 berharap agar penampilan terbarunya itu akan menghidupkan lagi perjalanan teater itu.

“Maklumlah sudah hampir 10 tahun saya tidak berlakon teater Inggeris. Berlakon teater ini bagi saya ibarat bermain bola, tetapi apabila sudah lama tidak bermain skil permainan itu mungkin sudah mula berkarat,” katanya.

Swarm Dwellers yang merupakan karya adaptasi daripada kisah sebuah keluarga masyarakat di Afrika tetapi isu atau permasalahan global yang disampaikan relevan untuk dihayati oleh mana-mana juga bangsa.

Jelas Zaifri Husin yang merupakan seorang lagi pelakon penting dalam Swarm Dwellers, perjalanan cerita teater itu mampu mencetuskan kesaksamaan dalam konteks hubungan manusia tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan batas sempadan negara.

“Bagi saya, soal dari mana sesebuah karya itu berasal tidak penting tetapi apa yang perlu dititiberatkan ialah intipati mesej yang hendak disampaikan,” jelasnya.

Zaifri yang akan melakonkan watak Kyadie (Kadi) tidak menafikan rasa gementarnya untuk berlakon dalam teater Inggeris yang secara keseluruhannya dilakonkan oleh lima pelakon itu.

Jelas Zaifi, beliau antara lain terpaksa mengambil masa hampir sebulan untuk menghafal skrip serta menghayati watak yang telah diberikan kepadanya itu.

“Malah, saya juga sudah mula membuat persiapan dan berlatih untuk teater ini sejak dua bulan lalu. Ini teater Inggeris terbaru saya selepas 31 tahun.

“Kali terakhir saya berlakon teater Inggeris ialah pada tahun 1977 ketika bersekolah di darjah enam. Saya agak gementar untuk berlakon dalam teater ini kerana bimbang lontaran serta sebutan dialog dalam bahasa Inggeris saya kurang jelas,” katanya.

Penghayatan serta sebutan yang jelas amat penting, apatah lagi dengan hanya lima pelakon, tugas itu perlu dititikberatkan oleh setiap pendokong watak dalam teater ini.

Ini kerana, penyerlahan suatu tragedi tentang kekeluargaan yang dipaparkan menerusi Swarm Dwellers tentunya sukar untuk diungkap tanpa adanya penghayatan serta dialog yang benar-benar mantap daripada segi pengisiannya.

Swarm Dwellers akan dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur mulai 8 hingga 11 Mei ini pukul 8.30 malam. Sebarang pertanyaan sila hubungi Sharon menerusi talian 017-6171949.