Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 Mei 2008

Konsep suai padan tepati ciri kondo


Oleh Bennie Zie Fauzi


RUANG luas membolehkan ruang tamu rasmi dan ruang menonton diwujudkan.

Zarina Busu menggunakan warna klasik coklat tanah dipilih menghiasi dinding dan sebahagian besar perabot

SEBAIK memasuki kondominium seluas 402 meter persegi itu, jelas konsep suai dan padan yang diterapkan pemiliknya, Zarina Busu. Bermula daripada cat yang digunakan hingga kepada perabot semuanya menggunakan konsep sama.

Ruang tamu yang luas membolehkan pengusaha butik ini menyediakan dua ruang tamu - satu untuk tetamu dan satu lagi untuk kegunaan keluarga.


Bagaimanapun, ruang balkoni yang terlalu kecil, tidak membenarkan Zarina untuk meletakkan sebarang perabot hanya menyusun pasu bunga di sekelilingnya.

Konsep suai dan padan diperlihatkan menerusi gandingan perabot dan perhiasan moden bersama klasik seperti diutarakan di ruang tamu rasmi. Di ruang berkenaan, kerusi betawi dan meja kopi bergaya klasik digandingkan dengan sepasang kerusi tab berselera semasa.

“Saya membahagikan kawasan ruang tamu itu dengan membina penghadang lipat kayu untuk meraikan tetamu tanpa gangguan anak-anak manakala ruang tidak rasmi berfungsi sebagai ruang menonton untuk keluarga.



Pelan lantai rumah yang menyembunyikan kedudukan bilik tidur turut memikat Zarina. Tidak sebagaimana biasa iaitu pintu bilik tidur boleh dilihat dari ruang tamu, untuk kediaman ini binaan seperti pintu gerbang perlu dilalui dulu sebelum berjumpa pintu bilik tidur.

“Saya juga sukakan konsep dinding tebuk di pintu masuk yang memberi kebebasan kepada kita memasang kabinet hiasan atau rak kasut di situ. Saya memilih memasang kabinet berlaci di tempat itu untuk mempamerkan himpunan kesayangan berupa kelengkapan kristal, piring hiasan dan jambangan bunga,” katanya.

Warna klasik coklat tanah dipilih menghiasi dinding dan sebahagian besar perabot. Warna semula jadi menurut Zarina berupaya mencipta suasana harmoni dan tema seragam antara kemasan dengan kelengkapan.

“Rumah ini pun bukan luas mana. Penonjolan terlalu banyak warna saya khuatir menyebabkan ruang nampak berserabut. Usah banyak warna, percubaan dua warna dinding pun memadai membuatkan kediaman ‘tidak bernafas’,” katanya.

Dalam memilih perabot, Zarina tidak cerewet. Dia tidak kisah membeli perabot terpakai asalkan bersesuaian cita rasa dan konsep kediaman yang ditonjolkannya. Sepasang kerusi fabrik berkaki tinggi di ruang makan, sofa cleopatra di ruang menonton dan meja konsol separa bulat dan set sofa tamu di ruang tamu antara perabot yang dibeli di kedai menjual perabot terpakai.

Himpunan perabot ini kata Zarina asalnya milik beberapa hotel bertaraf lima bintang di China namun dijual kepada umum andainya pengurusan hotel ingin menukar perabot atau konsep dan tema gaya penataan hotel.

Zarina yang tidak betah menghadap hidangan tanpa ditemani bunyi deruan air terus mengambil keputusan menyediakan unsur air di situ.

“Bunyi air mengalir menyejukkan telinga dan menjadi terapi minda. Suapan makin kencang andai makan ditemani bunyi menenangkan itu,” katanya yang turut menempatkan empat ekor ikan emas di kolam mini berkenaan.

Beliau juga mengubahsuai ruang dapur dengan menambah ruang dapur basah di ruang yang dulunya kawasan menyidai kain.

Ini satu-satunya ruang kediaman yang diubahsuai. Selain mewujudkan ruang dapur basah, Zarina turut menggantikan kemasan konkrit dinding tebuk dengan kayu. Dia kemudiannya menukar fungsinya menjadi kaunter sarapan.