Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 Mei 2008

Pementasan randai selepas 14 tahun



PENGARAH, pelakon, penari dan tenaga kerja randai


JIKA di Kelantan, masyarakat di negeri pantai timur itu boleh berbangga dengan adanya seni persembahan makyung yang berteraskan seni tarian, lakonan dan nyanyian budaya setempat.Sementara, seni persembahan randai yang berakar umbi di Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia juga menampilkan seni lakon, muzik dan tarian berdasarkan cerita-cerita rakyat tempatan.

Cuma bezanya, makyung agak kerap dipentaskan di negara ini berbanding randai yang lebih popular di kalangan masyarakat berketurunan Minangkabau terutamanya di Negeri Sembilan.

Menyedari hakikat itu, Istana Budaya (IB) telah mengambil inisiatif dengan mementaskan randai berjudul Kasih Menanti di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur 9 hingga 18 Mei ini.

Menurut pengarah randai, Ahmad Tamimi Serigar, Kasih Menanti akan dipentaskan kali kedua selepas randai tersebut pernah menemui para penonton tempatan kira-kira 14 tahun lalu.

"Kali pertama randai Kasih Menanti dipentaskan ialah pada tahun 1994 di mana ia sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-10, Sultan Azlan Shah.

"Bezanya randai itu kali ini tidak sepenuhnya berkonsepkan muzikal, sebaliknya ada unsur lakonan seperti konflik cinta tiga segi," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Kasih Menanti di IB, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Naskhah tulisan Sabri Mohd. Zin (Samoza) itu sepatutnya dipersembahkan pada Julai ini tetapi difahamkan ia dipercepatkan tarikhnya sempena ulang tahun ke-41 pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman tidak lama lagi.

Jelas Ahmad Tamimi, randai Kasih Menanti kali ini berbeza dengan pementasan sebelumnya kerana ia lebih ke arah 'sentuhan keinginan rasa' yang akan dibuai menerusi alunan lagu-lagu hebat.

"Bagi mencetuskan suasana itu, kami telah menjemput ramai komposer terkenal seperti Siso, Zubir Ali dan Pak Ngah menyumbangkan lagu-lagu ciptaan mereka menerusi randai ini.

"Kami juga telah melantik komposer Rosli Selasih sebagai Pengarah Muzik pementasan randai ini yang mana ia mampu menyerlahkan lagi seni masyarakat Minangkabau," ujarnya.

Tidak seperti seni persembahan lain, randai agak mudah untuk dipentaskan kerana ia tidak mempunyai prob atau set pentas yang khusus dan sesuai dipersembahkan pada bila-bila masa.

Pementasan randai Kasih Menanti antara lain dilihat mampu mempopularkan lagi seni warisan nusantara itu yang mula bertapak di negara ini sekitar tahun 1970-an.

Rangka cerita yang diselitkan dengan gerak silat, tari dan lakonan amat menarik untuk ditonton kerana ia banyak menyelitkan unsur moral serta pengajaran yang pernah diterapkan dalam kehidupan masyarakat zaman lampau.

Apatah lagi, persembahan randai itu kelak akan diperkuatkan lagi barisan pelakon hebat seperti Zulkifli Zain yang melakonkan watak Penghulu Pak Alang, Safura (ibu), Norsiah Yatim (Mak Alang) serta Datuk Yusni Hamid (ibu angkat) yang pertama kali berlakon dalam randai.

Meskipun sudah 14 tahun Kasih Menanti 'terperam' tetapi Ahmad Tamimi berasa yakin randai arahannya itu bakal mendapat sambutan dengan adanya sokongan yang kuat terutamanya daripada Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

"Sebelum ini saya pernah mementaskan teater Rubiah tetapi saya menghadapi masalah apabila pihak penaja menarik balik tajaan dua minggu sebelum ia dipentaskan.

"Saya harap persembahan ini sedikit sebanyak dapat mengangkat martabat randai yang kaya dengan seni budaya dan adat etnik masyarakat Minangkabau di negara ini," katanya yang turut akan melakonkan watak dukun menerusi randai tersebut.

Inisiatif IB dan kesungguhan Ahmad Tamimi itu patut diberi perhatian kerana tidak ramai aktivis seni pementasan di negara ini yang tampil bagi mengembangluaskan lagi seni randai.

"Apatah lagi, sewaktu melanjutkan pengajian di USM (Universiti Sains Malaysia) dulu dalam bidang Persembahan Seni (Filem dan TV), tesis saya adalah dalam bidang randai," ungkapnya.

Sementara itu, Mohamed Juhari Shaarani berharap agar randai Kasih Menanti yang akan dipersembahkan itu kelak dapat memberikan kesan kepada para penontonnya.

"Masyarakat zaman lampau memberi didikan secara berkias. Justeru, persembahan randai dilihat sebagai salah satu kaedah yang digunakan untuk memberi didikan secara halus dan tersirat orang zaman lampau kepada generasi muda," jelasnya yang berketurunan Batak.

Randai ini mengisahkan tentang seorang ibu kandung yang menghanyutkan bayinya ke laut kerana dipercayai boleh memberi celaka kepada para penghuni Pulau Cendena.

Bayi itu ditemui oleh seorang wanita yang kemudiannya menjadikannya sebagai anak angkat hingga ia membesar menjadi seorang yang hebat dikenali sebagai Bujang (lakonan A. Aris A. Kadir).

Difahamkan randai Kasih Menanti merupakan antara pementasan randai terbaru selepas tahun 1997 berjudul Anggun Nan Tangga.

Randai arahan Pak Dahaman yang merupakan pensyarah randai di Akademi Seni Kebangsaan itu telah dipentaskan oleh para pelajar akademi tersebut.

Kasih Menanti yang mengenakan tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 turut menampilkan Irwan Ismadi Shahrim sebagai Pengarah Artistik. Sebarang pertanyaan sila hubungi talian 03-40265558.