Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 Mei 2008

Prasarana jalur lebar rangsang daya saing ekonomi negara



PELAN pembangunan prasarana perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 1 gigabait sesaat (Gbps) membabitkan kos RM15.2 bilion dalam tempoh 10 tahun, akan meningkatkan kelajuan sambungan internet dan komunikasi, serta kadar penebusan jalur lebar di kalangan isi rumah di Malaysia kepada 50 peratus pada 2010. Pelan yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor kelmarin, secara langsung turut meningkatkan lagi daya saing, kadar produktiviti seterusnya pertumbuhan ekonomi negara selain mutu pendidikan, sektor perubatan dan perkhidmatan sosial. Berdasarkan penilaian awal, sumbangan penebusan jalur lebar yang lebih laju kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dianggarkan RM6.68 bilion atau satu peratus menjelang 2010. Ia juga bakal mewujudkan 135,000 jawatan baru. Ketika ini, kadar penembusan jalur lebar di negara ini adalah 18 peratus, jauh lebih lebih rendah berbanding negara Asia lain seperti Singapura (78 peratus), Hong Kong (80 peratus) dan Korea Selatan (93 peratus). Pembangunan prasarana perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan dilaksanakan secara usaha sama dengan Telekom Malaysia Bhd (TM). Daripada jumlah kos yang diperlukan, komitmen kerajaan adalah RM4.8 bilion, manakala bakinya oleh TM. Kemudahan baru itu bakal melonjakkan Malaysia ke tahap dunia siber seperti di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura yang memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat. Ia umpama pembukaan sebuah lebuh raya yang akan memudahkan pelbagai aplikasi dimanfaatkan sepenuhnya seperti e-kerajaan, e-kesihatan dan e-pendidikan.

Kita berpendapat walaupun pelan itu membabitkan kos tinggi, ia memberi kesan positif secara menyeluruh kepada hampir semua sektor, yang akhirnya boleh membantu mengembangkan ekonomi negara. Misalnya, dulu apabila pelabur asing datang ke Malaysia, perkara pertama yang ditanya ialah apakah jenis bekalan air atau elektrik disediakan dan bagaimana dari segi kecekapan memperoleh bekalan sumber berkenaan. Tetapi soalan lumrah yang ditanya pelabur sekarang ialah sejauh mana kelajuan jalur lebar atau berapa kadar bayaran dikenakan untuk perkhidmatan itu di Malaysia. Berdasarkan Laporan Tahunan Daya Saing Dunia IMD 2008, antara empat perkara yang dipertimbangkan pelabur global adalah prestasi ekonomi, kestabilan politik, persekitaran perniagaan dan infrastruktur. Walaupun Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan pada tahun ini apabila naik ke tangga ke-19 dari segi daya saing berbanding ke-23 pada tahun lalu, dalam pertimbangan infrastruktur, Malaysia masih rendah ekoran kelemahan perkhidmatan jalur lebar.

Sekiranya perkara itu dapat diatasi, sudah tentu Malaysia dapat memperbaiki daya saingnya pada peringkat global. Dulu apabila pelabur mahu datang ke Malaysia, jika ada telefon sudah dikira mencukupi, kini tidak lagi kerana mereka mahu perkhidmatan yang lebih canggih. Pelabur sekarang lebih mengutamakan kepada kecekapan perkhidmatan terutama bagi syarikat besar. Oleh itu, mereka mahukan kemudahan canggih seperti jalur lebar dan mula membezakan dengan negara lain. Justeru, kita perlu tingkatkan sistem perkhidmatan supaya mampu berdaya saing dengan negara lain dan sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing. Malah, kita juga mahu pihak berkuasa melengkapkan kemudahan perkhidmatan jalur lebar mudah alih secara menyeluruh sekurang-kurangnya di semua bandar besar buat permulaan seperti di Kuala Lumpur. Ini bagi membolehkan komputer riba berfungsi di mana-mana, bukan setakat di restoran tertentu di pusat bandar saja tetapi di warung-warung kampung dan desa.