Oleh Fadzlena Jafar
BERANI: Semakin ramai remaja perempuan merokok tanpa segan silu. |
Ingin mencuba dan mahu berada dalam kelompok hebat faktor generasi terpengaruh tabiat bahayakan kesihatan
NALURI semula jadi untuk menghisap rokok dikenal pasti punca utama yang menjadi tarikan bagi remaja hari ini mencuba sebelum ketagih dan akhirnya menjadi perokok tegar. Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 40.6 peratus responden di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku mereka merokok kerana keinginan sendiri, berbanding pengaruh rakan sebaya sebanyak 37.6 peratus.
Kajian itu secara tidak langsung membuktikan bermula dengan sekadar rasa ingin tahu yang mendalam terhadap tabiat yang dikaitkan dengan gaya hidup moden itu menyebabkan ramai remaja terus menjadi hamba kepada rokok yang dianggap oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu-satunya produk pengguna yang dihasilkan untuk ‘membunuh’.
Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata sifat semula jadi remaja yang suka mencuba menyebabkan mereka tertarik untuk mengetahui apa sebenarnya yang membuatkan orang dewasa merokok.
“Tabiat merokok sebenarnya sudah sebati dalam masyarakat kita. Perokok ada di mana-mana menyebabkan kanak-kanak menganggap ia perkara biasa, malah bukan sukar untuk mendapatkan rokok kerana ada dijual di tempat terbuka. Kajian sama yang dijalankan di kalangan murid sekolah rendah Tahun 4 hingga Tahun 6 mendapati kira-kira 39.8 peratus mengaku merokok kerana keinginan sendiri.
“Jadi, naluri itu semakin meningkat apabila mereka melangkah ke alam remaja berikutan sifat remaja itu sendiri yang suka mencuba, selain ditambah pengaruh rakan sebaya. Antara faktor yang menguatkan keinginan itu ialah tanggapan bahawa merokok adalah gaya hidup masa kini dan juga keinginan untuk dilihat sebagai matang kerana mereka yang merokok adalah orang dewasa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
TIDAK PATUH: Ramai perokok yang mengabaikan tanda amaran larangan merokok. |
Kajian yang dijalankan itu membabitkan 9,332 responden di kalangan murid sekolah rendah Tahun 4 hingga Tahun 6, manakala kajian bagi sekolah menengah hanya dilakukan di Pulau Pinang membabitkan 197 pelajar.
Beberapa kajian lain yang dijalankan juga menunjukkan peningkatan tren merokok di kalangan remaja Malaysia dengan 25 peratus pada 2003 berbanding 18 peratus pada 2000. Apa yang membimbangkan, kajian itu turut menunjukkan peningkatan perokok di kalangan remaja perempuan dengan 12 peratus pada 2003 berbanding lapan peratus pada 2000.
Dr Sallehudin berkata, antara faktor yang mempengaruhi peningkatan itu ialah kecenderungan gadis remaja hari ini terhadap perubahan tren dan gaya hidup selain dipengaruhi imej yang dipaparkan dalam filem dan televisyen.
“Berbanding lelaki, wanita lebih peka terhadap tren dan perubahan gaya hidup. Apatah pula, sejak kebelakangan ini imej wanita moden yang dipaparkan kebanyakan filem dan drama dari luar menunjukkan gadis remaja dan wanita dewasa dengan penampilan menarik sambil merokok. Jadi, secara tidak langsung mereka mendapat gambaran salah bahawa merokok itu adalah tren semasa.
“Pengaruh rakan juga memainkan peranan penting. Ada yang tidak pernah merokok, tetapi apabila bergaul dengan perokok mereka akan terikut-ikut hanya semata-mata untuk menjadi sebahagian daripada kelompok yang dikatakan hebat itu,” katanya.
Kajian berkenaan perlu diberi perhatian supaya pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya termasuk memastikan televisyen tidak memaparkan adegan merokok yang menjadi tarikan kepada remaja. Pengaruh iklan didapati hanya memberi kesan yang kecil seperti dipaparkan dalam kajian berkenaan, namun hakikatnya pengaruh yang tidak secara langsung seperti gambaran pelakon jelita merokok, lebih merbahaya.
Merokok di kalangan remaja juga dikatakan menjadi punca kepada pelbagai masalah termasuk ponteng sekolah, mencuri, mengganggu pelajaran dan lepak.
Kempen Tak Nak yang dijalankan mulai 2004 bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesan rokok terhadap kesihatan didapati berjaya mengurangkan perokok baru, namun pengaruh gaya hidup dikatakan memberi impak besar kepada kecenderungan remaja hari ini untuk merokok.
Ini jelas dilihat kepada persekitaran hari ini apabila semakin ramai remaja termasuk mereka yang berpakaian sekolah merokok tanpa segan silu. Jika dulu, remaja terutama perempuan merokok secara sembunyi seperti di dalam tandas, kini mereka melakukannya secara terbuka tanpa rasa bersalah.
Mungkinkah keterbukaan masyarakat atau sikap enggan mengambil tahu menjadi punca kepada permasalahan ini? Jika dilihat sikap kebanyakan perokok yang melakukannya tanpa rasa bersalah di depan anak yang masih kecil juga dilihat menjadi faktor penarik kepada kanak-kanak.
Malah, ada perokok yang menyuruh anak mereka untuk membelikan rokok di kedai turut dilihat antara faktor yang menyebabkan kanak-kanak hari ini ingin mencuba tabiat berkenaan kerana ingin tahu apa yang menarik bapa mereka untuk merokok.
Selain itu, sikap penjual yang sanggup menutup sebelah mata apabila menjual rokok kepada kanak-kanak dan remaja kerana ingin mengaut untung perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa kerana meskipun ada undang-undang yang menghalang penjualan rokok kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun, ia tidak dilaksanakan.
Dr Sallehudin berkata, meskipun kajian terbaru mendapati kempen kesedaran yang dijalankan berjaya, kebanyakan penyelidik berpendapat kes sebenar mungkin tidak dilaporkan.
“Kempen Tak Nak berkesan di kalangan dewasa, tetapi tidak bagi remaja. Kita boleh lihat di sekeliling kita apabila semakin ramai generasi muda yang merokok di tempat awam. Malah, bagi mereka kesan merokok seperti barah paru-paru, penyakit jantung dan sebagainya tidak membimbangkan kerana penyakit berkenaan hanya berlaku kepada mereka yang berusia.
“Tetapi, ramai yang tidak tahu asap rokok yang disedut mempunyai bahan yang boleh merangsang pelbagai penyakit khususnya barah. Pembentukan barah mengambil masa yang lama kerana perubahan sel tidak berlaku semalam, tetapi bahan yang terkandung dalam asap rokok itu boleh mempercepatkan perubahan sel barah itu,” katanya.
Kaitan rokok dengan barah
PADA dasarnya ramai yang menganggap merokok hanya mengakibatkan barah paru-paru dan penyakit jantung. Hakikatnya, rokok adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik.
Dr Sallehudin berkata, penyelidikan perubatan membuktikan merokok menggandakan risiko mendapat barah khususnya barah paru-paru lima hingga 10 kali ganda lebih tinggi.
“Kebanyakan perokok cuba menafikan kaitan antara rokok dengan barah kerana barah seperti payu dara, pangkal rahim dan organ lain lazimnya dikaitkan dengan punca lain termasuk pemakanan dan virus tertentu. Namun, bahan kimia seperti karsinogen yang terkandung dalam asap rokok itu merangsang perubahan sel DNA yang menjadi barah.
“Ini meningkatkan risiko seseorang itu sama ada perokok aktif mahupun pasif mendapat barah. Risiko mendapat barah khususnya barah paru-paru berkait rapat dengan tempoh dan bilangan rokok yang dihisap. Lagi awal merokok, lagi tinggi risiko untuk mendapat barah paru-paru,” katanya.
Dalam hubungan ini, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan anak dengan mengambil berat kegiatan dan siapa rakan mereka. Pada masa sama beliau berharap ibu bapa juga tidak menjadi seperti ketam yang mengajar anak berjalan, sebaliknya cuba meninggalkan tabiat itu jika mereka juga merokok.
Katanya, sekiranya mengesyaki anak berkenaan merokok, ibu bapa perlu mengambil langkah segera termasuk memeriksa beg dan bilik si kecil.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika mendapati anak sudah merokok atau ditangkap merokok, hukuman keras seperti merotan yang lazim digunakan bukanlah kaedah terbaik bagi menangani masalah berkenaan, sebaliknya kaunseling mungkin boleh membantu.
“Kanak-kanak hari ini tidak sama dengan generasi dulu. Kalau dulu merotan boleh membuatkan mereka mendengar kata, hari ini kanak-kanak yang dihukum sebegitu mungkin boleh memberontak secara diam. Mereka kini lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan, dan apa yang kita bimbang mereka mungkin akan menjauhkan diri jika kekerasan digunakan.
“Cara terbaik untuk mengendalikan masalah ini ialah dengan memujuk mereka dulu dan jika boleh, bawa kaunseling. Anda juga boleh membawa mereka ke Klinik Berhenti Merokok untuk menjalani sesi rawatan, tetapi jika tidak berkesan barulah boleh menggunakan hukuman yang agak keras,” katanya.
Ketika ini ada kira-kira 300 Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan dan kebanyakannya di Klinik Kesihatan. Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai klinik berkenaan, hubungi talian 03-88834400.
FAKTA: Kesan merokok
- Bukan saja merosakkan hampir semua organ dalam tubuh manusia, tetapi ia juga adalah punca kepada 15 hingga 25 peratus kematian.
- WHO menganggarkan merokok menyumbang kepada lima juta kematian setiap tahun bersamaan 13,600 kematian setiap hari atau satu kematian bagi setiap enam saat. Ini diumpamakan sama seperti 35 jet jumbo terhempas setiap hari.
- Berdasarkan tren ketika ini, WHO menganggarkan kematian kerana merokok mencapai 10 juta setahun pada 2030. Bilangan itu masih lagi tinggi berbanding kematian jumlah keseluruhan akibat HIV, Tibi, maternal, perinatal, bunuh diri dan pembunuhan.
- Kira-kira 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.
- Perokok pasif (bukan perokok tetapi terdedah kepada asap rokok) lebih berisiko kerana mereka menyedut asap rokok yang tidak mengalami pembakaran sempurna dan ini menyebabkan lebih banyak bahan kimia merbahaya disedut.
Bagaimana asap rokok membunuh:
- Barah adalah penyakit genetik dan prosesnya bermula apabila berlaku perubahan pada genome (DNA) yang membawa kepada pertumbuhan sel tidak normal yang menyerang pula tisu normal lain.
- Ia berlaku secara semula jadi ketika DNA dalam sel itu dihasilkan semula. Pada proses itu, mungkin berlaku beberapa kesilapan dan sel baru yang dihasilkan daripada kesilapan itu berpotensi menjadi barah.
- Bagaimanapun, sejenis pengawal tumor yang dinamakan p53 memperbaiki perubahan yang berlaku atau kesilapan itu, sekali gus bermakna p53 menghentikan perubahan sel itu daripada menjadi barah.
- Begitu pun, bagi perokok sama ada aktif mahupun pasif, bahan karsinogen seperti benzo(a)pyrene yang terkandung dalam asap rokok memusnahkan baka p53, sekali gus menyebabkan pembentukan barah berlaku.
- Walaupun proses pembentukan sel barah itu mengambil masa lama, ia sesuatu yang pasti bagi perokok tegar.
- Asap rokok mengandungi lebih 4,800 bahan kimia, 69 bahan karsinogen, 200 bahan toksik, bahan iritan dan dadah nikotin.