![]() |
PESERTA membacakan ikrar pada hari terakhir Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam. |
MAKA berakhirlah Kongres Permuafakatan Melayu dengan agenda kemuncaknya ialah penyerahan segulung resolusi kepada Istana Johor tepat jam 12.30 tengah hari semalam sebagai mengiktiraf kedaulatan raja-raja Melayu yang menjadi tonggak serta lambang negara Malaysia yang berdaulat.
Hakikatnya, biarpun upacara yang menemukan kira-kira 2,000 wakil tidak kurang 180 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu itu cuba mencari pendekatan yang berbeza ketika memperkatakan tentang masa depan bangsa Melayu di tanah air sendiri, namun perbincangan dua hari dua malam tidak boleh lari daripada mendendangkan lagu dan irama yang lama.
Persoalannya mengapa sedemikian? Jawapannya mudah – isu-isu lama yang membelenggu pemikiran serta menyakiti hati orang Melayu tidak pernah selesai – malah ada di antaranya telah mengakar sejak berpuluh tahun lamanya sehingga sukar dilupakan begitu sahaja.
Sebab itu hasrat kongres yang dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Malaysia (BBPM) untuk lari daripada memperkatakan isu-isu ‘evergreen’ itu tidak kecapaian. Para peserta masih tertumpu kepada isu hak orang Melayu yang sememangnya telah termaktub di dalam Perlembagaan.
Jika direnung secara teliti, hak-hak tersebut tidak pernah hilang, ia boleh dilihat dengan jelas serta perinciannya tidak pernah dikurangkan. Malah orang Melayu sewajarnya berbangga kerana hak istimewa mereka sentiasa dilindungi biarpun sering diungkit oleh bangsa-bangsa lain yang mahu ‘perlindungan’ itu dihapuskan sama sekali.
Proses untuk memansuhkan hak-hak orang Melayu jika ada cubaan untuk berbuat demikian juga tidak mudah sehingga ke satu peringkat seperti yang diperjelaskan oleh Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ia semacam hampir mustahil untuk dilakukan.
Cubaan seumpama itu bukan sahaja menuntut majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan malah ia juga melibatkan Perlembagaan Negeri serta restu Majlis Raja-Raja. Mana mungkin Raja-Raja Melayu yang memayungi rakyat di negeri-negerinya bersetuju supaya hak keistimewaan orang Melayu dipunahkan begitu sahaja.
Justeru mengapa masih ada kebimbangan di kalangan bangsa Melayu akan hak mereka sehingga menuntut kongres seumpama itu diadakan jika segala-galanya telah termaktub di dalam Perlembagaan dan secara atas kertas ia tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak sekalipun?
Amat jelas perbincangan dua hari yang berlangsung di Dewan Tanjung Puteri Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru menunjukkan kebimbangan yang bukan sedikit di kalangan orang Melayu tentang hak mereka.
Ada ketikanya perbahasan di kalangan para peserta menjadi lebih hangat dan berani berbanding Perhimpunan Agung UMNO. Keadaan itu mungkin didorong oleh rasa ‘kebebasan’ wakil-wakil NGO Melayu untuk bersuara tanpa diikat oleh kehadiran orang-orang politik.
Mungkin betul keputusan Gapena untuk mengetepikan penyertaan parti-parti politik Melayu dalam kongres tersebut kerana tidak mahu sentimen seumpama itu dirosakkan oleh cakap-cakap politik yang entah di mana kesudahannya.
Lantas mereka bebas membuat desakan, paling menjadi perhatian ialah tekad untuk melihat aset bangsa iaitu bahasa Melayu dijulang semula terutamanya dalam proses melengkapkan pendidikan anak-anak Melayu bermula di peringkat rendah lagi. Jika hari pertama menyaksikan kedudukan bangsa Melayu di sisi Perlembagaan serta faktor-faktor hilangnya kekuatan Melayu dibentangkan namun sesi seterusnya menyaksikan agenda yang berbeza.
Para perwakilan diberi peluang melampias minda memperkatakan apa agenda seterusnya yang mesti dipikul oleh kongres menerusi Majlis Permuafakatan Hal Ehwal Orang Melayu yang akan diusahakan penubuhannya selepas ini.
Paling mendesak ialah mengetengahkan perkara asas dan utama ke arah melahirkan generasi Melayu yang tidak tempang untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia iaitu sistem pendidikan yang semestinya memperkasakan bahasa Melayu dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran.
Mengiktiraf
Hampir kesemua peserta yang mewakili pelbagai NGO Melayu dari Perlis hingga Sabah dan membawa suara kelompok Jawa, Malabar, Suluk, Limbang, Banjar, Bugis – sekadar menamakan sebahagian keturunan yang mengiktiraf diri mereka Melayu – mahu supaya bahasa Melayu dikembalikan sebagai pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.
Biarpun nada pembentangan hujah kadangkala agak keterlaluan dan sarat dengan emosi, namun ia tidak lebih daripada meluahkan kekecewaan yang terpendam sekian lama lantaran setiap isu yang dibahaskan pada pertemuan dua hari itu bukan pertama kali diperkatakan.
Isu-isu kedudukan Melayu dari sudut politik, ekonomi, Perlembagaan, agama dan kebudayaan terlalu kerap dilagukan, malah nadanya menjadi semakin lantang selepas pilihan raya umum baru-baru ini. Namun jawapannya kosong. Seruan, desakan, tuntutan dan rayuan habis di atas kertas - sehingga kalangan umat Melayu merasakan betapa wang ringgit dibazirkan begitu sahaja kerana segala yang dibincang dan dirancang tidak mendapat perhatian.
Lebih mendukacitakan apabila saranan serta tuntutan itu diperlekehkan manakala suara-suara ‘ghaib’ masih kedengaran seolah-olah memberi amaran kepada bangsa Melayu supaya tutup mulut atau berhenti daripada memperkatakan tentang hak mereka.
Sebab itu Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid misalnya dengan nada keras dan kesal melaungkan tekadnya untuk tidak hadir lagi mana-mana kongres, seminar atau persidangan memperkatakan tentang hak Melayu jika tuntutan yang dilaungkan selama ini sekadar tamat di dewan persidangan.
Walaupun lagu-lagu lama masih berkumandang, anak Melayu yang selesa berkain pelikat dan berbaju Melayu itu percaya bahawa ini adalah masa untuk bertindak memastikan setiap resolusi dilaksanakan dan bukan sekadar memenuhi koleksi menteri-menteri atau jabatan yang berkenaan.
Sememangnya kekecewaan Azmi wajar dimengertikan oleh semua pihak kerana selepas berpuluh tahun memperkatakan tentang hak Melayu namun tindakan susulannya amat menyedihkan, selalunya resolusi tidak terusik sehingga menimbulkan rasa tida puas hati yang bukan sedikit di kalangan para peserta.
Semestinya, setiap kongres, persidangan dan seminar ke arah memartabatkan hak- hak orang Melayu tidak boleh syok sendiri – para peserta bersemangat melontarkan pandangan serta buah fikiran, berbincang sehingga larut malam untuk memuktamadkan resolusi tetapi natijahnya masih kabur.
Keluhan yang sama dilontarkan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang yang menegaskan bahawa sekarang adalah era bertindak dan kurang bercakap, oleh itu hanya apabila tertubuhnya Majlis Permuafakatan Hal Ehwal Orang-Orang Melayu yang mendasari resolusi kongres itu, barulah dapat dibuktikan bahawa ada catatan hasil perhimpunan besar-besaran NGO Melayu.
Harapan para perwakilan majlis permuafakatan itu akan menyelia, memantau dan memastikan setiap resolusi dilaksanakan sebagai bukti bahawa mereka bukan syok sendiri atau beretorik menyakitkan hati sendiri.
Semestinya dengan adanya majlis seumpama itu kelak ada harapan boleh disandarkan terhadap usaha memartabatkan kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.
Malah tidak mustahil ia boleh menjadi kumpulan pendesak yang mampu mendorong semua pihak yang berkenaan bangkit menyahut cabaran untuk mengembali ‘Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa’.
Paling penting, dalam usaha membangunkan negara yang penghuninya juga terdiri daripada bangsa-bangsa lain, hak Melayu tidak boleh menjadi bahan tawa-menawar atau dikorbankan dengan alasan menghormati konsep masyarakat majmuk.
Hakikatnya, susur-galur kontrak sosial yang sering disalahertikan oleh banyak pihak tidak pernah membawa maksud bahawa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang terkandung di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan boleh dijual beli.
Malah peruntukan tersebut tidak sesekali boleh dipertikaikan dan dipersoalkan oleh sesiapa pun.
Renungi kesimpulan ini. Fakta sejarah menunjukkan bahawa pernah terjadi di peringkat penggubalan Perlembagaan, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya Perkara 153 dilaksanakan hanya untuk tempoh 15 tahun. Tetapi ia ditentang keras oleh UMNO dan Raja-Raja Melayu. Mereka lantang merujuk perjanjian pengiktirafan mengenai ketuanan Melayu yang diiktiraf oleh British sejak sebelum merdeka lagi.
Kedudukan Melayu tidak boleh disamaratakan dengan pendatang sebab itulah hak istimewa kita yang dilindungi oleh Perlembagaan.