Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

29 Jun 2008

Datu Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah


Oleh Mohd Azrone Sarabatin


TUN Datu Mustapha (dua dari kiri) bersama Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu.

Anak kelahiran Kampung Limau-Limauan menjadi tokoh mengembangkan syiar Islam di Negeri di Bawah Bayu

BAPA Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun bukan saja dikenali sebagai pejuang menuntut kemerdekaan, beliau juga adalah tokoh yang berjaya mengembangkan syiar Islam di negeri kelahirannya.

Ketika menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1967 hingga 1976, kegiatan dakwah Islamiah tersebar luas walaupun ada kritikan bahawa gerakan itu tidak diselenggara secara sistematik. Namun, tidak dinafikan ketika era pemerintahannya, Islam bertapak lebih kukuh di Sabah.


Datu Mustapha adalah pengasas Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang giat menjalankan dakwah terutama di kalangan saudara baru dan golongan tidak beragama atau `pagan'.

Pertubuhan itu membawa masuk ramai pendakwah dari Semenanjung dan Indonesia untuk menyebarkan Islam sehingga populasi masyarakat Islam meningkat dan bertapak kukuh.

Usia adalah gabungan tiga persatuan berteraskan Islam yang paling berpengaruh di Sabah iaitu Persatuan Islam Sabah (PIS), Persatuan Islam Tawau (PIT) dan Persatuan Islam Putatan (PIT).

Sepupu Allahyarham, Sarip Edris Sarip Akib, 67, berkata sejak kecil Allahyarham bercita-cita untuk menuntut kemerdekaan Sabah dan menyebarkan Islam di seluruh negeri.

Katanya, semangat patriotisme dan perjuangan menegakkan syiar Islam tersemat dalam sanubari Tun Mustapha sejak kecil lagi hasil dorongan ayahnya, Datu Harun Datu Aliuddin.

Sehubungan itu, Allahyarham mendalami ilmu agama dan seni mempertahankan diri daripada tiga beradik yang juga bapa saudaranya iaitu Sallehuddin, Abu Bakar dan Ali Abdul Rahim.

"Saya adalah antara sepupu Allahyarham yang paling rapat dengannya dan ketika kecil Allahyarham sering membangkitkan semangat patriotisme kepada belia di kampung kami iaitu Kampung Limau-Limauan, Kudat supaya bersatu memerdekakan tanah air dan menegakkan syiar Islam," katanya kepada Berita Minggu di Kampung Limau-Limauan, Kudat di utara Sabah, baru-baru ini.

Gerakan dakwah yang dijalankan Datu Mustapha menerusi Usia berjaya menarik golongan `pagan' terutama masyarakat Dusun, Murut dan Rungus untuk memeluk Islam. Antara daerah paling ramai saudara baru adalah Ranau, Tuaran, Kota Marudu dan Keningau.

Tinjauan Berita Minggu di Kampung Limau-Limauan, mendapati masih ramai jurai keturunan Datu Mustapha menetap di perkampungan nelayan itu. Bagaimanapun, rumah yang menjadi tempat kelahirannya sudah tiada dan yang tinggal hanya beberapa pohon pisang.

Perigi tempat tokoh itu mendapatkan bekalan air dan mandi sudah hilang keasliannya kerana dinaiktaraf menjadi perigi konkrit menggunakan pam tangan.

Kini, Kampung Limau-Limauan memiliki rangkaian jalan raya dari persimpangan Kampung Parapat Lodong ke kampung itu, selain memperoleh bekalan elektrik sejak pertengahan April lalu. Penduduk kini hanya menanti penyaluran bekalan air bersih.

Sarip Edris berkata, Datu Mustapha juga minat bermain biola, namun beliau dan keluarganya tidak pasti di mana Allahyarham mempelajari kesenian itu. Ketika berhijrah ke Kudat, Allahyarham tidak pandai bermain alat muzik tradisional berkenaan.

"Ketika dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham, saya pengsan sehingga tidak dapat menghadiri pengebumiannya. Selepas sedar, saya menggagahkan diri untuk menziarahi pusara Allahyarham.

"Saya kehilangan seorang abang yang berjuang untuk rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama. Beliau seorang pejuang sejati menegakkan syiar Islam," katanya.

Datu Mustapha diiktiraf Bapa Kemerdekaan Sabah kerana perjuangannya memerdekakan negeri itu daripada penjajahan British dan kemudian menyertai Malaysia. Sejak awal lagi, Datu Mustapha menonjol sebagai seorang pemimpin Sabah yang terpenting.

Biarpun pada babak akhir hidupnya, Datu Mustapha tidak lagi menguasai perkembangan politik Sabah, beliau adalah satu-satunya pemimpin Sabah yang bertanggungjawab meletakkan asas pembangunan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju.

Beliau adalah contoh terbaik kepada golongan muda di Sabah. Memulakan kehidupannya sebagai seorang budak suruhan kepada Residen British dan berkat kegigihannya serta keazaman yang teguh, Allahyarham meningkat menjadi seorang tokoh besar Malaysia.

Ketika pendudukan Jepun, Allahyarham berjuang dalam tentera sehingga mendapat pangkat kapten dalam tentera British. Mustapha menjadi Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah berikutan kemerdekaan Sabah.

Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah menulis rencana menyatakan penghargaannya terhadap Datu Mustapha sebagai seorang teman yang sangat murah hati, yang banyak memberikan pertolongan kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia selepas Almarhum bersara daripada politik.

Justeru, Datu Mustapha bukan saja seorang tokoh yang berjuang hingga ke titisan darah akhir untuk menuntut kemerdekaan Sabah, Allahyarham juga adalah seorang pejuang yang berjaya mengukuhkan kedudukan agama Islam di Negeri di Bawah Bayu.

INFO: Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun

  • Berketurunan Suluk dilahirkan di Kampung Limau-Limauan pada 31 Ogos 1918

  • Meninggal dunia ketika berusia 76 tahun di Pusat Perubatan Sabah di Likas, Kota Kinabalu kerana menghidap penyakit jantung.

  • Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di atas sebuah bukit di Putatan, dekat Kota Kinabalu bersebelahan pusara isterinya Toh Puan Rahmah Zulkarnain seperti yang diwasiatkannya.