Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

29 Jun 2008

Definisi garis kemiskinan perlu dikaji semula



Penstrukturan subsidi minyak dan harga barang menyebabkan kos sara hidup meningkat

PEMBENTANGAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat, Khamis lalu, menyatakan secara terperinci kemajuan yang dicapai dalam tempoh dua tahun lalu dan sasaran yang hendak dicapai pada akhir 2010. Berbanding ketika RMK-9 diumumkan pada Mac 2006, senario sekarang jauh berbeza kerana krisis ekonomi dunia mula menampilkan diri. Antara pendekatan yang kerajaan lakukan ialah menstruktur semula subsidi minyak dalam negara menyebabkan tekanan terhadap kenaikan sara hidup serta kadar inflasi. Ini yang menyebabkan Kajian Separuh Penggal RMK-9 penting untuk diperhalusi dan difahami semua peringkat masyarakat. Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu bersama Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

APA antara aspek penting terkandung dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9, terutama yang menyentuh semua peringkat masyarakat?


Menarik untuk memperkatakan bahawa dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan Perdana Menteri ialah satu suruhanjaya pengangkutan awam akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras semua program pengangkutan awam dan inisiatif dalam negara.

Mengikut Unit Perancangan Ekonomi (EPU), suruhanjaya itu akan bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan bersepadu.

Ini bermakna wujud satu pelan induk menentukan sistem pengangkutan awam di negara ini lengkap dan bersepadu serta mengambil kira semua aspek yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang terbaik, perlu ada empat ciri, iaitu kecekapan, berdaya maju, mampu dibayar dan bersepadu.

Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9, saya melihat unsur bersepadu diberi perhatian dan ini penting kerana jika kita lihat sistem pengangkutan awam seperti sistem aliran transit ringan Star, Putra dan monorel, langsung tidak bersepadu.

Sepatutnya, ketiga-tiga sistem ini bersepadu tetapi ini tidak berlaku. Penumpang yang menggunakan Putra dan kemudian Star, terpaksa berjalan kaki keluar dari stesen dan pergi ke stesen lain. Penumpang monorel terpaksa berjalan kaki untuk ke KL Sentral jika mahu meneruskan perjalanan menggunakan Putra.

Keadaan ini berlaku kerana tiada unsur bersepadu dalam sistem pengangkutan awam kerana dalam pentadbiran lalu, tiada pelan induk. Bagi menjamin sistem pentadbiran awam yang bermutu, empat ciri yang saya katakan tadi perlu ada.

Selain itu, dasar pentadbiran lalu menggalakkan pemilikan kenderaan peribadi tidak lagi sesuai kerana mengabaikan faktor bahawa harga minyak dan gas akan meningkat. Ini terbukti sekarang apabila sistem pengangkutan awam yang tidak cekap menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan, selain memandu kenderaan masing-masing.

Bagaimana pula dengan aspek kemiskinan yang mencatatkan penurunan dalam hampir semua kategori?

Membasmi kemiskinan memang adalah antara tumpuan utama kerajaan sejak merdeka dan dari semasa ke semasa, kadar kemiskinan di negara ini semakin menurun. Contoh dapat dilihat apabila kadar kemiskinan keseluruhan dikurangkan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007.

Kemiskinan tegar pula menyusut dari 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada 2007 selain mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar.

Ketidaksamaan pendapatan purata antara Bumiputera dan Cina juga terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada 2004 kepada 1:1.54 pada 2007. Ini bermaksud tahun lalu, bagi setiap RM100 yang Bumiputera dapat, orang Cina pula mendapat RM154.

Sudah tentu penurunan ini hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan, tetapi secara keseluruhan masih banyak boleh dilakukan

Bagaimanapun, saya berpandangan definisi kemiskinan melalui pendapatan garis kemiskinan semasa � purata RM691 untuk seluruh negara, RM661 bagi Semenanjung, RM888 bagi Sabah dan RM765 untuk Sarawak, tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar.

Ini bertambah ketara dengan penstrukturan semula subsidi minyak dan harga barang makanan yang menyebabkan kos kehidupan semakin meningkat. Adakah berpendapatan RM700 bermakna kita tidak lagi miskin?

Memang seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, jika kita menaikkan garis kemiskinan bermakna golongan miskin di negara ini akan meningkat, tetapi persoalannya adakah garis kemiskinan sekarang benar-benar mencerminkan keadaan sebenar.

Saya meminta kerajaan mengkaji semula definisi garis kemiskinan. Kita tidak mahu keadaan nampak baik di atas kertas, tetapi realitinya berbeza.

Apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin?

Saya berpendapat kerajaan perlu melaksanakan dasar gaji minimum hanya untuk rakyat Malaysia. Langkah ini sebenarnya boleh meningkatkan pendapatan purata rakyat ini supaya tidak jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malaysia selama ini diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Dasar gaji minimum mampu membantu mempercepatkan Malaysia keluar lebih cepat daripada kelompok negara berpendapatan sederhana.

Negara juga terlalu bergantung kepada pekerja asing yang kini boleh dikatakan berada hampir semua sektor pekerjaan. Memperkenalkan gaji minimum boleh membantu menarik rakyat tempatan menceburi bidang pekerjaan yang selama ini dikaitkan dengan gaji rendah. Rakyat tempatan sudah pasti berminat bekerja di sektor yang kini dimonopoli pekerja asing jika mereka mendapati gaji yang ditawarkan menarik.

Ini juga dapat mengelakkan bijak pandai di negara ini berhijrah ke negara lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Bidang pendidikan sentiasa mendapat perhatian kerajaan sama ada dalam rancangan pembangunan lima tahun mahupun dalam peruntukan Bajet. Apa analisis saudara terhadap bidang ini?

Satu perkara yang cukup menarik ialah sasaran untuk memastikan sekurang-kurang 40 peratus golongan berumur antara 17 hingga 23 tahun mendapat pendidikan pengajian tinggi pada 2010. Ini adalah sasaran yang sangat baik kerana sejajar dengan sasaran untuk mencapai negara yang menjadikan pengetahuan sebagai asas ekonomi atau K-ekonomi.

Kadar 40 peratus ini juga hampir setanding dengan pencapaian negara maju. Ketika ini, kira-kira 21.9 peratus atau 219 daripada 1,000 orang dalam kumpulan umur ini lulusan pengajian tinggi.

Pada masa sama, kita mahu kualiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bukan hanya mementingkan angka, tetapi kualiti. Kita mahu graduan memenuhi keperluan pasaran. Saya melihat perlu ada kerjasama erat antara IPT dan industri bagi membolehkan mahasiswa mengikuti latihan atau ditempatkan pada suatu tempoh tertentu.

Ini hanya boleh dilakukan jika IPT mempunyai hubungan erat dengan industri dan latihan atau penempatan itu perlu diwajibkan.

Satu perkara yang tidak kurang penting ialah meningkatkan penguasaan bahasa asing, terutama Inggeris. Saya dapati penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan sangat teruk dan ini sudah tentu menyukarkan mereka memasuki pasaran pekerjaan, terutama sektor swasta.

Perdana Menteri juga menyatakan untuk membantu pelajar tercicir, pembinaan pusat GiatMARA baru akan dipercepatkan dengan 80 peratus pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Ini adalah satu usaha yang perlu dipuji.

Dari satu segi, ini dapat mengurangkan masalah sosial kerana pelajar tercicir yang selepas mendapat kemahiran boleh mendapat pekerjaan yang sesuai dan mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan tidak diingini seperti mat rempit. Kumpulan pelajar tercicir yang berkemahiran juga dapat menggantikan pekerja asing.

Saya juga meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap kumpulan pelajar yang terkebelakang dari segi pencapaian akademik di sekolah. Mungkin akibat latar belakang keluarga dan ketidakmampuan ekonomi menyebabkan mereka ketinggalan. Jika kita dapat membantu mereka, masalah pelajar tercicir dapat dikurangkan.

Mereka bukan hanya di luar bandar, malah di bandar dan pinggir bandar. Kenal pasti kumpulan pelajar ini dan bantu mereka.

Kenaikan harga beras dunia memberi pengajaran besar kepada Malaysia supaya memberi perhatian serius untuk berdikari dalam pengeluaran makanan. Adakah perhatian serius kerajaan terhadap perkara ini dicerminkan melalui peruntukan besar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani?

Kementerian ini mendapat peruntukan tambahan RM3 bilion bagi tempoh separuh penggal RMK-9 yang sebahagiannya akan digunakan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.5 bilion akan digunakan untuk membaiki kemudahan pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi, manakala bakinya untuk tambahan bekalan mencukupi untuk keperluan negara seperti ternakan, sayuran dan akuakultur.

Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap usaha mengekalkan tanah pertanian supaya tidak dengan mudah ditukar taraf untuk tujuan pembangunan terutama perumahan dan industri. Saya dapati penukaran taraf tanah pertanian kini kelihatan agak mudah dan ini tidak baik untuk pembangunan pertanian dalam jangka panjang.

Tanah terbiar juga perlu dimanfaatkan supaya negara mampu mengeluarkan makanan dan tidak terlalu bergantung kepada makanan import.

Kita tidak dapat lari daripada memperkatakan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan sebanyak 6.1 peratus sepanjang RMK-9. Bolehkah ini dicapai?

Sepanjang tempoh dua tahun pertama pelaksanaan RMK-9, KDNK sebenar negara berkembang 6.1 peratus setahun melebihi sasaran 6.0 peratus. Mampukah tiga tahun terakhir RMK-9, mulai tahun ini hingga 2010 juga mencatatkan sekurang-kurangnya 6.0 peratus. Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan menghadapi cabaran besar untuk memastikan matlamat itu dicapai.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah perspektif sesetengah masyarakat yang hendak melihat 6.0 peratus itu bukan hanya angka di atas kertas, tetapi boleh dirasai mereka dalam kehidupan harian. Ada yang berpandangan bahawa walaupun 6.0 peratus, tetapi kehidupan mereka terjejas dan ini perlu diperjelaskan.

Peningkatan harga minyak menyebabkan penggunaan tenaga yang cekap serta sumber tenaga yang boleh diperbaharui kini diberi lebih perhatian. Pandangan saudara?

Saya bersetuju dengan dasar ini dan perlu diberi sokongan kerana sudah tiba masa sumber tenaga yang boleh diperbaharui yang lebih murah dan mesra alam digunakan menggantikan minyak yang semakin mahal. Sebenarnya ada banyak sumber tenaga yang boleh dimajukan seperti tenaga solar dan hidro.

Bagaimanapun, penggunaan tenaga hidro tidak dipersetujui oleh pihak yang mementingkan alam sekitar kerana setiap projek hidroelektrik menyebabkan penebangan kawasan hutan secara meluas yang mempunyai kesan terhadap alam sekitar, haiwan dan juga manusia sendiri yang terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Tenaga solar adalah pilihan yang baik. Cuma penyelidikan dan pembangunan perlu diperhebatkan bagi menjadikan peralatan yang diperlukan lebih murah.

Satu pilihan lain yang terbukti murah dan selamat ialah tenaga nuklear. Banyak negara menggunakan tenaga nuklear dengan selamat seperti Perancis yang membolehkan rakyat negara itu memperoleh tenaga ini dengan kadar berpatutan.

Memang ada kebimbangan bahawa tenaga nuklear boleh mencetuskan bencana, tetapi kali terakhir tragedi berlaku ialah di Chernobyl pada 1986.

Sejak itu, negara yang menggunakan nuklear sebagai sumber tenaga memastikan tragedi begitu dielakkan.