Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

29 Jun 2008

Sultan Aluddin 'raja terbuang'


Oleh Mohd Azis Ngah


MAKAM Sultan Alauddin Riayat Shah terletak di pekarangan masjid Kampung Raja, Pagoh.

Peribadinya yang hebat serta kewibawaannya tidak disenangi pembesar istana

MEMBICARAKAN sejarah kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), pasti akan mengheret sama Sultan Alauddin Riayat Shah yang dianggap sebagai tokoh kontroversi dan sensasi.

Berdasarkan beberapa sumber Melayu seperti Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu dalam pelbagai versi, Sultan Alauddin adalah seorang Raja Melaka yang hidup pada zaman kegemilangan kerana ketika era pemerintahannya, kekayaan datang mencurah-curah ke Melaka dari seluruh dunia.


Ketokohan dan keperibadian baginda sering disamakan dengan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang keluar waktu malam meninjau kehidupan rakyatnya.

Sayangnya, baginda memerintah Melaka selama 11 tahun saja dan mangkat pada usia terlalu muda. Makam baginda terletak di atas sebuah anak bukit di tebing sebelah kiri Sungai Pagoh di Kampung Raja, Pagoh, Muar, Johor.

Istimewanya makam ini kerana ia adalah satu-satunya makam Diraja Melaka yang terselamat ketika berlaku ‘pembersihan’ oleh Portugis dengan alasan membina kota pertahanan, A Famosa. Ketika itu semua makam Raja lain dibongkar penjajah Portugis.

GAMBARAN dari jarak dekat Makam Sultan Alauddin Riayat Shah.

Dilihat kepada keadaan kemangkatan dan tempat persemadiannya, timbul persoalan menarik minat ahli sejarah sehingga sekarang iaitu selain takdir Ilahi, kenapa baginda mangkat ketika usia terlalu muda?

Timbul juga persoalan bagaimana pemakaman diraja dilakukan di luar Melaka sehingga ke kawasan hulu Sungai Muar? Apakah istimewanya Pagoh pada kaca mata kesultanan Melayu Melaka sehingga jenazah pemerintah sebuah empayar Melayu agung disemadikan di situ.

Pengkaji sejarah merangkap pensyarah Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial, Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn, Mohd Akbal Abdullah, berkata salasilah jelas menunjukkan baginda adalah putera kepada Sultan Mansur Shah.

Bagaimanapun, katanya, ibunya seorang puteri berketurunan Jawa yang juga seorang daripada isteri Sultan Mansur Shah.

“Naskhah Melayu amat berani dan berjaya menyembunyikan identiti baginda. Baginda bukanlah Raja dalam penantian, sebaliknya dipilih menggantikan Sultan Ahmad (Muhammad) yang dihalau ke Pahang oleh pembesar Melayu berpunca kes pembunuhan Tun Besar (anak pembesar Tun Perak).

“Ketika Sultan Mansor mangkat, Sultan Alauddin Riayat Shah ditabalkan sebagai Raja di Kelang. Bagaimanapun, melalui kebijaksanaan dan seni kepengarangan Sulalat al-Salatin, Raja Kelang iaitu Raja Raden (gelaran Jawa) atau Raja Hussein atau Raja Ahmad yang didakwa mati terbunuh di Kelang itu sebenarnya baginda yang ditabalkan semula di Melaka dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah,” katanya.

Berdasarkan Suma Oriental, iaitu satu-satunya sumber Portugis yang merakamkan maklumat lisan orang Melaka ketika istana Melaka masih terbakar, ada menyebut baginda seorang yang warak, suka beruzlah (mengasingkan diri untuk beribadah) dan digambarkan mengamalkan solat malam.

Pengetahuan ilmu agamanya sangat tinggi, mendalam serta sering menghimpunkan putera Raja dari jajahan Melaka di istana Melaka untuk bermain sepak raga dan menghadiri ilmu agama di masjid.

Satu ketika, baginda keluar malam bersama beberapa pemuda Melaka meninjau kehidupan rakyat dan pernah bertempur dengan sekumpulan pencuri di Melaka.

Kesungguhan baginda menjaga keselamatan Melaka menyebabkan beberapa pembesar Melaka tergugat, khususnya Temenggong yang ditempelak hebat kerana gagal menjaga keselamatan negeri.

Kegagalan pembesar dan kewibawaan Sultan Alauddin memberikan gambaran wujudnya persaingan antara Raja dengan Temenggong.

Tindakan menempelak pembesar bukanlah sesuatu yang melanggar adat, tetapi dilihat mengancam kedudukan Temenggong yang sebenarnya bercita-cita tinggi. Gangguan politik tradisi Melayu ini dan kekalutan pentadbiran di kalangan pembesar menimbulkan suasana kurang harmoni.

“Sejak peristiwa itu, Sultan Alauddin menghadapi masalah besar, antaranya ialah isu keturunan darah bukan Raja dan keturunan Melayu jati di sebelah ibunya. Sebelum itu, institusi Raja Melaka mempertahankan darah diraja dan Melayu sebagai “syarat” menaiki takhta.

“Baginda juga diancam Sultan Ahmad di Pahang yang berusaha menuntut takhta di Melaka. Masalah paling besar ialah pentadbiran dalaman khususnya hubungan dengan Temenggong, Tun Mutahir yang bercita-cita tinggi walaupun jelas gagal menjaga Melaka,” katanya.

Semua permasalahan itu akhirnya menjadi satu faktor utama kemangkatan baginda pada usia muda. Kedudukan makam terlalu jauh dari pusat pentadbiran Melaka memberikan hujah telah berlaku penyingkiran fizikal dan wibawa Raja berkaliber dalam sejarah Melayu Melaka.

Ia berpunca daripada suasana dan sikap tamak, dengki, negatif segelintir masyarakatnya yang bercita-cita besar serta persaingan antara pembesar di istana.

Makam di Pagoh juga menunjukkan keutamaan Kampung Raja, di Pagoh sebagai sebuah lokasi politik yang terletak bukan saja jauh jaraknya tetapi juga jauh di sudut hati dunia politik Melayu satu waktu dulu.