MAAFKAN saya kerana menulis catatan ini. Ia memang sesuatu yang tidak sopan kerana menceritakan tentang kisah hidup anda lebih 2,000 tahun lalu. Sekali lagi, maafkan saya.
Saya terpaksa menulis catatan ini. Terpaksa. Mungkin kerana sikap dan sifat anda itu tidak pernah mati. Tanpa noktah. Hari ini, ia terus membiak. Orang sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan peribadi dan kelompok.
Sesungguhnya saya sangat mengkagumi anda. Bukan hanya kerana kecantikan luar biasa yang anda miliki tetapi juga kebijaksanaan (saya tidak mahu menggunakan istilah kelicikan) dalam mencapai cita-cita.
Sejarah dunia mencatatkan anda sebagai wanita yang luar biasa dan terkenal sebagai wanita penggoda lelaki. Anda pernah menjalin kasih dengan Julius Caesar dan Marc Anthony (Marcus Antonius) hanya untuk memenuhi cita-cita menguasai dunia bukan?
Lebih tepat, anda mahu menjadi ratu dunia dengan cara menggunakan keindahan tubuh dan rupa untuk mengapai cita-cita itu. Ada beberapa pendapat mengatakan jika hidung anda tidak mancung, maka sejarah dunia tidak akan seperti saat ini.
Saya masih ingat cerita tentang anda ketika mula-mula menjalinkan hubungan dengan Julius Caesar. Pada awalnya anda bertemu baginda untuk membantunya menyelesaikan peperangan dengan adiknya sendiri, Ptolemy XIII (Ptolemy Philadelphus).
Namun hubungan tersebut berlanjutan pada hubungan kekasih sehingga melahirkan seorang anak yang bernama Cesarion. Bagaimanapun, cita-cita anda untuk menjadi ratu dunia berkubur bersama-sama kematian Julius Caesar.
Baginda dibunuh kejam di dewan senat. Julius Caesar tidak menyerahkan takhtanya pada anda mahupun Cesarion, tetapi kepada Octavianus. Penyerahan itu tidak bererti anda mengalah bukan?
Anda seterusnya bertemu dengan Marc Anthony. Kemudian berkerjasama dengan pemuda itu. Masih ingat tentang pertemuan di suatu senja yang indah itu? Biar saya teruskan cerita tentang anda.
Seperti dengan Julius Caesar, anda juga menjalin kasih dengan Marc Anthony. Hubungan anda dengannya melahirkan tiga orang anak. Namun, cita-cita asal anda tetap terhalang oleh kekuatan empayar Rom yang dipimpin oleh Octavianus.
Octavianus pun menyebarkan berita fitnah untuk menghancurkan anda bukan? Fitnah tersebut hingga saat ini masih tercatat rapi dalam sejarah dunia.
Fitnah tersebut mengatakan anda sebagai seorang wanita yang mempunyai sifat penggoda, mengikut hawa nafsu, berzina dengan sanggup melakukan pembunuhan jika gagal mencapai apa yang dikehendaki.
Anda tahu, keruntuhan Empayar Melaka di tangan Portugis lebih 500 tahun lalu juga disebabkan oleh fitnah. Ia angkara individu yang tamak dan berkepentingan. Nama mereka ialah Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja.
Hari ini, fitnah dilemparkan di mana sahaja. Orang sanggup melahirkan cerita yang kadang-kadang tidak masuk akal untuk menjatuhkan orang lain. Sama seperti ketika Octavianus menyebarkan cerita-cerita dusta tentang anda.
Pendapat ahli falsafah Jerman, Jurgen Habermas dalam The Structural Transformation of the Public Sphere tentang politik kotemporari mungkin ada benarnya. Beliau antara lain berpendapat, persaingan antara individu dan kelompok pelaku politik akan menimbulkan pelaksanaan palsu dari aspek idea dan cara.
Menurut Habermas, politik pada tahap ini secara kejam telah membahagi dunia ke dalam kelompok; pemenang dan kalah. Ia juga patologi yang `dihidapi’ masyarakat moden yang tidak mungkin anda fahami.
Ia berupa impak daripada proses komunikasi dalam masyarakat global. Diagnosis terhadap patologi modeniti itu penting bukan sahaja untuk melihat globalisasi, tetapi mengenal pasti aspek-aspek yang berbahaya dalam pelaksanaan politik moden.
Sebenarnya kisah tentang fitnah, anda dan Octavianus tersebut tidak dinafikan dimuatkan dalam ruang mitos dan sejarah - mitos tentang kecantikan, hasrat dan perebutan kekuasaan. Ia juga sejarah tentang kebesaran sebuah dinasti Mesir kuno yang berhubungan dengan kekuasaan Rom.
Kehebatan kisah hidup anda diberi perhatian yang luar biasa. Ia penuh dengan keterujaan, romantik, penderitaan dan darah hingga menjadi sebuah kisah yang memukau.
William Shakespeare pernah menghasilkan naskhah Anhtony and Cleopatra. Begitu juga Bernard Shaw menghasilkan naskhah Caesar and Cleopatra. Kisah anda juga pernah diangkat ke filem dengan watak anda dipegang oleh pelakon legenda Elizabeth Taylor.
Sebelum saya mengakhiri catatan ini, saya ingin menyatakan rasa sedih sedalam-dalamnya apabila anda membunuh diri ketika Octavianus menyerang Mesir. Anda memasukkan tangan ke dalam keranjang yang dipenuhi ular tedung Afrika yang sangat berbisa.
Ia merupakan buah daripada kekecewaan bukan? Saya ulangi sekali lagi, kisah fitnah terhadap anda tidak pernah berhenti. Ia berulang dan terus berulang selagi ada `Octavianus-Octavianus’ yang terlalu tamak!