Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

06 Julai 2008

Dugaan orang berkasih


Oleh Nurul Huda Kosnon


Kasih Seharum Lavender

Kisah konflik dua rakan dalam menilai persahabatan berikutan merebut lelaki sama

KASIH Seharum Lavender karya Eita Ashyta mengangkat erti kasih sayang antara lelaki dan wanita serta nilai persahabatan yang mungkin boleh terlerai sekiranya seseorang itu tidak dapat mengendalikan perasaan cinta secara rasional apabila mendapat tahu rakan sekerja turut menjadi saingan dalam mendapat perhatian lelaki yang dicintai.

Nur Irdina Farhani atau Hani bersahabat dengan Nurul Adlynn (Lynn) ketika menuntut di sebuah universiti di United Kingdom dalam bidang seni bina dan sekembalinya ke tanah air masing-masing membina kerjaya sendiri, tetapi menetap di rumah yang sama.


Hani diterima bekerja sebagai arkitek di Syarikat Menhir Architect milik En Rozan dan ‘terpaksa’ menerima arahan daripada anak majikannya, Mohd Rifai Ezany, kacak tetapi sombong sehingga sanggup berlaku kasar terhadap gadis itu meskipun hakikatnya pemuda terbabit turut berminat kepadanya.

Meskipun sering diperli Ezany, Hani sentiasa tenang menerima dugaan dan ini menyebabkan pemuda itu akhirnya jatuh hati kepadanya, tetapi tidak meluahkan perasaan kerana egonya sebagai lelaki di samping kedudukannya sebagai orang penting dalam syarikat.

Mendung dalam hidup Hani berlalu apabila ia dipertemukan dengan rakan setugas, Tengku Hadif Zafran yang juga jurutera awam di syarikat itu, mula menaruh hati kepada gadis itu tanpa mengetahui bahawa arkitek muda terbabit pernah dikecewakan ketika menuntut di universiti.

EITA Asyhta.

Pengarang turut membawa pembaca menyelami kebahagiaan pasangan terbabit apabila hubungan mereka berdua mendapat restu keluarga yang mengatur pertunangan kedua-dua merpati dua sejoli itu, tetapi ikatan kasih teruji apabila

Ezany mula menagih cinta Hani.

Meskipun simpati kepada Ezany, Hani tidak menyambut kasih anak majikannya itu kerana hatinya sudah terikat dengan Hadif, seorang lelaki yang pandai menawan hati wanita dan turut mempunyai kerjaya profesional selain menjadi rebutan ramai hawa.

Di luar pengetahuan Hani, Lynn turut menaruh hati kepada tunangannya dan perkara itu diketahui apabila teman serumahnya bercerita mengenai lelaki pujaannya tanpa mengetahui mereka sudah bertunang kerana kebetulan Lynn juga pernah bersahabat dengan Hadif.

Pengarang menghanyutkan lagi rasa simpati pembaca kepada Hani dengan kisah gadis itu yang diburu rasa bersalah terhadap sahabat baiknya, lalu meminta Hadis memutuskan ikatan pertunangan mereka dalam usahanya untuk berkorban kasih demi Lynn.

Hani turut dikisahkan bertambah tertekan apabila ibu yang disayanginya meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara dan keadaan itu melarakan hatinya sehingga tertekan, tetapi tekanan perasaannya itu dilegakan Hadif meskipun hubungan mereka masih keruh kerana Lynn.

Novel setebal 621 halaman terbitan Kaki Novel Enterprise berharga RM19 senaskhah ini pasti mengharukan pembaca wanita khususnya apabila perasaan mereka dibuai dengan pelbagai permasalahan yang melanda hubungan pasangan bertunang, ego anak majikan dan sahabat karib.

INFO:
Kasih Seharum Lavender
Pengarang: Eita Ashyta
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM19 senaskhah
Tebal: 621 halaman
Bintang: ****


E-novel pemula karya Eita Asyhta

EITA Asyhta anak kelahiran Tasik Gelugor, Perak, mula terbabit dalam dunia penulisan kreatif dengan menulis e-novel, Kau yang Ku Sayang dam permulaan yang tidak disangka itu akhirnya membawa tuah kepadanya apabila novel keduanya, Kasih Seharum Lavender, dipilih Kaki Novel Enterprise untuk dicetak.

Anak sulung daripada dua beradik yang berusia 28 tahun ini, kini menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama keluarganya, banyak menghabiskan masanya dengan membaca sejak dari sekolah rendah dan berterusan sehingga ke zaman pekerjaannya dengan novel sebagai pilihannya.

Membaca novel sebagai kegiatan santai yang mampu menghiburkan hati pengarang ini akhirnya membuka jendela baru dalam mengetengahkan bakatnya kepada peminat sastera tanah air apabila percubaan berjinak dengan karya kreatif bagi mengisi masa lapang berkesudahan dengan penerbitan novelnya.

Sebagai pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif tanah air, Eita Asyhta berharap karyanya mendapat sambutan dan memberi kepuasan kepada pembaca kerana beliau sudah berusaha menampilkan plot cerita menarik berserta gaya bahasa harmoni.