![]() |
KENAIKAN harga minyak menyebabkan banyak pihak mahu mencipta teknologi baru bagi menggerakkan kenderaan. – Gambar hiasan |
INDONESIA baru-baru ini digemparkan dengan kejayaan seorang lelaki, Djoko Suprato yang mendakwa menemui teknologi baru dengan menukarkan air menjadi bahan bakar. Ia menarik perhatian pemerintah dan masyarakat serta menjadi perdebatan hangat - benar atau satu penipuan.
Ketika harga minyak naik mendadak sekarang, sudah pasti kebolehan lelaki misteri dari Solo, Jawa Tengah menjadi tumpuan.
Jika berjaya, Indonesia tidak perlu lagi menggunakan minyak petrol dan diesel, sebaliknya memanfaat air sebagai bahan bakar untuk menggerakkan kenderaan dan menyalurkan tenaga elektrik.
Bagaimanapun kebolehan lelaki berusia 48 tahun diragui hingga ada yang membuat laporan polis agar disiasat kerana menggunakan peruntukan negara untuk melaksanakan projek Blue Energy selain didakwa melakukan penipuan.
Pada 20 Jun lalu, bertempat di Dusun Turi, Nganjuk Jawa Timur, ratusan orang ramai dan wartawan mendatangi rumah Djoko kerana dia mahu mendedahkan teknologi baru itu kepada umum.
Sudah lama masyarakat ingin melihat Djoko membuktikan penemuan baru itu.
Bagaimanapun selepas mencanangkan kebolehannya itu, Djoko sering mengurung diri di dalam rumah dan dilaporkan menghilangkan diri beberapa ketika.
Namun pada pagi itu Djoko mahu membuktikannya bahawa dia tidak berbohong. Djoko dengan dibantu oleh seorang mahasiswa memasukkan air ke dalam sebuah tangki besi yang disambung dengan sebuah enjin kereta lama.
“Ini air yang benar” kata Djoko sambil menunjukkannya kepada orang ramai.
Pakaian
Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan muncul semula selepas menukar pakaian yang serba gelap. Ia kemudian menghidupkan enjin kereta yang menggunakan air tadi. Orang ramai bertepuk tangan apabila lampu-lampu yang disambungkan dengan mesin itu menyala.
Selepas 10 minit, enjin itu terhenti. Selepas itu Djoko menghidupkannya lagi dan orang ramai terus kagum dan bertepuk tangan.
Namun Djoko mendedahkan, generator itu tidak boleh mengguna air sepenuhnya, tetapi perlu digabung dengan tenaga solar sebanyak 30 peratus.
“Ini tidak ada kaitannya dengan Blue Energy, ya ini temuan saya, bahan bakar alternatif mesra alam dengan memanfaatkan air.
“Anda rasakan sendiri deruan enjin lebih halus dan tidak mengeluarkan asap sedikitpun. Alat-alat ini mudah diperoleh dan tidak mahal,” kata Djoko dengan yakin.
Djoko bagaimanapun bimbang ciptaannya itu akan ditiru dan dia mengambil keputusan tidak mahu menerangkannya secara terperinci.
Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan membawa keluar sebuah kotak merah yang disebutnya sebagai alat penjanaan elektrik bebas untuk menyalakan lampu.
Bagi membuktikan penemuannya itu benar, dia mempelawa orang ramai menyentuh kabel yang mengalirkan arus elektrik itu.
Pembantunya juga kelihatan takut untuk menyentuh kabel itu apabila diminta oleh Djoko. Tidak dipastikan sama ada Djoko dan Thoriq sudah berpakat untuk meyakinkan orang ramai.
Bagaimanapun apa yang menarik, nama Djoko tiba-tiba mendapat perhatian Mei lalu selepas dikatakan mampu menukar air menjadi bahan bakar menerusi projek Blue Energy.
Dia menghilangkan diri selepas membuat demonstrasi penemuan itu kepada beberapa orang pegawai dan staf Presiden dan pegawai angkatan tentera. Namun ramai yang percaya kebolehan Djoko itu walaupun ada pihak mendakwa Djoko menipu selepas mendapatkan pembiayaan dari pemerintah bagi melaksanakan projek Blue Energy.